Images
  • france (1)

KOMENTAR: Perlu tingkat strategi dalam menangani ancaman ideologi radikal yang berterusan

BERITAmediacorp: Ancaman utama yang dihadapi dunia masa kini bukanlah pengganasan tetapi fahaman dan orientasi yang boleh membawa kepada pengganasan?

Menyusuli beberapa serangan pengganas di Perancis dan di beberapa negara lain baru-baru ini, pemerintah Singapura telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan di serata negara. Hasil langkah itu seramai 37 orang telah disiasat berkaitan dengan aktiviti pengganasan.

16 daripada mereka yang disiasat adalah warga asing yang telah dihantar pulang ke negara masing-masing. Seorang pekerja Bangladesh berusia 26 tahun pula telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kegiatan berkaitan pengganasan. Dia menjadi radikal dan didapati ingin menggunakan senjata demi menunjukkan “sokongannya” terhadap Islam.

Mereka yang disiasat didapati memiliki orientasi radikal serta membuat komen yang menggalak pengganasan dan boleh menjejas keharmonian agama dan kaum. Sebahagian besarnya menyokong perbuatan memenggal kepala guru sekolah Samuel Paty di Perancis baru-baru ini dan juga menggalak pengganasan terhadap Presiden Perancis Emmanuel Macron.

ANCAMAN BELUM REDA


Antara perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian dalam usaha memerangi pengganasan adalah menyedari bahawa ancaman pengganasan dan ideologi radikal ini belum pernah reda dan ia adalah sesuatu ancaman yang berterusan.

Terdapat 3 faktor mengapa ia sedemikian.

Pertama: Sejak bermulanya penularan wabak COVID-19 awal tahun ini, serangan pengganasan kelihatan berkurangan sehingga akhir-akhir ini. Hakikat ini tidak seharusnya menjadikan kita leka dalam usaha kita untuk terus memerangi pengganasan.

Dalam kesibukan dunia mengendalikan krisis COVID-19, kumpulan pengganasan mengambil peluang untuk merancang dan melakarkan strategi serangan mereka. Ini terbukti dengan serangan di Universiti Kabul, Afghanistan yang dilancarkan ISIS pada awal bulan ini.

Oleh itu, untuk membanteras pengganasan dengan lebh berkesan, kita seharusnya berfikir lebih ke hadapan dari mereka. Amat penting untuk kita menjangka apakah yang mungkin dirancang pengganas dalam situasi COVID-19 dan dalam kehidupan norma yang baru. Dalam erti kata lain, kita seharusnya berfikir seperti mana mereka berfikir.

AMAT MEMBIMBANGKAN


Kedua: Susulan serangan ganas di Perancis bulan lalu, kita lihat banyak suara yang menyokong perbuatan ganas tersebut. Penerbitan kartun mempersendakan Nabi Muhammad yang diterbitkan majalah Charlie Hebdo telah menyemarakkan kemarahan ramai umat Islam di merata dunia.

Situasi seperti ini amat membimbangkan kerana perasaan marah yang tidak terkawal boleh menjurus kepada perbuatan ganas. Ini telah terbukti dengan serangan ke atas Samuel Paty di Perancis. Tidak mustahil sekiranya serangan serupa ditiru orang dan dilakukan di tempat lain.

Sebenarnya, tanda-tanda meniru serangan memenggal kepala ini telahpun wujud. Contohnya, pekerja Bangladesh yang baru sahaja ditahan di bawah ISA didapati membeli beberapa pisau yang ingin digunakan beliau untuk melakukan serangan ganas.

Ketiga: Berleluasanya fahaman tegar dan ideologi radikal yang terus tersebar luas di internet. Ideologi ganas dan radikal yang dipelopori ISIS terus tersebar luas di internet meskipun ISIS sebagai sebuah gerakan telah musnah infrastrukturnya.

Ketahuilah ini merupkan kejayaan ISIS di mana mereka berjaya menarik perhatian dan mempengaruhi ramai anak muda dengan ideologi mereka yang dipropagandakan menerusi internet dan media sosial.

IDEOLOGI RADIKAL


Harus difahami bahawa ancaman utama yang dihadapi dunia masa kini bukanlah ancaman pengganasan. Namun, apa yang menjadi kebimbangan adalah fahaman dan orientasi yang boleh membawa kepada pengganasan.

Orientasi tersebut temasuk fahaman ekstrem dan tegar, kecenderungan eksklusivis, sentimen anti agama dan perkauman (racism). Kesemua orientasi ini duduk di atas satu spektrum – bermula dari mereka yang tegar dalam fahaman agama, tidak dapat berkompromi sehinggalah kepada mereka yang sanggup melakukan keganasan dan pembunuhan.

Maka dari itu, penumpuan harus diberikan kepada bagaimana cara kita menangani kesemua fahaman dan kecenderungan yang didapati berleluasa dalam masyarakat kita.

Lihat sahaja komen-komen berbaur perkauman, menyokong perbuatan ganas, tidak memberi penghormatan kepada agama lain dan sikap tidak toleran yang boleh kita saksikan di wadah seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Berapa ramai dalam kalangan masyarakat Islam kita telah menunjukkan sokongan kepada aksi memenggal kepala Samuel Paty di Perancis. Tidak kurang juga anak-anak muda Islam yang tidak merasakan apa-apa kesalahan dalam ideologi ISIS yang songsang.

ORIENTASI BERBAHAYA

Ketahuilah bahawa kejayaan kita menangani ancaman pengganasan bergantung kepada cara kita menangani kecenderungan dan orientasi yang berbahaya ini. Masyarakat Islam Singapura harus memahami pemerintah tidak sekali-kali akan membiarkan ancaman yang dapat menggugat keselamatan dan juga keharmonian agama dan kaum di sini.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam telah menegaskan meskipun Singapura mengambil pendekatan sekular dan untuk menjamin kebebasan beragama, ia tetap akan campur tangan untuk memastikan penganut agama yang berbeza terlindung daripada sebarang ancaman dan pengganasan.

Beliau menambah bahawa kebebasan bersuara wujud di Singapura, namun hak tersebut hilang sebaik sahaja berlakunya penghinaan terhadap mana-mana agama.

Melihat kepada ancaman yang berterusan ini, usaha meluruskan ideologi radikal dan tegar harus terus dipertingkatkan. Inilah cabaran kita hari ini untuk meluruskan atau membetulkan ideologi songsang dan bukan dengan cara memeranginya secara militan sahaja.

Umat Islam, terutama sekali asatizah seharusnya menumpukan masa dan tenaga untuk menangkis fahaman pelampau-pelampau Islam dengan meluruskan ideologi mereka serta cuba memberi penyelesaian alternatif kepada cara keganasan yang didokong oleh pengganas.

PUTARAN KEGANASAN


Ini penting untuk memecahkan putaran keganasan daripada terus menghantui masyarakat Islam dan untuk melindungi generasi muda kita daripada terjerumus ke dalam doktrin yang ganas. Ini akan sekali gus menutup ruang untuk pengganas mendapatkan lebih ramai anak muda untuk mengembangkan perjuangan songsang mereka.

Untuk menjaga kemurnian ajaran Islam yang sentiasa menganjurkan kedamaian dan keselamatan, juga memastikan keselamatan orang awam dan harta benda, maka perlulah kita mengambil langkah-langkah yang membina dan proaktif dalam bidang pendidikan, dakwah dan pendekatan masyarakat.

Inilah yang telah diusahakan oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sejak penubuhannya lebih 15 tahun yang lalu.

Sejak penubuhannya pada tahun 2003, RRG telah berkecimpung secara sukarela dalam usaha memerangi pengganasan melalui program pemulihan keagamaan bagi para tahanan ISA dan juga menasihatkan masyarakat akan bahayanya fahaman radikal.

LANGKAH PENTING


Usaha-usaha RRG termasuk pemulihan, pendidikan, dakwah, integrasi dan pendekatan masyarakat (social approach) adalah langkah-langkah penting dalam strategi memerangi pengganasan dan membetulkan ideologi pengganas. Untuk membendung pengganasan, bukan sahaja memerlukan landasan ilmu agama yang sebenar tetapi juga memahami agama Islam secara kontekstual.

Pendidikan agama yang menyeluruh merupakan sesuatu yang kritikal dalam membendung ajaran sesat dan menyeleweng dalam jangka masa yang panjang. Begitu juga dengan profil pendidik yang harus sentiasa dipantau agar anak-anak mendapat didikan ilmu dari seorang pendidik yang bertauliah dan diiktiraf.

Operasi pengganas juga diketahui dipengaruhi segolongan mereka yang menggelar diri mereka sebagai guru agama. Apabila pengajaran ideologi lebih diutamakan daripada panduan dan pengajaran ilmu agama, ajaran Islam yang tulen tidak dapat disampaikan secara jelas kepada pelajar.

Di sini kewaspadaan masyarakat perlu dalam pemantauan konteks ajaran Islam yang sebenar dan juga para pendidiknya. Pendidikan bukan sahaja merangkumi hukum ahkam dan ajaran akidah sahaja.

PENDEKATAN MASYARAKAT

Malah nilai-nilai suci Islam seperti sifat kasih sayang, toleransi, saling harga-menghargai hingga sifat mencintai negara juga perlu diterapkan dalam pendidikan agama. Ini dapat menanamkan kepentingan sifat kedamaian, keharmonian dan sifat kasih sayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Dalam soal ini, asas pendidikan dalam keluarga dan sistemnya adalah penting. Keupayaan ketahanan diri adalah bersumberkan ilmu. Ia tidak boleh hanya dengan semangat dan sensasi. Itu akan membawa kepada pelampauan.

Pendekatan masyarakat dan integrasi dapat mengukuhkan lagi keyakinan antara orang Islam dan bukan Islam. Toleransi, sifat kasih sayang, saling harga-menghargai merupakan jalan yang telah diatur Islam dalam bermuamalah sesama manusia.

Mendekati masyarakat baik dari golongan tua ataupun muda, berpendidikan dan berkedudukan tinggi ataupun tidak, adalah penting agar kebersamaan sesama insan dapat diwujudkan.

MENGENAI PENULIS:


Dr Mohamed Bin Ali ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS.

- BERITAmediacorp/na

Top