Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perjuangan melawan COVID – kenapa banyak negara masih kecundang

Kalau negara seperti S’pura sudah boleh menghela nafas panjang, banyak negara pula masih terkial-kial cuba memadamkan api pandemik yang kembali membara?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Perjuangan melawan COVID – kenapa banyak negara masih kecundang

(Gambar: REUTERS/Brian Snyder)

Tidak seperti banyak negara lain, Singapura mungkin antara sejumlah kecil negara yang bakal keluar dari bayangan pandemik COVID-19 lebih awal daripada yang dijangkakan. 

Dengan jumlah kes jangkitan dalam masyarakat terus berkurangan, malah adakalanya tiada langsung dilaporkan, ia bermakna langkah ke arah fasa ketiga dan yang terakhir dalam pembukaan semula masyarakat dan ekonomi mungkin dilaksanakan tidak lama lagi.

Namun melihat kepada prestasi dunia keseluruhannya, tidak sukar untuk kita menyimpulkan bahawa besar kemungkinan pandemik ini akan berpanjangan lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini.

SEMAKIN DIRASAKAN

Sedang semua usaha gigih kini dilaksanakan kesan besar pandemik ini semakin dirasakan hari demi hari, terutama di kalangan golongan bawahan yang amat terdedah kepada sebarang bahaya pelbagai gangguan ekonomi, sosial dan politik.

Tidak seperti pandemik atau wabak penyakit yang berlaku dalam sejarah sebelum ini, COVID-19 telah mengakibatkan buat pertama kalinya seluruh dunia terpaksa menghabiskan sumber masing-masing dalam melawan musuh bersama yang amat kecil tetapi cukup berbahaya.

Bank Dunia menganggarkan ekonomi akan terus menguncup lebih 5% menjelang akhir tahun ini, menyebabkan kadar pengangguran tertinggi sejak lebih 70 tahun lalu.

Di samping penguncupan ekonomi dan pengangguran besar-besaran, dunia juga dikhuatiri menyaksikan peningkatan kes-kes muflis di sana-sini dan penularan kemiskinan baru di kalangan sesetengah negara.

KESAN KEMISKINAN

Menurut Bank Dunia, kemelesetan ekonomi global juga bakal menyaksikan golongan miskin meningkat sehingga 100 juta orang pada tahun 2020.

Semua kesan mendadak pandemik COVID ini dijangka berlaku walaupun banyak negara telah menghabiskan bertrilion dolar – suatu jumlah besar yang tidak pernah dibelanjakan dalam sejarah manusia – untuk menyelamatkan ekonomi, pekerjaan dan kehidupan.

Seorang individu mendapatkan suntikan vaksin terhadap COVID-19 daripada firma bioteknologi Jerman. (Gambar fail: REUTERS)

Bayangkan jika apa yang diramalkan bahawa pandemik ini akhirnya akan terungkai apabila diketemukan vaksinnya, tidak menjadi kenyataan.

Kemungkinan ini boleh berlaku akibat pelbagai sebab, antaranya penghasilan dan pengagihan vaksin terbantut kerana tiadanya kerjasama sedunia.

Usaha menghapuskan pandemik covid ini adalah perjuangan yang lama dan kompleks kerana lambatnya dalam penemuan dan penghasilan vaksinnya.

TIDAK MENENTU

Pada masa yang sama COVID-19 menjadi pandemik yang penuh dengan ketidaktentuan disebabkan kadar pemulihan yang berbeza-beza antara satu kumpulan negara dengan kumpulan negara yang lain.

Sebelum ini agak ketara jangkaan ramai tentang kadar pemulihan di kalangan negara-negara di dunia.

Biasanya pakar-pakar menjangkakan negara-negara yang kaya dan cukup dengan pelbagai sumber diramal dapat keluar daripada bayangan COVID-19 lebih cepat daripada negara-negara miskin dan membangun.

Tetapi apa yang jelas hari ini kekayaan dan pemilikan kepakaran kesihatan sahaja tidak mencukupi untuk menjamin sesebuah negara akan berjaya melawan COVID-19.

NEGARA TERATAS

Satu kajian yang dibuat oleh Pusat Keselamatan Kesihatan Universiti Johns Hopkins pernah meletakkan Amerika Syarikat di negara teratas di kalangan negara-negara lain dalam kemampuannya untuk menangani sebarang penularan penyakit.

Kajian itu jelas terlalu yakin terhadap kemampuan sumber dan kepakaran kesihatan yang dimiliki oleh negara itu.

Ia bagaimanapun tidak mengambil kira tentang kemungkinan tentang akan berlakunya ‘kesilapan dasar pemerintah’  dan kelemahan kepimpinan politik, yang kini menjadi faktor penyebab pelbagai masalah yang dihadapi negara itu dalam perjuangannya melawan pandemik.

(Gambar: Reuters)

Dengan jumlah kes bakal mencecah 8 juta orang dan lebih 211 ribu kematian, Amerika Syarikat adalah negara paling teruk terjejas dengan pandemik COVID buat masa ini.

POLITIK PECAH BELAH

Penularan pandemik di Amerika Syarikat masa kini memanglah boleh dijadikan kajian kes (case study) yang cukup penting dipelajari semua negara lain.

Ia menunjukkan bagaimana pelbagai faktor, terutama faktor-faktor politik, boleh menjejas teruk satu masalah kesihatan sehingga menjadi krisis yang semakin sukar ditangani.

Berdasarkan sumber dan kepakaran, seperti yang diajukan oleh kajian Johns Hopkins pada awal tahun ini, Amerika Syarikat memang sepatutnya berada jauh di hadapan dalam kemampuannya untuk menangani sebarang penularan penyakit berjangkit.

Bagaimanapun akibat politik kepuakan dan polarisasi masyarakat yang cukup berbelah bahagi, terutama dalam soal ekonomi, hak individu, perbezaan kelas dan warna kulit, mengakibatkan munculnya kepimpinan politik yang paling lemah dalam sejarah moden Amerika Syarikat.

Seperti yang kita saksikan sejak beberapa bulan lalu, cara COVID-19 ditangani di Amerika Syarikat mencerminkan pelbagai kelemahan dan ketidakcekapan yang dapat dikaitkan dengan gaya dan pemikiran kepimpinan utamanya iaitu Presiden Donald Trump.

KEGAGALAN KEPIMPINAN

Ramai pemerhati dan pakar cukup akur bahawa kelembapan Amerika menangani masalah pandemiknya semua disebabkan kegagalan kepimpinan Rumah Putih yang diduduki Presiden Trump.

Presiden Donald Trump. (Gambar: Joshua Roberts/REUTERS)

Kegagalannya menunjukkan kepimpinan berkesan, seperti enggan mendengar nasihat pakar-pakar kesihatan, enggan melaksanakan dasar munasabah seperti memakai pelitup dan penjarakan sosial, mengakibatkan ratusan ribu rakyatnya terkorban kerana covid.

Walaupun dengan beliau sendiri kini sebahagian daripada tujuh juta orang yang sudah dijangkiti COVID-19, Trump masih dengan sikapnya yang anti-sains dan berpendirian tidak wajar, yang bakal membahayakan lebih ramai rakyat negara itu.

Namun melihat pada pucuk pangkal krisis kepimpinan Amerika, akarnya bukanlah kerana Trump semata-mata.

Trump lebih merupakan simptom krisis yang memang sudah sekian lama bertapak di negara itu yakni krisis perpecahan dan polarisasi masyarakat yang semakin menebal.  

Kalau kita hendak mengambil sebarang iktibar daripada satu kajian kes seperti di Amerika Syarikat, inilah yang boleh kita pelajari: Betapa buruknya kesan polarisasi apabila ia sudah berakar sehingga ke dalam setiap lapisan kehidupan dan budaya politik sesebuah masyarakat.

 

 

 

 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan