Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pemansuhan sistem aliran akademik - mengapa perubahan perlu dilakukan

Pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai sistem aliran akademik yang bakal dimansuhkan semasa perbahasan di Parlimen baru-baru ini, mencetuskan banyak perbincangan dan minat dalam kalangan ahli akademik dan yang bukan ahli-akademik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pemansuhan sistem aliran akademik yang diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk membolehkan para pelajar membangun pada kadar yang berbeza-beza mengikut keupayaan diri mereka. Pendidik dan juga Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokhtar menggariskan hujah mengapa perubahan ini dilakukan.

Pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai sistem aliran akademik yang bakal dimansuhkan semasa perbahasan di Parlimen baru-baru ini, mencetuskan banyak perbincangan dan minat dalam kalangan ahli akademik dan yang bukan ahli-akademik.

Di sini saya ingin mengupas empat fasa yang sudah dilalui sistem pendidikan kita, pengenalan kepada aliran akademik dan perkembangan dalam sistem pendidikan yang membawa kepada pemansuhan aliran tersebut.

Sistem pendidikan kita sudah berubah dalam tempoh beberapa tahun. Kita bermula dengan fasa di mana ia lebih tertumpu kepada keperluan kehidupan (survival phase) (dari negara merdeka pada tahun 1965 hingga lewat tahun 1970-an).

Penekanan diberikan kepada usaha mendidik dan menajamkan kemahiran rakyat Singapura secara umum (mass), supaya mereka boleh mendapat pekerjaan, dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan negara, kerakyatan dan perpaduan sosial.

Dalam fasa ini, pelaburan yang besar dibuat dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan dan pendidikan di sekolah-sekolah rendah.

FASA KECEKAPAN

Kemudian, kita melalui fasa kecekapan (dari lewat 1970-an hingga lewat 1990-an) di mana tumpuan diberikan kepada usaha mempersiapkan rakyat Singapura untuk melangkah ke alam pekerjaan dalam ekonomi industri perindustrian.

Pendidikan Teknikal dan vokasional diperluas dan penekanan diberikan kepada subjek matematik, sains dan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan.

Sekalipun demikian, terdapat trend-trend membimbangkan yang dilihat dalam sistem pendidikan pada waktu itu.

Pada bulan Ogos 1978, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Goh Keng Swee, ditugaskan untuk memimpin sebuah pasukan untuk mengenal pasti masalah-masalah dalam sistem pendidikan Singapura dan menyarankan huraian-huraian.

Pasukan itu menerbitkan Laporan mengenai Kementerian Pendidikan 1978 (yang lebih dikenali sebagai Laporan Goh).

Ia mengenal pasti tiga masalah dalam sistem pendidikan pada waktu itu –
(i) pembaziran (wastage) pengajian tinggi;
(ii) kadar rendah celik membaca ; dan
(iii) sistem dwibahasa yang tidak berkesan. Disebabkan itu, jumlah pelajar yang tercicir dari sekolah begitu tinggi.

Daripada Laporan Goh itu, faktor utama di sebalik jumlah pelajar yang tercicir adalah sistem pendidikan yang tegar (rigid), dengan kurikulum serta peperiksaan yang sama.

Ini menghadkan keupayaan sistem pendidikan untuk memenuhi tahap kemampuan para pelajar yang berbeza-beza.

Lantaran itu, satu saranan utama dalam laporan tersebut adalah untuk menjadikan sistem pendidikan dan kurikulum lebih fleksibel bagi membolehkan setiap pelajar menimba ilmu pada tahap dan peringkat yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Saranan itu kemudian disokong oleh Parlimen pada 30 Mac 1979 dan menjadi asas Sistem Pendidikan Baru (NES).

Di bawah NES, aliran akademik diperkenalkan untuk menangani masalah keciciran dalam kalangan pelajar serta menjadikan sistem pendidikan dan kurikulum lebih sesuai untuk setiap pelajar.

Kelas-kelas juga diasingkan mengikut keupayaan akademik pelajar. Ini membolehkan para guru mengajar mengikut rentak yang sesuai dengan pelajar, supaya mereka akan terus ke sekolah dan sekurang-kurangnya menghabiskan pendidikan di peringkat rendah dan menengah.

Aliran akademik di sekolah rendah (pada hujung Darjah 3) diperkenalkan pada tahun 1979 - dengan tiga aliran akademik - iaitu Normal Bilingual, Normal Extended dan Monolingual.

Ketiga-tiga aliran itu kemudian diubah suai kepada EM1, EM2 dan EM3 pada 1992, apabila aliran akademik di sekolah-sekolah rendah ditukar ke peringkat Darjah 4 pula.

Pada tahun 1980-an sistem sedemikian diperkenalkan pula di peringkat menengah - juga dengan tiga aliran akademik - Special (Khas), Ekspres dan Normal.

Para pelajar dalam aliran Khas dan Ekspres akan menduduki Peperiksaan GCE ‘O’ manakala mereka yang dalam aliran Normal menduduki Peperiksaan GCE ‘N’. Namun, pada tahun 1994, aliran Normal dipecahkan lagi kepada Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal).

Ini untuk membezakan keupayaan akademik pelajar dalam aliran Normal.

Langkah-langkah mengasingkan pelajar mengikut aliran akademik mereka seiring dengan fasa kecekapan bagi sistem pendidikan kita pada waktu itu.

Fasa keupayaan (dari lewat tahun 1990-an hingga awal 2010) adalah waktu di mana tumpuan diberikan kepada usaha-usaha mempersiapkan rakyat Singapura untuk berdepan ekonomi yang berdasarkan ilmu.

Ketika inilah terdapat perubahan besar daripada pendekatan ‘satu untuk semua’ (one size fits all) kepada cara yang membolehkan pelajar menimba ilmu mengikut keupayaan mereka sendiri.

Ini juga merupakan fasa di mana Pelan Induk (1, 2 dan 3) Teknologi Maklumat (IT) diperkenalkan, dengan Pelan Induk IT 1 diperkenalkan pada 1997.

Tumpuannya adalah untuk mempersiapkan para pelajar bagi pelbagai laluan mengikut minat, keupayaan dan kecemerlangan serta untuk bersiap sedia bagi masa depan yang dipacu teknologi dan inovasi.

Pada waktu ini jugalah keterbatasan sistem aliran akademik diakui. Terdapat penerimaan bahawa para pelajar membangun pada kadar yang berbeza-beza dan perlu ada lebih banyak kelonggaran untuk mereka dengan mudah mengambil mata pelajaran pada ‘aliran’ yang berbeza, mengikut peringkat dan tahap pembelajaran yang juga berbeza-beza.

Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2008, menggantikan serta memansuhkan sistem aliran akademik di sekolah-sekolah rendah.

FASA NILAI DAN DIPACU NILAI

Sekarang, kita berada dalam fasa yang dipanggil ‘fasa nilai dan dipacu nilai’ (values driven and value driven) (dari awal 2010 hingga kini).

Fasa ‘nilai’ (values driven) adalah di mana proses pembelajaran menumpukan kepada pelajar (meneruskan juga tumpuan terhadap keupayaan berbeza para pelajar) dan penekanan ke atas nilai-nilai dan perwatakan serta menjangkaui prestasi akademik.

Fasa ‘dipacu nilai’ merujuk kepada keupayaan para pelajar untuk menambah nilai kepada pengetahuan yang sedia ada, masyarakat pengkaji, industri dan masyarakat umum serta mempertingkat status quo.

Pada waktu inilah SBB diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah (pada tahun 2014) sebagai perintis dan kemudian diperluaskan ke semua sekolah menengah pada 2018.

Cara-cara didaktik dan penghafalan lebih banyak digunakan semasa fasa keperluan kehidupan (survival) dan fasa kecekapan (efficiency driven), di mana pencapaian akademik dan kesarjanaan mencerminkan kejayaan, lazimnya ditonjolkan menerusi keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau penilaian sumatif.

Ini adalah tafsiran sempit bagi kejayaan. Malah dalam era di mana berbilang tugas dilakukan pada satu-satu masa (multi-tasking), dengan pantas (nimbleness) dan keupayaan menyesuaikan diri (adaptability), kejayaan perlu bermaksud lebih dari sekadar pencapaian akademik.

Dengan didorong keupayaan (ability driven) dan sekarang fasa nilai serta fasa dipacu nilai, tumpuannya sudah berubah lebih ke arah memperluaskan definisi kejayaan.

Di bawah definisi yang diperluas, yang diberi tumpuan bukan setakat pencapaian akademik tetapi juga kemajuan individu itu sendiri seperti pencapaian dan pembangunan peribadi dan pencapaian menjangkaui akademik seperti sukan, muzik, seni atau pelibatan mereka dalam masyarakat.

PELBAGAI LALUAN

Perkembangan-perkembangan terkini dalam landskap pendidikan, seperti gerakan nasional SkillsFuture, sudah membuka jalan dengan mewujudkan pelbagai laluan bagi mengejar pendidikan, membawa kepada puncak kecemerlangan yang berbeza dan mengiktiraf kepelbagaian bakat, keupayaan serta kemahiran.

Selain itu, melepasi tahun-tahun persekolahan, landskap di tempat kerja juga sudah berubah. Lebih banyak nilai diletakkan pada pengalaman berkaitan kerja, pelibatan dalam masyarakat dan keupayaan bukan berdasarkan akademik.

Ia termasuklah ciri-ciri seperti kepimpinan, kerjasama pasukan, daya bingkas, kemahiran berkomunikasi, keupayaan menyesuaikan diri, empati, kreativiti dan berani mengambil risiko (entrepreneurial dare).

Perubahan-perubahan ini memerlukan sistem pendidikan yang tidak terlalu linear, didaktik dan preskriptif. Sebaliknya ia perlu lebih dinamik, fleksibel dan berulang (iterative).

Meskipun MOE sudah mengumumkan pemansuhan sistem aliran akademik di sekolah-sekolah, sebahagian daripada kita mungkin berpendapat bahawa SBB tidak banyak berbeza daripada aliran akademik dan perbuatan melabel seseorang berdasarkan aliran akademik mereka, akan terus ada.

Bagi saya, SBB agak berbeza daripada aliran akademik.

Satu sebabnya, para pelajar tidak dimasukkan ke dalam satu-satu kategori, yang setelah sekian lamanya, menyebabkan para guru, ibu bapa, orang awam dan pelajar itu sendiri berasa seolah-olah aliran akademik tertentu adalah lebih baik berbanding aliran akademik lain.

SBB membolehkan para pelajar membangun pada kadar yang berbeza-beza mengikut keupayaan diri mereka, rentak pembelajaran dan pertumbuhan dan pembangunan peribadi tanpa ditempatkan dalam satu kategori atau stereotaip.

Kedua, dengan adanya SBB, terdapat lebih banyak pergaulan sosial dan interaksi dalam kalangan pelajar, sedang mereka bertukar kelas berdasarkan subjek yang diambil.

Seperti niat awal sistem aliran akademik, SBB memberikan lebih banyak kelonggaran dalam sistem pendidikan dan kurikulum untuk memenuhi keperluan, kemajuan dan pembangunan berbeza-beza para pelajar.

Oleh itu, langkah beralih dari aliran akademik kepada SBB adalah satu perubahan semula jadi.

Dari segi isu stigma dan label terhadap seseorang, kita tidak boleh menyalahkan aliran akademik semata-mata. Sistem aliran akademik, dari segi praktikal dan fungsinya, ia bukanlah untuk memecahbelahkan masyarakat.

Ia dilihat sebagai cara berkesan untuk mengasingkan pelajar ke dalam kumpulan-kumpulan bagi tujuan mengajar dan pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan.

Sekalipun demikian, kita tidak boleh mengeluarkan diri kita daripada interaksi dan persepsi sosial. Stigma dan perbuatan melabel orang lain adalah hasil tidak disengajakan daripada sistem aliran akademik.

Ini sebahagian besarnya disebabkan kecenderungan manusia untuk meletakkan kategori dan mewujudkan stereotaip berdasarkan sikap berat sebelah kita sendiri.

Setiap daripada kita mempunyai sikap berat sebelah yang mengaburi pemerhatian kita serta maklumat yang kita terima daripada sekeliling kita.

Ini membentuk kesimpulan, model-model mental dan kepercayaan kita terhadap sekitaran dan masyarakat di sekeliling kita. Malah ini diburukkan lagi oleh tindakan kita.

Sikap berat sebelah kita, kepercayaan dan tindakan kita itulah yang membezakan kita. Bukan aliran akademik sahaja. Masyarakat kita sudah berubah dan aspirasi kita juga sudah berubah.

Maka itu, sistem pendidikan kita juga perlu berubah untuk memenuhi dengan lebih baik aspirasi serta jangkaan kita sekarang - iaitu mewujudkan masyarakat majmuk dan progresif.

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

Dr Intan Azura Mokhtar adalah seorang pendidik dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan