Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pilihan Raya khas Presiden mengiktiraf kerencaman kita

Pilihan Raya Presiden dijangka akan diadakan pada bulan September ini. Dengan tatacara rasmi bagi pilihan raya itu bermula pada minggu lalu, nama bakal calon turut disebut-sebut.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Pilihan Raya Presiden dijangka akan diadakan pada bulan September ini. Dengan tatacara rasmi bagi pilihan raya itu bermula pada minggu lalu, nama bakal calon turut disebut-sebut. Namun, rakyat Singapura mungkin perlu menunggu selama tiga bulan untuk mengetahui siapakah yang akan mendapat mandat rakyat untuk menjadi ketua negara. Profesor Madya Eugene K B Tan menjelaskan mengapa pilihan raya yang dikhaskan untuk calon Melayu ini begitu penting dan bukan setakat memenuhi satu matlamat saja. Ini kerana ia juga mengiktiraf kerencaman Singapura dan bagaimana kita boleh memanfaatkannya dengan baik:

TATACARA rasmi bagi pilihan raya presiden Singapura yang kelima bermula minggu lalu.

Mulai 1 Jun lalu, mereka yang mahu menjadi calon boleh memohon bagi mendapatkan Sijil Kelayakan dan Sijil Masyarakat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada September 2017, yang dikhaskan untuk masyarakat Melayu buat pertama kalinya.

Tarikh akhir bagi permohonan sijil-sijil kelayakan dan masyarakat adalah hari kelima selepas writ pilihan raya dikeluarkan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mungkin mengeluarkan writ pilihan raya itu selewat dua minggu terakhir bulan Ogos, atau pada awal bulan September.

Lantaran itu, rakyat Singapura mungkin perlu menunggu selama tiga bulan untuk mengetahui siapakah yang mahu memenangi mandat untuk menjadi ketua negara.

Beberapa tokoh telah disebut-sebut dalam laporan media sebagai bakal calon, termasuk Speaker Parlimen Puan Halimah Yacob dan mantan Speaker Parlimen serta mantan Menteri Kabinet Encik Abdullah Tarmugi.

BAKAL CALON DIKETENGAHKAN

Memandangkan rakyat Singapura perlu mengenali para bakal calon pilihanraya dengan sebaik mungkin, para bakal calon itu haruslah menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding dengan lebih awal.

Oleh kerana pilihan raya akan datang adalah pilihan raya yang dikhaskan, para pengundi perlu benar-benar menimbangkan komitmen seseorang calon itu dan sumbangannya kepada usaha merapatkan hubungan antara kaum.

Ini harus membentuk sebahagian daripada penilaian pengundi ke atas merit dan kesesuaian keseluruhan seseorang calon yang mahu dipilih sebagai ketua negara, selain daripada kelayakan profesional, kepakaran dan pengalaman.

MEKANISME KHAS

Tahun lalu, Suruhanjaya Perlembagaan yang dipengerusikan Hakim Besar Sundaresh Menon, mengkaji semula aspek-aspek tertentu sistem Presiden Dipilih, termasuk memastikan bahawa golongan minoriti dipilih secara berkala sebagai Presiden.

Menyusuli beberapa rundingan awam dan sesi dengar awam, Suruhanjaya itu menyarankan mekanisme pilihan raya dikhaskan yang dicetus selepas selang waktu tertentu yang telah diterima Pemerintah.

Apabila seorang anggota daripada mana-mana kaum (iaitu Cina, Melayu, India dan masyarakat lain) tidak menjawat tugas Presiden selama lima penggal berturut-turut (setiap penggal penuh adalah enam tahun), pilihan raya presiden seterusnya akan dikhaskan untuk calon daripada kaum tersebut.

Lima penggal presiden telah berlalu (sejak Presiden Wee Kim Wee menggunakan kuasa Presiden Dipilih buat pertama kalinya pada tahun 1991) tanpa seorang Melayu dipilih sebagai Presiden, dan ini mencetus proses pilihan raya yang dikhaskan pada lewat tahun ini.

BUKAN AZIMAT

Namun, apa jua pengaturan dibuat ke atas perlembagaan sekalipun, ia tidak dapat melenyapkan pemikiran dan kecenderungan yang berpandukan kaum atau bersifat perkauman di kalangan pengundi.

Pilihan raya yang dikhaskan bukanlah sesuatu azimat dalam usaha kita memastikan bahawa tiada kaum dihalang daripada menjawat tugas presiden.

Pilihan raya yang dikhaskan akan membantu untuk memastikan bahawa jawatan presiden bukan hanya dapat dicapai, malah ia harus dilihat sebagai dapat dicapai oleh semua kaum utama di Singapura.

Ia berfungsi sebagai satu pelindung antara generasi bagi perwakilan minoriti, dan pada masa yang sama, tidak menggilirkan jawatan presiden secara automatik di kalangan kaum-kaum utama, kerana ini adalah tindakan berbaur tokenisme dan akan menjejas legitimasi keputusan Presiden apabila beliau melaksanakan kuasa pelindungnya.

Lantaran itu, pilihan raya yang dikhaskan boleh menjadi wadah di mana para calon dan juga pengundi dapat didorong atau digalak untuk memikirkan bagaimanakah kempen dan kelakuan mereka semasa pilihan raya dapat mempertingkatkan lagi usaha merapatkan hubungan antara kaum di Singapura.

MENGIKTIRAF KERENCAMAN

Pilihan raya yang dikhaskan bukanlah sekadar satu matlamat sahaja, tetapi ia juga adalah cara untuk mengiktiraf kerencaman kita dan bagaimana kita boleh menggunakannya dengan baik.

Akankah ada pertandingan kali ini? Mungkin tidak. Tidak ramai orang yang layak dan besar kemungkinan dua calon tidak akan diketengahkan pihak berkuasa.

Namun, pertandingan akan banyak membantu memekakan rakyat Singapura tentang kedudukan penting jawatan Presiden Dipilih dalam sistem pemerintah berperlembagaan kita.

Pertandingan akan juga meningkatkan legitimasi jawatan presiden, kerana pilihan demokratik rakyat Singapura akan dilaksanakan secara jelas. Selain itu, memandangkan ini adalah pertama kali pilihan raya yang dikhaskan diadakan, ia akan membuat sumbangan besar kepada pemahaman kita tentang peranan pilihan raya yang dikhaskan untuk meningkatkan sistem berbilang kaum kita.

Adakah cabaran undang-undang tentang keperlembagaan pilihan raya yang dikhaskan akan menangguh pilihan raya? Mungkin tidak. Mahkamah Tinggi sedar akan jadual pilihan raya dan besar kemungkinan ia akan menyelesaikan sebarang ketidakpastian undang-undang dengan cepat dan membantu memastikan pilihan raya akan dijalankan mengikut jadual.

Apabila Singapura meraih status pemerintahan sendiri daripada pihak British pada tahun 1959, dan kemudiannya mencapai kemerdekaan dalam keadaan traumatik daripada Malaysia pada tahun 1965, langkah melantik Encik Yusof Ishak, seorang Melayu, sebagai Yang di-Pertuan Negara pertama Singapura dan kemudiannya Presiden, adalah lambang amat penting tentang komitmen negara baru itu terhadap sifat inklusif dan berbilang kaum. Hal tersebut tetap penting, baik ketika itu mahupun hari ini.

Menjelang bulan September, sedang Singapura berkemungkinan memilih seorang Presiden Melayunya yang pertama sejak tahun 1970, kita perlu bertekad untuk menjadikan pilihan raya presiden akan datang sebagai pilihan raya yang dikhaskan yang pertama dan terakhir sekali.

MENGENAI PENULIS

Eugene K B Tan adalah seorang profesor madya di Sekolah Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura. 

Sumber : Today/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan