Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pemergian Syekh Ali Jaber suatu kehilangan bagi aliran Islam sederhana Indonesia

Meskipun Allahyarham Syekh Ali Jaber pergi tanpa meninggalkan karya-karya ilmiah, iaitu suatu petanda golongan ulama, karisma yang menyentuh hati serta bakat dan ilmunya dalam pengajian al-Quran, menempatkan pendakwah selebriti itu dalam kalangan teraju utama Islam berhaluan sederhana di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Meskipun Allahyarham Syekh Ali Jaber pergi tanpa meninggalkan karya-karya ilmiah, iaitu suatu petanda golongan ulama, karisma yang menyentuh hati serta bakat dan ilmunya dalam pengajian al-Quran, menempatkan pendakwah selebriti itu dalam kalangan teraju utama Islam berhaluan sederhana di negara yang paling ramai umat Islam di dunia itu.

Pada 14 Januari, haluan Islam sederhana di Indonesia kehilangan salah seorang tokoh terajunya.

Ali Saleh Mohammad Ali Jaber, yang dikenali ramai sebagai Syekh Ali Jaber, meninggal dunia pada usia 44 tahun.

Keesokan harinya, ratusan umat Islam di Indonesia, meskipun dalam masa pandemik, tiba berduyun-duyun di Tangerang untuk berziarah semasa pengebumiannya.

Ceramahnya yang menenangkan hati dan budi pekertinya yang tertib menjadikan Allahyarham tokoh yang popular, khususnya dalam kalangan netizen.

Beliau mempunyai 3.9 juta pengikut di Instagram, 708,000 pelanggan YouTube dan 614,000 pengikut di Facebook.

BACA: Pendakwah Indonesia Syekh Ali Jaber meninggal dunia

DAI HALUAN SEDERHANA

Allahyarham menjauhkan dirinya dari perkara-perkara kontroversi dan sebaliknya sebahagian besar ucapannya berkisar dengan ibadah, kesusilaan dan kerohanian. Ini menjadikannya popular dalam kalangan golongan elit politik Indonesia.

Dalam catatan Twitternya, mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyanjung Allahyarham sambil mengatakan “tutur kata Syekh Ali Jaber jauh dari kebencian (dan) juga bukan permusuhan”.

Mantan Naib Presiden Jusuf Kalla, Ketua Dewan Masjid Indonesia, mengeluarkan kenyataan media yang memuji Allahyarham sebagai seorang yang rapat dengan masyarakat Islam di peringkat akar umbi.

“Syekh Ali Jaber menyampaikan dakwah secara sejuk untuk mengajak umat ke jalan yang benar,” kata Encik Jusuf.

Jejak langkah Ali Jaber sehingga menjadi pendakwah selebriti di Indonesia tidak disangka-sangka dan ia mencerminkan suatu perubahan dalam kehidupan beragama di Indonesia.

Allahyarham tidak pernah menuntut di mana-mana universiti Islam. Beliau sekadar mengaji dengan ulama-ulama besar dari Arab Saudi.

BACA: KOMENTAR: Musyawarah Nasional Majlis Ulama Indonesia – Haluan menuju kesederhanaan

SELEBRITI MASYHUR

Allahyarham pergi tanpa meninggalkan karya-karya ilmiah, iaitu antara petanda seseorang ulama.

Sebaliknya, karisma dan aura Ali Jaber, khususnya dalam pembacaan al-Quran, memacunya sehingga mencapai kemasyhuran di Indonesia, di mana media sosial seolah-olah sebati dengan kehidupan harian.

Ini mencerminkan suatu peralihan dalam kehidupan beragama di Indonesia yang lebih memberatkan rupa daripada isi kandungannya.

Gandingan iltizam dengan bakat dalam mendidik Hafiz Quran muda memacu Ali Jaber sehingga mencapai status popular.

Pada 2013, Ali Jaber mula menempa nama di persada nasional setelah beliau tampil sebagai pengadil rancangan realiti Hafiz Indonesia di mana kanak-kanak bertanding untuk menghafal al-Quran semasa bulan Ramadan.

Allahyarham turut membuat penampilan dalam rancangan-rancangan keagamaan terbitan stesen televisyen yang lain sebagai seorang pendakwah.

Bahkan beliau membintangi filem Surga Menanti yang ditayangkan pada 2016.

Salasilah Ali Jaber berketurunan Arab dan hakikat bahawa beliau dilahirkan dan dibesarkan di Arab Saudi, memangkinkan kerjayanya sejak saat beliau tiba di Indonesia.

Ketika Allahyarham tiba di Indonesia pada 2008 untuk melawat saudaranya yang tinggal di wilayah Nusa Tenggara Barat, ramai penduduk tempatan mempercayai bahawa beliau seorang Imam dari tanah suci Madinah di Arab Saudi.

Mereka menyambut kedatangannya dengan tangan terbuka dan mengundangnya agar mengimamkan solat di sebuah masjid tempatan.

Allahyarham memutuskan untuk menetap di wilayah itu dan mula mengendalikan kelas-kelas tahfiz bagi kanak-kanak setempat. Kemudian beliau diundang untuk mengimamkan solat di Masjid Sunda Kelapa, iaitu salah sebuah masjid terunggul di Jakarta.

Bahasa ibunda Ali Jaber, iaitu bahasa Arab, memberikannya kewibawaan dari segi pengetahuan agama yang tiada tolok bandingnya dalam kalangan pendakwah tempatan.

Namun identiti Arabnya juga tidak dapat melindunginya daripada cemuhan berbaur perkauman.

MENGELAK KONTROVERSI

Para penyokong Habib Rizieq Shihab. (Gambar: AFP/ADEK BERRY)
Habib Rizieq Shihab. (Gambar: Reuters)

Keupayaan beliau untuk menjauhkan diri dari ajaran Wahhabi-Salafi – ideologi yang berasal dari tanah airnya – melindunginya daripada ketegangan dengan Nahdlatul Ulama (NU), iaitu pertubuhan Islam terbesar Indonesia yang pendiriannya bertentangan dengan ajaran Wahhabi.

Dengan menjauhkan diri dari politik Indonesia yang berbelah bahagi, golongan elit dan juga rakyat kebanyakan negara itu, tidak mengira pandangan politik mereka, rata-rata menyanjung dan memuji peranan Ali Jaber sebagai ulama haluan sederhana.

Malangnya Allahyarham tidak hidup cukup lama bagi seseorang untuk mendalami pemikirannya mengenai politik, hukum-hakam dan agama.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “The Death of a Young, Moderate Charismatic Preacher”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

MENGENAI PENULIS:

Dr A'an Suryana adalah Zamil Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute.

Dr A’an Suryana adalah Zamil Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State and Religious Violence in Indonesia: Minority Faiths and Vigilantism (Routledge, 2020)

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018)  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan