Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Nyawa jadi taruhan di plaza-plaza tol di M'sia

Institut Malaysia bagi Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melaporkan, bagi tahun lalu, lebih 521,460 kemalangan jalan raya berlaku di negara itu, dengan lebih 7,152 orang maut akibat kemalangan jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Nyawa jadi taruhan di plaza-plaza tol di M'sia

(Gambar: TEH ENG KOON / AFP)

BERITAMediacorp: Malaysia dianggarkan mempunyai 27.6 juta kenderaan berdaftar tahun lalu. Jumlah yang boleh dikatakan luar biasa banyaknya, berbanding jumlah penduduknya iaitu 31.6 juta orang. Institut Malaysia bagi Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melaporkan, bagi tahun lalu, lebih 521,460 kemalangan jalan raya berlaku di negara itu, dengan lebih 7,152 orang maut akibat kemalangan jalan raya.

Dalam ruangan KOMENTAR kali ini, BERITAMediacorp menerbitkan semula artikel tulisan wartawan Sarimah Othman dari Bernama, yang berkongsi pemerhatiannya tentang sikap sebahagian pemandu yang memandu secara 'membabi buta' dan memotong barisan semasa membawa kereta di plaza-plaza tol.

Yang pasti, artikel ini juga relevan kepada ramai warga Singapura, yang rajin memandu kereta masing-masing ke Malaysia:

Gambar hiasan jalan raya di Malaysia. (Gambar: AFP/Jimin Lai)

(Gambar: AFP/Jimin Lai)

Kita tahu ramai pemandu kenderaan menggunakan kad Touch n Go, begitu juga pengguna SmartTAG.

Lihat pula di plaza-plaza tol. Keadaannya sentiasa sibuk malah bersesak-sesak pada setiap waktu puncak, ketika musim perayaan dan musim cuti persekolahan.

Posisi lorong-lorong tol pula, lazimnya, lorong pertama dan kedua paling kiri adalah untuk bayaran tunai dan Touch ''n Go. Lorong-lorong berkenaan seringkali digunakan oleh kenderaan awam terutama lori dan bas. Beberapa lorong berikutnya adalah untuk Touch ''n Go, dan dua lorong paling kanan pula untuk pengguna SmartTAG.

Semestinya kita tahu bahawa memandu samalah seperti urusan lain. Kita perlu selalu menggunakan akal. Pastinya tidak boleh memandu secara membabi buta.

Saban hari, pada waktu puncak pastinya akan kelihatan barisan kenderaan yang panjang di plaza tol. Malah, kenderaan yang berasak-asak memotong barisan tanpa mempedulikan kenderaan yang sedia beratur juga tidak kurang banyaknya.

Selain itu, terdapat ramai pemandu dari lorong SmartTAG yang memancung ke kiri lebuh raya sebaik sahaja melepasi palang tol sama ada untuk ke stesen minyak atau tandas atau mungkin juga untuk membeli barangan dari kedai serbaneka di situ.

Tidakkah itu berbahaya? Hati tertanya-tanya jika pemandu-pemandu itu secara tiba-tiba terfikir atau memang sudah merancang untuk singgah di situ. Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna lain di plaza tol.

Persoalannya, tidakkah pemandu yang menggunakan SmartTAG tahu atau sedar bahawa peranti SmartTAG berfungsi dengan menggunakan kad Touch ''n Go? Tidak terfikirkah bahawa ia boleh digunakan di mana-mana lorong yang lebih kiri agar lebih mudah jika ingin berhenti untuk sebarang urusan?

Kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

(Gambar: JIMIN LAI / AFP)

Dalam banyak kejadian di mana pemandu merentas dari lorong paling kanan ke kiri lebuh raya, macam-macam kerenah yang boleh dilihat. Ada yang memasang lampu kecemasan dan ada yang melambai tangan, sebagai isyarat meminta agar diberi laluan.

Ada yang memandu terus memancung ke kiri dengan penuh yakin bagaikan tiada kenderaan lain di situ. Ada pula yang memandu dengan sangat perlahan bagi memastikan pemandu lain memberi laluan untuk dia melintas. Telah berkali-kali saya lihat hampir berlaku pelanggaran akibat tindakan seperti itu.

Pemandu yang berbuat demikian bernasib baik jika kenderaan-kenderaan yang baharu melepasi palang tol itu bergerak perlahan, tetapi jangan terlalu yakin.

Bagaimana jika pemandu terus memecut laju atau tidak perasan bahawa ada kenderaan sedang melintas?

Seandainya berlaku sesuatu yang tidak diingini, pastinya keadaan di plaza tol akan menjadi kecoh. Kekecohan itu pula akan mengganggu aliran kenderaan sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan. Apabila keadaan itu berlaku, pastinya tiada lagi yang mudah, lancar apatah lagi selesa.

Trafik waktu sibuk sebelah petang di Kuala Lumpur. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

(Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Memang, penggunaan SmartTAG sangat memudahkan, pemandu hanya pandu lalu berbanding Touch n Go. Tapi, bukanlah sukar pun untuk menggunakan SmartTAG atau kadnya di lorong Touch ''n Go seandainya berhasrat untuk singgah di stesen minyak atau tandas.

Kini sudah 20 tahun Touch n Go digunakan di negara ini iaitu sejak Mac 1997 manakala SmartTAG pula diperkenalkan pada Mac 1999.

Sewajarnya para pengguna lebuh raya mengetahui asas penggunaan kad dan peranti elektronik itu serta memahami cara memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di plaza tol.

Pastinya lebih ramai akan menggunakan kad Touch ''n Go apabila Plus Malaysia Berhad (PLUS) melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya mulai 12.00 tengah hari pada 26 April 2017.

Pelaksanaan itu melibatkan 94 plaza tol Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Johor Bahru yang merangkumi 77 di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) serta Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); sembilan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); tiga di Lebuhraya Linkedua; masing-masing dua di Seremban- Port Dickson serta Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) dan satu di Jambatan Pulau Pinang.

Kelak, tiada lagi transaksi secara tunai di plaza-plaza tol. Mahu tidak mahu setiap pemandu perlu mempunyai sama ada kad PLUSMiles, Touch ''n Go ataupun SmartTAG.

JIKA PEMANDU TERUS IKUT "SEDAP SENDIRI"

Tidak dinafikan, transaksi tol secara elektronik adalah lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran secara tunai. Namun, jika para pemandu terus mengambil sikap tidak acuh dan hanya mengikut ''sedap sendiri'', mementingkan diri, tidak berhemah dan selagi masih ada yang ''sangkut'' di lorong tol kerana lupa menambah nilai kad Touch ''n Go atau tersalah masuk lorong dan seumpamanya, apalah gunanya kemudahan yang disediakan sedangkan kelancarannya diabaikan.

Lorong SmartTAG dan Touch ''n Go, masing-masing mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol bagi setiap jam. Jangan pula akibat kerenah pemandu, sistem kutipan elektronik itu menjadi kurang berkesan kelak.

Seringkalinya pihak pengurusan tol dipersalahkan dalam banyak hal, bagaimana pula sikap anda sebagai pemandu? 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan