Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM M’sia: Sejauh mana ia boleh mendatangkan kedamaian politik?

Pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan dialu-alukan rakyat. Namun pada hakikatnya, pelantikannya itu adalah hasil tawar-menawar dan tolak ansur antara pihak-pihak berkepentingan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM M’sia: Sejauh mana ia boleh mendatangkan kedamaian politik?

Encik Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. (Gambar: Bernama)

BERITAmediacorp: Pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan dialu-alukan rakyat. Namun pada hakikatnya, pelantikannya itu adalah hasil tawar-menawar dan tolak ansur antara pihak-pihak berkepentingan. Ismail Sabri menggalas tanggungjawab berat untuk memimpin negara yang masih bergelut dengan lonjakan kes COVID-19.

(Gambar: Reuters)

Menyusuli ketidaktentuan dan ketegangan politik yang berlarutan berbulan-bulan lamanya, Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin (16 Ogos).

Perkembangan itu mungkin melegakan rakyat Malaysia yang baru saja menyaksikan kemelut politik di Kuala Lumpur ketika mereka bergelut dengan penularan COVID-19 serta kesan teruknya kepada ekonomi.

Sungguhpun demikian, pelantikan Ismail Sabri, naib presiden UMNO dan mantan timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Muhyiddin, tidak semestinya mendatangkan banyak perubahan.

Rakyat masih diwakili Anggota-Anggota Parlimen (AP) yang tetap mengekalkan kerusi masing-masing.

BERAKHIRNYA KEMELUT POLITIK

Satu-satunya perbezaan antara kerajaan sekarang dengan yang lalu adalah ia kurang sokongan seorang AP dan ia disusun semula di bawah pemimpin baru.

114 AP menyokong Ismail Sabri untuk mengambil alih jawatan perdana menteri, iaitu tiga kerusi lebih daripada jumlah ambang yang diperlukan.

Ini bermakna Barisan Nasional, yang diterajui UMNO, kembali berkuasa selepas disingkirkan pada 2018.

Ini adalah sesuatu yang signifikan kerana UMNO, dengan sokongan 38 Anggota Parlimennya, menegakkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini di bawah pimpinan Muhyiddin.

(Gambar: BERNAMA)

(Gambar: BERNAMA)

Namun dengan memegang majoriti tipis, seperti mana diraih Muhyiddin ketika beliau menyandang jawatan perdana menteri pada Mac 2020, ketidaktentuan politik akan terus berlarutan.

Yang di-Pertuan Agong menggesa perdana menteri baru supaya mengesahkan sokongan yang diraih dengan mengadakan undi percaya.

Namun dengan pegangan majoriti yang begitu tipis, sebarang tindakan AP yang berpaling boleh melemahkan UMNO. Selain itu, kelebihan Ismail Sabri juga terletak pada sokongan empat AP bebas. Selagi undang-undang melarang lompat parti tidak diluluskan, tiada kerajaan yang akan memegang kuasa dengan jaminan taat setia para AP.

Agong menegur para AP supaya menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang perlu dilaksanakan, lebih-lebih lagi usaha membendung pandemik COVID-19. Agong juga menyeru ahli politik supaya bekerja dalam satu pasukan. Beliau memesan para AP kerajaan mahupun pembangkang bahawa “menang tidak menang semua, manakala yang kalah pula tidak kalah semua.”

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mengumumkan Perdana Menteri Malaysia ke-9 hari ini. (Gambar: Istana Negara/Facebook)

(Gambar: Istana Negara/Facebook)

Kedamaian sementara itu mungkin boleh berkekalan sehingga pilihan raya umum seterusnya yang besar kemungkinan diadakan tahun depan.

Meskipun kerajaan kini diterajui perdana menteri yang baru, gabungan parti kerajaan mahupun pembangkang masih pincang. Barisan Nasional pimpinan Ismail Sabri tidak boleh disamakan dengan BN diketuai Dr Mahathir Mohamad antara 1981 hingga 2003. Pada zaman kegemilangannya, BN berhasil meraih majoriti dua pertiga di Parlimen.

Namun sekarang, parti-parti berpangkalan di Sarawak tidak menyertai kerajaan gabungan secara rasmi dan tiada sesiapa yang dapat menghalang mereka daripada bertawar-tawaran dengan pembangkang.

Soalan yang lebih genting adalah bagaimana anggota kebanyakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang langkah UMNO untuk menyingkirkan Muhyiddin, pengerusi Bersatu.

Menjelang pilihan raya umum seterusnya, UMNO tidak semestinya akan memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding bagi kerusi-kerusi yang dimenanginya pada 2018. Ini kerana UMNO juga bertanding bagi kerusi-kerusi berkenaan pada ketika itu.

UMNO juga perlu berhati-hati agar ia tidak melayan Bersatu bagai ‘adik bongsu’ dalam kerajaan selepas ia menggantikan menteri-menteri besar Bersatu di Johor dan Perak. UMNO hanya bertolak ansur di Sabah dengan membenarkan Hajiji Noor dari Bersatu untuk menyandang jawatan ketua menteri meskipun Bersatu memegang jumlah kerusi lebih kecil daripada UMNO.

TIMBUL TANDA TANYA

Ramai anggota Bersatu yang akan terpinga-pinga jika mereka mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang mendahului penyingkiran Muhyiddin. Tertimbul banyak tanda tanya.

Seramai 15 AP UMNO menarik balik sokongan terhadap PN dan ini menyebabkan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti. Namun mereka sebaliknya bersetuju untuk mendukung Ismail, timbalan kepada PM Muhyiddin pada ketika itu.

Perdana Menteri Malaysia menyampaikan perutusan khas kira-kira sejam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 Ogos 2021. (Petikan video: RTM menerusi YouTube/PMO Malaysia)

(Petikan video: RTM menerusi YouTube/PMO Malaysia)

Adakah selama ini Ismail Sabri bersekongkol dengan AP-AP UMNO yang menarik balik sokongan?

Apakah UMNO kecewa dengan Muhyiddin saja tetapi bukan dengan Ismail Sabri?

Bukankah kabinet sebelum ini sepatutnya menggalas tanggungjawab bersama dan Ismail Sabri patut dipertanggungjawabkan juga atas kelemahan kerajaan Muhyiddin?

Selain itu, dalam perutusan terakhir Muhyiddin sebagai perdana menteri, beliau bertegas tidak akan tunduk kepada desakan untuk mencampuri urusan mahkamah membabitkan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO.

Sebagai tindak balas, mantan perdana menteri Najib Razak menyaman fitnah Muhyiddin. Seseorang semestinya akan tertanya-tanya bagaimana Muhyiddin dan Najib, yang berpisah haluan sebelum pilihan raya terakhir, boleh kembali menganggotai gabungan politik yang sama.

Masa depan 11 bekas AP Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kalangan 31 AP Bersatu, juga menjadi tanda tanya.

Mereka termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, yang terpalit dengan kontroversi ketika mereka berpaling dari PKR. Dengan majoriti tipis yang dipegang Ismail Sabri, kumpulan AP itu juga boleh menentukan siapa yang memegang tampuk kepimpinan.

KEPINCANGAN PEMBANGKANG

Pihak pembangkang juga dibelenggu masalah-masalah sendiri.

Pada September tahun lalu, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa berhasil meraih sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan untuk menyandang jawatan perdana menteri.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menyertai perarakan pada 2 Ogos 2021 untuk membantah penutupan parlimen. (Gambar: AFP/Arif Kartono)

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menyertai perarakan pada 2 Ogos 2021 untuk membantah penutupan parlimen. (Gambar: AFP/Arif Kartono)

Dakwaannya itu tidak terbukti kerana undi percaya tidak diusulkan. Sekali lagi, beliau gagal membuktikan sokongan yang diraih dalam tempoh kesempatan selepas Muhyiddin meletak jawatan.

Sebelum ini berlaku tawar-menawar antara Anwar dengan Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal.

Namun Shafie kemudian memberi laluan dan menyuarakan sokongannya kepada Anwar.

(Gambar: Agensi berita)

(Gambar: Agensi berita)

Empat AP dalam kem Dr Mahathir juga menyokong Anwar, sekali gus membidas sebarang desas-desus bahawa mereka menentang Anwar sebagai perdana menteri.

GPS, yang berpangkalan di Sarawak, mendakwa bahawa Anwar tidak pernah mendampingi mereka untuk meminta sokongan. Lantaran itu, jelas ternyata menyusuli kegagalan Anwar untuk meraih sokongan padu, pembangkang perlu menimbangkan calon-calon selain Anwar dan mula mencari seorang pengganti.

BERAT BAHU MEMIKUL

Ismail Sabri perlu diberi peluang untuk memimpin Malaysia mengharungi krisis sekarang. Beliau dianggap sebagai pemimpin bersih yang tidak terbabit dengan kes-kes mahkamah.

Namun, imejnya akan bergantung kepada tindak-tanduknya berhubung kes-kes perbicaraan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Dalam surat terbukanya, Muhyiddin juga menggesa Ismail Sabri supaya mengecualikan AP-AP yang terpalit dengan kes-kes mahkamah daripada memegang jawatan-jawatan Kabinet.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional dalam sidang media pada 3 Ogos. (Petikan video: UMNO ONLINE/YouTube)

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional dalam sidang media pada 3 Ogos. (Petikan video: UMNO ONLINE/YouTube)

Pada masa yang sama, Ismail Sabri perlu menjauhkan pentadbirannya daripada kerajaan Muhyiddin, yang dianggap lemah dalam menangani pandemik COVID-19.

Malaysia kini menaruh harapan Ismail Sabri boleh menjadi tokoh yang dapat menyatukan rakyat.

Namun usaha mendapatkan sokongan parti-parti Melayu yang lain seperti Bersatu dan Pejuang pimpinan Dr Mahathir bukanlah serumit tugas mencari huraian-huraian praktikal kepada masalah kesihatan dan ekonomi negara itu.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Ismail Sabri as the New PM: An Uneasy Truce”.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan