Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengaruh mufti-mufti M’sia kian pudar susuli kemunculan pendakwah selebriti

Kemunculan pendakwah-pendakwah selebriti di Malaysia yang pintar memanfaatkan media untuk menyebarkan ajaran – dengan tidak kesemuanya yang menerima pendidikan agama mendalam – mungkin melemahkan mutu perbincangan ehwal Islam dalam jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengaruh mufti-mufti M’sia kian pudar susuli kemunculan pendakwah selebriti

Seorang bayi perempuan serta keluarganya menunggu giliran untuk menjalani ujian COVID-19 di Shah Alam pada 27 Mei 2021. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

BERITAmediacorp: Kemunculan pendakwah-pendakwah selebriti di Malaysia yang pintar memanfaatkan media untuk menyebarkan ajaran – dengan tidak kesemuanya yang menerima pendidikan agama mendalam – mungkin melemahkan mutu perbincangan ehwal Islam dalam jangka panjang.

Dr Harussani Zakaria. (Gambar: Bernama) 

Dr Harussani Zakaria. (Gambar: Bernama) 

Baru-baru ini, Mufti Perak, Harussani Zakaria, meninggal dunia pada usia 82 tahun. Allahyarham merupakan seseorang yang berpengaruh dalam landskap agama Islam di Malaysia sepanjang tempoh khidmatnya sebagai mufti dari 1985 hingga pemergiannya tahun ini.

MUFTI-MUFTI BERWIBAWA DAN BERPENGARUH

Sebagai mufti negeri, beliau mempunyai bidang kuasa yang luas. Ini memandangkan mufti-mufti di Malaysia turut mengisi jawatan dalam majlis-majlis agama masing-masing, memegang kuasa untuk mengeluarkan fatwa yang boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang, dan menjalankan upacara-upacara seperti memanjatkan doa semasa upacara-upacara diraja dan acara-acara rasmi negeri.

Ramai yang mengganggap Harussani sebagai seseorang yang memihak kepada kerajaan. Sebagai contoh, ketika Barisan Nasional berkuasa, Harussani pernah mengecam perhimpunan-perhimpunan Bersih diterajui pembangkang yang bermatlamat mengubah proses pilihan raya Malaysia.

Sungguhpun demikian, Harussani juga bebas mengeluarkan pandangannya tersendiri sepanjang tempoh khidmatnya sebagai Mufti Perak bahkan sehingga pernah mencetuskan beberapa kontroversi dan menyebabkan kerumitan politik bagi kerajaan.

Pada 2006, beliau mengeluarkan dakwaan tanpa asas bahawa terdapat 100,000 umat Islam di Malaysia yang murtad. Komen itu melemahkan usaha Perdana Menteri Abdullah Badawi ketika itu untuk memulihkan perpecahan antara rakyat beragama Islam dan bukan Islam, lantas membangkitkan kecurigaan dalam kalangan umat Islam mengenai gerakan liberal yang berpengaruh Barat di negara itu.

Hubungan antara kaum dan agama kemudian bertambah tegang sehingga ia menyumbang kepada prestasi PM Abdullah yang mengecewakan semasa Pilihan Raya 2008 yang menyaksikan BN tumbang di lima negeri: Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi. (Gambar fail: Saeed Khan/ AFP)

Mantan Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi. (Gambar fail: Saeed Khan/ AFP)

Meskipun terbabit dengan kontroversi, kewibawaan dan pengaruh Harussani tidak pernah dipertikaikan. Ini kerana, menurut Perlembagaan Persekutuan, mufti-mufti tidak dilantik oleh kerajaan tetapi oleh Sultan yang turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Harussani terus meraih kepercayaan Sultan Perak untuk mengekalkan jawatannya sebagai mufti sungguhpun beliau mengeluarkan komen-komen kontroversial.

Selain itu, Harussani dan mufti-mufti Malaysia yang lain mempunyai pengaruh luas dalam ehwal agama. Mereka mengisi ruang udara di saluran televisyen negara dan media aliran utama.

Mereka juga sering diminta untuk menyuarakan pandangan mereka dalam bidang-bidang yang menjangkaui bidang kepakaran mereka dalam ehwal agama, seperti mengenai pilihan raya, politik antara parti dan geopolitik.

KEBANGKITAN PENDAKWAH SELEBRITI

Namun, menyusuli pemergian tokoh-tokoh seperti Harussani dan penggunaan wadah media sosial yang meluas, pengaruh mufti-mufti Malaysia kian melemah.

Ini bukan bermakna para mufti tidak lagi relevan. Kuasa di sisi undang-undang untuk mengeluarkan fatwa masih terletak dalam tangan mereka dan mereka mempunyai kedudukan untuk menentukan ajaran Islam yang “sesat” dan patut dilarang.

Namun, pengaruh para mufti di depan khalayak awam kini dicabar oleh para pendakwah selebriti yang popular, termasuk sesetengah daripada mereka yang tidak menerima pendidikan yang mendalam dalam sains agama.

Para peserta Pencetus Ummah (PU), peraduan televisyen realiti yang mencungkil bakat penceramah serba boleh, memikat jumlah penonton yang begitu ramai. Para “pendakwah selebriti” tidak hanya dinilai dari segi kandungan dakwah mereka tetapi juga kemahiran berpidato.

(Gambar hiasan: Chandan Khanna/AFP) 

(Gambar hiasan: Chandan Khanna/AFP) 

Penggunaan media sosial sebagai wadah utama untuk berdakwah memikat minat ramai belia Muslim di Malaysia kepada ajaran pendakwah-pendakwah tersebut meskipun pendidikan agama mereka tidak setanding dengan para mufti. PU Amir, sebagai contoh, merupakan guru pendidikan khas yang tidak pernah menerima pendidikan agama secara formal.

Seorang lagi pendakwah selebriti, PU Azman, tidak memegang lesen untuk berdakwah, iaitu satu syarat di Malaysia, namun warga Internet menganggapnya sebagai seseorang yang cukup berwibawa untuk mengulas tentang ehwal agama. Azman mempunyai 2.6 juta pengikut di Instagram.

Sesetengah pendakwah selebriti pula bergelar “Imam Muda” dan “Da’i”. Tidak seperti ulama tradisional di Malaysia, para pendakwah selebriti lebih cenderung dalam menjawab pertanyaan orang ramai dalam ehwal agama menerusi wadah-wadah media sosial dan tidak menghasilkan karya-karya serius atau mengeluarkan fatwa.

TERPALIT DENGAN KONTROVERSI

Namun kecurigaan mula muncul tentang kebolehpercayaan pendakwah-pendawah selebriti tersebut setelah sebilangan daripada mereka menimbulkan kontroversi.

Misalnya, PU Abu mencetuskan kemarahan awam setelah beliau menceraikan isteri pertamanya ketika hamil kerana enggan berpoligami. Kontroversinya dilanjutkan dengan khabar bahawa beliau menikahi isteri kedua di Thailand – yang kemudian diceraikannya.

Seorang lagi pendakwah selebriti, Imam Muda Syed Faris, terbabit dengan kontroversi serupa berkenaan dengan penceraian.

Baru-baru ini, PU Riz dan isteri selebritinya, Neelofa, mencetuskan kemarahan awam setelah didapati berkali-kali melanggar protokol-protokol keselamatan COVID-19.

Namun kontroversi sedemikian tidak berkemungkinan mengubah sikap umat Islam di Malaysia terhadap kewibawaan para pendakwah selebriti dalam ehwal agama atau melemahkan pengaruh wadah-wadah media sosial dalam membentuk sikap keagamaan.

Hakikat sedemikian adalah suatu tentangan kepada masa depan kesarjanaan dan pembangunan Islam di Malaysia.

Mutu dakwah dalam kalangan pendakwah media sosial jauh diatasi peringkat ulama Islam tradisional yang tidak hanya menjalani pendidikan formal dalam pengajian agama tetapi juga berusaha menyertai dan meluaskan perbincangan agama dengan menyelidik dan berkarya secara mendalam.

Cabaran-cabaran bagi ulama-ulama adalah untuk membina kecelikan digital supaya dapat kekal relevan di depan khalayak awam.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Scholarly or trendy? The declining influence of Malaysian muftis and the emergence of popular preachers”.

Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Nur Syafiqah Mohd Taufek adalah Pegawai Penyelidik di ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Nur Syafiqah Mohd Taufek adalah Pegawai Penyelidik di ISEAS-Institut Yusof Ishak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan