Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Remaja “berdosa” mudah terpengaruh dengan fahaman radikal

Globalisasi dan ketegangan sosial serta tuntutan dan respons yang timbul akibat isu-isu tersebut dalam kalangan umat Islam sedunia menyebabkan sebahagian remaja Muslim mudah terpengaruh dengan fahaman radikal yang boleh membawa kepada keganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Remaja “berdosa” mudah terpengaruh dengan fahaman radikal

Penganalisis Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Alkaff. (Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

BERITAMediacorp: Globalisasi dan ketegangan sosial serta tuntutan dan respons yang timbul akibat isu-isu tersebut dalam kalangan umat Islam sedunia menyebabkan sebahagian remaja Muslim mudah terpengaruh dengan fahaman radikal yang boleh membawa kepada keganasan.

Penganalisis Kanan RSIS Syed Huzaifah Alkaff mendedahkan, kegagalan remaja Muslim mengimbangi tuntutan agama dan norma kehidupan moden memudahkan kumpulan-kumpulan pengganas untuk mengambil kesempatan, dengan menyelewengkan doktrin teologi tertentu untuk merekrut dan mewajarkan perbuatan mereka:

LATAR BELAKANG

BEBERAPA bulan sebelum para pengganas yang berkaitan dengan ISIS melancarkan serangan ke atas Bandar Marawi pada 23 Mei 2017, seorang remaja Muslim dari Manila - Siti (bukan nama sebenar) - disebabkan mahu menebus "dosa-dosa masa lalu" - terpengaruh dengan kumpulan media sosial ISIS yang dipanggil "da'wa". Kumpulan itu bertanggungjawab menyebarkan ideologi militan ISIS di online. Siti kemudian menghubungi Abu Yaqeen, salah seorang anggota kumpulan tersebut menerusi Facebook.

Sebelum menjadi radikal, pandangan Siti tentang jihad sama seperti ramai orang; Siti tidak percaya bahawa jihad - seperti dari sudut pandangan ISIS: contohnya pertempuran bersenjata - adalah wajib dalam Islam.

Ini menyebabkan Abu Yaqeen kecewa dan kemudian mengambil kesempatan ke atas pengetahuan agama Siti yang cetek dengan menerapkan fahaman eksklusif militan.

Siti kemudian berasa yakin bahawa masyarakat Filipina tidak mengikut ajaran Islam dan negara itu tidak lagi sesuai untuk dirinya. Siti juga berasa perlu untuk berpindah daripada kehidupan sedemikian dan menyertai kumpulan-kumpulan pengganas bagi menjalani kehidupan yang dianggap berteraskan Islam.

Tindakan Siti memencilkan diri daripada masyarakat, rakan-rakan dan keluarga jelas sekali menunjukkan keinginannya untuk bertaubat serta menjauhi "kehidupan lama yang dinodai dosa".

Siti memencilkan diri sekitar setahun sebelum kembali aktif online pada bulan Oktober 2017 untuk menghubungi Abu Yaqeen bagi mengucapkan terima kasih kerana memberikan tunjuk ajar. Pada waktu itu, Siti sudahpun menjadi pemimpin sayap wanita ISIS di Marawi. Abu Yaqeen dan para penyokong ISIS yang lain kemudian berkongsi kisah Siti di laman Facebook, mengagung-agungkannya sebagai contoh ideal kepada wanita lain.

JADI RADIKAL ATAS RASA "BERDOSA"

Perjalanan Siti menjadi radikal menerusi wadah online adalah trend biasa dalam isu pengganasan hari ini. Anak-anak muda Muslim yang mahu bertaubat daripada kehidupan "tidak berteraskan Islam", cenderung untuk menyalahkan sekularisme serta sekitaran bandar moden, baik di Manila mahupun di bandar-bandar lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Mereka tidak mengendahkan ajaran Islam tentang sikap belas ihsan dan kemaafan serta kebebasan meluas umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama. Atas rasa berdosa, mereka memandang hina pada diri sendiri dan juga masyarakat dan percaya bahawa mereka semua berdosa besar. Oleh itu mereka berasa perlu memencilkan diri supaya dapat bertaubat dan berubah.

Sedangkan, ramai golongan muda Muslim lain memperolehi panduan yang diperlukan daripada sumber-sumber yang diiktiraf dan sah, sama seperti ramai orang. Mereka berupaya menyepadukan Islam dengan kemodenan, malah yakin menyuarakan identiti sebagai Muslim di samping mengamalkan ajaran Islam.

Tanpa pengetahuan agama dan panduan yang mencukupi, ideologi-ideologi radikal boleh mempengaruhi remaja untuk menolak kehidupan kontemporari, moderat dan Islamik. Sejak tahun 1980-an, kumpulan Muslim tegar menyebarkan fahaman bahawa Islam mesti diamalkan bulat-bulat sepertimana ia diamalkan pada kurun ke-7 di Semenanjung Arab.

Mereka menegaskan Muslim mesti menghidupkan semula tadbir urus institusi Islam yang silam (classical) untuk mencapai keadilan sosial. Bagi mereka, institusi sekular sekarang bertentangan dengan ajaran Islam dan menjadi sumber ketidakadilan, keterbelakangan sosio-politik serta punca pelbagai masalah sosial. Idea-idea sebegini masih lagi mempengaruhi pemikiran sebahagian Muslim biasa.

Tambahan lagi, ideologi-ideologi pengganas turut menekankan bahawa satu-satunya sumber yang boleh menyelamatkan Muslim seperti Siti adalah menerusi jihad bersenjata. Tanpa sebarang sumber dan dalam keadaan keliru untuk membezakan antara ideologi militan dengan pengetahuan agama seperti yang diperolehi ramai orang, golongan ini mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran eksklusif dan mudah direkrut menjadi pengganas.

GUNA TEOLOGI BAGI IDEOLOGI

Sebelum dan selepas insiden 9/11, kumpulan-kumpulan militan seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) menggunakan video masyarakat Muslim yang hidup dalam keadaan sengsara di zon-zon konflik untuk membangkitkan respons emosi individu-individu tertentu serta mendapatkan komitmen mereka untuk “berjihad”. Sejak perang saudara Syria, kumpulan-kumpulan pengganas memanfaatkan kelemahan remaja Muslim, khususnya sifat lurus dan kurang kefahaman agama.

Sebelum tercetusnya konflik Syria, Al-Qaeda di Iraq (AQI) menyedari potensi ketegangan sektarian di Timur Tengah untuk menambah dan menggerakkan para penyokongnya. Untuk menjadikan keganasan sesuatu perkara biasa dalam kalangan Muslim, kumpulan itu, yang sekarang dipanggil ISIS, mula menerapkan propaganda mereka dalam setiap anggota baru menerusi kelas-kelas teologi Islam versi mereka sebelum menjalankan sebarang latihan.

Para pangganas memanipulasi rangka teologi Islam yang membahagikan “kebenaran” dalam bentuk binari - hitam putih, betul salah, darul aman (negara damai) darul harb (negara yang perlu diperangi), Muslim bukan Muslim. Para pengganas menggunakan kategori sedemikian untuk membezakan musuh mereka berdasarkan teologi.

Dengan melabel Muslim atau individu dari agama “lain” sebagai kafir, murtad, taghut atau ahl al-bid’ah, para pengganas dapat menghapuskan nilai moral seseorang terhadap musuh mereka dengan menyangkal sifat kemanusiaannya terhadap manusia lain disebabkan perbezaan kepercayaan. Melalui cara ini, para pengganas percaya mereka mempunyai mandat ilahi untuk melakukan perbuatan tidak bermoral, meskipun di sisi agama mereka sendiri, seperti melancarkan serangan nekad, membakar manusia hidup-hidup dan mencelakan mayat.

Sebagai respons terhadap pengganasan global, kebanyakan pemerintah sudah membiayai institusi-institusi untuk membanteras ideologi-ideologi radikal agama. Usaha sedemikian bermanfaat untuk memahami cara pengganas berfikir dan mewujudkan kesedaran tentang proses pemulihan mereka.

Sekalipun begitu, setakat menyangkal dan membahaskan ideologi-ideologi pengganas mungkin belum mencukupi. Ini kerana pengganas yang merekrut anggota baru tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh institusi tersebut tentang agama dan pengganasan. Malah, kadangkala institusi itu dianggap remeh dan tidak berwibawa dalam membanteras ideologi radikal kerana kaitannya dengan pemerintah.

SEMAK PENDIDIKAN AGAMA UNTUK BELIA

Usaha campur tangan pemerintah juga seharusnya menumpukan perhatian kepada penyediaan peluang mencukupi bagi membolehkan para belia mengakses sumber agama serta program-program yang memenuhi keperluan mereka dan cabaran yang diharungi dalam kehidupan moden.

Dari satu segi, kaunseling sahaja tidak mencukupi memandangkan remaja-remaja itu sedang mencari-cari panduan agama sebagai huraian kepada masalah mereka. Dari segi lain pula, ramai remaja berasa bahawa sebahagian institusi agama gagal memberikan konteks agama dalam sekitaran kehidupan moden dan kontemporari yang diinginkan. Ini kerana institusi-institusi itu mungkin terlalu menekankan amalan-amalan ritual Islam atau terlalu bertegas dalam sebahagian doktrin yang diajarkan.

Lantaran itu, perlu untuk menyemak semula program-program pendidikan agama yang dikhususkan buat golongan belia dan boleh memenuhi keperluan kontemporari. Program-program tersebut perlu berdasarkan kajian yang berasaskan bukti kukuh dan bertujuan untuk memahami cabaran-cabaran yang dilalui remaja dalam kehidupan seharian mereka. Jika sebaliknya, jurang itu akan diisi oleh pengganas pula.

Idea bahawa Islam memerlukan pengikutnya menyertai jihad bersenjata bagi menebus dosa atau memencilkan diri untuk bertaubat serta menolak realiti kemodenan sosial dan politik, adalah salah.

Islam - sama seperti agama, tradisi dan falsafah lain - mempunyai sumber luas untuk membantu para pengikutnya mengecap kehidupan yang sejahtera dalam apa jua konteks duniawi atau sosio-politik. Institusi-institusi agama dan masyarakat perlu menyampaikan perkara ini dengan jelas kepada generasi sekarang demi membanteras isu radikalisasi - baik di zaman ini mahupun pada masa akan datang. 

Penganalisis Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Alkaff. (Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

(Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

MENGENAI PENULIS:

Syed Huzaifah Othman Alkaff ialah Penganalisis Kanan di Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).     

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan