Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengganasan dan sikap fanatik beralaskan agama perlu dikekang awal-awal lagi

Perwajahan Islam yang sebenar masih lagi dikelirukan sesetengah pihak, baik di kalangan Muslim dan bukan Muslim. Kenapa ini boleh terus berlaku?     

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengganasan dan sikap fanatik beralaskan agama perlu dikekang awal-awal lagi

Lokasi seorang guru mati dipenggal di Conflans St Honorine dekat pinggir bandar Paris, Perancis, pada 16 Okt 2020. (Gambar: Charles Platiau/REUTERS)

Ia berlaku kurang sebulan selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron menyuarakan kebimbangan beliau tentang meningkatnya bahaya fahaman pelampau dan ‘pemisahan Islam’ di negara itu.

Sekitar pertengahan bulan ini juga beliau sepatutnya membentangkan rang undang-undang yang menurutnya akan bersifat lebih tegas menentang unsur-unsur yang menggalakkan fahaman sedemikian.

Sebelum ini ramai melihat ura-ura Macron itu sebagai ‘mainan politik’ memandangkan pilihan raya Presiden Perancis bakal berlangsung dalam dua tahun.

Tunjuk perasaan di Paris pada 18 Okt 2020 setelah seorang guru Samuel Paty dipenggal (Gambar: AFP/Bertrand Guay)

Selain Perancis, sudah juga menjadi trend di sesetengah negara adanya fahaman melampau dan sikap ‘berlebih-lebihan’ dalam beragama.

Jika tidak dikekang dikhuatiri mereka akan mudah menjadi fanatik agama yang berpegang pada ajaran dan tafsiran yang sempit sehingga merumitkan kehidupan mereka terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

SEKITARAN BERBEZA

Bagi umat Islam, majoriti memang berpegang pada fahaman dan kecenderungan yang seimbang dan sederhana.

Sikap yang sederhana dan seimbang itu memudahkan mereka menolak sebarang bentuk kekerasan dan pengganasan, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di luar prinsip utama yang dianjurkan agama.

Namun kita tidak boleh menafikan bahawa kita kini berhadapan dalam persekitaran yang berbeza daripada masa-masa lalu.

Hari ini kita berhadapan dengan pelbagai bentuk kegenjotan dan pergolakan di mana ideologi ganas dan kecenderungan berfikiran sempit boleh wujud di tengah-tengah kecenderungan untuk kembali kepada kehidupan beragama.

Kecenderungan itu mungkin didorong oleh kerohanian yang sejati dan pada masa yang sama juga hasil gejala-gejala bukan agama yang disedari atau tidak disedari.

Baik pengaruh baik atau pun tidak baik, termasuk pengaruh ideologi ganas dan ekstrem dan kecenderungan ke arah pemikiran sempit, kita boleh kaitkan ini semua dengan perubahan mendadak sosial dan teknologi.

Antaranya termasuklah pengaruh meluas teknologi digital dan media sosial dengan ledakan tanpa saringan maklumat, fahaman dan ajaran yang dahulunya terbatas dari segi lingkaran pengaruhnya.   

Ikon aplikasi media sosial (Gambar: Reuters)

Kalau dahulu sekadar menyekat dan menyaring kemasukan pengaruh-pengaruh sebegini, sudah boleh melindungi masyarakat daripada fahaman dan ideologi menyeleweng, hari ini ia tentunya memerlukan lebih daripada keupayaan teknikal semata-mata.

KERAS DAN GANAS

Satu lagi faktor yang juga tidak kurang penting dalam menjadikan keadaan kita lebih rumit daripada masa-masa lalu adalah kerana meluasnya ‘sikap baru’ di kalangan banyak kumpulan (agama, bahasa, puak dan aliran) yang lebih tegas dalam menegakkan dan memperjuang identiti, kepercayaan dan fahaman kumpulan masing-masing.

Mereka semua seolah-olah dalam keadaan terancam – mungkin kerana perubahan mendadak sejagat akibat globalisasi – di mana setiap kumpulan itu merasakan jika mereka tidak bertegas, jati diri dan kewujudan mereka sebagai sebuah kumpulan, umat atau masyarakat akan menjadi pupus.

Inilah sebabnya sedikit sahaja kesilapan orang lain dalam mempersoal atau memperhalusi dasar serta nilai kepercayaan sesebuah kumpulan itu, ia kerap mencetuskan reaksi yang keras dan ganas.

Apa yang mengakibatkan guru dalam kejadian di Paris minggu lalu, dibunuh dengan kejam mungkin akibat salah pertimbangan beliau kerana tidak memahami sensitiviti yang berligar di situ.

Niat dan pertimbangan beliau tidak sampai ke tahap untuk cukup menghayati bahawa ada kumpulan di  kalangan masyarakat sekelilingnya akan mudah rasa terancam sehingga ada pihak yang sedia bertindak dengan ganas.

JURANG PERSEFAHAMAN

Ada juga yang mahu melihat peristiwa kejam itu sebagai satu lagi contoh masalah jurang persefahaman yang semakin meluas antara sebahagian masyarakat Islam negara itu dengan yang bukan Islam.

Antaranya termasuklah soal salahfahaman atau enggan menerima dasar sekularisme Perancis (dipanggil laicite) yang amat tegas dalam memisahkan persoalan agama dan kepercayaan individu dengan hal-hal awam dan pemerintah.

Ia bukan sahaja menyanjung amat tinggi hak seseorang individu untuk berpegang pada apa-apa sahaja fahaman dan kepercayaan, malah juga melindungi haknya untuk  bersuara termasuk menyuarakan pandangan terhadap fahaman dan ajaran agama orang lain.

Kalau ini tidak menjadi ‘masalah’ bagi satu atau dua generasi pendatang Muslim ke Perancis yang terdahulu, hari ini ia jelas merupakan antara masalah kritikal yang perlu dihadapi negara seperti Perancis.

Sekiranya tiada pendekatan yang bijak dan berhemah dari pihak berkuasa dan dari kalangan masyarakat Muslim, jurang pemisahan ini akan sukar untuk dirapatkan.

Ia sememangnya usaha yang semakin berat untuk dipikul terutama di kalangan masyarakat Muslim Perancis sedang ia sendiri berhadapan dengan kebangkitan fahaman tegar dan tidak mahu bertolak ansur dengan sesiapa pun.

FAHAMAN PELAMPAU

Presiden Perancis Emmanuel Macron. (Gambar: AFP/bertrand GUAY)

Dalam ucapannya awal bulan ini untuk mengumumkan rang undang-undang baru mengekang fahaman pelampau dan pemisahan, Encik Macron telah menyebut tentang ‘tanda-tanda awal’ membimbangkan yang menunjukkan adanya kebangkitan fahaman tegar tersebut.

Antaranya sikap pemandu bas yang enggan mengambil penumpang yang tidak berpakaian ‘sesuai’ dan tuntutan  ibu bapa supaya disediakan makanan mengikut kepercayaan agama di sekolah-sekolah pemerintah.

Beliau juga menyebut bagaimana puluhan orang warga Islam Perancis yang sudah terpengaruh dengan ideologi ganas sehingga sedia menyertai kumpulan-kumpulan jihadi di Syria.

Kalau tidak kerana pandemik virus korona, tumpuan usaha negara-negara seperti Perancis, mungkin masih lagi ke arah membanteras penularan ideologi pelampau agama terutama di kalangan golongan muda.

CABARAN UTAMA

Bagi masyarakat Muslim pula, pada satu pihak ia sibuk melawan fahaman pelampau dalam kalangan sesetengah anggotanya, di satu pihak yang lain pula ia perlu berusaha gigih dalam merungkaikan sebarang salah fahaman terhadap Islam akibat meluasnya sikap kebencian terhadap Islam, atau Islamofobia.

Tumpuan usaha-usaha yang diambil mungkin terarah kepada dua kumpulan berbeza – Muslim dan bukan Muslim.

Namun pendekatan sebaiknya tetap sama: bagaimana perwajahan sebenar Islam sebagai agama yang menolak pengganasan dan pemikiran sempit dapat dihayati dengan saksamanya oleh yang beragama Islam dan bukan Islam.

Ia adalah usaha yang seharusnya meningkatkan lagi kesedaran bahawa agama boleh disalahgunakan untuk tujuan tidak baik, dan ia juga boleh menjadi penghurai kepada cabaran yang dihadapi.

Persoalannya adalah apakah pendekatan sebaiknya untuk meningkatkan kesedaran yang berkesan itu.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan