Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Rombakan kabinet dan kesannya kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura

Apakah antara pengertiannya rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini bagi masyarakat Melayu/Islam?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Rombakan kabinet dan kesannya kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Diterbitkan : 29 Apr 2018 10:28PM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 10:58PM

BERITAMediacorp: Apakah antara pengertiannya rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini bagi masyarakat Melayu/Islam? Dalam KOMENTAR kali ini, pakar politik Dr Norshahril Saat percaya, ini langkah PM Lee untuk memberi kesegaran kepada kepimpinan Melayu tempatan, sebagaimana perubahan di peringkat nasional.

Namun zamil ISEAS itu juga berpandangan, badan-badan Melayu/Islam harus mengambil iktibar daripada semangat rombakan kabinet ini dengan masing-masing turut menjalankan pembaharuan serta memberi lebih banyak peluang para aktivis muda. Ini hujah-hujah beliau yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp:

Encik Zaqy mendapat pelantikan baru, Encik Amrin dinaikkan pangkat manakala Encik Masagos pula akan menyandang jawatan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Melayu. 

ROMBAKAN kabinet baru-baru ini menyaksikan beberapa perubahan yang bakal memberi kesan kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Dengan rombakan terbaru ini, lebih ramai menteri muda diberi tanggungjawab menerajui kementerian-kementerian penting.

Signifikan buat masyarakat Melayu/Islam adalah persaraan Dr Yaacob Ibrahim sebagai menteri yang sekaligus memberi laluan kepada Encik Masagos Zulkifli untuk memegang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam. Encik Masagos juga bakal mengambil alih sebagai pengerusi Yayasan Mendaki. 

Sumbangan Dr Yaacob sebagai menteri selama 16 tahun amat besar, memandangkan beliau menerajui kepimpinan masyarakat Melayu/Islam dalam era di mana tanggapan masyarakat di luar amat negatif pasca serangan 9/11, dan juga adanya beberapa anggota masyarakat kita yang terlibat dalam kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan ISIS.

Dr Yaacob juga menerajui kepimpinan masyarakat dalam keadaan masyarakat kita yang semakin rencam akibat globalisasi: dari sudut ideologi, orientasi keagamaan, dan kelas. Malah kepelbagaian dalam masyarakat mungkin kelihatan antara generasi, terutama antara generasi lama dan milenial.

Justeru, tidak menghairankan jika Perdana Menteri cuba memberi nafas baru dalam rombakan kali ini dengan menaikkan pangkat beberapa anggota parlimen muda sebagai pemegang jawatan, seperti Encik Amrin Amin menjadi Setiausaha Parlimen Kanan dan juga melantik Encik Zaqy Mohamad menjadi Menteri Negara.

Antara pemegang jawatan lain yang dikekalkan adalah Dr Muhammad Faishal Ibrahim (Setiausaha Parlimen Kanan) dan Dr Mohd Maliki Osman (Menteri Negara Kanan). Inilah gambaran kepimpinan masyarakat Melayu/Islam generasi keempat berdasarkan penilaian Perdana Menteri dan anggota kabinet yang lain.

STRATEGI YANG BERBEZA

Berdasarkan sejarah politik negara, strategi yang diambil oleh Encik Lee Hsien Loong terhadap kepimpinan masyarakat Melayu/Islam berbeza daripada Encik Lee Kuan Yew dan juga Encik Goh Chok Tong, yang merupakan perdana menteri-perdana menteri sebelum ini.

Pelantikan Encik Zaqy daripada Anggota Parlimen biasa ke taraf Menteri Negara menunjukkan potensi beliau menurut kaca-mata Perdana Menteri. Sebelum ini, beliau belum pernah memegang jawatan Setiausaha Parlimen.

Ini bermakna sesiapa sahaja yang bekerja keras boleh memegang jawatan dalam pemerintah tanpa melalui “rank and file” (atau naik pangkat secara bertahap-tahap). Tidak dapat dinafikan Encik Zaqy seorang ahli korporat yang berjaya, dan beliau adalah seorang rakan kongsi di Ernst & Young.

Malah, cara pelantikan Encik Masagos sebagai Menteri Bertanggungjawab dalam masyarakat Islam sendiri amat unik, kerana beliau sudah ada pengalaman dalam kabinet sebelum diberikan peranan tersebut, dan ini memberikan beliau peluang untuk belajar daripada Dr Yaacob Ibrahim selama hampir tiga tahun.

KERJASAMA TOKOH POLITIK, BIROKRASI DAN PEMIKIR

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan bersangkutan rombakan kabinet ini, masyarakat tidak harus lupa bahawa perubahan tidak hanya bergantung pada kepimpinan politik.

Secara teori, kepimpinan politik akan senantiasa mengalami peralihan dan ini bergantung kepada tahap sokongan yang diterima oleh rakyat: kalah pilihan raya, tukar pemerintah. Tetapi, kepimpinan yang lebih kekal adalah birokrasi kerana statusnya tidak bergantung pada pilihan raya.

Penjawat-penjawat awam inilah yang akan memastikan kesinambungan dasar-dasar pemerintahan. Lantas, menteri-menteri harus bekerjasama secara erat dengan penjawat-penjawat awam ini kerana merekalah yang dianggap arif dalam kementerian masing-masing.

Bagi portfolio masyarakat Melayu/Islam, MUIS dan Mendaki adalah institusi penting untuk memastikan dasar-dasar agama, pendidikan, dan sosio-okonomi masyarakat tetap terjamin.

PERLU AMBIL IKTIBAR

Sebaliknya, institusi-institusi Melayu/Islam ini juga perlu ambil iktibar daripada rombakan kabinet ini, dengan memberikan golongan muda yang berpotensi tinggi lebih banyak tanggungjawab dalam kepimpinan.

Yang lebih ketara adalah kerjasama badan-badan Melayu/Islam kita dengan pemerintah dan kementerian. Jelas badan-badan ini — sebagai NGO dalam sebuah masyarakat sivil — memainkan peranan penting demi memastikan bantuan-bantuan kepada masyarakat sampai.

Namun, dalam mereka meneruskan kerja-kerja mulia ini, mereka juga perlu mengiktiraf jasa-jasa golongan belia dengan menaikkan pangkat mereka dalam badan-badan tersebut.

Jika dalam arena politik, kepimpinan hanya dibataskan pada dua atau tiga penggal sahaja, peralihan kuasa dalam badan-badan Melayu juga harus mengambil pendekatan yang sama.

IMBANGAN KEBOLEHAN TEKNIKAL DAN SENTUHAN MASYARAKAT

Tokoh-tokoh politik yang akan menerajui kepimpinan generasi keempat ini menampakkan sedikit kelainan. Dahulu, aspek yang ditekankan adalah kebolehan teknikal.

Kini, pemimpin-pemimpin muda ini menunjukkan keseimbangan antara kebolehan teknikal dan keupayaan meraih sokongan akar-umbi. Aspek yang kedua ini sama penting demi memasyarakatkan dasar-dasar pemerintah.

Mentelah lagi, masyarakat sekarang ini lebih berpendidikan dan terdedah kepada wacana-wacana alternatif. Dalam era media sosial ini, setiap dasar akan dinilai oleh masyarakat bagaikan satu pungutan suara. Masyarakat juga boleh menyuarakan pandangan mereka secara langsung.

KEPIMPINAN TEGAS MASIH PERLU

Cabaran utama kepimpinan akan datang adalah haruskah mereka membenarkan golongan massa berfikir untuk mereka, yakni, membiarkan sahaja pandangan ramai mencorak dasar-dasar pemerintah? Atau pemimpin melakarkan dasar-dasar penting, walaupun tidak popular?

Saya fikir kepimpinan yang tegas itu masih perlu kerana pandangan yang popular itu tidak semestinya yang terbaik buat masyarakat. Namun, dalam proses cuba meyakinkan masyarakat tentang keberkesanan sesuatu dasar, ia harus dilakukan bak kata pepatah, menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Seperti mana yang dialami Dr Yaacob Ibrahim, isu-isu sensitif akan membelenggu kepimpinan generasi keempat, seperti isu radikalisme, pendidikan agama yang progresif, gaya hidup berbeza (seperti keutuhan nilai-nilai keluarga), dan persepsi masyarakat luar terhadap masyarakat Melayu/Islam (seperti Islamofobia).

Biarlah dengan adanya nakhoda baru, bahtera masyarakat dapat belayar lebih jauh lagi, membelah badai dan ribut yang melanda. Masyarakat juga mahu respons yang berbeza—sesuai dengan konteks kehidupan masa kini—bagi masalah-masalah yang masih membelenggu masyarakat.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS- Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Singapura, Malaysia dan Indonesia, dan telah menerbitkan beberapa buah buku berkenaan kepimpinan Islam dan orientasi agama di Asia Tenggara. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan