Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Presiden Dipilih Melayu hanya satu titik permulaan

Pilihan Raya Khas Presiden yang akan datang untuk calon Melayu telah membangkitkan banyak perbincangan di kalangan warga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Presiden Dipilih Melayu hanya satu titik permulaan

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

BERITAMediacorp: Semakin dekat Pilihan Raya Presiden, semakin teliti para bakal calon Pilihan Raya Presiden akan dinilai oleh rakyat Singapura, dari pelbagai segi termasuk etnik dan penguasaan bahasa ibunda dan ini boleh menyerlahkan perbezaan dalam kalangan masyarakat. Rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP, Zhulkarnain Abdul Rahim, mengupas mengapa perlu adanya perubahan dan menjelaskan bahawa masyarakat perlu menumpukan perhatian kepada objektif utamanya.

Kerusi Presiden di antara Bendera Negara dan Bendera Presiden di Istana. (Gambar fail: TODAY)

Kerusi Presiden di antara Bendera Negara dan Bendera Presiden di Istana. (Gambar fail: TODAY)

PILIHAN Raya Khas Presiden yang akan datang untuk calon Melayu telah membangkitkan banyak perbincangan di kalangan warga Singapura.

Dengan adanya pilihan raya khas untuk calon Melayu, perhatian semestinya tertumpu pada masyarakat Melayu kita.

Semakin dekat pilihan raya, akan adanya lebih penelitian bagi para calon, bukan sahaja dari segi kelayakan mereka, tetapi dari segi etnik dan penggunaan bahasa ibunda juga. Ini mungkin boleh menyerlahkan lagi perbezaan di dalam masyarakat kita.

Justeru, kita tidak sepatutnya terlepas pandang objektif utama di sebalik perubahan dasar pada pemilihan Presiden ini.

PERLU ADANYA PERUBAHAN

Walaupun negara kita sudah berjaya memupuk identiti Singapura yang berbilang kaum dan agama melalui lebih lima dekad kemerdekaan, kajian mengenai hubungan kaum di Singapura oleh Institut Kajian Dasar baru-baru ini menunjukkan bahawa masih ada kecenderungan untuk memilih pemimpin, atau berurusan dengan orang mengikut kaum.

Ini menunjukkan bahawa usaha untuk mengekalkan fabrik sosial dan keharmonian kaum di negara kita adalah satu proses yang masih berterusan.

Pindaan perlembagaan kepada Presiden Dipilih bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, tetapi bagi semua lapisan masyarakat di Singapura.

Gambar fail Istana dengan bendera Singapura. (Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

Realitinya, pindaan itu memastikan, dalam jangka masa panjang, kesemua masyarakat akan mendapat peluang untuk diwakili calon Presiden daripada masyarakat mereka.

Perubahan ini bertujuan untuk memperkuatkan fabrik sosial kita dan melakar masa depan Singapura demi mengekalkan perwakilan yang mencerminkan masyarakat berbilang kaum kita, tanpa mengorbankan meritokrasi, yang merupakan nilai teras kita.

Oleh itu, masyarakat Melayu kita harus menunjukkan keprihatinan yang tertumpu pada manfaat untuk masyarakat Singapura secara amnya.

Dengan pilihan raya yang akan menjelang, ini juga adalah masa yang sesuai untuk masyarakat Melayu kita mengimbas kembali perjalanan pembangunan kita, dan menyingkap kemajuan kita setakat ini dalam masyarakat pelbagai kaum di Singapura.

KEMAJUAN MASYARAKAT ISLAM

Masyarakat Melayu di Singapura pada keseluruhannya, telah mencapai kemajuan besar dalam beberapa dekad yang lalu. Kita telah melihat peningkatan perwakilan bukan sahaja dalam bidang awam tetapi juga sektor swasta.

Dalam arena politik, masyarakat Melayu-Muslim kini mempunyai dua Menteri dan Menteri Kanan Negara dalam Kabinet. Dalam dunia korporat pula, lebih ramai orang Melayu menaiki tangga korporat dan mendukung jawatan pengurusan kanan.

Semakin banyak perusahaan berjaya yang dipimpin atau dimiliki oleh orang Melayu Islam.

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini, PM Lee Hsien Loong telah memberi pelbagai contoh usahawan Melayu Islam yang berjaya bersaing dalam dunia global.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017. (Gambar: Howard Law)

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017. (Gambar: Howard Law)

Dengan arus gelombang globalisasi dan daya saing yang semakin meningkat, pelanggan dan profil perniagaan Melayu Islam juga telah berubah.

Dalam tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Singapura (DPPMS), didapati bahawa 28 peratus perniagaan Melayu Islam terdiri daripada syarikat pula atau 'startup'.

Ini hampir 14 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan purata nasional dalam kajian SME Development Survey yang dibuat oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Lebih banyak perniagaan Melayu Islam yang berniaga di luar negara dengan 56 peratus daripada mereka melaporkan kira-kira 30% pendapatan yang dijana dari luar negara.

PRESTASI PENDIDIKAN

Kita juga telah melihat peningkatan yang ketara dalam prestasi pendidikan pelajar Melayu Islam kita. Lebih ramai pelajar Melayu telah memperoleh kelulusan sekurang-kurangnya lima peringkat 'O', dan ini membolehkan mereka maju ke pusat pendidikan tinggi.

Peratusan ini terus meningkat secara stabil dari 16% pada tahun 1980 kepada 63 peratus pada tahun 2005. Peratusan kohort pelajar Melayu dari Darjah 1 yang berjaya ke institusi-instititusi pengajian tinggi juga melonjak lebih dari dua kali ganda, dari 36% pada tahun 1990 kepada 81 peratus pada tahun 2005.

Dalam tenaga kerja pula, profil pendidikan tenaga kerja Melayu telah meningkat. Mengikut General Household Survey 2015 dan Banci 2010, peratusan pekerja Melayu dengan kelayakan menengah dan tinggi meningkat daripada 69 peratus pada tahun 2005 kepada 79 peratus pada tahun 2015.

Bilangan PMET Melayu juga telah meningkat daripada 21.2 peratus pada tahun 2005 kepada 32.2 peratus pada tahun 2015.

Gambar fail penduduk Singapura. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

Semua angka ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu Islam kita mengambil kesempatan daripada peluang yang ada dan kita masih bertekad untuk lebih berjaya.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa kita harus berpuas hati dengan apa yang dikecapi sekarang kerana tahap kemajuan masyarakat Melayu Islam kita belum lagi di tahap yang dihasratkan.

Kita harus terus berusaha untuk memperbaiki mutu perwakilan masyarakat Melayu Islam dalam pelbagai sektor dan industri di Singapura. Hasrat untuk menggapai kecemerlangan dan mencapai puncak keunggulan haruslah diterapkan dalam masyarakat kita, dalam mana-mana bidang pun.

Dalam hal ini, kita juga harus mengiktiraf bahawa jawatan Presiden yang merupakan puncak dalam sektor perkhidmatan awam, bakal disandang oleh masyarakat Melayu kita.

BUKAN APA YANG DIPINTA TETAPI APA YANG DIPERLUKAN

Keprihatinan tentang isu Presiden Dipilih dan bilangan calon-calon yang berpotensi dari masyarakat Melayu kita, menunjukkan bahawa kita tidak ketandusan calon yang berkelayakan dan berwibawa untuk menyandang jawatan Presiden. Sesiapapun calon itu, beliau harus memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menjadi Presiden.

Semasa maklum balas umum dijalankan tentang saranan perubahan pada dasar Presiden Dipilih, masyarakat Melayu Islam kita tidak melibatkan diri.

Malah, semasa Suruhanjaya Perlembagaan mengkaji isu-isu yang berkaitan, tidak ada representasi lisan atau bertulis pun daripada mana-mana Pertubuhan Melayu Islam di Singapura.

Ini memperlihatkan bahawa fokus masyarakat Melayu kita adalah pada isu-isu yang lain. Walau bagaimanapun, perubahan ini harus disambut baik bukan demi masyarakat, tetapi untuk Singapura secara amnya.

Orang ramai di kawasan Orchard Road, Singapura. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

Di seluruh dunia, terdapat lebih banyak ajaran eksklusif dan meningkatnya bilangan kumpulan perkauman. Pengaruh ini boleh mencetuskan situasi memecah-belahkan yang boleh menjejas masyarakat.

Kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh di sisi sejarah. Pada pendapat saya, perubahan pada dasar Presiden Dipilih adalah salah satu usaha bagi Singapura untuk memainkan peranan dalam menangani isu perkauman serta melindungi fabrik sosial dan keharmonian kaum di negara kita.

Justeru, pilihan raya ini adalah titik permulaan sahaja. Apa yang lebih penting adalah tugas yang akan datang. Sesiapa yang terpilih menyandang jawatan Presiden haruslah menyatukan dan mewakili rakyat dari pelbagai kaum di Singapura dan di pentas dunia.

BERSAMA BERJAYA

Kesimpulannya, usah kita mendebatkan isu-isu yang tiada manfaatnya dan yang boleh menjauhkan daripada menyatukan.

Sebaliknya, kita harus bertekad untuk menjayakan apa yang ada. Semoga Presiden daripada masyarakat Melayu Islam kita akan dapat merangkumi segala nilai-nilai teras Singapura dan memartabatkan lagi masyarakat Melayu Islam Singapura dengan mencerminkan nilai-nilai murni dan iltizam masyarakat kita bukan sahaja untuk masyarakat berbilang kaum di Singapura tetapi seluruh dunia.

Nilai-nilai dan iltizam masyarakat Melayu yang tidak pernah penat untuk menggapai kecemerlangan hingga ke puncaknya. Oleh itu, sesudahnya semarak pilihan raya ini telah habis membara, kita sebagai rakyat Singapura harus bersatu hati dan bersama menyokong Presiden yang terpilih untuk berjaya, bak kata pepatah, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. 

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

MENGENAI PENULIS:

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan