Images
  • isis terrorism
    Gambar hiasan. 

KOMENTAR: Radikalisasi dalam kalangan wanita satu trend yang membimbangkan

BERITAmediacorp: Baru-baru ini, seorang suri rumah dan bekas guru agama sambilan telah dikenakan Arahan Penahanan (OD) kerana didapati melakukan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, beliau telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada Ogos tahun lalu kerana menjadi radikal akibat terpengaruh dengan fahaman radikal suaminya yang juga ditangkap tahun lalu kerana ingin menyertai kumpulan militan ISIS di Syria.

Sejak dikenakan RO tahun lalu, tingkah laku wanita itu menjadi lebih buruk lagi.


Beliau terus menyokong tindakan ganas ISIS dan juga berkomunikasi dalam talian dengan penyokong ISIS yang lain. Pada masa yang sama, beliau gagal memberikan kerjasama ketika mengambil bahagian dalam program pemulihan.

Kes wanita ini bukanlah satu kes yang baru di mana wanita dipengaruhi fahaman radikal di Singapura. Sebelum wanita ini, beberapa wanita lain telah ditahan dan dikenakan RO and OD kerana menyokong keganasan dan juga kumpulan ISIS.

TREND YANG MEMBIMBANGKAN


Penahanan ini jelas menunjukkan bahawa trend wanita menjadi radikal masih berterusan dan menjadi sesuatu yang amat membimbangkan.

Dalam kita meraikan kepimpinan, peranan dan pelibatan wanita dalam banyak arena hari ini, masih ada lagi segelintir wanita yang mudah terpengaruh dengan ideologi ganas dan tegar yang berbahaya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelibatan wanita dalam kumpulan pengganas dilihat semakin meningkat.

Pada awal tahun ini, sembilan wanita yang disyaki terbabit dalam insiden meletupkan sasaran tentera di selatan Filipina telah ditahan. Tiga daripada wanita tersebut adalah anak kepada bekas pemimpin Abu Sayyaf, Hatib Hajan Sawadjaan, yang dituduh merancang serangan maut di Gereja Jolo di Filipina yang mengorbankan 21 orang pada Ogos tahun lalu.

Wanita-wanita terbabit telah didakwa menyalurkan bantuan kewangan serta logistik kepada kumpulan Abu Sayyaf dan cuba melancarkan serangan terhadap anggota tentera menggunakan objek peranti letupan (IED).

Penahanan mereka dilakukan beberapa bulan selepas dua wanita pengebom berani mati, termasuk seorang warga Indonesia meletupkan diri mereka di Gereja Jolo.

Di Singapura pula, sekurang-kurangnya seramai 24 wanita di negara ini menjadi radikal sejak tahun 2015. Ia meliputi tiga wanita rakyat Singapura dan 21 pembantu rumah hijrahan. Kebanyakan daripada mereka adalah penyokong kumpulan pelampau ISIS.

PENGARUH PROPAGANDA ISIS


(Gambar fail bendera ISIS dari bandar Karkamis, Turki, dekat wilayah Gaziantep. Gambar: Murad Sezer/REUTERS)

Tidak dinafikan bahawa propaganda kumpulan pengganas seperti ISIS sangat berpengaruh dan mampu menarik perhatian ramai tidak kira latar belakang mereka termasuk wanita.

Hari ini kekuatan utama ISIS terletak pada propaganda dan penggunaan media sosial.

Penggunaan media sosial juga dijadikan ISIS sebagai salah satu kaedah untuk merekrut anggota baru. Pengambilan rekrut dan proses radikalisasi di media sosial telah menyebabkan perubahan pada peranan tradisional yang digalas wanita dalam isu pengganasan.

Wanita kini boleh memainkan pelbagai peranan dalam merekrut, mengurus kewangan dan juga mencari dana bagi operasi kumpulan pengganas dan pelampau. Peranan yang dimainkan wanita hari ini penting dalam memastikan kemampanan kumpulan pengganas.


Internet dan media sosial menjadi platform utama bagi ISIS untuk mendampingi lebih ramai orang dan ini dilakukan dengan cara yang begitu canggih dan menarik sekali. Mesej-mesej yang ingin disampaikan dapat disasarkan secara langsung kepada rekrut wanita dan mereka yang sudah menjadi radikal.

Ia juga menyediakan platform di mana pelampau-pelampau wanita dapat terus memperluaskan rangkaian rekrut mereka.

Malah, mereka memainkan peranan operasi yang lebih besar di ruang maya.

Kegagalan usaha antipengganasan untuk memahami cara-cara wanita boleh menjadi radikal, hanya akan menyokong dan menggalak keganasan, di samping mengukuhkan lagi 'manfaat' pelibatan wanita dalam kumpulan-kumpulan pelampau dan pengganas.

Disebabkan peranan wanita yang semakin berkembang dan diperlukan dalam operasi kumpulan pengganas, maka tidak hairanlah ISIS berjaya mempengaruhi ramai wanita untuk menyertai mereka.

Ramai wanita juga tertarik dengan naratif ISIS yang mendakwa bahawa pelibatan mereka itu juga sebagai satu jihad dan pengorbanan di sisi agama yang menjanjikan ganjaran Tuhan.

WANITA SEBAGAI BENTENG UTAMA 

Jumlah wanita yang terlibat dalam pengganasan masih lagi kecil jika dibandingkan secara keseluruhannya.

Ramai wanita hari ini tidak terpengaruh dan terlibat dengan aktiviti pengganasan. Bahkan, mereka boleh menjadi benteng utama dalam memerangi pengganasan.

Dalam usaha memerangi pengganasan dan fahaman radikal, wanita memainkan peranan yang besar. Antara peranan utama yang dapat dimainkan wanita adalah melindungi ahli keluarga terutama suami dan anak-anak daripada terjebak dalam proses radikalisasi.

Wanita, terutama para ibu dan isteri dikenali sebagai agensi utama dalam membantu mencegah proses radikalisasi dari berlaku dalam keluarga. Mereka seharusnya menjadi orang pertama menolak segala aktiviti mencurigakan dalam keluarga dan bukannya mengikut dan terjebak menjadi radikal.

Sebagai isteri, wanita turut memainkan peranan yang berpengaruh dalam membantu suami mereka yang mungkin berpegang kepada ideologi tegar dan ganas.

Mereka seharusnya melindungi suami dan anak-anak dengan memberikan kata nasihat dan cuba mencegah daripada segala perbuatan buruk. Ini termasuk mengadu perbuatan buruk ahli keluarga mereka kepada pihak berkuasa sekiranya ia dirasakan perlu.


Peranan wanita sebagai asas struktur keluarga perlu diperkasa. Wanita sebagai isteri dan ibu, lazimnya mempunyai pengetahuan yang intim tentang ahli keluarga terdekat mereka. Mereka mampu mengesan sebarang perubahan sikap atau tingkah laku dengan cekap.

Secara rumusan, wanita dapat menjadi benteng utama dalam mencegah proses radikalisasi dengan

(1) sentiasa peka akan setiap tingkah laku anggota keluarga mereka yang mencurigakan

(2) memberi nasihat kepada keluarga dengan cara lembut dan terbaik

(3) mengenal pasti tanda-tanda seseorang itu menjadi radikal dan

(4) melaporkan kepada pihak berkuasa tentang aktiviti berbahaya ahli keluarga yang boleh menggugat keselamatan negara sekiranya nasihat dan amaran yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

PERANAN WANITA

Secara umumnya, wanita mempunyai peranan dalam memupuk persekitaran yang menolak keganasan. Mereka boleh membantu mengasuh sebuah persekitaran yang menolak sebarang pegangan kepada ideologi pelampau atau sokongan kepada kegiatan pengganas.

Wanita berperanan penting dalam menggalak anak-anak mereka mengamalkan sikap dan nilai positif seperti toleransi, kemaafan, saling menghargai antara satu sama lain tidak kira agama dan bangsa dan menjalin hubungan yang baik lagi mesra dengan masyarakat umum.

Dengan berbuat demikian, ibu bapa dapat mengurangkan risiko anak-anak mereka menjadi radikal dengan memupuk sifat kesefahaman, hormat-menghormati dan juga toleransi terhadap sesama manusia.

Secara tidak langsung, ini dapat menguatkan daya tahan anak-anak mereka daripada mudah dipengaruhi naratif pelampau.

Sebagai ibu dan juga bapa, mereka juga harus sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka dan menerangkan kepada anak-anak tentang bahaya fahaman radikal yang berleluasa di alam maya.


Ramai anak muda tidak sedar hakikat ini.

Dalam penggunaan internet, ibu bapa juga harus membimbing anak-anak mereka untuk menilai informasi yang mereka terima daripada internet dan membangunkan daya pemikiran yang kritikal dalam diri anak-anak mereka.

Yang terpenting sekali, ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka mendapat bimbingan agama yang sebenar daripada para asatizah dan guru-guru agama yang bertauliah dan tidak mempelajari agama daripada internet sahaja.

KESIMPULAN

Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembentukan dan pembangunan keluarga dan masyarakat.

Hakikat ini dapat dilihat sejak zaman kebangkitan awal Islam lagi.


Peranan besar yang telah dimainkan oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam menyokong aktiviti dakwah Islamiah telah membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan awal Islam di Madinah.

Disebabkan kedudukan wanita yang tinggi dalam Islam dan juga sifat kelembutan yang telah diciptakan Tuhan dalam diri mereka, wanita mempunyai peranan yang besar dalam membawa kedamaian kepada dunia dan bukan sebaliknya.

Trend wanita menjadi radikal hari ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

Ia harus ditangani dengan lebih serius lagi dengan pendekatan yang lebih berkesan dan bersifat jangka panjang.

Usaha memastikan agar wanita tidak menjadi radikal adalah sangat penting agar kita tidak melahirkan generasi masa depan yang berfahaman tegar dan mempunyai budaya pemikiran yang keras dan ganas.

Semoga dengan adanya kesedaran ini, kita akan mampu melahirkan generasi wanita yang menjadi penyokong utama kepada kedamaian yang dapat memainkan peranan penting dalam usaha berterusan menentang keganasan dan fahaman pelampau.

MENGENAI PENULIS:


Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor bagi Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

- BERITAmediacorp/fz

Top