Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Persiap untuk masa sukar dan arif dalam tangani krisis

Sejauh mana Belanjawan 2020 mencerminkan ciri-ciri kepimpinan yang peka terhadap cabaran dan arif dalam menangani krisis.  

Anggaran Waktu Membaca:

Ramai daripada kita mungkin tidak menyedari bahawa 2020 telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO sebagai Tahun Jururawat.

Bukan kerana virus COVID-19 tetapi sempena ulang tahun hari lahir ke-200 pengasas bidang kejururawatan Florence Nightingale.

Walau apapun sebabnya, 2020 akan sekali lagi menjadi tahun untuk kita mengenang pengorbanan para karyawan perubatan dalam usaha mereka melawan penularan virus korona baru ini.

Sedang COVID-19 terus menular dengan meninggalkan banyak kesan negatif ke atas ekonomi dunia, ia juga mendapat perhatian besar dalam belanjawan  Singapura tahun ini.

Semakin impaknya dirasakan di sana sini, pemerintah telah pun mengumumkan bahawa Belanjawan 2020  akan memberikan perhatian meluas kepada krisis COVID-19, seperti menyediakan pelbagai pakej bantuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

KEADAAN TIDAK MENENTU

Sebelum kemunculan COVID-19, ekonomi Singapura seperti ekonomi dunia keseluruhannya sudah pun mengalami beberapa tekanan akibat keadaan politik dan ekonomi yang tidak menentu.

Seorang kakitangan di luar hospital baru yang diperuntukkan khas untuk merawat pesakit COVID-19 di Wuhan. (Gambar: AP)

Faktor yang menyumbang kepada keadaan tidak menentu ini adalah banyak; antaranya perang dagangan Amerika-China, krisis Timur Tengah (antara Israel dengan Palestin, Iran dengan Arab Saudi, konflik di Syria, Yaman dan sebagainya);

Ketegangan memuncak antara India dengan Pakistan dan  kekacauan politik dengan bantahan-bantahan anti-pemerintah seperti di Hong Kong, Lubnan sehinggalah ke Chile.

Di rantau kita sahaja ketegangan antara Amerika dan China tidak sahaja terhad kepada perdagangan, malah juga kerana kebangkitan dan pengaruh China yang bertambah luas sebagai kuasa besar baru.

Dengan Amerika Syarikat kini memasuki musim pilihan raya presiden tahun ini (dengan Donald Trump dan puak Republican dijangka lebih bersikap tegar), dunia terpaksa lebih berwaspada bahawa keadaan mungkin menjadi lebih rumit tahun ini. 

JIRAN TETANGGA

Kejiranan kita yang terdekat juga tidak kurang dengan unsur-unsur yang boleh meningkatkan lagi keadaan tidak menentu bagi rantau ini.

Antaranya apakah masalah fahaman melampau dan pemikiran radikal dapat dibendung atau bertambah pengaruhnya sehingga menyemarakkan sekali lagi ancaman pengganasan yang membimbangkan.

Sekalipun tiadanya serangan-serangan ganas yang berskala besar, kita tetap perlu berhati-hati memandangkan masih wujudnya pemikiran dan fahaman kurang toleran yang  berkeliaran dalam masyarakat.

Selagi adanya fahaman-fahaman begini yang bukan sahaja boleh memecah-belahkan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam, tetapi juga perpecahan di kalangan Muslim sendiri.

Ini semua tetap menjadi faktor yang menyumbang kepada ketidaktentuan bagi rantau Asia Tenggara. 

FAHAMAN SEMPIT

Di dua negara tetangga kita yang terdekat, Malaysia dan Indonesia,  umpamanya, cukup ketara bahawa fahaman agama dan kebangsaan yang sempit masih menjadi ‘senjata’ berkesan bagi sesetengah pihak untuk menggugat kemantapan dan ketenteraman negara.

Sebagai negara kecil dan terbuka yang terletak di tengah-tengah rantau yang tidak sepi daripada pelbagai pancaroba,  Singapura jelas terdedah kepada sebarang kesan dari utara dan selatannya.

Begitu juga sebagai sebahagian daripada umat Islam rantau ini, masyarakat Melayu/Islam Singapura agak mudah terdedah kepada sebarang perkembangan di negara-negara tetangganya.

MINORITI CONTOH

Dengan pengaruh media yang hampir tiada batas, apakah masyarakat Islam Singapura lebih mudah terikut dengan apa sahaja pengaruh yang datang dari luar?

Atau apakah ia mampu membangunkan kekuatannya sendiri untuk menjadi sebuah masyarakat minoriti contoh.

Sebagai model kepada masyarakat Islam yang lain apakah ia sudah dilengkapkan dengan pelbagai persiapan dan prasarana untuk merealisasikan impian dan wawasan yang dilakarkan, seperti wawasan ‘masyarakat gemilang’.

Apakah usaha-usaha yang sudah diambil sekarang mencukupi dalam membolehkan masyarakat Melayu/Islam Singapura menjadi masyarakat yang terus berkembang maju, bukan sahaja dari segi ekonomi, kemahiran dan pendidikan, tetapi juga dalam aspek-aspek sosio-budaya dan keagamaan.

Apakah strategi lain yang boleh dilakarkan dalam memastikan institusi sosial dan keagamaan masyarakat Melayu/Islam terus dapat memainkan peranan berkesan masing-masing dalam menyokong wawasan ‘masyarakat gemilang’ yang dicita-citakan itu.

PERSIAPAN SEPATUTNYA

Dalam konteks Belanjawan 2020,  inilah antara isu-isu yang perlu direnungkan bersama lebih-lebih lagi dengan mengambil kira semua perkembangan di peringkat global dan serantau ini.

Dari segi jangka pendek, memanglah perhatian utama banyak diberikan kepada usaha-usaha segera dalam menangani krisis berkaitan COVID-19 termasuk mengurangkan kesan-kesan buruknya ke atas masyarakat dan rakyat.

Tetapi pada dasarnya semua respons kita haruslah mencerminkan sikap jangka panjang kita sebagai sebuah negara dan masyarakat, terutama dari segi persiapan kita untuk menghadapi keadaan tidak menentu.

BIJAK DAN BERHEMAH

Berdasarkan kepada rekod prestasinya sejak berdekad-dekad lalu pemerintah dan rakyat Singapura cukup arif dan sepakat tentang perlunya kita peka dan cepat bertindak terhadap sebarang krisis.

Membuat persiapan yang sepatutnya dan bertindak lebih awal dengan sediakan payung sebelum hujan, sudah menjadi sebati dengan gaya kepimpinannya sejak sekian lama.

Dasar bijak berbelanja dalam belanjawan negara, pentingnya dikukuhkan rizab tahun demi tahun serta mahir dalam melakarkan pelbagai strategi yang sesuai dengan sesuatu cabaran, membolehkan negara kerap terlepas daripada krisis-krisis lalu.

Selagi pendekatan yang bijak dan hemah ini terus diamalkan besar kemungkinan krisis seperti COVID-19 akan juga dapat diharungi bersama dengan jayanya kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan