Images
  • Jemaah solat prayer
    Gambar hiasan. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)

KOMENTAR: Perlu pertimbangkan akibat buruk dari usaha untuk kebaikan

BERITAmediacorp: Menangguhkan sesuatu yang baik demi menimbangkan kesan buruk yang mungkin berlaku akibatnya bukanlah di luar ajaran agama.

Langkah penutupan sementara masjid-masjid di seluruh Singapura telah menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat Muslim di sini.

Antara sebab di sebalik reaksi negatif ialah tanggapan bahawa ibadah wajib seperti solat Jumaat tidak seharusnya diabaikan kerana Allah telah menjamin untuk membantu Muslim yang berusaha menegakkan perintahNya. Oleh itu, Dia pasti akan melindungi Muslim dari apa jua keburukan yang boleh berlaku.


Sikap tidak peduli akan kesan buruk kerana yakin akan kebaikan yang hendak dilakukan juga mungkin mendasari sebahagian Muslim yang menghadiri perhimpunan besar agama, walaupun di masa itu telahpun dimaklumkan nasihat dan panduan yang sebaliknya.

PERLU DIPERBETULKAN

Tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana ternyata ia boleh mengakibatkan kesan buruk yang serius.

Telah banyak penjelasan dari pihak berkuasa dan asatizah mengenai perkara di atas. Artikel ini berhasrat mengemukakan beberapa contoh dari Rasulullah s.a.w yang tidak disentuh dalam penjelasan-penjelasan sebelum ini.

Ia bagi memberi kefahaman bahawa perintah agama tidak dilakukan hanya kerana ia satu kebaikan semata-mata, tapi perlu kepada pertimbangan risiko dan mudarat.


Satu ketika Rasulullah s.a.w berjalan-jalan dengan Aisyah r.a di Masjid Al-Haram, Makkah. Beliau kemudian berdiri berdekatan Kaabah dan memberitahu Aisyah hasrat beliau untuk meruntuhkan Kaabah dan membinanya semula mengikut saiz yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.

Saiz Kaabah pada ketika itu lebih kecil kerana tidak meliputi Hijr Ismail bersebabkan penduduk Makkah tidak mempunyai bahan yang cukup untuk membina semula Kaabah yang runtuh akibat banjir mengikut saiznya yang sebenar.

CONTOH SEJARAH

Namun Rasulullah s.a.w menangguhkan pelaksanaan hasratnya itu. Bahkan hasrat itu tidak pernah terlaksana hingga hari ini yang mana saiz Kaabah kekal pada saiznya yang lebih kecil. Atas sebab inilah umat Islam diwajibkan melakukan tawaf sekeliling Kaabah di luar kawasan Hijr Ismail.

Pastinya meruntuh dan membina semula Kaabah mengikut saiz asalnya adalah sesuatu yang baik kerana tidak mungkin Rasulluah s.a.w sebagai seorang Nabi s.a.w mempunyai hasrat untuk melakukan sesuatu yang tidak elok atau terlarang dengan sengaja. Jika beliau tidak tahu bahawa hasratnya itu salah, Allah taala pasti akan menegurnya. Namun teguran itu tidak wujud.


Jadi apakah sebab yang membuat Rasulullah s.a.w menangguhkan hasratnya itu, sedangkan ia membabit bangunan yang mulia dan signifikan di sisi Islam?

Kisah di atas berlaku setelah Rasulullah s.a.w berjaya menguasai Makkah dari pemimpin Quraisy yang memusuhinya sebelum ini dan dilaporkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari.

Di dalam hadis itu Rasulullah s.a.w memberitahu penangguhan hasratnya itu kerana mempertimbangkan realiti bahawa penduduk Makkah baru sahaja memeluk agama Islam setelah Makkah dikalahkan oleh beliau. Sebelum ini, ramai daripada mereka kuat memusuhi umat dan memerangi umat Islam.

Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w khuatir jika tindakannya akan mengakibatkan kesan-kesan negatif, seperti tanggapan Rasulullah s.a.w;

  • telah mencemar kesucian Kaabah yang amat dimuliakan oleh sekalian kaum Arab
  • seorang pemimpin yang angkuh, yang tidak teragak-agak melakukan sesuka hatinya apabila mendapat kuasa.

UTAMAKAN MENANGI HATI

Hal ini boleh menyebabkan penduduk Makkah dan kabilah-kabilah Arab yang lain menjadi benci dan tidak mahu memeluk Islam dan bertentangan dengan misi dakwah Rasulullah s.a.w dan ajaran beliau kepada sahabat-sahabatnya agar tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang ramai menjadi takut dan menjauhi agama Islam.

Dengan ini, Rasulullah s.a.w mengutamakan manfaat memenangi hati dan jiwa manusia dari kejituan bentuk Kaabah kerana Islam itu menang apabila ia wujud di hati manusia, bukan pada bentuk binaan Kaabah. Oleh itu, tidak bijak untuk membaiki Kaabah ikut saiz asalnya tapi merosakkan jiwa manusia untuk terima kebenaran.

Walaupun kisah di atas ringkas, ia mengandungi pengajaran yang penting bagi Muslim apabila ingin melakukan sesuatu kebaikan yang dianjurkan oleh agama, tidak kira sama ada kebaikan itu untuk individu sahaja atau untuk sekelompok manusia – keluarga, masyarakat atau sebuah pertubuhan.

Pengajaran penting pertama ialah Muslim tidak seharusnya melakukan sesuatu hanya kerana ia adalah baik dan dianjurkan agama, tapi hendaklah juga ambil kira kemungkinan kesan buruk daripada perbuatannya itu.

Jika perbuatan itu mempunyai risiko kesan negatif yang besar hingga dapat mengatasi manfaat yang ingin dicapai, meninggalkan perbuatan itu atau menangguhkannya lebih baik. Bahkan, adakala boleh menjadi wajib.

PERTIMBANGAN MUNASABAH

Perlu diambil perhatian bahawa Rasulullah s.a.w membuat keputusan menangguhkan hasratnya hanya berdasarkan kemungkinan berlaku kesan buruk. Kesan itu belum berlaku pada realiti.

Ia hanya risiko yang dirumuskan berdasarkan pertimbangan logik yang munasabah. Ini memberi pengajaran kedua iaitu kesan buruk yang dijadikan pertimbangan bukan semestinya sesuatu yang telah ada dan pasti. Memadai jika ia hanya risiko yang diandaikan berdasarkan akal yang munasabah.

Pengajaran ketiga ialah mengambil kira dan mengurus risiko adalah anjuran agama. Demikian juga mengelakkan kemungkinan kesan buruk, walaupun jika perlu meninggalkan sesuatu yang baik di sisi agama.


Ia tidak boleh dianggap sebagai tiada tawakal pada Tuhan, tiada kepercayaan pada bantuanNya, tanda lemah iman, kecenderungan untuk gadai perintah agama atau pengecut.

Atau kerana tidak berani menghadapi mudarat atau risiko, kerana Rasulullah s.a.w sendiri melakukannya. Tidak mungkin Rasulullah s.a.w melakukannya atas sebab-sebab sedemikian.

Setiap perintah Tuhan, pada teori dan dasarnya, memang pasti mempunyai hikmah dan manfaat bagi manusia. Namun pelaksanaan perintah itu di peringkat mikro (kes tertentu) mungkin boleh menatijahkan kesan buruk yang lebih besar daripada kebaikan yang dapat dinikmati.

DALIL-DALIL LAIN

Pengajaran di atas boleh disokong dari dalil-dalil lain. Sebuah hadis yang mempunyai pengajaran yang hampir sama ialah kisah Muaz r.a bersama Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Dalam hadis ini, Muaz bercerita,

“Saya pernah dibonceng oleh Nabi s.a.w menaiki seekor keldai. Maka Nabi s.a.w bertanya kepada ku: Hai Muaz! Tahukah kamu apa hak Allah atas hambaNya dan apa hak hamba atas Allah? Maka aku katakan: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Maka Nabi s.a.w bersabda: Hak Allah atas hambaNya adalah hendaknya mereka menyembah (beribadah) kepadaNya dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu pun. Hak hamba atas Allah adalah Allah tidak akan menyeksa orang yang tidak musyrik kepadaNya.

Aku berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah sebaiknya aku sampaikan berita ini kepada manusia? Nabi bersabda: Janganlah kamu memberi khabar gembira ini kepada mereka kerana mereka akan menjadi pasrah (bermalas-malasan).”

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w melarang Muaz dari menyampaikan sesuatu ajaran yang baik tanpa ambil kira kemungkinan kesan buruknya, iaitu kemungkinan manusia menjadi ambil mudah dan malas dalam urusan agama.


Demikian juga dengan kisah Rasulullah s.a.w yang enggan menghukum Abdullah bin Ubay, ketua golongan munafik kerana mencela dan mengancam keselamatan beliau di belakangnya.

Walaupun perbuatan itu telah didedahkan oleh Allah taala dalam ayat 7 dan 8 dari surah Al-Munafiqun. Apabila ditanya mengapa Abdullah bin Ubay tidak dihukum, Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa beliau tidak mahu wujud persepsi negatif dalam kalangan orang Arab yang belum memeluk Islam.

PENGAJARAN TAMBAHAN

Baginda tidak mahu mereka berpersepsi bahawa beliau amat mudah menghukum (membunuh) Muslim yang mengkritik atau menyalahi pendiriannya. Kisah ini dilaporkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab tafsir.

Dari kisah ini pula terdapat pengajaran tambahan iaitu termasuk dalam risiko yang perlu diambil kira dalam usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, iaitu persepsi negatif orang ramai terhadap Islam dan umatnya.

Dengan erti kata lain, mengelak persepsi negatif orang ramai tidak semestinya satu perbuatan yang menggadai agama kerana hendak menyenangkan hati manusia.

Termasuk dalam melakukan dan mengajak kebaikan yang dibincangkan dalam artikel ini ialah segala usaha untuk mencegah kemungkaran kerana mencegah kemungkaran pada dasarnya juga adalah satu usaha melakukan kebaikan.


Segala yang dinyatakan di atas bukan sesuatu yang baru. Para ulama sejak zaman silam telah beramal dengannya sebagaimana yang dapat dilihat dari kaedah-kaedah fikih yang mereka rumuskan:

  • Setiap ibadah yang mudaratnya lebih besar daripada manfaatnya, ibadah tersebut dilarang
  • Apabila bertembung beberapa maslahat, hendaklah mendahulukan maslahat yang lebih utama/besar
  • Mudarat yang lebih berat, harus dihilangkan dengan melakukan yang mudarat yang lebih ringan
  • Menolak mudarat/kerosakan lebih utama dari mengambil maslahat/kebaikan.

HIKMAH BERDAKWAH

Kesimpulannya, melakukan dan mengajak kepada kebaikan serta mencegah dan mengubah kemungkaran tidak seharusnya dilakukan berdasarkan semangat dan secara “buta tuli”, tanpa menghirau akibat buruk yang lebih besar yang mungkin berlaku. Ia adalah Sunnah Nabi s.a.w.

Menangguhkan sesuatu kebaikan atau usaha cegah kemungkaran demi mengelak mudarat besar termasuk dalam hikmah berdakwah dan tidak semestinya petanda sifat pengecut atau menggadai prinsip.

Wajib seorang Muslim menahan diri dari cepat menghukum yang negatif dalam perkara ini.

Wajib juga bagi sesiapa yang ingin berijtihad dalam perkara ini bertakwa pada Allah taala yang Maha Mengetahui niat sebenar dalam hati. 


MENGENAI PENULIS:


Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

- BERITAmediacorp/fz

Top