Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Musyawarah Nasional Majlis Ulama Indonesia – Haluan menuju kesederhanaan

Perubahan pucuk pimpinan Majlis Ulama Indonesia baru-baru ini membayangkan perubahan haluan yang bakal diambilnya. Apakah ia menandakan peralihan kepada sikap lebih sederhana dalam kalangan kepimpinannya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Musyawarah Nasional Majlis Ulama Indonesia – Haluan menuju kesederhanaan

(Gambar: Majelis Ulama Indonesia)

BERITAmediacorp: Perubahan pucuk pimpinan Majlis Ulama Indonesia baru-baru ini membayangkan perubahan haluan yang bakal diambilnya. Apakah ia menandakan peralihan kepada sikap lebih sederhana dalam kalangan kepimpinannya?

Semasa Musyawarah Nasional ke-10 Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada penghujung November, Miftachul Akhyar (Kyai Miftach) menggantikan Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin sebagai Ketua Umum MUI.

Ma’ruf kekal sebagai salah seorang tokoh kanan MUI dengan pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.

Peralihan kepimpinan daripada seorang pemimpin Nahdlatul Ulama (NU) kepada seseorang yang lain menandakan kesinambungan, khususnya memandangkan Miftach menuruti jejak perjalanan Ma’ruf sebagai pemimpin.

Pada 2018, Miftach menggantikan Ma’ruf sebagai Rais ‘Aam Syuriah atau pemimpin agama NU. Jawatan ketua umum yang disandang Miftach dan perikatan Miftach-Ma’ruf dalam pucuk pimpinan MUI mengukuhkan kedudukan NU yang lebih istimewa berbanding Muhammadiyah.

Ini juga membayangkan bahawa MUI akan kurang terlibat dalam arena politik dan membuat penampilan awam.

PENGARUH BERSEJARAH MUI

Pengaruh MUI dalam ehwal keagamaan Indonesia tidak pernah ada tolok bandingnya dengan NU dan Muhammadiyah, iaitu dua gerakan Islam terbesar di Indonesia.

Mantan Presiden Suharto menggariskan peranan MUI sebagai pertubuhan yang mengeluarkan fatwa mengenai hal-hal kepentingan nasional dan menguar-uarkan dasar-dasar pemerintah. Ini membezakan MUI daripada pertubuhan-pertubuhan seperti NU dan Muhammadiyah yang hanya mengeluarkan fatwa atau irsyad kepada para anggota masing-masing.

PENGARUH KONSERVATIF

Pucuk kepimpinan MUI menjadi lebih vokal dan terlibat dalam politik menyusuli keruntuhan rejim Orde Baru pada 1998.

Ia menjadi lebih terkemuka dalam tahun-tahun kebelakangan ini setelah para pemimpinnya – yang ironisnya terdiri daripada anggota NU dan Muhammadiyah – mengeluarkan fatwa-fatwa yang konservatif dan didorong oleh kepentingan politik.

MUI mula meluaskan pengaruhnya di bawah pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) antara 2004 hingga 2014, lebih-lebih lagi ketika Ma’ruf mengetuai suruhanjaya fatwa MUI.

Pada 2005, MUI mengeluarkan fatwa SIPILIS yang mengisytiharkan sekularisme, pluralisme dan liberalisme sebagai ideologi ‘melencong’.

Antara 2007 hingga 2014, Presiden Yudhoyono melantik Ma’ruf sebagai anggota Dewan Pertimbangan Presiden (Wantimpres) yang bertugas untuk menasihati presiden. Langkah itu memacu kerjaya politik Ma’ruf sehinggalah beliau dinamakan sebagai calon naib presiden kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam pilihan raya presiden 2019.

Pada 2009, MUI mengeluarkan ketetapan yang samar-samar yang mendatangkan kesan melarang umat Islam memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.

Pada 2016 dan 2017, persoalan memilih pemimpin-pemimpin bukan Islam mewujudkan ketegangan dan pengaruh politik MUI kian memuncak.

Pandangan yang pernah dinyatakan MUI membakar semangat para penunjuk perasaan yang membantah pemerintahan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama (Ahok). MUI mengeluarkan kenyataan rasmi – ditandatangani Ma’ruf sebagai Ketua Umum dan Anwar Abbas sebagai Setiausaha Agung – yang mengisytiharkan gabenor berkaum Cina dan beragama Kristian itu telah menghina Islam.

Kumpulan-kumpulan radikal yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Nasional Pengawal Fatwa Majlis Ulama Indonesia (GNPF-MUI) melancarkan siri tunjuk perasaan bagi mempertahankan pandangan MUI terhadap Ahok.

BACA: Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Jakarta bantah Ahok

INGIN DIINGATI

Meskipun kebanyakan pemimpin MUI menjauhkan diri daripada gerakan GNPF-MUI, Ma’ruf menjadi salah seorang saksi utama dalam kes perbicaraan Ahok, yang akhirnya didapati bersalah dan dihukum penjara.

(Gambar: Mediacorp)

Baru-baru ini, Ma’ruf memanfaatkan kedudukannya sebagai Naib Presiden Indonesia dan jawatannya sebagai Ketua Umum MUI, sekali gus menampilkan imej lebih bersederhana yang selaras dengan pendirian Presiden Jokowi.

Kebelakangan ini, ucapan-ucapan Ma’ruf diselang-selikan dengan cogan kata seperti Islam Nusantara yang menghormati kepelbagaian dan budaya tempatan atau Islam wasatiyyah (Islam sederhana).

Meskipun kejayaan politik Ma’ruf didorong oleh pandangannya yang konservatif, termasuk dalam pucuk kepimpinan MUI, Ma’ruf kini ingin diingati sebagai pemimpin yang bersikap sederhana.

LEBIH SEDERHANA

Apakah yang boleh dijangkakan dengan kepimpinan Miftach sebagai Ketua Umum MUI dan perikatan Miftach-Ma’ruf?

(Gambar: SINDOnews)

Kemungkinannya MUI akan berkecuali dalam ehwal politik pada tahun-tahun mendatang, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya presiden Indonesia pada 2024.

Ia tidak mungkin akan membabitkan diri dalam mana-mana kegiatan politik.

Musyawarah MUI tahun ini menunjukkan bahawa Ma’ruf masih ingin mengekalkan pengaruhnya dalam MUI sambil menggalas tanggungjawab sebagai Naib Presiden Indonesia.

Di bawah kepimpinan Miftach, MUI besar kemungkinan akan mengambil sikap berkecuali dalam ehwal politik. Miftach tidak pernah menyertai politik secara rasmi, tidak seperti Ma’ruf yang pernah mengetuai Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Miftach benar-benar merupakan guru agama yang disokong pesantren.

Hanya masa boleh menentukan sama ada MUI akan menjadi sebuah institusi yang sederhana. Sesetengah pihak dalam NU memandang Miftach sebagai seseorang yang konservatif.

Ketika memegang jawatan ketua cawangan NU Jawa Timur, beliau memuji sikap radikal gerakan Fron Pembela Islam (FPI) dalam usaha memperjuangkan Islam.

Sama seperti Ma’ruf juga, Miftach memberi keterangan bagi pihak pendakwa semasa perbicaraan Ahok.

Sungguhpun demikian, MUI di bawah kepimpinan Miftach menunjukkan tanda-tanda awal yang memberangsangkan.

Sebilangan anggota konservatif seperti Tengku Zulkarnain, Bachtiar Nasir dan Yusuf Muhammad Martak, yang dikaitkan dengan gerakan Presidium Alumni 212 (PA 212) yang membantah pemerintahan Ahok, disingkirkan dari pucuk kepimpinan MUI.

Ada yang memandang pengunduran anggota-anggota ultra-konservatif dari MUI sebagai hasil usaha sama NU dan Muhammadiyah untuk menguasai pucuk kepimpinan MUI dan hasrat bersama untuk menghapuskan pandangan radikal.

MUI, diterajui para pemimpin di bawah pakatan Miftach-Ma’ruf, dijangka kurang aktif dalam arena politik, kurang membuat penampilan umum dan lebih sederhana berbanding sedekad lalu.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “The MUI 2020 Congress: Path Towards Moderation?”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018)  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan