Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Podcast sebagai wadah berpengaruh biarlah bermanfaat kepada masyarakat

Apakah kontroversi melibatkan sebuah podcast yang ‘terkenal’ dalam masyarakat Melayu S’pura sekali perlihatkan bagaimana kebebasan bersuara ini kurang dimartabatkan?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Podcast sebagai wadah berpengaruh biarlah bermanfaat kepada masyarakat

(Gambar: REUTERS/Marcos Brindicci)

Sedang negara dan dunia masih lagi berhentam pulas melawan pandemik virus korona, masyarakat Melayu Singapura pula dilanda dengan satu lagi kontroversi melibatkan sebuah podcast.

Dengan perbincangan mengenai podcast tersebut terus berlanjutan, masyarakat Melayu kita seolah-olah berpecah kepada dua pihak.

Pada satu pihak ada yang menyokong podcast tersebut manakala satu lagi pula mengkritik dan menginginkan perubahahan yang positif.

Podcast merupakan satu wadah dalam talian yang mempunyai fungsi yang serupa seperti radio. Perbezaan radio dan podcast ialah isu yang sering diketengahkan.

Dalam podcast, hos atau sesiapa yang membincangkan sesebuah isu tidak perlu mengikut sebarang garis pandu yang ditetapkan.

Senang kata, podcast lebih bebas dan ada yang lebih senang mendengar podcast kerana ia dianggap lebih sesuai dan ‘real’ untuk diri mereka.

Gambar fail. (Gambar: Unsplash/Utsman Media)

PERSPEKTIF BARU DAN KRITIS

Namun, kebebesan yang diberikan tidak patut menyebabkan kekecewaan ataupun ketidakselesaan dalam kalangan para pendengar serta mana-mana pihak dalam masyarakat.

Kebebasan dan keberanian untuk bersuara tentang sesuatu isu yang dianggap ‘taboo’ memang perlu diangkat dan disanjung.

Masyarakat kita sentiasa memerlukan perspektif yang baharu dan kritis. Malah, suara ‘alternatif’ seperti ini menggalakkan kita untuk sentiasa berfikir secara kritis dan bermuhasabah diri, sejajar dengan apa yang digalakkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sayangnya, isu yang sedang tular baru-baru ini berkaitan dengan sebuah podcast yang ‘terkenal’ dalam masyarakat Melayu Singapura memperlihatkan bagaimana kebebasan bersuara ini kurang dimartabatkan.

Beberapa isu yang diketengahkan memang mempunyai nilai pengajaran untuk masyarakat kita.

MEMPENGARUHI MASYARAKAT

Namun cara penyampaian dan lawak jenaka mereka yang boleh disifatkan sebagai misoginistik tidak boleh diabaikan dan dianggap remeh.

Adalah dibimbangkan ini boleh mempengaruhi cara pemikiran masyarakat kita.

Kita tidak mahu kaum wanita terus dianggap sebagai objek seksual. Seperti yang kita sedia maklum, tidak wajar untuk kita merendah atau memalukan seseorang demi hiburan semata-mata.

Kemampuan untuk merubah atau mempengaruhi cara pemikiran seseorang adalah sesuatu yang sangat berharga, terutama sekali jika ia dapat memberi kesan positif kepada sesebuah masyarakat secara meluas.

Kita dapat melihat bagaimana tradisi lisan yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu dahulu mempunyai pengaruh besar seperti ini.

Misalnya, agama Islam, cerita-cerita rakyat dan banyak lagi telah disebarkan melalui tradisi lisan secara meluas, sehingga membentuk masyarakat Melayu kita hingga ke hari ini.

Wadah-wadah seni dan hiburan seperti wayang kulit, dikir barat dan perfileman telah dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat.

KE ARAH LEBIH POSITIF

Wadah podcast sebenarnya mempunyai kemampuan yang serupa untuk menganjak paradigma atau cara pemikiran kita ke arah yang lebih positif.

Bagaimanapun ia hanya dapat berlaku sekiranya wadah tersebut dimanfaatkan dengan baik.

Banyak pengajaran yang boleh kita raih daripada kontroversi ini. Ilmu dan adab adalah penting. Hanya dengan inilah kita dapat diiktiraf sebagai sebuah masyarakat yang maju.

MENGENAI PENULIS

Liyana Sulaiman adalah lulusan sarjana muda Jabatan Pengajian Melayu NUS. Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu antaranya termasuk agama, perkauman dan politik sejarah.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan