Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengganasan – mengapa ia tidak lagi terhad kepada lelaki sahaja

Keterlibatan wanita dalam kegiatan pengganasan biasanya tertumpu di luar daripada bidang pertempuran seperti sebagai perantara dan pengumpul dana. Namun sejak kebelakangan ini wanita mula memainkan peranan barisan depan seperti membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengganasan – mengapa ia tidak lagi terhad kepada lelaki sahaja

Chaula Rininta Anindya. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 20 Jan 2017 11:22AM Dikemas Kini : 20 Jan 2017 12:12PM

Keterlibatan wanita dalam kegiatan pengganasan biasanya tertumpu di luar daripada bidang pertempuran seperti sebagai perantara dan pengumpul dana. Namun sejak kebelakangan ini wanita mula memainkan peranan barisan depan seperti membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganasan.

Bagaimana gejala ini boleh timbul dan apakah faktor yang mendorong sesetengah wanita sanggup menceburkan diri dengan pengganasan secara langsung menjadi kupasan Chaula Rininta Anindya, penganalisis di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, NTU.

Peranan wanita dalam rangkaian pengganas di Indonesia sehingga ke hari ini telah ditentukan oleh hubungan persaudaraan yang terjalin melalui perkahwinan, dengan penglibatan mereka tertumpu kepada memenuhi keperluan logistik dan kewangan bagi tujuan pengganasan.

Tetapi terdapat trend yang semakin meningkat di mana wanita mula mengambil peranan sebagai penggempur.

Baru-baru ini, unit anti-pengganasan Indonesia, Detachment 88 (Densus 88) telah menangkap tiga wanita yang didakwa merancang untuk melancarkan serangan bom ke atas Istana Presiden Indonesia.

Wanita-wanita itu – Dian Yulia Novi, Arida Putri Maharani dan Tutin Sugiarti – ada kaitan dengan rangkaian pengganas pimpinan Bahrun Naim yang berpangkalan di Solo. Bahrun Naim didakwa dalang siri serangan di Jakarta pada tahun lalu.

Beberapa hari selepas mereka ditangkap, Densus 88 turut menahan Ika Puspitasari di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Purworejo, Jawa Tengah.

Novi dan Maharani merupakan isteri kepada Muhammad Nur Solihin yang dipercayai ketua sel pengganas itu. Novi telah merancang untuk melancarkan serangan bom nekad di Istana Presiden Indonesia.

Dian Yuli Novi yang pernah bekerja di Singapura lebih setahun. (Gambar: YouTube) 

Dian Yulia Novi. (Gambar: Youtube)

Maharani tahu tentang persediaan untuk melancarkan serangan itu dan telah membantu dalam pembiayaannya. Yang menariknya, Sugiarti telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi Novi untuk menjadi radikal walaupun Novi adalah isteri kepada ketua kumpulan itu.

Wanita terakhir, Puspitasari, telah membuat persiapan untuk melancarkan serangan bom nekad di Bali pada malam Tahun Baru.

Di dalam Jemaah Islamiyah (JI) sendiri, iaitu kumpulan pengganas paling terkenal di Indonesia, wanita sebelum ini hanya memainkan peranan sebagai perantara dan menghasilkan zuriat.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan hubungan dan menghasilkan para jihadi masa depan sebagai usaha untuk menambah bilangan anggota kumpulan itu. JI juga bergantung kepada wanita untuk mengumpul dana bagi tujuan pengganasan jihad.

Sebagai contoh, Noralwizah Lee Binti Abdullah, seorang wanita keturunan Cina Sabah yang merupakan isteri kepada bekas komander operasi JI Hambali, yang dipercayai menjadi ketua akauntan JI.

Ajaran Islam klasik tidak menggalakkan wanita mengambil peranan berperang. Tetapi, dengan kebangkitan kumpulan militan sebagai Daesh (ISIS), peranan wanita dalam melakukan tindakan pengganasan semakin berkembang.

Dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dengan apa jua cara sekalipun, IS terpaksa meluaskan peranan wanita dalam pertubuhan mereka dengan lebih melibatkan mereka dalam misi-misi pertempuran dan melakukan serangan-serangan nekad.

IS telah menubuhkan Briged Al-Khansaa, sebuah unit wanita yang melakukan rondaan di sekitar bandar-bandar seperti Raqqa dan Mosul untuk menguatkuasakan nilai-nilai Islam yang berlandaskan tafsiran fundamentalis ISIS. Wanita-wanita juga berjuang di barisan hadapan untuk ISIS di Libya.

Peranan lebih besar dalam pertempuran dan perancangan yang kian dimainkan wanita dalam sel keganasan Indonesia menggambarkan pengaruh dan rangkaian sekutu-sekutu ISIS di Asia Tenggara yang semakin meluas.

Kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT), yang mengikrarkan taat setia kepada ISIS, telah menjalankan latihan senjata untuk anggota wanitanya termasuk isteri komander MIT. Kita boleh menjangkakan lebih banyak pembabitan secara langsung wanita dalam kegiatan pengganasan pada masa depan.

Dengan menggunakan wanita sebagai pengebom nekad, rangkaian-rangkaian pengganas meraih kelebihan dari segi taktikal dan strategi.

Wanita tidak dianggap agresif atau akan melakukan perbuatan keganasan, jadi mereka boleh melindungi diri daripada dikesan dengan lebih mudah. Wanita juga boleh menyembunyikan senjata atau bom dengan lebih baik di dalam pakaian mereka.

Ini menimbulkan masalah di pusat-pusat pemeriksaan kastam, di mana bilangan pegawai kastam wanita yang terhad untuk melakukan pemeriksaan fizikal yang ketat boleh memberi pengebom nekad wanita peluang untuk melancarkan serangan.

Yang jelas, langkah merekrut wanita telah menambah bilangan pejuang di dalam rangkaian pengganas. Tetapi ini mungkin juga menandakan bahawa kumpulan-kumpulan berkenaan kekurangan pejuang-pejuang lelaki dan terdesak untuk mendapatkan lebih ramai rekrut.

Idea bahawa wujudnya pengebom nekad wanita sering dianggap sensitif dan boleh mencetuskan reaksi berlebihan dan yang dibesar-besarkan. Tetapi reaksi berlebihan daripada orang ramai dan pemerintah adalah sesuatu yang diinginkan dan dieksploitasi kumpulan-kumpulan pengganas.

Agensi-agensi yang memerangi pengganasan perlu memberi lebih banyak perhatian kepada peranan wanita yang semakin berubah-ubah dalam kegiatan pengganasan di Indonesia untuk mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menangani pelibatan wanita dalam pengganasan.


MENGENAI PENULIS:
Chaula Rininta Anindya adalah pembantu penyelidik Agama dalam Program Indonesia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan