Images
  • samsudin pills1
    Pil dan kapsul haram  yang dibekalkan oleh "Samsudin Traditional Massager" diharamkan HSA pada 17 Okt 2017 (Gambar-gambar: HSA)

KOMENTAR: Padah guna rawatan alternatif yang setakat 'murah dan cepat' tapi tidak selamat

BERITAMediacorp: Orang Melayu kita memang sudah biasa dengan apa yang disebut sebagai 'rawatan Melayu' atau 'berubat cara Melayu'. Ini termasuklah urut, meminum ramuan akar kayu, bekam, pil itu ini dan sebagainya. Namun disebabkan mahu 'murah', akhirnya ada sebilangan anggota masyarakat kita yang menjadi mangsa pelbagai penipuan.

Itulah antara pandangan yang disuarakan wartawan agensi berita Bernama, Erda Khursyiah Basir. BERITAMediacorp menerbitkan semula tulisan beliau dalam ruangan KOMENTAR ini, di mana beliau menegaskan bahawa dalam soal rawatan, kita tidak sepatutnya berkompromi langsung dalam soal keselamatan diri dan nyawa.


Pil-pil hitam dari Pusat Rawatan Darul Ilaaj diharamkan HSA pada 2015. 

NAK murah dan cepat, walaupun mungkin tidak selamat! Demikian boleh diringkaskan mengenai sikap segelintir masyarakat yang memilih untuk mendapatkan rawatan perubatan sehingga sanggup mengabaikan soal kesejahteraan dan keselamatan diri.

Banyak laporan media mengupas isu pelbagai bahaya akibat mendapatkan rawatan bomoh, pengamal tradisional, penyamar dan penipu. Bagaimanapun, para pengguna yang jahil dan yang sentiasa mahu berjimat cermat selalunya mengambil sikap tidak apa yang akhirnya membahayakan diri sendiri.

Tipu muslihat para penyamar dan penipu yang menawarkan rawatan untuk pelbagai penyakit serta terapi kecantikan bukanlah perkara baharu di negara ini.

Baru-baru ini, heboh mengenai seorang penyamar yang menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi. ‘Doktor gigi’ yang belajar dari YouTube itu berjaya menarik sejumlah pelanggan walaupun menawarkan rawatan secara tidak sah.

Walaupun didenda RM70,000 (S$23,000) kerana melanggar undang-undang, amat memeranjatkan kerana ramai juga yang menaruh kepercayaan terhadap perkhidmatannya dan nasib baik tidak ada yang menderita setakat ini akibat rawatannya.

Ada pula rawatan yang dipanggil ‘kepak sana kepak sini’ (meregang dan memulas anggota badan) untuk merawat anggota badan yang patah. Ini juga boleh berakhir dengan lebih banyak tulang yang patah.    - Penulis

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata para pesakit mungkin tidak sedar akan kemungkinan menghadapi pelbagai komplikasi akibat mengguna khidmat pengamal pergigian haram. Antaranya kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, karies gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah.

Lebih membimbangkan, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.

Ubat pelangsing "VIP Bio Mangosteen Complex" diharamkan HSA pada 2016. 

TIDAK BOLEH DAPATKAN BANTUAN UNDANG-UNDANG

Pelbagai kisah mengenai orang ramai menderita berikutan kerja-kerja tidak teliti para penyamar seumpama itu telah selalu kita dengar, malangnya tidak terkesan ke atas mereka yang tidak berfikir panjang. Paling penting bagi mereka hanyalah untuk mendapatkan rawatan dengan harga yang murah.

Para pesakit itu mungkin tidak sedar akan hakikat bahawa mereka tidak boleh mendapatkan sebarang bantuan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau rawatan yang salah. Mereka boleh menyaman doktor atau membuat tuntutan dari pihak insurans tetapi tidak bagi kes-kes yang melibatkan penyamar.

Walaupun ramai yang sedar bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan bersubsidi di hospital awam, mungkin sahaja ada antara mereka tidak sabar menunggu giliran yang agak lama.

Hanya kerana hendak cepat pulih daripada penyakit atau membetulkan gigi yang dirasakan kurang sempurna, maka memilih cara yang paling cepat dan murah tanpa mempedulikan keselamatan sendiri bukanlah penyelesaiannya.    - Penulis

Terdapat ramai pengamal perubatan tradisional yang menawarkan rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit, sedangkan perubatan moden pun tidak dapat menyembuhkannya. Ramai juga pengamal itu yang telah menempah nama dalam media-media sosial, dan ada di antaranya menjalankan pendekatan yang luar biasa.

RAWATAN 'BATU AJAIB' DAN 'KEPAK SANA KEPAK SINI'

Antara yang pelik tapi popular akhir-akhir ini adalah rawatan dengan hanya memasukkan sejenis ‘batu ajaib’ ke dalam mata bagi memulihkan rabun. Semestinya, perbuatan seumpama itu membahayakan dan boleh mengakibatkan seseorang itu hilang penglihatan berikutan jangkitan atau kerosakan pada biji mata.

Ada pula rawatan yang dipanggil ‘kepak sana kepak sini’ (meregang dan memulas anggota badan) untuk merawat anggota badan yang patah. Ini juga boleh berakhir dengan lebih banyak tulang yang patah.

Keberkesanan kaedah rawatan-rawatan seumpama itu masih menjadi persoalan. Tidak ada penanda aras bagi kepakaran pengamal itu. Namun, orang ramai tetap mahu mencuba rawatan-rawatan yang ditawarkan.

Benar, tidak salah untuk mencuba pengubatan alternatif. Malah, Islam menggalakkan umatnya untuk terus berusaha dan tidak berputus asa mencari penawar bagi apa juga penyakit yang dihidapi.


Penawar saraf Herba Qaseh diharamkan HSA pada 4 Apr 2017. 

KERANA HENDAK CEPAT PULIH...

Akan tetapi, itu tidak bermakna seseorang itu terus mendapatkan rawatan semberono yang mana kaedahnya diragui. Hanya kerana hendak cepat pulih daripada penyakit atau membetulkan gigi yang dirasakan kurang sempurna, maka memilih cara yang paling cepat dan murah tanpa mempedulikan keselamatan sendiri bukanlah penyelesaiannya.

Mengapa tidak merujuk sahaja kepada mereka yang pakar dan mempunyai kelayakan sewajarnya? Sukar sangatkah untuk berbuat demikian?

Bukanlah niat penulis mengetepi dan menolak terus semua rawatan alternatif tetapi penulis selalunya akan memastikan untuk memilih sesuatu yang betul dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi, apabila setiap perbuatan kita itu akan menerima akibat dan keadaan akan lebih terjamin jika kita mematuhi undang-undang terutamanya jika berlaku sesuatu yang buruk.


Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan diharamkan HSA pada 2 Nov 2017. 

Kita tidak sepatutnya berkompromi langsung dalam soal keselamatan diri dan nyawa, yang berkaitan rawatan perubatan. Jangan pula membuat pusingan U untuk mendapatkan rawatan doktor setelah tertipu akibat rawatan daripada pengamal yang menyamar. Serahkan kepada yang pakar dan berkelayakan dari mula lagi.

Pengguna perlu memikirkan rasionalnya memilih sesuatu perkhidmatan termasuklah kesan yang bakal diterima agar tidak memakan diri sendiri pada kemudian hari.

Pada masa itu, mungkin sudah terlambat. Ibarat kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur, menyesal pun dah tak berguna.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) 

- Bernama/nk

Top