Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penting terus pupuk sikap inklusif; cegah perkauman dalam bilik darjah

Kes-kes sejak kebelakangan ini berhubung komen-komen berbaur perkauman yang dihamburkan oleh seorang pensyarah Politeknik Ngee Ann sekali lagi mencetuskan perbincangan tentang hubungan antara kaum dan pandangan peribadi kita dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kes-kes sejak kebelakangan ini berhubung komen-komen berbaur perkauman yang dihamburkan oleh seorang pensyarah Politeknik Ngee Ann sekali lagi mencetuskan perbincangan tentang hubungan antara kaum dan pandangan peribadi kita dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Singapura.

Setiap orang mempunyai kecenderungan dan mungkin berpegang kepada stereotaip terhadap orang-orang yang dianggap berlainan daripada dirinya dan sesetengah sikap atau stereotaip itu berakar daripada perkara-perkara yang mungkin sering didengar ketika kita membesar atau pengalaman yang dilalui.

Hakikat sedemikian mungkin mempengaruhi tanggapan kita terhadap sesetengah individu atau golongan ataupun situasi di sekeliling kita, yang membentuk model kepercayaan dan mental kita yang kemudian membawa kepada kelakuan kita. Semua itu dibentangkan dengan jelas dalam rangka kerja Tangga Kesimpulan oleh Chris Argyris – yang menjadi popular dalam buku “The Fifth Discipline: The Art and Practice of the Learning Organization” oleh Peter Senge.

Apa pun sebab atau alasannya, kita perlu menyedari tentang sikap berat sebelah dan stereotaip kita sendiri, dan berusaha untuk memahami dan mendampingi golongan yang dipercayai berbeza daripada diri kita berdasarkan tanggapan tersebut atau stereotaip kita sendiri.

(Gambar: Unsplash)

Kesedaran dan usaha sedemikian akan membantu kita untuk menuruni 'tangga kesimpulan' dan menghakis sesetengah tanggapan terhadap sesetengah individu atau perbuatan mereka. Pada dasarnya, kita akan menyedari bahawa kita semua sebenarnya mempunyai banyak persamaan dan tidak terdapat begitu banyak perbezaan antara kita dengan orang lain.

Kita akan mempelajari bahawa kita mempunyai impian dan cita-cita kita sendiri. Kita mempunyai orang-orang tersayang yang kita kasihi. Kita mempunyai nilai-nilai dan kepercayaan yang mahu ditegakkan. Kita memegang tanggungjawab dan kewajipan kita, baik sebagai anak, suami atau isteri, ibu bapa, saudara atau rakan, karyawan mahupun sebagai seseorang dalam kedudukan yang berwibawa, berkuasa atau berpengaruh dalam masyarakat.

PERANAN SEBENAR PENDIDIK

(Gambar: TODAY)

Sebagai pendidik, kita berada dalam kedudukan yang berwibawa dan berpengaruh dan kita bertanggungjawab memastikan perkara-perkara yang diajar dalam bilik darjah bukan hanya berdasarkan andaian atau teori semata-mata. Kita menampilkan nilai-nilai yang diperhatikan dan dipelajari oleh para pelajar, yang mungkin akan meninggalkan kesan dan membentuk pegangan hidup atau perbuatan mereka pada hari muka.

Sejak saya mengajar sebagai seorang guru di peringkat sekolah menengah, saya selalu memastikan agar saya bersikap sensitif kepada golongan pelajar dengan perjalanan hidup yang berbeza-beza dan bersikap inklusif. Sebagai contoh, dalam memilih jawatankuasa kelas, saya memastikan agar saya melibatkan para pelajar dari kaum-kaum berbeza dengan pelbagai minat dan keperibadian.

Walaupun sekarang saya mengajar di peringkat universiti, sedaya mungkin saya akan memastikan saya bersikap inklusif terhadap semua pelajar saya. Setiap kali saya mempelawa para mahasiswa untuk menyertai perbincangan semasa kuliah, saya turut menggalak penyertaan secara lisan dan juga secara bertulis – saya mengingatkan diri saya bahawa sesetengah mahasiswa mungkin kurang lantang dalam bilik darjah dan mereka mungkin lebih cenderung menulis pendapat atau pandangan mereka.

Dan apabila kita membincangkan isu-isu yang boleh menimbulkan perbalahan atau dianggap sensitif, saya sering mengingatkan diri saya supaya bersikap terbuka kepada pandangan dan pendapat berbeza yang disuarakan oleh anak didik saya dan untuk berkongsi pandangan peribadi saya secara bijaksana dan berhemah. Saya masih mempelajari cara-cara untuk memperbaiki proses tersebut.

MENCORAK BELIA DAN MASA DEPAN MEREKA

Gambar fail pelajar menengah gunakan peranti digital dalam bilik darjah (Gambar: TODAY)

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengekalkan kesopanan, keterbukaan dan sikap inklusif dalam pemikiran, kata-kata dan tingkah laku kita.

Ia mungkin lebih mudah untuk mencerca dan meluahkan segala isi hati, lebih-lebih lagi jika kita percaya bahawa kita berada dalam kedudukan yang berwibawa atau berpengaruh dan tidak dapat ditentang.

Namun itulah sebabnya mengapa kita perlu bersikap lebih bertimbang rasa, lebih-lebih lagi dalam peranan kita sebagai pendidik. Kita mungkin berfikir bahawa pandangan, kata-kata dan perilaku kita tidak akan mendatangkan banyak kesan, namun lambat laun ia mampu membentuk pandangan, kata-kata dan perilaku para pelajar – dan mungkin juga sikap atau persepsi ataupun perspektif mereka – dan kelakuan mereka terhadap orang lain yang mungkin membawa kesan-kesan susulan.

Seperti yang dikatakan oleh Henry Brooks Adams: “Seseorang guru menjejas kehidupan buat selama-lamanya; beliau mungkin tidak akan dapat mengetahui sejauh mana pengaruhnya terhenti”.

Jika seseorang guru berupaya menunjukkan sikap inklusif, kesopanan dan kebijaksanaan ketika membincangkan pandangan, nilai atau kepercayaan yang berbeza, para pelajarnya akan turut meneladani sikap terbuka dan menyedari tentang perbezaan-perbezaan yang mungkin mempengaruhi kelakuan mereka terhadap orang lain pada masa akan datang. Sebaliknya jika seseorang guru itu setakat memaksa para pelajarnya supaya menerima bulat-bulat pandangan yang dikemukakannya, para pelajar mungkin akan menuruti kelakuan serupa kelak.

TERUS PERTINGKAT KESEDARAN & BERSIKAP SENSITIF

Selain peranan kita sebagai pendidik, sistem pendidikan kita juga merupakan wadah yang baik untuk kita terus membangkitkan kesedaran dan sikap sensitif terhadap perbezaan yang wujud dalam masyarakat majmuk kita. Kita sudah mencatatkan banyak pencapaian dan kemajuan sejauh ini. Namun kita masih boleh memperhebatkan usaha untuk mendidik dan membina asas kemajmukan dan kepelbagaian di sekolah-sekolah kita.

(Gambar: Parlimen Singapura/Facebook)

Saya pernah mengulas tentang usaha sedemikian di Parlimen dan saya juga membincangkannya dalam tulisan saya ““Education as a Social Leveller - Outcomes and Opportunities” dalam buku Social Context, Policies and Changes in Singapore: Beyond the First 50 Years yang disunting bersama dengan Profesor Yaacob Ibrahim dan bakal dilancarkan pada Oktober 2021.

Sudah banyak usaha dijalankan dan boleh terus dilakukan dalam peranan kita mendidik belia yang mudah terpengaruh.

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos) 

Yang lebih penting lagi sebagai seorang pendidik, kita perlu menjadi peran contoh kepada nilai-nilai yang ingin kita terapkan dalam belia kita dan bagi masa depan mereka dan kita perlu mengakui bahawa meskipun kita berada dalam kedudukan yang berwibawa atau berpengaruh, kita tetap memikul tanggungjawab untuk memupuk dan memperbaiki masa depan kita bersama.

Tugas kita mesti diteruskan. Yang paling penting sekali, ia juga merupakan satu peringatan kepada diri saya sendiri.

“Matlamat sebenar pendidikan adalah untuk mengajar seseorang untuk berfikir secara intensif dan untuk berfikir secara kritis. Kepintaran dengan keperibadian – itulah sasaran utama pendidikan yang sebenar-benarnya.” – Martin Luther King.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan