Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pembelaan wanita lebih bermakna dengan prinsip kesaksamaan yang adil

Dalam KOMENTAR sempena Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada 8 Mac, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Rahayu Mohamad, berkongsi bagaimana kaum wanita boleh bangkit untuk mengecap kejayaan baik untuk diri sendiri mahupun untuk negara.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pembelaan wanita lebih bermakna dengan prinsip kesaksamaan yang adil

Presiden PPIS, Rahayu Mohamad. (Gambar: MUIS)

BERITAMediacorp: Sumbangan dan peranan wanita sememangnya penting dalam pembangunan sesebuah negara. Lantaran itu, sedang Singapura bersiap siaga untuk berdepan cabaran masa akan datang, kaum wanita juga harus aktif mempertingkat diri agar mereka tidak ketinggalan.

Namun adakah peluang untuk kaum wanita berdiri sama tinggi dan berganding bahu dengan orang lelaki sudah mencukupi? Adakah sistem sedia ada memperjuangkan nasib dan aspirasi wanita dengan adil dan saksama? Dalam KOMENTAR beliau sempena Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada 8 Mac, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Rahayu Mohamad, berkongsi bagaimana kaum wanita boleh bangkit untuk mengecap kejayaan baik untuk diri sendiri mahupun untuk negara:

Pelancaran Sentuhan Ramadan 2017 di Masjid Al Ansar, 21 Mei 2017. (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

SEJAK tahun 1911, seluruh dunia meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.

Tema #PressforProgress bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, yang menggalak wanita untuk bergegas menuju kemajuan, sememangnya sesuai dijadikan sumber inspirasi untuk menyemat aspirasi.

Aspirasi bagi kemajuan yang menyeluruh – merangkumi keluarga, badan-badan yang dianggotai serta masyarakat kita. Aspirasi yang inklusif bagi setiap wanita – tidak kira sama ada bujang atau berkeluarga, suri rumah atau berkerjaya, bersifat sempurna mahupun kurang upaya. Aspirasi untuk memenuhi keperluan yang berbeza dan menangani cabaran yang pelbagai.

WANITA INOVASI

Belanjawan 2018 yang dibentangkan oleh pemerintah memberikan harapan dan juga kesedaran tentang cabaran masa depan. Usaha pemerintah membentuk ekonomi inovasi dan mendakap teknologi baru untuk menangani segala kegenjotan (disruption), amat peka dengan perkembangan sedunia. Justeru wanita juga harus aktif membuat persiapan demi memastikan kita tidak ketinggalan dek arus kemodenan.

Umpamanya, anjakan paradigma untuk menjadikan cabaran seperti kos kehidupan pencetus untuk membakar semangat wanita untuk bekerja. Demikian juga cabaran automasi serta pendigitalan yang sepatutnya memupuk semangat wanita untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan keupayaan dan kemahiran.

Gambar fail pekerja Singapura. 

Wanita di Singapura perlu berani berubah bagi meningkatkan kedudukan di peringkat nasional sejajar dengan perkembangan semasa, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara. Untuk mencapai aspirasi ini, kita harus meperbaharui pemikiran kita serta cara kita berkerja. Kita perlu sedar bahawa negara ini tidak akan menjadi sebuah ekonomi berasaskan inovasi jika wanitanya juga tidak berinovasi.

Maka itu perlu ada di kalangan institusi dan pemimpin akar umbi yang memainkan peranan sebagai pemangkin dalam melahirkan pemimpin wanita berfikiran inovatif dan kreatif. Kita tidak mampu membiarkan wanita ketinggalan dalam mengharungi cabaran dan persaingan global yang sengit.

Malah, usaha menyokong inisiatif wanita dalam mencapai aspirasi dan memastikan mereka terus berperanan penting dalam pertumbuhan negara harus mendapat sokongan dan dukungan oleh semua pihak termasuk kaum lelaki sebagai suami, rakan kerja, majikan atau pemimpin.

LELAKI UNTUK WANITA

Usaha proaktif dan sokongan padu daripada kaum lelaki kepada setiap wanita menjadi tunjang utama dalam memastikan tanggungjawab bersama dalam memikul amanah keluarga dan pekerjaan. Kesungguhan dan kekuatan yang terjalin antara kedua-dua pihak dapat menjamin sokongan kepada wanita yang menjalankan dua tugas - di rumah dan di pejabat, sebagai seorang ibu, isteri ataupun anak dan juga wanita berkerjaya.

Gambar hiasan. (Gambar: LUDOVIC MARIN / AFP)

(Gambar: LUDOVIC MARIN / AFP)

Golongan lelaki tidak perlu rasa terancam dengan penambahan golongan wanita di pelbagai sektor. Sebaliknya, tren ini harus dianggap sebagai pesaingan sihat dan produktif dalam usaha mengembang sumber tenaga dan kepakaran yang sedia ada.

Bagi mengukuhkan perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan, usaha Jawatankuasa Tindakan Kepelbagaian yang ditubuhkan pada 2014 bagi memperjuangkan dan membawa lebih ramai wanita duduk dalam lembaga korporat di Singapura harus diteruskan. Perwakilan wanita dalam syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Singapura naik dari 8.3 peratus pada 2013 kepada 10.3 peratus pada Jun 2017.

Wanita sewajarnya perlu berani tampil kehadapan menggunakan ilmu dan kebolehan untuk berganding bahu dengan kaum lelaki ketika berpeluang untuk memimpin dan menyumbang. Ini dapat merubah perspektif yang tidak lagi relevan, iaitu wanita lebih sesuai berperanan sebagai jawatan sokongan kepada lelaki.

SUASANA INKLUSIF

Tindakan yang berani dan yakin ini mungkin tidak akan sekaligus menghakis stereotaip yang tidak lagi relevan pada zaman ini. Namun ia akan membantu mewujudkan suasana yang inklusif, bebas daripada sebarangan halangan dan diskriminasi.

Dalam membicarakan inspirasi untuk kemajuan wanita, ia tidak boleh diasingkan daripada pengiktirafan yang diberikan kepada nilai sumbangan wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Orang ramai di Raffles Place. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

Penghargaan ke atas sumbangan mulia wanita tidak harus terhad kepada sumbangan pembangunan mutlak sahaja. Sebaliknya, penilaian secara holistik amat dialu-alukan tanpa memperkecilkan dan merendah-rendahkan pilihan yang diambil - umpamanya untuk mengurus rumah tangga, anak-anak dan keluarga.

Malah wajar wanita diberikan imbalan yang tertentu dan pengiktirafan ekonomi, selaras dengan usaha dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat dan negara dengan mendidik generasi masa depan.

Oleh itu perlu difikirkan dasar yang melibatkan pengiktirafan dalam menilai sumbangan wanita secara holistik dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab dalam masyarakat, khususnya bagi memelihara kestabilan keluarga.

KESAKSAMAAN JANTINA

Ruang dan peluang perlu terus diberikan kepada wanita untuk mencapai cita-cita dan potensi penuh. Langkah pemerintah untuk mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan kaum wanita seperti ‘Geran WorkPro Work-Life’ menawarkan peraturan kerja yang fleksibel akan membantu wanita mengimbangi komitmen keluarga dan kerjaya.

Ini disokong oleh Pelapor mengenai Singapura, Cik Yoko Hayashi, dalam ulasan beliau di sesi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di Pejabat PBB di Geneva, Switzerland pada Oktober 2017. Beliau mengatakan Singapura mencatat kemajuan yang baik dari segi kesaksamaan gender, tetapi masih lagi terdapat ruang untuk dibaiki.

Sementara itu Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim sebagai wakil negara Singapura di sesi itu berkongsi dua langkah dalam merealisasikan hak asasi manusia: pertama, terus menghapuskan halangan bagi wanita di tempat kerja, dalam masyarakat dan di rumah. Kedua, mengukuhkan usaha untuk memperkasa kumpulan wanita yang lemah.

Ini disertakan dengan usaha untuk meningkatkan kefahaman mengenai kesaksamaan jantina dalam Islam. Dengan itu, ia memastikan masyarakat Muslim di Singapura mengamalkan kesaksamaan jantina, yang meletakkan Singapura dalam menepati peraturan CEDAW yang telah dimeterai pada tahun 1995.

Usaha Singapura mendukung wanita untuk ‘Memacu Kemajuan’ bagi tahun-tahun akan datang serta memperjuangkan nasib mereka berdasarkan prinsip sama-rata atau setaraf, akan lebih bermakna apabila prinsip kesaksamaan yang bermaksud berlaku adil, dilaksanakan. Adil dalam menentukan dan meletakkan pengiktirafan pada tempatnya dalam ukur taraf menilai sumbangan golongan wanita.

Namun, penting bagi usaha pembelaan wanita ini dilakukan dalam suasana yang harmoni, memudahkan dan bukan membebankan kaum mereka daripada mengecap aspirasi yang diidamkan dengan memperolehi bantuan serta sokongan yang diperlukan.

Rahayu Mohamad. (Gambar: Rahayu Mohamad)

MENGENAI PENULIS:

Rahayu Mohamad adalah Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS). Beliau juga merupakan anggota dalam pelbagai jawatankuasa penasihat PPIS seperti Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jawatankuasa Penasihat Sumber Manusia, Jawatankuasa Penasihat Perhubungan Korporat dan Jawatankuasa Penasihat Khidmat Sosial. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan