Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengiktirafan bagaimana untuk melahirkan sasterawan berdedikasi

Sasterawan berperanan penting dalam mendaulatkan bahasa dan mewarnai kehidupan. Sejauh mana ganjaran sekarang mencukupi untuk melahirkan sasterawan berdedikasi?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengiktirafan bagaimana untuk melahirkan sasterawan berdedikasi

Gambar hiasan. (Gambar: Aaron Burden/Unsplash)

BERITAmediacorp: Sasterawan berperanan penting dalam mendaulatkan bahasa dan mewarnai kehidupan. Sejauh mana ganjaran sekarang mencukupi untuk melahirkan sasterawan berdedikasi?

(Gambar: Alfons Morales/Unsplash)

(Gambar: Alfons Morales/Unsplash)

TIDAK hidup bahasa dan nusa tanpa kesusasteraannya. Demikian kata para pujangga baik dari zaman Confucius, Aristotle, William Shakespeare hinggalah kepada Masuri S.N.

Ketika Singapura sekali lagi meraikan Bulan Bahasa secara rasmi pada 7 September ini, bersamaan sambutan Dwiabadnya, setakat mana pula kebenaran kenyataan tadi?

Hakikatnya Singapura telah melahirkan para sasterawan bertaraf serantau, sekalipun belum dianggap terkenal atau dimasyhurkan di jagat. Antara mereka dari tingkat teratas ialah Harun Mohd Amin (@Harun Aminurashid atau Pak Har, 8 Ogos 1907 - 9 Nov 1986) yang novel-novelnya telah diterjemahkan di bawah program Unesco; diikuti Masuri S.N yang sajak-sajak dikaji di peringkat antarabangsa; Muhd Ariff Ahmad (Pendeta Dr, 1924-2016) yang mencetuskan gerakan penulis yang tersusun menerusi forum-forum bahasa dan sastera, sehinggalah Suratman Markasan yang masih gigih berkarya pada usia lewat senja.

MENDAPAT SAMBUTAN

Pengkaryaan mereka pula bersambut dengan kehadiran para sasterawan yang lebih muda seperti penyair Johar Buang sehinggalah Isa Kamari yang mempunyai karya terbanyak diterjemahkan ke bahasa-bahasa utama dunia.

Namun setakat manakah para sasterawan kita dikenali masyarakat atau sekurang-kurangnya karya mereka sering dibaca dan dibincangkan?

Soalan ini penting kerana menurut Pendeta Muhd Ariff, “... bagi sasterawan, yang paling menggembirakan ialah apabila karya dapat diterbitkan dan mendapat sambutan. Inilah imbalan atau ganjaran terpenting dalam pengkaryaannya.”

JADI SEBUTAN

Sejarah membuktikan sasterawan turut membentuk dan memupuk masyarakatnya. Menerusi karya-karyanya seperti Noli Me Tangere (Barah Masyarakat), Jose Rizal (1861-1896 M) telah menyeru rakyat Filipina untuk bangkit gagah menentang sebarang bentuk penjajahan (ketika itu Sepanyol).

Begitu juga dengan penerima Hadiah Nobel bagi Sastera yang pertama dari Asia, Rabindranath Tagore (1861-1941) yang puisinya dalam bahasa Benggali dijadikan lagu kebangsaan untuk dua negara – India dan Bangladesh.

Adapun Lagu Kebangsaan Singapura walaupun digubah oleh Zubir Said (1907-1987), turut mendapat masukan dan sentuhan sastera oleh Cikgu Muhd Ariff Ahmad sehingga apabila dinyanyikan oleh Ramli Sarip pada Perbarisan Hari Kebangsaan, tampak kesyahduannya bak sebuah doa nusa.

(Gambar: Ramli Sarip/Facebook)

(Gambar: Ramli Sarip/Facebook)

Sejak terhenti aliran Melayu di Singapura pada pertengahan 1970-an, semangat sastera Melayu bak turut terjejas. Ini kerana sastera hanya terbatas pada kegiatan berpersatuan semata.

Mujurlah menerusi semakan ke atas pengajaran bahasa Melayu oleh jawatankuasa pimpinan Prof Madya Dr Hadijah Rahmat pada awal abad 21, berlaku pencerahan bahawa sastera perlu diajarkan dalam kurikulum bahasa bunda demi memupuk kecintaan pada bahasa Melayu.

Namun waktu mengajar bahasa bonda, termasuk bahasa Melayu (BM), amat terhad di sekolah. Malah kalangan guru BM mendapati kian sukar menambat perhatian murid mereka. Menurut Bancian Penduduk dan tinjauan sarjana sejak 1980, terdapat kemerosotan penggunaan bahasa Melayu di rumah. Erti, pada umumnya kefasihan berbahasa Melayu, apatah lagi minat pada sastera Melayu akan terhakis jua dalam kalangan orang Melayu di sini.

PENYELARASAN MBMS

Sejak penubuhan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada September 1992, sastera Melayu di Singapura cuba diangkatkan martabatnya dengan pemberian Anugerah Tun Seri Lanang dan Anugerah Persuratan.

Langkah ini amat dialu-alukan. Namun, dari segi para sasterawan dan khalayak pembacanya pula, bilangan mereka kian relatif kecil. Sekadar contoh, jumlah anggota Angkatan Sasterawan ’50 sekitar 60 orang tetapi lebih separuh tidak aktif berkarya. Selain Asas’50, terdapat Kumpulan Angkata Muda Sastera yang para ahlinya pun tidaklah semuda yang dijangkakan.

Ini bermakna terdapat ‘kegenjotan’ (meminjam istilah yang dipopularkan oleh Hj Sidek Saniff, pengerusi pengasas MBMS) yang perlu diatasi dengan memastikan Singapura mempunyai bilangan sasterawan dan khalayak yang ‘mencukupi’? Tetapi apakah caranya?

Persoalan ini bukan terhad di Singapura, bahkan dalam kalangan negara anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Dalam pada itu, Singapura atau khususnya, MBMS boleh mempelajari ikhtiar mereka dalam ‘mencukupkan’ sasterawan dan khalayaknya.

GELAR DAN GANJARAN

Di Indonesia, jiran terbesar dengan 260 juta penduduk, kalangan 94 sasterawan terbaiknya telah mendapat gelar ‘pahlawan negara’ iaitu Abdoel Moeis, Amir Hamzah, Muhammad Yamin dan Buya Hamka.

Malah diwujudkan Hari Sastera sempena kelahiran Abdoel Muis (3 Julai 1886- 17 Jun 1959) yang menghasilkan antara novel terawal di Indonesia iaitu Salah Asuhan (1928). Selain berkarya, Abdoel Muis telah terlibat aktif dalam gerakan politik kemerdekaan Indonesia.

Di Malaysia, terdapat pelbagai gelar untuk sasterawan yang berjasa dari peringkat negeri sehingga nasional. Yang tertinggi ialah Sasterawan Negara yang telah diberikan kepada 13 tokoh dengan dua yang terawal, Keris Mas (Kamaludin Muhammad) dan Usman Awang pernah aktif di Singapura, terutama di akhbar Utusan Melayu dan Asas’50. Namun Malaysia belum lagi mempunyai Hari Sasterawan walaupun telah disarankan sejak beberapa tahun lalu.

Di Brunei Darussalam, sasterawan juga mendapat penghargaan tinggi. Mentelah kesedaran mengenai penjajahan Barat telah diungkapkan menerusi Syair Rakis oleh Pengiran Muhammad Salleh yang malangnya dibunuh oleh komplot para pembesar. Bahkan tradisi bersyair diteruskan oleh Sultan Haji Omar Ali Saifuddien yang cukup bijaksana memastikan negaranya tidak terus dibawah jajahan British.

Di Singapura, memang terdapat beberapa ‘iktiraf’ dan kemudahan untuk sasterawan. Misalnya, almarhum Muhd Ariff Ahmad telah meraih hampir ‘lengkap’ anugerah sebagai sasterawan iaitu Pingat Budaya (1987), penerima pertama Anugerah Tun Seri Lanang, serta Anugerah Penulis Asia Tenggara (kededuanya pada 1993), gelar Pendeta (1999) dan Doktor Kehormat (2007) daripada maktab lamanya yang kini Universiti Pendidikan Sultan Idris.

PERJUANGAN PERIT

Namun gelar-gelar tadi bagi sasterawan kita di sini tidaklah semewah misalnya di Malaysia. Sasterawan mapan kita masih lagi perlu mencari-cari penerbit dan mungkin juga editor untuk menghasilkan bukunya. Geran penerbitan perlu dipohon.

Tanpa industri penerbitan yang besar, sasterawan setempat perlu berhempas pulas untuk memasarkan karyanya. Bagi sasterawan yang ‘belum mapan’, perjuangan mereka lebih perit lagi di saku kerana sering terpaksa membiayai sendiri penerbitan karya mereka.

Anehnya sedang senario ini dibincangkan, Singapura sudah mempunyai Majlis Buku Singapura dan juga sejumlah penerbit (kebanyakannya berbahasa Inggeris dan Mandarin). Malah telah wujud Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang mengeluarkan geran penerbitan dan terjemahan serta usaha memperkenal sasterawan sehingga pesta buku antarabangsa di Frankfurt, Jerman.

ORAKAN JAUH

Dalam mengenang Dwiabad Singapura (sejak Raffles menjejakkan kakinya di sini), kita juga menyedari bahawa nusa ini pernah menampung peranan sebagai pusat penerbitan Melayu serantau antara 1830 hingga 1960 – dari Quran, kitab agama, buku, majalah sehingga akhbar.

Memanglah peranan ini agak mustahil diulangi lagi kerana keadaan sudah serba berubah dan faktor-faktor dinamikanya tidak lagi memihak kepada Singapura. Namun, tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan membiarkan pertumbuhan sasterawan setempat dan khalayaknya berlaku secara lumrah saja.

Kehadiran MBMS adalah pertama-tama untuk merekayasa, menyelaras dan membangun bahasa dan persuratan. Penyelarasan perlu diwujudkan antara badan persuratan, agensi pemerintah dan pihak sasterawan untuk merubah keadaan ke arah penaikan taraf yang lebih tinggi.

Ini juga sejajar dengan visi Singapura untuk menjadi Negara Bijak. Oleh itu, perancangan perlu dilakar dan pelaksanaan gigih lagi berwawasan hendaklah dijayakan.

Mentelah, dengan merosotnya pembacaan akhbar bercetak, bermakna penulisan puisi, esei dan cerpen (juga disebut ‘sastera di akhbar) pada satu-satunya akhbar Melayu di Singapura, juga bakal terjejas.

GANJARAN MEMUASKAN

Tanpa imbalan atau ganjaran yang memuaskan, sukar bagi Singapura melahirkan sasterawan yang berdedikasi.

Persoalan ini ibarat konsep pasaran – ada kuasa-kuasa permintaan dan penawaran yang teguh lagi utuh.

Bagi sasterawan, bak menukil kata-kata almarhum Dr Masuri S.N, perlulah hadirin atau khalayak sastera setempat yang memberi sokongan dan dorongan. Sekurang-kurangnya mereka perlu disedarkan dengan kehadiran dan peranan sasterawan dalam mewarnakan kehidupan di negara.

Untuk itu, wajar juga difikir dan diwujudkan Hari Sastera Melayu Singapura pada hari kelahiran tokoh sastera terbesarnya, Harun Mohd Amin, pada setiap 8 Ogos – sehari sebelum Hari Kebangsaan kita. 

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Mengenai Penulis:

Mohd Raman Daud ialah wartawan pesara dan aktivis masyarakat yang telah menghasilkan ratusan skrip drama TV dan beberapa drama pentas, esei, cerpen dan puisi serta menyunting sejumlah buku.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan