Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Pemilihan calon naib Presiden Indonesia - sejauh mana faktor agama penting

BERITAmediacorp: Langkah Presiden Indonesia, Joko Widodo, memilih seorang ulama Islam yang konservatif sebagai bakal calon naib presidennya, mengejutkan ramai pihak. Apakah percaturannya dan apa pula implikasinya pemilihan Kiayi Haji Ma'ruf Amin selaku orang kanan Presiden Jokowi?

Zamil ISEAS, Dr Norshahril Saat, mengupas isu tersebut sedang Indonesia kini semakin rancak bersiap sedia bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Presiden 2019.


Presiden Jokowi dengan Dr Ma'ruf Amin (dua dari kanan) di Jakarta. (Gambar: Reuters)

Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi dengan rasminya mengakhiri spekulasi yang berlarutan berminggu-minggu lamanya, setelah beliau mengisytiharkan Prof Dr Ma'ruf Amin sebagai bakal cawapres atau calon wakil presiden (Naib Presiden) bagi Pilihan Raya Presiden 2019.

Perisytiharan tersebut dibuat hanya sehari sebelum tempoh akhir bagi parti-parti politik menyerahkan senarai nama-nama yang berpotensi menyertai pilihan raya tersebut.

Perpecahan dalam perikatan yang menyokong hasrat Presiden Jokowi untuk bertanding dalam penggal kedua, mungkin menjadi penyebab kelengahan pengumuman tersebut. Perikatan yang menyokong Encik Jokowi - dikenali sebagai Koalisi Kerjasama Partai Pendukung Pemerintah - termasuklah PDI-P, Golkar, Hanura, PKB, PPP, Nasdem, PSI, Perindo, dan PKPI.


Prof Dr Mohammad Mahfud Mahmodin (tengah). (Gambar: Romeo Gacad/ AFP)

Satu lagi nama yang disebut-sebut mampu menjadi rakan saing Presiden Jokowi ialah Prof Dr Mohammad Mahfud Mahmodin (dikenali sebagai Mahfud MD), juga disifatkan sebagai seorang sarjana Islam. Dr Mahfud pernah menyandang jawatan selaku Ketua Mahkamah Perlembagaan dan disifatkan sebagai seorang pemimpin "sederhana".

ULAMA KONSERVATIF

Sebaliknya, Dr Ma'ruf Amin adalah seorang ulama konservatif yang pernah mengeluarkan banyak fatwa kontroversil. Berdasarkan rekod Dr Ma'ruf, adakah beliau akan menjadi rahmat, atau sebaliknya kepada perjuangan Encik Jokowi untuk sekali lagi menjadi Presiden?

Hakikat bahawa Encik Jokowi perlu memilih antara Dr Ma'ruf Amin dengan Mahfud MD membuktikan bahawa beliau mahu meningkatkan imej Islamnya bagi pilihan raya akan datang. Sejurus selepas mengesahkan Dr Ma'ruf selaku calon wakil presidennya, cogan kata pasangan itu ialah 'kerjasama ahli politik-ulama demi kemajuan negara'.


(Gambar-gambar: Merdeka.com)

Presiden Jokowi sedar bahawa jika beliau gagal mengendalikan sentimen muslim konservatif, sebagaimana yang terjadi semasa tunjuk-tunjuk perasaan Aksi Bela Islam pada 2016 terhadap mantan gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), harga politik yang perlu dibayarnya adalah tinggi.

AGAMA PENENTU KEPUTUSAN 

Beliau juga mungkin berasa behawa agama juga akan menjadi pencorak dan penentu keputusan di sebahagian wilayah semasa pilihan raya tempatan (Pilkada) baru-baru ini. Lantaran itu, tokoh seperti Kiayi Haji Ma'ruf akan dapat menyokong dan menyerap kebimbangan dalam kalangan masyarakat muslim selepas krisis Ahok.

Persoalan lebih besar sekarang ialah bagaimana kesan Kiayi Haji Ma'ruf terhadap kempen Encik Jokowi, membawa kepada pilihan raya 2019?

Sejak 2015, KH Ma'ruf menjadi Rais 'Am Syuriah kepada Pengurus Besar NU, selain menjadi Ketua Majelis Ulama Indonesia (MUI). Walaupun ada sebahagian orang mungkin berhujah bahawa MUI adalah sebuah pertubuhan berpengaruh dan mempunyai banyak pengikut di negara itu, ia masih lagi kecil berbanding badan seperti NU dan Muhammadiyah.


Hakikatnya, majoriti anggota MUI adalah juga anggota NU dan Muhammadiyah.

Semasa MUI ditubuhkan oleh Presiden Suharto pada 1975, ia bekerja rapat dengan rejim Orde Baru. Hanya selepas tumbangnya Orde Baru pada 1998, MUI mula menyuarakan pandangan-pandangan berbeza daripada pemerintah. Namun demikian, perpecahan dalaman melemahkan kekuatan melobi pertubuhan tersebut.

MUI MENJADI LEBIH BERPENGARUH 

MUI bagaimanapun menjadi lebih berpengaruh semasa pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono. KH Ma'ruf memainkan peranan aktif dalam MUI selaku ketua jawatankuasa fatwanya.

Pada 2005, MUI mengeluarkan fatwa 'popular' yang dipanggil SIPILIS (Fatwa menentang Sekularisme, Pluralisme, dan Liberalisme). Ia digunakan oleh golongan-golongan tegar untuk mewajarkan mereka mendera para individu dan aktivis yang menggalak pandangan-pandangan alternatif. Fatwa itu ditandatangani dan disokong oleh KH Ma'ruf sendiri.

Beliau juga menyokong fatwa anti-Ahmadiyah, yang tidak membantu dalam mengurangkan keganasan terhadap penganut minoriti itu. Pada tahun 2007, KH Ma'ruf diundang menyertai Wantimpres (Dewan Pertimbangan Presiden) yang memberi nasihat kepada Presiden Jokowi.


(Gambar fail: Willy Kurniawan/Reuters)

Tokoh agama itu juga sangat berpengaruh dalam sektor kewangan Islam dan memainkan peranan dalam mewujudkan peranan penting bagi MUI dalam bidang perbankan Islam dan pensijilan halal.

MENCIPTA SEMULA IMEJ

Walaupun berfikiran konservatif, sejak tahun 2015 Prof Ma'ruf sudah mencipta semula imejnya selaku pejuang 'progresivisme'. Contohnya beliau menjadi pelaung Islam Nusantara, iaitu ajaran Islam yang menghormati norma-norma dan budaya serantau dan bukan bersifat pemurni semata-mata (puritanical).

Namun demikian, kedua-dua fraksi konservatif dan progresif dalam NU menerima KH Ma'ruf dan menjadikan beliau sebagai Rais 'Am Syuriah (Ketua Umum). Imej sedemikianlah yang beliau mungkin tonjolkan menjelang Pilpres 2019. Di satu pihak lain, Presiden Jokowi juga mahu meraih manfaat daripada karisma dan pesona KH Ma'ruf di mata awam.

Keputusan Presiden Jokowi untuk menyunting KH Ma'ruf jelas satu perhitungan politik yang bertujuan memastikan bahawa seteru-seteru politiknya tidak akan menggunakan isu-isu Islam atau menggerakkan kempen memfitnah terhadap beliau.

Hakikatnya, Encik Jokowi mahu memikat para pengundi Islam, terutamanya golongan konservatif. Namun persoalan yang lebih besar adalah - sama ada KH Ma'ruf akan menentukan agenda Islam Jokowi?

Walaupun fraksi progresif dalam pentadbiran Jokowi akan terus berwaspada terhadap tokoh-tokoh seperti KH Ma'ruf, Presiden Jokowi perlu beringat bahawa cawapres beliau itu mungkin membawa agenda konservatifnya ke pentadbiran beliau - serupa seperti yang pernah dilakukan MUI semasa pentadbiran SBY.


MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril adalah Zamil dan Penyelaras Program Pengajian Indonesia di ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau juga pengarang buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Negara, Ulama dan Islam di Malaysia dan Indonesia). Artikel ini pertama kali diterbitkan di laman ISEAS pada 11 Ogos. 

- BERITAmediacorp/aq

Top