Images
  • hdb (3)
    Blok HDB di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

KOMENTAR: Perubahan fatwa pemilikan rumah dialu-alukan tetapi masih ada tanda tanya

Semakan fatwa terhadap hak pemilikan rumah yang diumumkan Jawatankuasa Fatwa baru-baru ini disambut baik oleh masyarakat Muslim umumnya. Namun ia masih meninggalkan beberapa tanda tanya seperti sejauh manakah ia menjawab keperluan dan kebajikan para pemilik rumah sepenuhnya.


BERITAmediacorp: Pertama sekali penting untuk kita memahami bahawa fatwa bukan sesuatu hukum di sisi agama yang wajib untuk diikuti. Secara dasarnya, ia adalah sebuah pendapat undang-undang (legal opinion) yang tidak mengikat.

Menurut cendekiawan undang-undang Islam seperti Wael B Hallaq, sebuah fatwa itu merangkumi persoalan yang dikemukakan kepada seseorang mufti bersama dengan jawapan yang disediakan oleh golongan pakar undang-undang.

Namun penting juga untuk ditekankan bahawa lebih daripada hanya memberikan jawapan, fatwa juga mempunyai status yang tinggi di sisi agama kerana ia bertindak dalam memberikan rujukan, sandaran dan keputusan terhadap persoalan hukum agama yang tidak pernah diputuskan sebelumnya.

(Wael Hallaq, sarjana Syariah Islam dan sejarah intelektual Islam. Gambar: Universiti Columbia)

Menurut Hallaq, kebanyakan daripada fatwa yang dikeluarkan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan keadaan sosial, dan selalunya berkaitan dengan situasi sebenar yang dilalui oleh masyarakat.

Jelas di sini bahawa keputusan mengenai sesuatu fatwa dicapai dengan mengambil kira keadaan, realiti sebenar, dan konteks masyarakat.

SEMAKAN FATWA 

Bertolak daripada konteks ini, Jawatankuasa Fatwa MUIS baru-baru ini menyemak tentang hak pemilikan rumah.

Secara tuntasnya, ia memutuskan dan mengiktiraf bahawa Hak Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) sebagai sah di sini syarak dan sekaligus memberikan hak penuh ke atas pemilik yang masih hidup sekiranya pemilik bersama meninggal dunia.

BACA: Fatwa milik rumah disemak, hak penuh kini diberikan kepada pemilik yang masih hidup

Ia juga memutuskan mereka yang ingin memilih untuk mengikut cara faraid boleh memilih skim Pecah Milik (Tenancy in Common).

Fatwa baru ini adalah respons terhadap masalah yang membelenggu sejumlah besar pemilik rumah Muslim di sini sejak 11 tahun yang lalu.

Fatwa sebelum ini menetapkan bahawa pemilik rumah yang masih hidup hanya mendapat hak sebanyak 50% di bawah Hak Pemilikan Bersama dan menganjurkan pemillik rumah untuk melakukan nuzriah atau hibah untuk memberikan bahagiannya kepada pemilik bersama yang masih hidup.

BERATKAN MUNASABAH

Namun sebenarnya penting untuk dirungkai di sini bahawa masalah fatwa pada 2008 itu sebenarnya berakar daripada fatwa pertama yang diputuskan pada 1997, yang menetapkan pemilik bersama yang hidup hanya mendapat 50% daripada hak rumah tersebut manakala baki 50% perlu dibahagikan mengikut faraid.

Walaupun satu semakan fatwa telah dijalankan 11 tahun lalu bagi mengelakkan pergeseran tentang urusan faraid antara ahli keluarga, namun masalahnya tetap tidak dapat diselesaikan.

Menurut Jawantankuasa Fatwa, salah satu daripada sebab utama semakan fatwa dijalankan baru-baru ini adalah disebabkan oleh desakan daripada ahli waris terhadap pemilik bersama untuk menjual rumah yang dimiliki secara bersama dengan si mati agar mereka mendapat bahagian faraid, berlandaskan kepada fatwa yang diputuskan 11 tahun lalu.

Kesempitan kemudian tertimpa atas waris pemilik rumah bersama yang masih hidup apabila mereka perlu berpindah ke rumah lain.

PERMASALAHAN MASYARAKAT

Umumnya, semakan yang diputuskan baru-baru ini amatlah berpatutan memandangkan ia memenuhi keperluan dan respons kepada permasalahan masyarakat.

Dengan fatwa terbaru yang memberikan hak penuh pemilikan rumah kepada pemilik bersama yang masih hidup, ia bukan sahaja mementingkan kebajikan pemilik bersama malah mendukung hak asas yang seharusnya diberikan kepada mereka dari mula lagi.

Di sini kita diingatkan oleh seorang lagi sarjana dalam hukum Islam, Khaled El Abou Fadl, yang sangat memberatkan kemunasabahan (reasonableness) dan keberpatutan dalam pelakaran sesesuatu fatwa.

(Di dalam buku Reasoning with God, Khaled antara lain membincangkan tentang kemunasabahan dalam perundangan Islam. Gambar: Wardah Books)

Menurut Khaled, selain daripada mencari huraian dengan mengikut konteks semasa, fatwa yang diputuskan itu perlulah antara lain mengutamakan keperluan sosial, mengkedepankan rasionaliti, serta sensitif terhadap norma-norma masyarakat.

PELAKARAN FATWA

Ini kerana menurut Khaled jika yang sebaliknya berlaku - iaitu ketidakmunasabahan sesuatu keputusan undang-undang - ia boleh membawa kepada keadaan buruk yang mungkin boleh memecahbelahkan masyarakat.

Contohnya, sebuah fatwa yang diputuskan pada tahun 2007 oleh seorang dekan Pengajian Hadis di Universiti Al-Azhar yang membolehkan pekerja wanita ‘menyusukan’ rakan kerja lelaki bagi mencapai jalinan keibuaan.

Tujuannya adalah agar pekerja wanita itu boleh bercampur gaul dan membuka tudung bersama pekerja lelaki lain di sebuah tempat kerja yang tidak diasingkan.

Jelas kita perlu mengelakkan daripada fatwa sebegini yang tidak masuk akal atau munasabah.

Namun dalam sejarah penggubalan fatwa di Singapura sendiri pernah menunjukkan sifat konservatisme dan tradisionalisme golongan ulama dahulu.

Misalnya, perdebatan hangat golongan agamawan yang mengharamkan pendermaan organ atas sebab kurangnya penjelasan yang utuh di sisi agama bagi menyokongnya.

Seawal tahun 1973 lagi, cendekiawan tempatan Syed Hussein Alatas menyusulkan kepada golongan agamawan agar fatwa tersebut dipertimbangkan bagi membolehkan pendermaan organ.

Beliau melihat kepada maslahah yang diraih dalam masa panjang, selain menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kesakitan bagi pesakit yang masih hidup.

Setelah mengambil masa 34 tahun menerusi beberapa fasa tarik-tolak, masyarakat Islam Singapura akhirnya boleh disertakan secara serta merta ke dalam Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA) pada 2007.

(Buku ini merakamkan himpunan perdebatan sekitar isu pendermaan organ antara Syed Hussein Alatas dan golongan ulama bermula dari zaman 70-an)

MASLAHAT MASYARAKAT

Nyata, selain daripada kemunasabahan dan sikap rasional, pemikiran yang bersifat reformis dan ke arah pembaharuan juga diperlukan dalam melakar fatwa.

Sekiranya tersasar - kepentingan, keperluan dan kemasalahatan masyarakat tidak dapat dicapai.

Kegagalan untuk membuat respons kepada persoalan-persoalan sebelum ini jelas disebabkan oleh sifat tradisionalis – iaitu kecenderungan untuk berpaut kepada yang silam dan takut akan inovasi – pertamanya perlu dielak dan diperbetulkan.

Sebaliknya, seperti yang dikedepankan oleh sarjana dan cendekiawan tempatan mahupun luar negara, fatwa yang diputuskan perlu berpaksikan kepada kemunasabahan dengan berlandaskan penelitian dan pengkajian teks-teks agama.

Dalam soal pemilikan rumah, ia mengambil masa 22 tahun sejak 1997 bagi sebuah fatwa yang memenuhi sifat-sifat tersebut dengan menyerahkan hak penuh kepada pemilik rumah  yang sememangnya sudah ditetapkan oleh HDB dari mula lagi.

BERASA LEGA

Walaupun ia telah mengambil masa lebih daripada dua dekad, namun masyarakat Muslim boleh berasa lega kerana keadaan yang dahulunya tersepit dan terhempit dek fatwa lama, telah dapat diatasi.

Perkembangan fatwa terbaru ini menunjukkan bahawa tafsiran agama tidak lagi berbentuk membeku dan literal dan inilah yang diharapkan daripada perkembangan tradisi intelektual di sini.

Akhirul kalam, seperti yang diajukan oleh K.H. Abdurrahman Wahid, mantan Presiden Indonesia yang juga seorang sarjana Islam yang disegani, hukum Islam haruslah mampu mengembangkan watak dinamisnya dengan perlu berkembang sama mengikut persoalan sebenar yang dihadapi masyarakat.

Tegas beliau: 

Watak dinamis ini hanya dapat dimiliki jika hukum Islam meletakkan titik berat perhatiannya pada soal-soal duniawai yang menggulati kehidupan bangsa kita dewasa ini, dan memberikan pemecahan bagi persoalan-persoalan hidup aktual yang dihadapi masa kini.

- BERITAmediacorp/ur

Top