Images
  • singapore worker masks virus
    (Gambar fail: TODAY)

KOMENTAR: Prinsip kemanusiaan masyarakat Melayu/Islam dan cabaran COVID-19

BERITAmediacorp: Tidak sekadar prihatin terhadap tanggungjawab ibadah sahaja, umat Islam juga perlu menyerlahkan lagi prinsip kemanusiaan yang diajarkan agama.

Penularan wabak COVID-19 telah mengubah cara pandang masyarakat dunia. Satu aspek yang mungkin akan menjadi bahan perbincangan setelah krisis ini menemukan penyelesaiannya adalah kesan globalisasi terhadap masyarakat dunia.

Masyarakat Melayu/Islam di Singapura juga tidak terkecuali dalam keperluan untuk mengubah suai cara kehidupan kita.

Mungkin isu yang terkesan pada masyarakat kita sepanjang episod ini adalah penutupan masjid-masjid dan pembatalan solat Jumaat.

Kelas-kelas agama, yang bukan hanya sumber pendapatan guru-guru agama (asatizah) kita, tetapi juga sumber kerohanian masyarakat, juga terjejas.

Banyak kelas agama kini diteruskan lewat dalam talian.

PERLUAS KONSEP IBADAH

COVID-19 tidak harus dijadikan alasan kurangnya amalan agama kita. Mujur institusi-institusi agama dalam masyarakat seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memberikan panduan yang baik dan jelas.


Semuanya sejajar dengan tuntutan dan nasihat-nasihat yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Tidak seperti di negara-negara lain, masyarakat kita tidak memperlihatkan sifat fatalis atau pasrah yang ketara, yang hanya bergantung kepada takdir tanpa usaha memperbaiki diri.

Inilah peluang masyarakat kita memikirkan ulang peranan agama. Adakah agama itu sekadar melakukan ritual-ritual seperti solat dan puasa? Saya yakin kita semua setuju bahawa agama itu bukan sekadar ritual.

Namun dalam mempraktikkan agama, kita lebih kecewa jika ibadah kita terjejas seperti yang ditonjolkan dalam komen-komen negatif di media sosial berbanding nasib golongan susah.

ASPEK KEMANUSIAAN

Di sini kita perlu menitikberatkan aspek kemanusiaan dalam cara kita beragama. Kemanusiaan (atau humanisme) dalam agama menggarisbawahi aspek-aspek agama sebagai pencerahan sosial (social enlightenment).


Menurut Dr Azhar Ibrahim, kemanusiaan dalam Islam boleh dilihat dari tiga hal. Pertama, memusatkan peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi dan ini harus mendorong manusia tingkatkan lagi usaha-usaha murni.

Kedua, kemanusiaan menanamkan semangat memperbaiki diri ke arah kesempurnaan dan ini hanya boleh dicapai jika individu berintegrasi dengan masyarakatnya.

Ketiga, adalah ideal jika seorang individu menguasai beberapa cabang ilmu.

Aspek-aspek humanisme dalam agama ini boleh dijadikan pemangkin bagi masyarakat kita untuk menyumbang lebih dalam usaha menangani krisis COVID-19 ini.

PEMELIHARAAN NYAWA

Yang terutama adalah pemeliharaan nyawa dan kehidupan. Jika kita teruskan pembukaan masjid-masjid buat masa ini, kita boleh menyebarkan penyakit COVID-19 ini dengan lebih luas.


Penutupan masjid memanglah satu perkara sensitif, tetapi kita perlu belajar daripada sejarah.

Kini, ruang solat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi juga dihadkan. Jika seluruh umat Islam di dunia boleh lakukan pengorbanan ini, mentelah lagi kita.

Pemeliharaan nyawa, tidak kira agama atau bangsa, wajib dijadikan prioriti. Kita perlu memerhatikan situasi di negara-negara lain, di mana angka kematian yang sedang meningkat, terutama di Amerika, Eropah, Timur Tengah, dan China.

Di sini bukanlah masanya untuk kita memperkecilkan agama atau bangsa masyarakat yang terjejas, tetapi harus bersifat simpati terhadap nasib mereka.

GOLONGAN SUSAH

Seperti yang dikatakan tadi, mendekatkan diri dengan nasib masyarakat adalah aspek utama humanisme.


Seperti mana yang kita tahu, banyak pekerjaan atau keluarga terjejas, dan begitu juga perniagaan-perniagaan kecil dan besar.

Pemerintah Singapura telah bersifat proaktif membantu peniaga-peniaga yang terjejas dengan menghulurkan belanjawan besar pada tahun ini.

Pemerintah juga berjanji akan menghulurkan lebih banyak bantuan jika keadaan semakin buruk. Walau bagaimanapun, usaha membantu ini bukan hanya berada di pundak pemerintah.

Kita sedar bahawa masyarakat sivil juga telah tampil ke hadapan menghulurkan bantuan dengan pelbagai cara.

Ada yang membantu dengan mendermakan wang, makanan dan ada pula memberikan keperluan-keperluan lain seperi cecair pembasmi kuman (sanitizer).

Kita maklum banyak dana yang sudah dikumpul untuk asatizah yang terjejas dek penutupan masjid.

Saya fikir, bantuan harus diluaskan pada golongan yang lain juga yang bekerja sendiri, seperti seniman-seniman kita. Mereka juga terjejas dengan pembatalan acara-acara dan majlis keramaian.

Ada juga yang terjejas kerana ditakrifkan sebagai mereka yang tidak menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan penting (non-essential services). Sebagai contoh, mereka yang bekerja di tempat-tempat tarikan pelancong.

TIDAK SENASIB

Episod ini mengajar golongan kelas menengah dan atas bahawa tidak semua orang yang senasib dengan mereka.


Mungkin buat kelas menengah, peluang untuk bercuti ke luar negara semasa musim cuti sekolah menjadi perkara lumrah.

Dengan keadaan sekarang ini, mungkin wang yang diketepikan untuk bercuti boleh disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Malah, dengan penutupan sekolah yang bakal dilaksanakan, tentu ada pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak memiliki akses pada Internet.

Ada pula yang perlu berkongsi komputer riba dengan adik-beradik semasa menjalankan pembelajaran di rumah.

BUKAN MASALAH AGAMA SAHAJA

Krisis ini mengajar kita bahawa kita perlukan kepakaran dalam banyak bidang, dan tidak tertumpu pada kerohanian sahaja.


Kita akur bahawa jumlah doktor dalam masyarakat tidak kurang, masyarakat kita juga menyumbang sama dalam sektor penjagaan kesihatan.

Di sini, dalam memenuhi aspek humanisme yang ketiga, kita perlu lebih banyak pakar dalam bidang sains dan teknologi.

Sains perlu dalam kita mencari huraian kepada penyakit COVID-19 dan wabak-wabak lain.

Justeru, sebahagian besar dana harus disalurkan untuk mereka dalami subjek-subjek sains. Penguasaan teknologi juga perlu.

Kita perlu tingkatkan keupayaan untuk adakan perbincangan atau mesyuarat di ruang siber, selari dengan usaha kerja dari rumah.

BERIKAN SUMBANGAN

Adalah baik jika masyarakat kita turut memberikan sumbangan terhadap aspek pembinaan infrastruktur pendigitalan nasional.

Keupayaan-keupayaan lain juga perlu dalam masa-masa rumit ini, seperti seorang jurucakap yang baik.

Kerana terlalu banyak pesanan yang harus diberikan kepada umum, dipersulitkan dengan perubahan-perubahan yang diperlukan, kita perlukan komunikator yang baik dalam penyampaian mesej, agar masyarakat tidak keliru dan resah dengan keadaan sekarang.

Semoga masyarakat kita dapat iktibar daripada krisis COVID-19 dan menjadikan kita lebih kuat.

Ia juga memberikan kita ruang untuk memikir ulang orientasi agama kita dan dalam meneroka bidang-bidang yang diperlukan demi kemajuan masyarakat.

MENGENAI PENULIS:


Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau penyunting bersama buku Alternative Voices in Muslim Southeast Asia: Discourse and Struggles (2020).  

- BERITAmediacorp/na

Top