Images
  • generic lamp
    Gambar hiasan. (Gambar: Ahmad Aqtai/Pexels.com)

KOMENTAR: Pengajaran bulan Rabiul Awal dalam mencegah sifat ekstrem

BERITAmediacorp: Umat Islam memperingati Rabiul Awal sempena peristiwa Hijrah dan bulan kelahiran Nabi Muhammad. Sejauh mana pengajaran utama bulan tersebut dapat menangkis fahaman esktrem?

Berita Mediacorp baru-baru ini melaporkan berita yang menyatakan bahawa serangan pengganas merosot sebanyak 60%, antara Januari hingga Ogos tahun ini, walaupun jumlah radikalisasi pula meningkat.

Pakar-pakar yang ditemui menyatakan antara sebab peningkatan jumlah radikalisasi adalah kerana para militan menggunakan wadah online untuk menyebarkan ideologi ganas mereka. 

Dengan sekatan perjalanan dan perintah berkurung dikenakan oleh pemerintah, usaha merekrut dijalankan secara online.

Secara tidak langsung, mesej yang mereka sampaikan beredar dan tersebar ke merata negara. Justeru, usaha mengekang penyebaran ideologi pengganasan dan ekstrem perlu diteruskan.

PERISTIWA AGUNG

Menurut sejarah, Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah di awal bulan Rabiul Awal. Setibanya di Madinah, Baginda menetap selama beberapa hari perkampungan Quba sebelum bergerak menuju ke pertengahan kota Madinah.

Menurut kisah yang disampaikan oleh Abdullah bin Salam, apabila Muhammad tiba di Madinah, ramai penduduk Madinah bergegas untuk bersua dengannya.

Beliau selanjutnya menceritakan bahawa ketika kali pertama melihat wajah Nabi, dia yakin dan pasti bahawa Muhammad bukanlah seorang yang pendusta.

Menurut beliau, ungkapan pertama yang diucapkan oleh Muhammad setibanya di Quba adalah:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam kesejahteraan, menjamulah dan berikan makanan, hubungkan tali persaudaraan, dan bangunlah di waktu malam ketika manusia lain sedang tidur, nescaya kamu semua akan memasuki syurga dengan sejahtera.”

PERUTUSAN ISLAM

Kisah yang dibawakan oleh Abdullah itu menunjukkan betapa luhurnya hati Nabi Muhammad dan jelas objektif Baginda selaku penyampai perutusan Islam.

Merujuk kepada keadaan Nabi Muhammad yang tiba di Madinah dalam keadaan dibenci dan disakiti oleh kaumnya di Makkah, memungkinkan Baginda meminta perlindungan atau suaka politik dari penduduk Madinah.

Selanjutnya boleh sahaja Baginda meminta sokongan ketenteraan dari penguasa Madinah ketika itu untuk menyerang musuh-musuhnya di Makkah. Namun bukan itu yang menjadi agenda utama perutusan Nabi Muhammad.

SEBARKAN KESEJAHTERAAN

Apa yang boleh dipelajari daripada kisah hijrah Nabi Muhammad adalah kepentingan menyebarkan kesejahteraan kepada semua, tidak kira latarbelakang kepercayaan atau agama.

Menurut mantan ketua bahagian Panduan dan Latihan Kementerian Pertahanan Kebangsaan Saudi, Dr Badr al-Masyari, apabila Nabi Muhammad memulakan bicaranya yang pertama kepada penduduk Madinah supaya menyebarkan salam kesejahteraan, ia menunjukkan bahawa kehadirannya bukan untuk mencetuskan persengketaan sesama manusia.

Objektif utama risalah Islam adalah untuk menyebarkan kasih sayang dan kesejahteraan. Galakan berkongsi dan memberi makan pula amat sesuai digandingkan dengan menyebarkan salam kerana manusia secara fitrah akan rasa gembira dan bahagia apabila kenyang perutnya.

Seterusnya mengeratkan hubungan sesama insan membawa kepada keamanan. Tidak ada sedikit petanda pun yang menunjukkan Nabi Muhammad ingin memulakan penyebaran Islam secara keras dan ganas.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Umat Islam sepatutnya terus berusaha menyebarkan kebaikan walaupun ditindas dan diejek kerana Nabi dan para sahabat tetap bertahan dan tidak mempedulikan ejekan pihak yang menentang.

Bertahan bukan bermaksud berdiam diri untuk ditindas, tetapi cara pertahankan diri sepatutnya dilakukan dengan dialog dan perjanjian untuk berdamai. Itulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh pihak militan Islam adalah terus menyerang tanpa memulakan bicara dialog yang konstruktif.

Ada juga masyarakat Islam yang menyebarkan sentimen melawan pihak yang dianggap menindas Islam melalui perkongsian yang disebarkan melalui media sosial tanpa diselidiki kesahihannya.

Ketika Nabi Muhammad menjadi ‘penguasa’ di Madinah, tidak pernah Baginda melakar strategi untuk menyerang Makkah kerana perasaan dendam dan marah.

Peperangan yang berlaku sepanjang era Madinah bukanlah dicetuskan oleh Nabi Muhammad. Berlakunya peperangan kerana mempertahankan hak dan membela nasib golongan yang ditindas.

Pembukaan kota Makkah juga bukanlah kerana membalas dendam, tetapi ia berlaku kerana pencabulan terhadap perjanjian yang dimeterai dengan para pembesar Quraish.

ELAKKAN PERSENGKETAAN

Kisah penghijrahan Nabi Muhammad di bulan Rabiul Awal cukup jelas menunjukkan bahawa datangnya Islam bukan untuk mencetuskan peperangan, memecah belahkan masyarakat, mengganggu sistem ekonomi negara, merampas tahta atau menggulingkan pemerintah.

Para militan Islam seharusnya melihat sudut rahmah dan bukan dari sudut kancah peperangan yang berlaku di zaman Nabi kerana itu hanyalah bersifat rambang. Yang sentiasa ditunjukkan dan dipesan oleh Nabi Muhammad adalah menyebarkan rahmat dan kasih sayang.

Bulan Rabiul Awal ini seharusnya menjadi musim memperingati ruh persaudaraan dan mengerat silaturahim.

PERINGATI KELAHIRAN

Di samping memperingati tarikh kelahiran Baginda dengan melaungkan bait-bait qasidah, sunnah-sunnah yang ditunjukkan dalam menyebarkan kasih sayang sesama insan perlu diterapkan dalam diri.

Begitu juga diharapkan di dalam hubungan sesama umat Islam agar dapat menerima perbezaan pendapat dengan hati yang terbuka.

Bulan Rabiul Awal yang dikenali juga sebagai bulan maulid sering diraikan dengan bacaan barzanji dan qasidah-qasidah memperingati kemuliaan dan perjuangan Nabi.

Bagi mereka yang pro-maulid atau majlis-majlis selawat janganlah sampai menuduh teman teman yang tidak ikut serta majlis-majlis tersebut sebagai tidak mencintai Nabi.

CARA TERSENDIRI

Begitu juga mereka yang tidak cenderung kepada majlis maulid janganlah pantas membid’ahkan golongan yang meraikannya.

Para sahabat Nabi dahulu dan juga para ulama silam berbeza dan mempunyai cara tersendiri dalam menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad.

Ada di antara mereka yang mengolah bait bait syair memuji Nabi seperti Hassan bin Thabit, ada yang tekun mengamalkan ajaran-ajaran Nabi dalam bab ibadah dan muamalah.

Ada yang menurut jejak Nabi menerusi budi pekerti yang murni, dan ada juga yang berjuang di medan peperangan bersama Nabi dan banyak lagi.

Semuanya dilakukan kerana rasa sayang dan cinta kepada Nabi serta menyokong perjuangannya. Tiada sebarang kritikan atau larangan dari Nabi terhadap mereka.

JANGAN DISEMPITKAN

Jika Nabi dan para sahabat meraikan kepelbagaian, mengapa ada masyarakat Islam hari ini yang menyempitkannya?

Masing-masing mendakwa merekalah umat Islam yang benar-benar mencintai Nabi. Bukankah itu ekstrem dan melampau?

Para militan ISIS telah mendakwa merekalah umat Islam yang sebenar kerana berani melawan dan memerangi pihak-pihak yang zalim. Umat Islam yang tidak menuruti cara mereka dianggap kurang Islamnya dan lebih teruk lagi dituduh sebagai terkeluar dari Islam!

Inilah yang dikhuatiri jika pemikiran sempit dibiarkan berleluasa. Banyak perkara yang baik menjadi sempit dan ditolak hanya kerana fikiran dan perasaan peribadi tidak menyukainya. Sedangkan kebaikan dalam Islam itu luas.

Begitulah diharapkan agar setiap tahun bulan Rabiul Awal disambut dengan percambahan perasaan kasih sayang sesama kita seperti yang dibawakan oleh Nabi Muhammad.

MENGENAI PENULIS:


Ustaz Mustazah Bahari adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) 

Top