Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perdamaian di Timur Tengah – harapan baru atau kesan sementara sahaja

Ada yang menyifatkan Perjanjian Ibrahim sebagai pembuka lembaran baru dalam sejarah perdamaian di Timur Tengah. Ada juga yang menolaknya sebagai tidak bermakna. Sejauh mana kesannya ke atas Timur Tengah dan dunia seluruhnya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Perdamaian di Timur Tengah – harapan baru atau kesan sementara sahaja

Gambar fail bendera UAE (atas) dan bendera Israel (Gambar: AFP/KARIM SAHIB, AHMAD GHARABLI)

Sekitar awal September ini, sebelum pemeteraian apa yang dipanggil Perjanjian Ibrahim,  televisyen Arab Saudi telah menyiarkan apa yang disifatkan pemerhati sebagai  khutbah yang berbeza daripada yang sebelumnya.

Menurut laporan agensi berita Reuters, khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh  Abdulrahman al-Sudais menggesa umat Islam supaya mengelakkan daripada ‘emosi yang keterlaluan dan berapi-api’ terhadap kaum Yahudi.

Kalangan pengamat berpendapat khutbah tersebut boleh dilihat sebagai petanda perubahan dasar Arab Saudi yang mungkin turut ikut jejak Amiriah Arab Bersatu, UAE dan Bahrain untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Sekiranya ini berlaku ramai berpendapat ia mungkin membawa satu lagi perubahan besar di rantau Timur Tengah yang kini sentiasa bergolak dengan pelbagai konflik yang berterusan.

Antara punca utama keadaan bergelora yang bertali arus itu adalah konflik Palestin-Israel yang telah berlanjutan selama 70 tahun – ia mungkin boleh disifatkan sebagai konflik paling lama di dunia.

Namun, ia kini bukan lagi krisis antara Israel dengan negara-negara Arab jirannya yang menentang pendudukan Israel yang berterusan ke atas tanah Arab Palestin dan juga penguasaannya ke atas tempat suci Islam di Timur  Baitulmakdis.

Nasib hampir lima juta penduduk Palestin dan pendudukan Israel ke atas Baitulmakdis telah lama mendapat simpati bukan sahaja negara-negara Arab dan Islam malah juga banyak negara lain.

Ia merupakan isu yang pelbagai dimensi melibatkan sebegitu ramai ‘pemegang taruhan’ – baik di Timur Tengah atau rantau lain.

KUASA SERANTAU

Antara perkara yang menjadikannya semakin rumit termasuklah kerana percaturan antara dua kuasa serantau di Timur Tengah, iaitu Iran dan Arab Saudi.

Kedua-duanya yang telah lama bersengketa kini menggunakan pelbagai wadah dan proksi (baik di Yaman, Lubnan atau pun Syria) untuk muncul sebagai ‘jaguh’ dalam rantau penting itu.

Sedang kedua negara terlibat dalam pelbagai tarungan dan taruhan – termasuk perang proksi dan perang diayah – isu Palestin pula kerap menjadi lambang perjuangan masing-masing demi mendapatkan sokongan dan pengaruh meluas dari umat Islam sejagat.

Selain menjadi lambang dan bahan pertarungan kuasa di rantau Teluk,  isu Palestin juga kerap dilihat sebagai ‘bahan’ yang boleh digunakan sesiapa terutama sekali parti-parti politik untuk memaparkan imej simpati dan persaudaraan seagama.

Gambar fail pekarangan Masjid Al-Aqsa dipetik pada Mac 2019 (Gambar: Ahmad Gharabli/AFP)

Pokoknya, walaupun isu Palestin dan kedudukan Baitulmakdis memang merupakan isu kemanusiaan,  ketidakadilan dan penindasan, ia juga mempunyai ‘nilainya’ tersendiri bagi para ‘pemegang taruhan’ yang telah membuat banyak ‘pelaburan’ masing-masing.

FAKTOR UTAMA

Konflik Palestin dilihat mereka sebagai pelaburan yang baik terutama di negara-negara di mana simpati umat Islamnya sudah sampai ke tahap berkobar-kobar.  

Bagi kedua-dua UAE dan Bahrain, yang bersetuju menjalin hubungan berbaik-baik dengan Israel, mereka juga menyebut perkembangan di bumi Palestin sebagai alasan untuk menyegerakan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Antaranya, keadaan semakin terdesak sekarang dan boleh mencetuskan keganasan baru, sekiranya pemerintah Perdana Menteri Netanyahu meneruskan rancangannya hendak meluaskan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat.

Tapi apa yang tidak dijelaskan adalah apakah hakikat bahawa UAE dan Bahrain sebenarnya berhadapan dengan ancaman lebih besar dari negara jirannya, Iran, merupakan faktor lebih utama.  

Tidak juga dijelaskan sama ada dorongan utama kedua-dua negara itu adalah janji dari Amerika Syarikat untuk menyediakan ganjaran besar seperti kiriman bekalan senjata yang lebih canggih termasuk jet-jet pejuang F-35 buatan Amerika.

KEPENTINGAN POLITIK

Namun tidaklah sukar bagi ramai pemerhati membuat kesimpulan bahawa apa yang mendorong negara-negara yang mahu ‘membuka lembaran baru sejarah’ dengan berbaik-baik dengan Israel, adalah kerana kepentingan politik dan keselamatan masing-masing.

(Dari kiri) PM Israel Benjamin Netanyahu, Presiden AS Donald Trump, Menteri Ehwal Luar Bahrain Abdullatif Rashid Al Zayani, dan Menteri Ehwal Luar UAE Abdullah Zayed susuli pemeteraian 'Perjanjian Abraham' pada 15 Sep 2020 (Gamba: Alex Wong/Getty Images/AFP)

Apa-apa alasan lain termasuklah demi kepentingan masyarakat Palestin sebenarnya jauh sebagai pertimbangan utama yang mendorong keputusan penting itu.

Lantaran itu tidaklah memeranjatkan sekiranya langkah mendadak UAE dan Bahrain itu mendapat reaksi bercampur-campur di sana sini.

Bagi yang melihatnya sebagai langkah untuk kepentingan diri sendiri sahaja, mereka tidak yakin ini boleh mendatangkan faedah kepada masyarakat Palestin atau sesiapa kecuali Israel dan Amerika Syarikat, khususnya Netanyahu dan Donald Trump.

Mereka yang bersikap optimistik pula berasa yakin bahawa sesuatu yang lebih besar boleh dicapai sekiranya usaha sebegini boleh mendorong Israel untuk lebih bertolak ansur dalam mencari huraian yang lebih adil dan saksama bagi isu Palestin.

PENDORONG KUAT

Apabila Arab Saudi pula mengorak langkah yang sama, ramai yakin ini boleh menjadi pendorong kuat bahawa usaha-usaha damai masih boleh membawa ganjaran baik kepada semua.

Sebagai negara Islam yang amat berpengaruh di dunia, tentunya sebarang langkah penting yang diambilnya boleh menjana kesan gelombang di serata dunia termasuklah dalam pembentukan sikap dan pemikiran umat Islam.

Kalau sebelum ini banyak khutbah di Arab Saudi kerap mendoakan kemenangan orang Palestin ke atas “kaum Yahudi yang menyerang mereka”,  kini bunyinya semakin lembut terhadap masyarakat Yahudi.

Kalau dahulu ia tidak lepas daripada cemuhan dan kencaman terhadap kaum Yahudi, kini khutbahnya diselitkan dengan hadis Rasulullah yang menunjukkan sikap baik baginda terhadap jirannya yang beragama Yahudi.

Ia mungkin satu langkah yang kecil buat masa ini.

Tapi jika ia diteruskan dengan banyak lagi langkah bermakna, bayangkan kesannya terhadap sikap dan jiwa mereka yang telah lama dibesarkan dengan pelbagai adu bomba benci membenci yang menggunakan alasan-alasan agama.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan