Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pupuk sifat yakin dalam amalan agama untuk menangkis ajaran salah

Golongan asatizah berperanan dalam membangunkan sebuah masyarakat Islam yang yakin kehidupan beragamanya selaras dengan ajaran agama dan konteks S’pura. Penganalisis Kajian, Muhd Faris Alfiq berpendapat ini perlu dilakukan dalam membendung fahaman sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pupuk sifat yakin dalam amalan agama untuk menangkis ajaran salah

Gambar fail khutbah di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Hussein Zalizan)

BERITAmediacorp: Golongan asatizah berperanan dalam membangunkan sebuah masyarakat Islam yang yakin kehidupan beragamanya selaras dengan ajaran agama dan konteks S’pura. Penganalisis Kajian, Muhd Faris Alfiq berpendapat ini perlu dilakukan dalam membendung fahaman sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Gambar hiasan.

Bulan lalu, masyarakat Islam di Singapura digegarkan dengan berita seorang pendakwah bebas, Murad Said, dikenakan Perintah Sekatan (RO) atas pemikiran serta ajaran yang dianggap sebagai ekstrim dan radikal.

Lebih membimbangkan lagi adalah anak murid bekas ustaz berkenaan, Razali Abas, turut dikenakan perintah yang sama kerana sudah terpengaruh dan terpedaya dengan ajaran Murad.

Hal ini membimbangkan kerana ancaman radikalisme dan sifat eksklusivisme masih lagi berleluasa di Singapura, hinggakan dalam hal ini, seorang ustaz mampu mempengaruhi anak muridnya.

Meski terdapat pelbagai usaha daripada pelbagai pihak untuk mengekang ajaran eksklusivisme, huraian terhadap masalah yang dibelenggu masyarakat Islam ini hanya dapat dicapai dengan memupuk sifat keyakinan dalam diri seseorang Muslim.

YAKIN DENGAN KONTEKS
Apa yang dimaksudkan dengan keyakinan ini adalah seseorang Muslim yakin dengan apa yang diajarkan kepadanya – sama ada ajaran tersebut boleh digunapakai dalam konteks kehidupan bermasyarakat zaman ini.

Seorang Muslim yang yakin ini juga mampu untuk membuat keputusan sendiri terhadap isu agama selepas berbincang dan membuat rujukan – beliau bukan sahaja hanya mengikut sesuatu pendapat dan tidak menggunakan akal untuk membuat rumusan sendiri.

Sifat yakin ini akan menjadi satu tapisan dalam jiwa dan akal masyarakat Islam demi membendung fahaman-fahaman yang mempunyai potensi untuk memecahbelahkan masyarakat.

Seseorang Muslim itu dapat membezakan antara ajaran yag dibawa seorang asatizah itu mampu unntuk digunakan dalam konteks masyarakat Singapura, ataupun ia tidak sesuai untuk digunakan sebagai bahan rujukan.

Asatizah dan para guru agama di Singapura sememangnya sudah mempunyai pentauliahan Skim Pengiktifan Asatizah (ARS) dan sudah dilatih untuk menyesuaikan ajaran agama mengikut konteks.

Para asatizah dengan Menteri Dr Yaacob Ibrahim. (Gambar: MUIS)

BIJAK MEMILIH
Namun, masalah ini barangkali boleh berlaku akibat mendapat sumber-sumber ilmu agama daripada pendakwah-pendakwah luar negara, yang kini dapat diakses menggunakan Internet.

Contohnya menerusi lelaman YouTube ataupun Facebook, para asatizah yang dianggap sebagai popular seringkali dikongsi klip video oleh teman-teman.

Intipati ceramah tersebut barangkali tidak sesuai untuk dipraktikkan di Singapura, seperti membuat andaian terhadap mana-mana kaum dan agama, serta perihal halal dan haram.

Konteks Singapura berbeza dengan konteks asal pendakwah tersebut, sekalipun beliau menggunakan ayat-ayat al-Quran dan potongan-potongan hadis sebagai dalil.

Kalimah kitab suci Al-Quran asal Terengganu pada abad ke-19 adalah salah satu karya seni Islam yang akan dipamerkan secara tetap di galeri Muzium Tamadun Asia. (Gambar: Ira Musfirah)

Dengan itu, masyarakat Islam perlu bijak dan yakin untuk memilih dan membuat sembarang keputusan mengenai ajaran Islam.

JANGAN MENGIKUT SAHAJA
Meskipun begitu, ini tidak bermaksud bahawa masyarakat Islam boleh melakukan apa sahaja keputusan agama sehendak mereka. Masyarakat perlu mendapatkan nasihat dan pedoman oleh para asatizah dan bukan hanya mentafsirkan sesuka hati terhadap mana-masa isu agama.

Lantas, yakin di sini adalah masyarakat perlukan lagi nasihat dan pedoman daripada para asatizah kerana mereka yang mempunyai ilmu yang luas mengenai agama tetapi pada masa yang sama, masyarakat Islam perlu menapis perkara-perkara yang mungkin menjejaskan perpaduan.

Jika panduan agama yang diberikan itu tidak berlandaskan sifat rahmah dan belas ihsan, tidak sesuai dalam konteks negara Singapura, mengajak kepada perbalahan dan memecahbelahkan masyarakat, mengutuk dan menghina agama lain mahupun mereka yang tidak seiiring dengan pandangan yang dibawa seseorang, masyarakat Islam perlu menanyakan pendapat kedua ataupun mereka yang lebih berpengalaman.

Mereka tidak seharusnya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh para asatizah hanya kerana menganggap diri sebagai seorang yang cetek ilmu dan guru pula sebagai seorang yang penuh dengan ilmu.

Maka dengan itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan penting dalam membendung penularan fahaman-fahaman eksklusif jika ia memahami apa yang perlu dilakukannya apabila berhadapan dengan ajaran-ajaran kurang tepat.

HUBUNGAN ANTARA AGAMA
Antara perkara yang diajar oleh Murad adalah hubungan silang agama tidak dianjurkan agama Islam. Idea seperti ini perlu ditolak oleh masyarakat Islam, khususnya anak murid Murad, kerana ia bercanggah dengan kehidupan beragama di Singapura.

Malah, masyarakat Islam bukan sahaja perlu yakin menolak idea seperti ini tetapi juga perlu yakin untuk mendampingi dan menceburi kegiatan silang agama agar ia dapat memperkasakan hubungan antara satu sama yang lain.

Keyakinan ini juga penting kerana tanpanya, ia akan menghambat hubungan rapat antara kaum di Singapura. Demi mengeratkan lagi pertalian antara agama, masyarakat Islam perlu menebarkan sayap dan mengenali agama lain.

Jika seseorang pendakwah yang menghalang masyarakat Islam daripada bergaul dengan masyarakat bukan Islam ini bercanggah dengan sifat masyarakat Islam di Singapura yang berlandaskan sifat keharmonian dan juga saling memahami antara satu sama yang lain.

FAHAMI KONTEKS S’PURA
Keyakinan ini boleh dicapai menerusi dua cara. Pertama, bagi masyarakat Islam di Singapura sikap konfiden dan memahami konteks kehidupan di Singapura dan zaman ini. Kedua, para asatizah juga perlu yakin dalam ajaran agama mereka.

Masyarakat Islam perlu memahami dan mendalami norma-norma kehidupan di Singapura. Mereka perlu akur bahawa Islam di Singapura merupakan bukan agama majoriti di bawah
sistem pentadbiran sekular. Ini bermaksud ehwal keagamaan tidak sepatutnya berada di ruang awam.

Dengan itu, mana-mana ajaran yang menganjurkan untuk memaksa Islam berada di tumpuan awam perlu ditolak kerana ia bercanggah dengan ideologi negara.

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

Begitu juga jika terdapat gagasan untuk menegakkan hukum hudud kerana ia dianggap lebih “Islamik”ataupun lebih tulen, masyarakat Islam perlu yakin untuk menolak gagasan seperti ini kerana ia tidak sesuai dengan keadaan di Singapura.

YAKIN HIDUP BERAGAMA
Para guru agama boleh memainkan peranan demi membangunkan masyarakat Islam yang yakin hidup beragama di Singapura. Guru agama perlu akur bahawa terdapat beberapa pandangan agama yang berbeza dan pandangan yang diberikan bukanlah satu-satunya pandangan.

Para asatizah harus memahami konteks kehidupan di Singapura dan juga konteks sesuatu hukum yang diturunkan. Seperti yang dikatakan Professor Ebrahim Moosa, dari Pusat Pengajian Islam di Universiti Notre Dame:


Antara cabaran yang paling besar yang kita hadapi adalah, bagaimana masyarakat Islam membangunkan tradisi ilmu yang mereka boleh miliki sendiri, yang boleh mencerminkan pengalaman kehidupan masa kini; supaya nilai-nila moral mewakili keadaan dunia yang mereka tinggal sekarang dan bukan masa lalu, ia juga tidak seharusnya jauh ke hadapan sehinggakan mereka tidak boleh menghidupinya.

Ini membuka ruang kepada asatizah tempatan untuk membangunkan satu wacana ilmu Islam yang berlandaskan tradisi tetapi ia tetap sesuai dengan kehidupan di Singapura dengan penuh yakin.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan