Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ramadan tetap mulia dan penuh kebaikan walaupun banyak cabaran

Kemuliaan dan keberkatan Ramadan tidak sedikit pun berkurangan dalam keadaan kita tidak berpeluang ke masjid.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kemuliaan dan keberkatan Ramadan tidak sedikit pun berkurangan dalam keadaan kita tidak berpeluang ke masjid.

Banyak kebiasaan yang kita amalkan semasa bulan Ramadan jelas tidak dapat dilakukan akibat COVID-19.

Para jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 5 Jun 2019. (Gambar: Rosli A Razak)

Pada tahun-tahun sebelum ini kita boleh melakukan solat tarawih berjemaah di masjid, berbuka puasa secara beramai-ramai dan bertadarrus Al-Quran secara berkumpulan.

Bazar Ramadan yang telah menjadi sebahagian dari kemeriahan Ramadan juga ditiadakan. Begitu juga segala bentuk perhimpunan di bulan ini terpaksa dibatalkan.

Dalam keadaan begini, apakah Ramadan bagi umat Islam tahun ini kurang nilai dan kemuliaannya?

Apakah ibadah kaum Muslimin menjadi tergendala tanpa kita menghadirkan diri ke masjid? Jawapannya sudah pasti tidak.

TETAP MULIA

Ramadan tetap muncul dengan segala kemuliaan dan kebaikannya tanpa berkurangan sedikit pun.

Malah, Ramadan kali ini boleh jadi lebih baik dan bermakna sekiranya kita bersikap positif dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

Krisis COVID-19 ini merupakan cabaran berat bagi umat manusia keseluruhannya. Hampir semua manusia di seluruh dunia terkesan dan terjejas kehidupan mereka dek penularan wabak ini.

Sepasang penduduk di Kuala Lumpur, Malaysia memakai pelitup muka pada 9 Mac 2020 di tengah penularan COVID-19 (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Ramai yang terjejas pendapatan mereka. Tidak kurang juga yang kehilangan pekerjaan. Banyak perubahan dan penyesuaian harus dilakukan demi memastikan kehidupan dapat diteruskan seperti biasa.

Membiasakan diri dengan norma-norma baru adalah sesuatu yang perlu dan tidak dapat dielakkan.

SIKAP POSITIF
Demi mengharungi krisis sebegini, pemikiran dan sikap positif amat penting. Dengan adanya pemikiran dan sikap yang positif, kita akan lebih mudah untuk mnerima dan melakukan perubahan.

Sebaliknya, tanpa sikap positif, seseorang itu akan cepat menjadi marah, mudah meradang dan juga menyalahkan orang lain. Ini akan menimbulkan suasana yang tegang dan tidak sihat.

Sebagai contoh, segelintir masyarakat kita masih lagi gagal untuk memahami kepentingan langkah-langkah yang telah diperkenalkan pemerintah untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus COVID-19 ini.

Ini termasuk gesaan duduk di rumah, kewajipan memakai pelitup ketika keluar rumah, tidak berjabat tangan, mempraktikkan jarak sosial yang selamat, tidak berkunjungan dan berhimpun dan sebagainya.

Orang ramai dilihat memakai pelitup muka di Orchard Road pada 28 Jan 2020.

Akibat tidak bersikap positif dan berfikiran terbuka, mereka menjadi marah dan tidak dapat mengawal emosi mereka. Begitu juga dengan penutupan masjid pada ketika ini.

SEMANGAT KESATUAN

Antara ciri sikap positif yang perlu kita miliki terutama dalam keadaan krisis ini ialah semangat kesatuan dan perpaduan antara sesama manusia tidak kira apa pun latar belakang mereka.

Oleh kerana itu, sifat mementingkan diri sendiri harus sama sekali dihindarkan.

Hanya kekuatan perpaduan, kesatuan dan juga semangat bantu-membantu antara satu sama lain tidak kira agama dan bangsa yang kita miliki sebagai satu rakyat Singapura.

Inilah semangat SGUnited yang telah ditonjolkan masyarakat Singapura dalam mengharungi cabaran COVID-19.

SIKAP BERTANGGUNGJAWAB

Selain bersikap positif dan mengekalkan semangat perpaduan, masyarakat harus sentiasa beringat bahawa setiap langkah yang ditetapkan untuk memutuskan rangkaian jangkitan itu bertujuan untuk memelihara nyawa.

Ia adalah perlu dan tiada tolak ansur dalam perkara ini. Setiap dari kita harus mengambilnya dengan penting dan sebagai satu tanggungjawab.

Seorang Pegawai Penguatkuasaan dari HDB berada di Serangoon North untuk memberi nasihat kepada orang awam supaya mematuhi langkah jarak selamat yang dipertingkat. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Rata-rata, masyarakat Singapura patuh dengan arahan pemerintah untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan memahami kepentingannya.

Sikap tanggungjawab itu penting dan perlu. Dengan sikap ini, kita mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kepayahan orang lain.

LANGKAH PENCEGAHAN

Mengambil penting langkah pencegahan itu satu tuntutan agama kerana ia dapat menjauhkan diri kita dari kebinasaan.

Penularan wabak ini membawa kemudaratan dan kebinasaan yang harus sama sekali dielakkan.

Dalam hal ini, Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 "Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan”.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli dalam ucapannya kepada masyarakat Islam setempat sempena kedatangan bulan Ramadan mengatakan bahawa penyesuaian yang dilakukan masyarakat dalam Ramadan ini juga adalah satu ibadah.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir pula mengingatkan masyarakat Islam bahawa setiap langkah dan keihsanan di dalam masa-masa sukar ini akan menjadi saksi bagi keimanan dan kerohanian kita.

KEBERKATAN RAMADAN

Sudah pasti Ramadan kali ini amat berbeza sekali bagi masyarakat Islam kita. Ia adalah Ramadan yang sepi tanpa masjid, bazar dan majlis iftar beramai-ramai.

Namun, apa yang pasti ialah kemuliaan dan keberkatan Ramadan itu tidak sedikit pun berkurangan dalam keadaan begini tanpa peluang bagi masyarakat Islam menghadirkan diri ke masjid.

(Gambar: MCI)

Malam Nuzul Al-Quran dan Lailatul Qadar yang hanya datang setahun sekali di bulan Ramadan tetap dikurniakan Allah SWT.

Segala bentuk kebaikan seperti rahmat dan keampunan yang Allah SWT janjikan dalam bulan ini tetap diberikan kepada hambaNya.

Sayugianya hendaklah masyarakat Islam terus bersikap positif dan memanfaatkan masa mereka dengan sebaiknya pada Ramadan kali ini.

Bagi ramai orang, bekerja dari rumah dan tidak ke masjid bererti mereka mempunyai lebih masa yang tidak seharusnya disia-siakan.

Mengapa tidak lebihan masa ini dimanfaatkan dengan menjalankan ibadah dan aktiviti-aktiviti lain bersama ahli keluarga serumah.

RUMAH SEBAGAI ‘MASJID’

Dalam keadaan masjid-masjid ditutup, masyarakat Islam boleh jadikan rumah mereka itu “masjid” dalam erti tempat ibadah bagi ahli keluarga.

Solat berjemaah, solat tarawih dan juga bertadarrus Al-Quran sebagaimana yang dilakukan umat Islam di masjid pada bulan Ramadan masih boleh diteruskan di rumah.

Keimanan dan kerohanian kita tidak seharusnya terkesan atau berkurangan dalam keadaan kita tidak dapat menghadirkan diri ke masjid.

UJIAN TUHAN
Sebagaimana orang yang beriman kepada Allah SWT, kita percaya dan yakin bahawa krisis ini merupakan ujian yang datang dari Tuhan.

Dalam menghadapi ujian ini, Allah SWT ingin melihat sikap dan respons kita serta sifat kesabaran dan ketabahan diri kita.

Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang terbaik dan lebih bermakna kepada kita.

Semoga pengalaman di atas bahtera ujian ini akan membentuk daya tahan yang lebih utuh dan sikap positif dalam diri kita di masa hadapan.

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, RSIS (Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam), NTU (Universiti Teknologi Nanyang). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan