Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pendakwah ‘selebriti’ dan ‘ustaz segera’ – apa sebenarnya peranan mereka

Kemunculan media popular kini melahirkan semakin ramai ‘ustaz selebriti’ dan ‘ustaz segera’. Sejauh mana ini membawa lebih banyak manfaat atau lebih banyak mudaratnya? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pendakwah ‘selebriti’ dan ‘ustaz segera’ – apa sebenarnya peranan mereka

Para jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 5 Jun 2019. (Gambar: Rosli A Razak)

Dalam setiap agama pastinya ada golongan yang bertanggungjawab dengan ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi untuk memimpin para penganutnya yang lain.

Bagi Islam sendiri, peranan ini telah lama dimainkan oleh golongan yang dipanggil sebagai ulama, sheikh, kiayi, guru agama atau asatizah.

Dengan kemunculan rancangan-rancangan realiti dan media popular kini lahirlah kelompok baru yang digelar pendakwah atau “da’i”, “imam muda” dan terbaru apa yang dipanggil sebagai Pencetus Ummah (PU).

Kelahiran golongan asatizah seperti ini yang dipanggil juga sebagai “ustaz selebriti” atau “ustaz segera” menimbulkan tanda tanya tentang peranan sebenar mereka dengan kandungan dakwah mereka juga boleh dipersoalkan.

Apakah peranan mereka untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat atau pun sekadar memainkan peranan sebagai ‘selebriti’ untuk memenuhi kehendak masyarakat yang mudah terpengaruh dengan gabungan unsur-unsur agama dan hiburan.

PENDAKWAH POPULAR

Masyarakat Islam hari ini semakin dibelenggu dengan pelbagai cabaran semasa yang memerlukan kepimpinan agama dan kerohanian yang matang.

Tetapi malangnya dakwah dan kandungan ceramah golongan asatizah ‘segera’ dan ‘selebriti’ ini masih terbelakang, dengan isu dan permasalahan yang sering dibangkitkannya amat cetek dan tidak membina kesedaran jiwa Muslim yang sihat.

Kalau dunia semakin diancam pelbagai masalah etika, penyalahgunaan kuasa, pencemaran alam, isu-isu golongan agamawan ini lebih banyak berkisar kepada permasalahan ibadah dan soal halal haram yang mungkin telah dibahaskan sejak ratusan tahun dulu.

Ada juga yang gemar memainkan isu-isu remeh lain termasuk yang berbaur seksis tanpa perasaan segan silu.

Misalnya, kenyataan seorang pendakwah baru-baru ini yang menyatakan lelaki yang beristeri satu di Tanah Arab dianggap sebagai ‘low class’.

Wanita Arab Saudi kini bebas memandu tanpa kebenaran mahram. (Gambar: AFP/FAYEZ NURELDINE)

Da’i berkenaan memang tidak lepas daripada kontroversi selepas pernikahannya dengan seorang lagi wanita tanpa pengetahuan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Malah, dalam satu sesi wawancara dia berkongsi bahawa sepanjang pernikahan pertamanya, dia pernah dilamar oleh 18 wanita.

Dalam reaksinya kepada kritikan sesetengah netizen, pendakwah itu cepat memainkan sentimen agama dengan berkata bahawa mereka yang tidak bersetuju dengannya adalah orang yang kurang atau cetek imannya terhadap qadak dan qadar.

BACA: KOMENTAR: Agamawan, tanggungjawab dan amanah yang semakin berat dipikul

KEPEDULIAN INDIVIDIALISTIK

Contoh da’i dan kontroversi-kontroversi lain yang bersangkutan dengan ‘ustaz segera’ ini menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah ini piawai dan kualiti golongan cendekiawan Islam Nusantara hari ini?

Lebih penting lagi, adakah kita sedang berdepan dengan kemerosotan mutu golongan ulama dan asatizah di sini?

Pakar wacana Islam Nusantara, Dr Azhar Ibrahim dari Jabatan Pengajian Melayu (NUS) dalam bukunya ‘Memikir Ulang Tradisi untuk Pembaharuan’ berpendapat golongan pendakwah Islam hari ini memainkan peranan penting dalam membina dakwah yang membangun dengan pengisian yang bersifat munasabah.

Golongan asatizah, menurutnya bukanlah golongan ‘biasa-biasa’, sebaliknya merupakan golongan ‘elit’ atau ‘pemimpin’ dalam masyarakat.

Sama seperti tugas pemimpin masyarakat lain, golongan pendakwah memikul tanggungjawab membimbing masyarakat ke arah keilmuan dan melepaskan mereka daripada belenggu kejahilan.

Contohnya, sekiranya dakwah mereka bersangkutan dengan soal akidah dan keimanan, maka penjelasan yang dibentangkan mereka perlulah juga bersifat menyeluruh, dengan mengambil kira perubahan sekitaran yang berlaku dalam masyarakat.

Penjelasan agama yang dibuat itu tidak harus bersifat mementingkan diri sendiri yang memberatkan agenda peribadi mereka.

Sekiranya ini berlaku, kepedulian agama akan bersifat sangat individualistik sementara makna sebenar agama yang ingin ditekankan terabai dan tidak dipedulikan.

IMBANGKAN PENDEKATAN MASSA

Selain penjelasan agama yang cetek, kini terlihat juga golongan asatizah muda yang keterlaluan membincangkan isu-isu ‘seronok’ sehingga tidak membangunkan keupayaan yang kritis.

Sememangnya, menggunakan pendekatan seperti menyanyi dan berjenaka apabila berdakwah untuk memancing anak muda memang bukan satu masalah.

Namun, ia boleh menjadi masalah, apabila lawak jenaka digunakan sehinggakan menyentuh bab-bab yang tidak bersesuaian. 

Banyak aspek kehidupan kita hari ini seperti dalam ekonomi, politik dan pendidikan semakin membangun dan menjadi lebih kompleks.

Masyarakat Islam juga mendambakan pembangunan dan kemajuan yang sama dalam kehidupan keagamaan mereka.

Gambar: Natasha Mohamed/Facebook

Untuk itu ia juga menginginkan kelompok asatizah yang benar-benar mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap ilmu keagamaan disamping memahami keperluan kehidupan moden hari ini.

PENYELESAI MASALAH

Apa yang dijangkakan daripada golongan agamawan seperti ini adalah komitmen etika mereka yang mampu memperjuangkan agenda sosial, termasuk berpihak kepada golongan terpinggir dan membebaskan kemanusiaan umumnya daripada segala ketidakadilan.

Ini bermakna tanggungjawab yang dipikul oleh mereka adalah untuk menjadi penyelesai masalah (problem solver), dan bukannya sebagai golongan yang menambah masalah.

Jika ini gagal dicapai kita khuatir krisis ‘asatizah internet’ yang kita hadapi hari ini mungkin menjadi berleluasa lagi.

Ini pula akan menimbulkan masalah di mana nama baik asatizah itu sendiri akan tercemar dengan semua golongan agamawan akan dipandang rendah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan