Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Politik Melayu-Islam di M’sia, ke mana arah selanjutnya

Apakah gabungan dua parti utama Melayu-Islam, UMNO dan PAS, baru-baru ini membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia, atau mengaburkan lagi sekitaran yang sudahpun rumit?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah gabungan dua parti utama Melayu-Islam, UMNO dan PAS, baru-baru ini membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia, atau mengaburkan lagi sekitaran yang sudahpun rumit?

Pada pertengahan September lalu, dua parti Islam terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS, memeterai satu piagam yang disebut sebagai Piagam Muafakat Nasional. Tujuannya adalah untuk menyatukan ummah di Malaysia.

Presiden kedua-dua parti pembangkang itu, Ahmad Zahid Hamidi daripada UMNO dan Abdul Hadi Awang daripada PAS, mewakili parti masing-masing.

Ada yang melihat piagam ini sebagai bermotifkan politik. UMNO dan PAS sebelum ini adalah seteru politik yang kuat dan pernah terjadi fenomena kafir-mengkafir di antara penyokong kedua-dua parti, satu tuduhan yang agak serius dalam Islam. Kini pemimpin-peminpin kedua-dua parti menjadi kawan.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019. (Gambar: BERNAMA)

Menariknya, beberapa hari setelah pemeteraian piagam itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap dalam satu pertemuan Kongres Maruah Melayu, yang dihadiri parti-parti politik dalam kerajaan dan juga pembangkang.

Malah, kelihatan hadir adalah tokoh-tokoh agama (termasuk Mufti Perlis) dan tokoh-tokoh akademik daripada universiti-universiti di Malaysia. Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Tetap UMNO Annuar Musa turut hadir.

HUBUNGAN UMNO-PAS

Ramai yang tahu bahawa UMNO telah memimpin kerajaan Malaysia sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Ini bermakna, ia telah berkuasa selama 61 tahun sebelum ditumbangkan pada tahun 2018.

PAS ditubuhkan pada tahun 1951 dan sebenarnya adalah parti serpihan daripada UMNO, yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Walaupun kedua-dua parti tidak berada di landasan politik yang sama sekian lama dalam sejarah politik negara, mereka pernah bekerjasama pada tahun-tahun 1970an.

Penyokong BN dan PAS berhimpun pada 8 Dis (Gambar: Amir Yusof/Mediacorp)

PAS pernah menyertai gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO dan sama-sama membentuk kerajaan persekutuan dari 1974 sehingga 1977.

Perpecahan dalam PAS mengakibatkan ia keluar daripada BN dan parti itu hilang kuasa di Kelantan, kubu kuatnya.

KEBANGKITAN ISLAM

Era kebangkitan Islam, atau yang disebut sebagai era revivalisme Islam di Malaysia pada tahun-tahun 1980an, mengubah nasib PAS.

Terinspirasi daripada revolusi Iran tahun 1979, di mana Ayatollah Khomeini menjatuhkan Raja Mohammad Reza Pahlavi, ulama-ulama PAS mula menerajui kepimpinan parti tersebut dengan berlandaskan Islam.

Parti itu mula memperjuangkan hukum syariah yang ketat (hudud) dan mahu membentuk kerajaan Islam di Malaysia.

PAS berjaya merampas semula Kelantan pada pilihan raya 1990 dan bermulanya hubungan bersifat konfliktual antara kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan pusat.

HUKUMAN HUDUD

Antara isu-isu yang sering berbangkit adalah pelaksanaan hukuman hudud di negeri dan juga jumlah royalti minyak yang harus dibayar kepada kerajaan Kelantan.

PAS terus kekal sebagai parti pembangkang dan pernah bersama-sama dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan dan DAP.

Pakatan ini berjaya dalam tahun 2013 untuk melemahkan BN dan memenangi lebih 50 peratus undi popular. Namun, ia berpecah pada tahun 2015.

Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Pemimpin UMNO, mantan perdana menteri Najib Razak, cuba untuk memikat PAS dengan membenarkan Presidennya membentangkan rang undang-undang untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah.

Ada yang menyatakan ini adalah jalan pertama yang akan menjurus kepada pelaksanaan hudud di negeri-negeri pimpinan PAS.

ORANG MELAYU MARAH?

Sentimen dalam kalangan orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir mendorong UMNO dan PAS untuk bersatu.

Ada semacam perasaan dalam kalangan orang Melayu bahawa DAP, iaitu sebuah parti sekular yang majoriti ahlinya terdiri daripada orang Cina, mendominasi kerajaan, sedangkan parti-parti Melayu dan Islam seperti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu seperti PKR dan Amanah, yang menentukan hala tuju negara.

Kerjasama tidak rasmi sebelum piagam ini dimeterai antara UMNO dan PAS juga berhasil memenangkan tiga pilihan raya kecil yang berpihak kepada UMNO: di Cameron Highlands (Pahang), Semenyih (Selangor) dan Rantau (Negeri Sembilan).

Kerjasama ini juga telah berjaya menghalang beberapa dasar kerajaan Pakatan Harapan seperti usaha untuk mengesahkan ICERD (Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum) dan rancangan untuk menandatangani Statut Rom.

STATUS ORANG MELAYU

Alasannya adalah usaha-usaha ini bakal melemahkan status orang Melayu dan Islam, dan kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan ia tidak ‘kurang Melayu dan Islam’ berbanding UMNO.

Misalnya, ia cuba mengusulkan pembelajaran tulisan khat di sekolah-sekolah vernakular, usaha yang ditentang hebat oleh masyarakat bukan Melayu.

Dalam isu lain, kerajaan tidak tunduk kepada desakan beberapa pihak yang terguris dengan kata-kata pendakwah asal India Zakir Naik yang menganggap masyarakat Cina sebagai pendatang.

Dr Zakir Naik. (Gambar: BERNAMA)

Dr Naik melontarkan kata-kata itu selepas ada pihak yang cuba menyifatkan dirinya sebagai pendatang dan harus diusir dari Malaysia.

CABARAN GABUNGAN

Penyatuan UMNO dan PAS bakal menempuh beberapa cabaran. Pertama adalah sejauh mana kerjasama ini akan bertahan menjelang pilihan raya.

Akan timbul saat di mana kedua-dua parti harus membahagi-bahagikan kerusi. Selama ini, UMNO dan PAS bertanding antara satu sama lain. Ini bakal menyebabkan konflik.

Kedua, UMNO menghadapi masalah kepimpinan disebabkan pemimpinnya sedang menghadapi beberapa tuduhan di mahkamah.

Perbicaraan ini bakal mengambil masa yang panjang dan akan menimbulkan suasana tidak menentu bagi pembaharuan parti.

Ketiga, kedudukan PAS bakal menjadi penentu kerana presidennya Abdul Hadi Awang kelihatan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir walaupun partinya mahu bekerjasama dengan UMNO.

Apakah isyarat yang ingin disampaikan Abdul Hadi, mentelah beliau berkongsi pentas dengan Mahathir semasa Kongres Maruah Melayu?

Yang jelas, isu pokok adalah masa depan orang Melayu, terutama banyaknya peratusan orang Melayu dalam golongan kelas bawahan.

POLITIK KUASA DAN PERSONALITI

Wacana tentang kurangnya pencapaian orang Melayu masih menggunakan lensa yang mempermasalahkan sifat orang Melayu yang “malas” dan “kurang berusaha” sedangkan sistem dan politik yang tidak menentu juga harus dinilai sebagai punca pencapaian orang Melayu kurang menyerlah.

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Sudah tiba masanya politik Melayu keluar daripada polemik kuasa dan personaliti dan memikirkan tentang keberkesanan institusi-institusi Melayu.

Adakah orang Melayu mahu menjadi perkasa dalam politik, tetapi miskin dari segi ekonomi dan pendidikan? Persoalan ini terletak atas pundak kepimpinannya.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Antara buku yang ditulisnya, The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press) dan Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar University (ISEAS Publishing). Komentar ini diadaptasi daripada ISEAS Perspective. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan