Images
  • najib (3)
    (Gambar: Bernama)

KOMENTAR: Politik M’sia yang kian rancak dengan pelbagai percaturan; anjakan ke hadapan atau politik mengecewakan

BERITAmediacorp: Parti-parti Melayu Malaysia giat membuat ‘tawar-menawar’ menyusuli sabitnya kesalahan dakwaan rasuah ke atas mantan PM Najib Razak. Bagaimana ia bakal mengubah landskap politik di negara itu seterusnya?

Sabitan kesalahan mantan perdana menteri Najib Razak atas dakwaan rasuah mencetuskan kegiatan tawar-menawar antara parti-parti Melayu di Malaysia.


Pencaturan politik sedemikian mungkin mendatangkan kehampaan terhadap budaya politik Malaysia yang kian menjadi penuh muslihat.

Sabitan kesalahan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak mungkin akan mencetuskan suatu anjakan lagi dalam arena politik negara itu.

Mantan perdana menteri dan presiden UMNO itu akan kekal sebagai anggota parlimen buat masa ini sehingga keputusan rayuannya dimuktamadkan.

Namun beliau tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya jika ia diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, UMNO berhasrat supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal. Jika ia kekal sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membentuk kerajaan sedia ada, UMNO besar kemungkinan akan mengecapi kemenangan mudah.

Ia juga akan kekal sebagai parti terutama dalam gabungan parti kerajaan, bahkan membentuk bahagian lebih besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Encik Muhyiddin.

BERUNDUR DARI PN

Keputusan kes Najib memaksa UMNO untuk menimbangkan rancangan lain. Dalam perkembangan terbaru, parti itu telah berundur dari PN dan sebaliknya memilih untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), iaitu perikatan parti Melayu/Islam dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Langkah itu mendorong para penyokong Encik Muhyiddin dalam PPBM untuk meminta agar Bersatu menyertai MN secara rasmi.


Meskipun langkah UMNO berundur dari PN tidak menyebabkan kerajaan tumbang, PM Muhyiddin kini berdepan dengan kemungkinan pucuk pimpinan UMNO akan memilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum seterusnya tanpa berganding bahu dengan Bersatu.

Rundingan politik antara parti-parti politik Malaysia mungkin akan memuncak dalam minggu-minggu akan datang.

Dalam suasana politik kontemporari Malaysia, di mana kepentingan politik lebih diutamakan daripada pegangan ideologi, rundingan sedemikian mungkin akan menghasilkan gabungan parti-parti yang sebelum ini berseteru bagi tujuan menguasai kerajaan.

SERTAI SEMULA UMNO

Salah satu kemungkinan adalah penyertaan semula Encik Muhyiddin dalam UMNO secara rasmi. Ini boleh dilakukan untuk mengelak pertelingkahan mengenai pembahagian kerusi kawasan undi antara UMNO dengan Bersatu.

Langkah sedemikian juga akan dianggap lebih wajar oleh mereka yang mempersoal keperluan mempunyai gabungan dua parti Melayu sekali gus.

Namun, ia juga mungkin akan menyebabkan sekutu Encik Muhyiddin, Menteri Kanan Azmin Ali serta para penyokongnya dipinggirkan.


Tambahan lagi, tidak semua anggota parlimen UMNO yang cenderung untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Bahkan tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar UMNO menawan kembali kesemua kerusi yang dimenangi Bersatu dalam pilihan raya umum lalu.

Pada hakikatnya, UMNO tidak semestinya sebulat suara dalam segala perkara seperti yang lazim diandaikan.

MEREBUT JAWATAN

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan mungkin berhasrat merebut jawatan tertinggi jika Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi turut disabit kesalahan dalam kes-kes perbicaraan terhadapnya.

Sebagai pemangku Presiden UMNO antara Disember 2018 hingga Jun 2019, Encik Mohamad Hasan memainkan peranan penting dalam menjayakan perikatan antara UMNO dengan PAS.


Pihak yang akan disebelahinya masih menjadi tanda tanya. Namun mantan perdana menteri Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan anggota-anggota UMNO yang tidak terbabit dalam sebarang perbicaraan di mahkamah.

Ternyata, Encik Mohamad tidak terbabit dalam sebarang kes rasuah di mahkamah. Memandangkan kedudukan Encik Najib dan Encik Ahmad Zahid kini bertambah lemah, kemungkinan anggota-anggota UMNO bekerjasama dengan Dr Mahathir tidak boleh ditolak bulat-bulat.

KUASA KETIGA

Dr Mahathir kelihatan sudah membuka laluan kepada mantan anggota kanan UMNO dari Sabah dan Presiden Warisan Shafie Apdal untuk menjadi calon perdana menteri.

Encik Shafie sendiri menjadi mangsa menyusuli usahanya untuk menumbangkan kerajaan Sabah.


Meskipun kedudukan Dr Mahathir kini lebih lemah, beliau masih mendapat sokongan anggota-anggota parlimen merentasi perbatasan parti, termasuk sesetengah anggota parlimen UMNO.

Buat masa ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim tidak bersetuju secara terbuka dengan rancangan Dr Mahathir untuk mencalonkan Encik Shafie bagi jawatan perdana menteri.

Namun parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Amanah mungkin boleh menerima pengaturan sedemikian.

Dr Mahathir, yang mengumumkan pembentukan parti baru (Jumaat lalu), mungkin boleh meraih sokongan yang memadai untuk bertanding sebagai kuasa ketiga dalam pilihan raya umum ke-15.

Beliau mungkin akan memanfaatkan pilihan raya kecil Slim, yang perlu diadakan sebelum akhir Ogos, untuk menganggarkan sokongan yang boleh diraih.

KEMBALI KE PH

Ada juga sesetengah pihak yang berspekulasi tentang kemungkinan Encik Muhyiddin kembali menyertai PH.

Namun ini tidak mungkin berlaku kerana ia memerlukan aturan kerjasama yang janggal dengan Encik Anwar, memandangkan kedua-dua Muhyiddin dan Azmin mencetuskan keruntuhan kerajaan PH dalam “Langkah Sheraton” pada Februari lalu.
Meskipun Encik Muhyiddin mungkin berupaya menghidupkan kembali PH dengan meraih kemenangan pilihan raya, perhitungan politik kini sudah berubah.

Encik Azmin mungkin tidak akan bersetuju untuk berdamping dengan Encik Anwar, menyusuli pertelingkahan semasa kongres PKR tahun lalu.


Tambahan lagi, parti-parti komponen PH yang lain, DAP dan Amanah, kini menganggap para penyokong Encik Muhyiddin dan Encik Azmin sebagai pengkhianat.

Encik Anwar juga tidak mungkin akan bersetuju untuk menjadi timbalan kepada Encik Muhyiddin, memandangkan pada awalnya Encik Anwar yang sepatutnya mengisi jawatan perdana menteri kelapan menyusuli kemenangan PH – bukan Encik Muhyiddin.

Oleh itu mungkin adalah lebih wajar jika Encik Muhyiddin berdamai dengan Dr Mahathir.

NORMA BARU POLITIK

Tidak kira haluan yang dipilih para ahli politik Malaysia, naratif yang dijadikan sebagai asas penyusunan semula perikatan parti perlu meyakinkan para pengundi.

Rakyat Malaysia sejauh ini berasa hampa terhadap tindakan para ahli politik yang bertukar-tukar parti dan prestasi mereka di Parlimen.

Sejak Dr Mahathir membuat keputusan untuk berganding bahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dengan Encik Anwar – yang pernah dinobatkan sebagai pengganti, lalu bertukar menjadi musuh, dan kemudian dijadikan sekutu – arena politik Malaysia telah menyaksikan siri pengkhianatan bertimbal balik.


POLITIK MACHIAVELLI

Memang sukar untuk membezakan antara kawan dengan lawan tetapi tindakan-tindakan ahli politik baru-baru ini mungkin mendatangkan kebiasaan politik Machiavelli dalam budaya politik Malaysia.

Rakyat Malaysia tidak boleh diperdayakan daripada hakikat bahawa parti-parti politik negara itu sedang berlumba-lumba untuk merebut kuasa semata-mata.

Hakikat sedemikian dianggap bertentangan dengan kepentingan rakyat yang sekali gus dibelenggu pandemik COVID-19, kemerosotan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.

Kekecewaan sedemikian terhadap budaya politik Malaysia mungkin akan berlarutan buat bergenerasi akan datang.

MENGENAI PENULIS:


Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia. 


Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Komentar ini pertama kali diterbitkan dalam ISEAS Commentary - 2020/108. 

- BERITAmediacorp/ha

Top