Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pemutus rantaian dilonggarkan, kelaziman baru dialu dengan sikap terbuka

Manfaatkan setiap peluang untuk menjayakan tahap pertama penarikan langkah pemutus rantaian tapi cekal dalam pastikan kepatuhan tinggi. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pemutus rantaian dilonggarkan, kelaziman baru dialu dengan sikap terbuka

Seorang pekerja membersihkan bahagian luar restoran Hawker Chan. (Gambar: Jeremy Long)

Setelah dua bulan di bawah pelbagai ‘sekatan’ dan ‘kurungan’ atas nama pemutus rantaian jangkitan, usaha melonggarkannya memang sangat dialu-alukan.

Sejauh mana usaha bertahap-tahap ini akan berjaya, amat bergantung kepada sejauh mana jangkitan COVID-19 di kalangan penduduk tempatan  dapat terus dibendung.

Namun pada masa ini, kita boleh melihatnya sebagai kejayaan bersama seluruh masyarakat Singapura dalam pusingan pertama kita bertungkus lumus melawan penyakit tersebut.

Ia adalah hasil kesediaan dan pengorbanan dari semua untuk bekerjasama dan bertolak ansur dalam banyak bidang kehidupan.

Antaranya termasuklah kesanggupan kita mematuhi pelbagai bentuk sekatan dan larangan termasuk berkurung dan membataskan pergerakan.

Pematuhan tinggi sejak dua bulan itu memang telah menunjukkan hasil walaupun ‘bayaran’ dan ‘beban’ yang perlu ditanggung itu adalah tinggi.

Penutupan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta pelbagai keterbatasan terhadap kehidupan harian, semunya kita akur adalah sesuatu yang perlu dilakukan demi mengelakkan penularan tidak terkawal.  

SEHALUAN DAN SEKATA

Mungkin sejak krisis penularan COVID-19 mula menggemparkan kita lima bulan lalu, satu pengajaran besar yang kita perolehi adalah betapa terkait dan ‘seragamnya’ kehidupan manusia hari ini.

Sehinggakan setiap kali berlaku pandemik seperti ini, maka perlulah kita semua bertindak sehaluan dan sekata tidak kira di mana selagi kita dalam linkungan masyarakat.

Baik di India, Brazil, Rusia, Amerika ataupun Arab Saudi, selagi manusia itu dikelilingi masyarakat, ia perlulah mengetepikan kepentingan dan keselesaan peribadinya demi kebaikan dan maslahat masyarakat yang lebih besar.

Begitu juga akibat COVID-19, sesuatu yang tidak pernah kita terbayang dahulu atau enggan menerimanya sebagai suatu keperluan, kini sudah boleh diterima sebagai hakikat baru.

Laluan keluar dari masjid. 

KELAZIMAN BARU

Banyak lagi yang kalau dahulunya dianggap janggal dan pelik akan menjadi kelaziman atau normal baru bagi generasi yang hidup dalam zaman pandemik ini.

Cara umat Islam beribadah di masjid, misalnya, dengan amalan jarak selamat ketika berjemaah seperti yang kita lihat di sana sini, termasuk di Tanah Suci Makkah dan Madinah, walaupun kelihatan memelikkan akan menjadi kelaziman baru selagi pandemik COVID ini berterusan.  

Ini semua seharusnya turut mewujudkan kesadaran dan penghayatan lebih mendalam terhadap pengertian beragama itu sendiri.

Tidak kurang pentingnya adalah penghayatan bahawa keselamatan dan usaha melindungi nyawa adalah terlalu penting sehingga kalau ia memerlukan penyesuaian terhadap cara kita beribadah, ia tidak dilarang malah sangatlah dianjurkan oleh agama.   

KEWASPADAAN YANG TINGGI

Usaha melawan pandemik ini masih lagi jauh daripada matlamatnya. Kalau adapun apa-apa kejayaan baik di Singapura atau di negara-negara lain, kita semua faham bahawa kewaspadaan yang tinggi sangat-sangat diperlukan.

Tidak kira siapapun pakar epidemiologi yang diminta pandangannya, semua mereka menasihatkan bahawa setiap langkah kelonggaran yang hendak dilaksanakan haruslah dilakukan dengan hati-hati.

Setiap pihak berkuasa haruslah bersedia untuk menguatkuasakan semula langkah-langkah pemutus rantaian sekiranya jangkitan besar-besaran berlaku semula dalam tahap kedua dan seterusnya.

Tiada seorangpun pakar yang berani menyatakan bahawa penularan semula tidak boleh berlaku sekiranya kita telah berjaya membendung virus COVID-19 pada tahap pertamanya.

Oleh kerana masih banyak lagi yang belum diketahui tentang COVID-19, walaupun ia telah menjangkiti sehingga 6 juta orang dan membunuh hampir 400 ribu orang di merata dunia.

Mentelah usaha mencari penawarnya pula akan mengambil masa sehingga setahun lagi.

NASIHAT SEBAIKNYA

Lantaran itu, nasihat sebaiknya adalah untuk kita terus mematuhi langkah-langkah keselamatan dan melaksanakan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Pada masa yang sama ekonomi dan kehidupan umumnya harus digiatkan semula seberapa  luas yang yang mungkin mengikut keadaan dan kebijaksanaan pihak berkuasa masing-masing.

Kemudahan-kemudahan awam seperti di taman, ditutup semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. (Gambar: Jeremy Long)

Kepatuhan tinggi yang diperlukan daripada kita semua seharusnya sudah diterima sebagai suatu kelaziman baru yang tidak lagi perlu dipersoalkan.

Apabila keadaan bertambah baik lagi kita telah diberi jaminan bahawa lebih banyak lagi kelonggaran akan diberikan.

Namun apa yang pasti sesetengah langkah keselamatan yang sudah mula serasi dengan masyarakat (jarak selamat dan tanggungjawab sosial) akan terus dikekalkan.

Jika ia sudahpun menjadi sebahagian penting kehidupan yang lebih selamat, demi mencegah penularan virus yang boleh mengancam nyawa orang lain, tidaklah hairan mengapa ia perlu menjadi sebahagian daripada lumrah baru.

Buat masa ini,  ia adalah pendekatan yang paling sesuai sebagai jalan tengah yang boleh diterima.

SIKAP BERHATI-HATI

Pendekatan membiarkan sahaja wabak berterusan, tanpa langkah-langkah pencegahan, sehingga mencapai apa yang dipanggil   ‘imuniti kelompok’ (herd immunity) – adalah cara yang terlalu ‘mahal’ dan berbahaya.

Ia mungkin sekali cara yang tidak berperi kemanusiaan sekiranya keadaan menjadi terlalu tidak terkawal sehingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa.

(Gambar: REUTERS/Ciro De Luca)

Oleh kerana pilihan yang ada pada kita adalah amat terbatas buat masa ini, sikap berhati-hati adalah sangat diperlukan dalam kita menjalani tahap pertama langkah menarik balik pemutus rantaian jangkitan pandemik ini.

Alu-alukanlah ia dan manfaatkan setiap peluang untuk menjayakannya.

Dengan ini peluang untuk kita terus berjaya dalam membendung virus korona COVID-19 akan menjadi semakin cerah lagi.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan