Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ringankan cabaran wanita, pilihan untuk mencabar

Apakah yang harus dilakukan supaya kemajuan yang dicapai oleh wanita hari ini dapat berterusan dan bagaimana untuk mengelakkan kegencatan dalam pencapaian ini?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ringankan cabaran wanita, pilihan untuk mencabar

Hazlina Abdul Halim bersama Khatijun Nissa Siraj. (Gambar: PPIS)

BERITAmediacorp: Apakah yang harus dilakukan supaya kemajuan yang dicapai oleh wanita hari ini dapat berterusan dan bagaimana untuk mengelakkan kegencatan dalam pencapaian ini?

Gambar hiasan. (Gambar: rawpixel.com)

(Gambar: rawpixel.com)

Lebih ramai yang kini peka akan keistimewaan lapan haribulan Mac buat kaum Hawa. Lebih ramai juga kini sudi tampil untuk mengiktiraf pencapaian serta jasa wanita.

Dewasa ini pula, satu lagi trend yang menggalakkan ialah sambutan Hari Wanita semakin giat diperluaskan kepada seluruh bulan Mac.

Tambahan itu, Singapura juga telah mengisytiharkan 2021 sebagai tahun meraikan wanita Singapura.

Perkembangan-perkembangan yang menggalakkan ini sememangnya wajar disyukuri dan dipelopori, namun pada masa yang sama ia sepatutnya juga mencetuskan buah fikiran - sejauh manakah sambutan sebegini mendokong aspirasai wanita?

Ayuh kita sama-sama berhenti sejenak dan muhasabah diri. Bilakah kali terakhir anda benar-benar meraikan wanita-wanita yang bertakhta di hati anda dan bagaimana caranya?

Adakah anda meluahkan kata-kata indah yang memuja? Mungkinkah anda menawarkan bantuan mahupun sokongan untuk meringankan beban di bahu? Ataupun anda memberi sebuah cenderahati sebagai tanda kasih?

Jika anda masih dibelenggu kecelaruan dan sedang mencari idea bagaimana untuk meraikan wanita, pertimbangkan tema sambutan Hari Wanita tahun ini - #ChooseToChallenge atau pilih untuk mencabar.

CABARAN WANITA

Banyak yang telah dicapai oleh wanita masa kini dari segi pendidikan dan kerjaya; termasuk menembusi bidang-bidang yang sebelum ini lebih cenderung buat kaum lelaki seperti kejuruteraan dan teknologi.
Malah, menurut laporan Global Gender Gap terbitan Forum Ekonomi Sedunia (WEF), Singapura diiktiraf sebagai negara yang mencatit pencapaian terbaik di rantau ini dari segi penyertaan ekonomi serta peluang untuk wanita.

Namun, pasti ada lagi ruang untuk peningkatan.

Meskipun jumlah wanita yang bekerja naik dari 54.3% pada 2006 kepada 60.4% pada 2015, jumlah ini masih hambar berbanding bilangan lelaki yang membentuk tenaga kerja Singapura.

Pandemik COVID-19 juga dipercayai meninggalkan kesan dan mungkin meluaskan lagi jurang ini.

Lantaran itu, tidak hairanlah jumlah wanita yang menyandang jawatan kepimpinan serta menganggotai lembaga-lembaga pengarah tidak sama rata dengan jumlah lelaki yang menyandang jawatan serupa.

Menurut kenyatan Jawatankuasa Tindakan Diversiti yang dikeluarkan pada 2019, perwakilan wanita dalam lembaga pengarah mencecah 16.2% di kalangan syarikat tersenarai (Top 100 Primary-listed Companies), 25.1% di antara badan berkanun (Statutory Boards) dan 27.8% di kalangan institusi Bertaraf Awam (Top 100 Institutions of a Public Character).

Ketiga-tiga sektor mencatat kemajuan dan semakin menghampiri sasaran 30% menjelang 2030 yang telah dilakarkan.

CABAR STEREOTAIP DAN PRASANGKA

Jadi apakah yang harus dilakukan supaya kemajuan yang diharapkan dapat berterusan dan bagaimana untuk mengelak kegencatan?

Menghakis stereotaip merupakah langkah pertama.

Hakikatnya, ramai wanita tersepit di antara keinginan untuk mendaki tangga korporat dan keinginan menjalankan peranan sebagai ibu dan isteri pada masa yang sama. Stereotaip jantina menyumbang kepada dilema ini.

Tanggungjawab untuk mengatur keperluan keluarga yang lazimnya dikaitkan dengan seorang isteri atau ibu merupakan di antara sebab cabaran karyawan wanita lebih ketara. Justeru, ramai terpaksa memilih untuk meninggalkan kerjaya demi menumpukan perhatian kepada keluarga.

Namun kami akur, kini terdapat lebih ramai suami dan bapa yang tidak jenuh menyingsing lengan untuk sama-sama mengendalikan tanggungjawab di rumah supaya para isteri dan ibu turut berpeluang merealisasikan aspirasi mereka di pejabat.

Kami menyeru golongan suami dan bapa contoh ini supaya menggalak lebih ramai kaum Adam untuk turut serta.
Ini akan mencabar prasangka bahawa pekerja wanita terlalu sibuk mengurus hal ehwal rumah tangga dan tidak terdaya untuk mengurus di pejabat.

MENGHAKIS STEREOTAIP GENDER

Dalam satu kajian tentang wanita di tempat kerja, 32% daripada wanita berpendapat bahawa lazimnya, pihak pengurusan lebih berpihak pada kaum lelaki berbanding kaum wanita ketika mempertimbangkan peluang menaikkan pangkat pekerja.

Maka itu, menghakis stereotaip gender harus bermula di rumah, di kalangan kaum keluarga dan sanak-saudara.

Memastikan peluang sama rata dalam pendidikan merupakan langkah seterusnya.

Ini disusuli dengan memastikan kerja-kerja di rumah seperti memasak, mengemas, mencuci baju dan sebagainya diagihkan sama rata – tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Menerapkan nilai-nilai seperti saling menghormati antara anggota keluarga merupakan satu lagi usaha penting. Seorang kanak-kanak lelaki yang menghormati kakak dan adik perempuannya dipercayai akan berkelakuan serupa terhadap rakan sekolah dan sekerjanya.

Satu lagi langkah ialah untuk memastikan aspirasi kanak-kanak perempuan untuk berjaya sama ada dalam pendidikan mahupun kerjaya didukung, diraih dan disokong.

Tanggungjawab untuk meyakinkan kanak-kanak kita bahawa keupayaan diri tidak terletak pada jantina seseorang, tetapi berlandaskan kebolehan dan semangat untuk terus berjaya, adalah amanah kita bersama.

MENCABAR TETAPI TIDAK HAMBAR

Baru-baru ini antologi kisah-kisah belia perempuan yang tidak kenal erti putus asa, yang berdaya tahan dan berjaya pada usia muda diterbitkan oleh Young Women in Leadership Dialogue (YWILD) dengan sokongan MClub serta PPIS.

Kisah-kisah peran contoh yang dikumpulkan dalam judul “Unprecedented – To the Beat of Her Own Drums” ini menggambarkan generasi yang percaya pada alah bisa, tegal biasa.

Mereka tidak lelah bangkit dan terus mencuba sehingga berjaya – ciri-ciri penting yang dapat memastikan masa depan wanita di Singapura cerah dan penuh dengan harapan.

Bukan sahaja kaum Adam, namun kaum Hawa yang lebih berpengalaman juga harus mendukung barisan pelapis yang bakal mengetuai kita semua. Merekalah yang akan meneruskan perjuangan kita supaya lebih ramai wanita yang dapat mengecapi aspirasi mereka.

Gabungan di antara yang berpengalaman dan yang baru inilah, yang terbaik untuk memastikan wanita terus maju, keluarga terus kukuh, dan masyarakat terus berdaya tahan.

MEMELIHARA WANITA

Sempena sambutan Hari Wanita 2021, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sempat bertemu dengan salah seorang pengasas kami Khatijun Nissa Siraj, yang berusia 96 tahun.

(Gambar: PPIS)

Beliau mesra dipanggil Mummy dan merupakan salah seorang daripada 22 wanita yang menubuhkan PPIS, 69 tahun yang lalu.

Kami menghadiahkan kepada Mummy senaskhah antologi Unprecedented dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas usaha beliau dan rakan-rakan seperjuangan menubuhkan PPIS untuk memelihara wanita.

Dan yang paling penting, kami berjanji untuk meneruskan perjuangan mereka.

Jadi, sertailah kami untuk menyokong aspirasi wanita.

Raikan jasa wanita dengan sambutan yang bermakna, pilih untuk menghadiahkan sokongan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Berganding untuk mencabar bersama kami untuk meringankan cabaran kami.

MENGENAI PENULIS:

Hazlina Abd Halim. (Gambar: PPIS)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan