Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: MUIS selepas separuh abad – menyahut suara, harapan dan aspirasi masyarakat

Apakah signifikannya sambutan separuh abad MUIS? Apakah faktor-faktor yang boleh diambil kira untuk mengukur kejayaan sebenar institusi penting masyarakat Islam Singapura ini?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: MUIS selepas separuh abad – menyahut suara, harapan dan aspirasi masyarakat

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menyampaikan ceramah dalam Bicara Perdana Mufti. (Gambar: MUIS)

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) baru selesai menganjurkan acara besar-besaran Salam Singapore sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-50. Apakah signifikannya sambutan separuh abad MUIS? Apakah faktor-faktor yang boleh diambil kira untuk mengukur kejayaan sebenar institusi penting masyarakat Islam Singapura ini? Aktivis masyarakat Ramli Puteh memberikan pandangannya dalam tulisan beliau berikut:

BERITAmediacorp: Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak pula datang melayang. Sesuatu kejayaan tidak akan datang tanpa usaha.

Lima dekad telah berlalu sejak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ditubuhkan pada 1968. Badan induk agama ini ditubuhkan selang tiga tahun Singapura mencapai kemerdekaan. Singapura dan MUIS masih baru dan muda.

Menoleh lipatan sejarah MUIS 50, Muslim Singapura harus rasa bangga akan peranan unggul dan impak kejayaan yang dicapai olehnya.

Ringkasnya, pengalaman MUIS adalah satu perjalanan unik dan luar biasa.

Sempena ulang tahun MUIS penulis ingin mencungkil rahsia di sebalik komitmen MUIS sehingga berjaya mengubah persepsi negatif anggota masyarakatnya. Ada 10 faktor yang mungkin membantu MUIS mengubah persepsi mengenainya.

TUNGGAK BERSEJARAH

Dana Pembinaan Masjid (MBF) adalah satu tunggak bersejarah bagi MUIS. Tanpa MBF, pencapian sosio-agama masyarakat Muslim Singapura mungkin akan berbeza.

Masjid Hajjah Fatimah. (Gambar: MUIS/ Facebook)

Isu masjid dan agama adalah isu sensitif dalam kalangan masyarakat Muslim. Mentelah lagi pada Fasa Pertama MUIS (1968-1977). Ketika itu, sesetengah masyarakat Muslim mempunya persepsi negatif pada MUIS apabila berhadapan dengan kemungkinan masjid perlu dirobohkan untuk memberi laluan bagi pembangunan estet perumahan baru HDB.

Secara prinsip, pemerintah Singapura tidak boleh membina rumah ibadah atau menyumbang dari segi kewangan untuk menubuhkannya.

Masyarakat Muslim sahajalah yang harus bertanggungjawab untuk membina masjid-masjid dengan menggunakan dana mereka sendiri.

BUKAN PERKARA MUDAH

Usaha mengumpul dana bukanlah perkara mudah bagi masyarakat Muslim pada tahun-tahun 1970an. Langkah awal untuk mengumpul pungutan dana dari masyarakat lazimnya kurang berkesan.

Pada peringkat awal penubuhannya hanya 40 individu sahaja yang mengambil bahagian untuk membenarkan pemotongan gaji melalui CPF bagi MBF.

Antara sebabnya, ialah perasaan curiga dan kurang percaya pada keupayaan MUIS untuk menyelenggarakannya.

Namun, berkat tekad bulat pemimpin dan kakitangan MUIS, memperkenalkan MBF pada Mei 1975, masjid pertama dapat didirikan dengan usaha MBF.

Masjid Muhajirin di Toa Payoh didirikan pada tahun 1977. Selang beberapa bulan kemudian, ia disusuli pula oleh Masjid Mujahidin (Queenstown), didirikan pada tahun yang sama.

(Gambar: MUIS)

Pungutan dana MBF dengan kaedah strategik, dan berkesan telah berjaya melemahkan prasangka buruk orang ramai terhadap MUIS.

Malah, imej MUIS semakin meningkat kerananya. Rasa curiga, kurang pasti dan tidak percaya semakin pupus. Sebaliknya ia disusuli dengan nada dan sokongan berganda dan memberangsangkan.

Skim MBF adalah satu lambang kejayaan kritikal MUIS menambat hati masyarakat Muslim. Kini lebih daripada 27 masjid baru telah dibina atas dana tersebut.

FAKTOR PROFESIONALISME

Selain daripada MBF, faktor kedua yang dianggap sebagai ‘antidote’ atau penawar yang dapat mengubat keraguan masyarakat Muslim pada MUIS ialah dalam Fasa Kedua MUIS (1978-1987) apabila MUIS membawa masuk khidmat kepakaran para profesional Muslim yang gigih dan berdedikasi melengkapi golongan karyawan dan sukarelawan.

Inisiatif ini dapat mencairkan hati-hati beku masyarakat. Sebaliknya ia mempertingkatkan rasa yakin. Polisi ‘pintu terbuka’ MUIS untuk meraih maklumat atau kritikan jujur orang ramai mendapat reaksi positif dari orang awam.

Sikap keterbukaan MUIS menerima maklum balas dari pelbagai pertubuhan Islam lain disambut baik. Dengan sikap sedemikian, program-program MUIS dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sambutan yang diterima turut membanggakan.

HAB ISLAM SINGAPURA

Penghijrahan MUIS dalam Fasa Ketiga MUIS (1988-1997) berpindah dari pejabat sementaranya di Empress Place ke premis tetapnya di Hab Islam Singapura (SIH) di Braddel Road pada tahun 1987 adalah faktor pemantap dan penerimaan anggota masyarakat pada MUIS.

Penghijrahan ini adalah satu perpindahan minda. Ia menambah rasa pemilikan dan menandakan wujud satu era dan identiti baru.

Penghijrahan ke lokasi baru ini juga menyaksikan lompatan program-program berkualiti dan berprestij. Peranan MUIS semakin dialu-alukan.

KEHARMONIAN KAUM

Setelah berpusat dan menetap di SIH, kemajuan ketara MUIS adalah usaha mengukuhkan institusi, membentuk identiti dan menggalak pemikiran secara global.

Pada Fasa Keempat MUIS (1998-2008) ini, Muis menubuhkan Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdah. Pusat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2006 adalah satu mercu tanda keupayaan MUIS memenangi aspirasi Muslim dan bukan Muslim.

Wakil-wakil dari kumpulan-kumpulan baru Singapura mempelajari bagaimana negara ini mencapai keharmonian agama. (Gambar: MUIS)

IDENTITI MUSLIM

Antara program tanda titik MUIS adalah usaha membentuk Identiti Muslim Singapura (SMI). Masyarakat Muslim dilibatkan menerusi pelbagai siri dialog untuk mencari formula untuk mengukuhkan perpaduan sosial dan keharmonian agama.

Bagi pemimpin masjid, penglibatan pemimpin-pemimpin masjid dalam inisiatif ini mencerminkan bahawa MUIS menghargai pandangan dari bawahan dalam menentukan Identiti Islam Singapura.

KUALITI WARGA KERJA
Pada peringkat awal penubuhannya, MUIS mempunyai kakitangan yang terhad dari segi kualiti dan kuantiti. MUIS pernah mempunyai hanya 7 kakitangan sahaja.

Sementara presidennya pula berkhidmat secara sambilan. Kini MUIS mempunyai sokongan warga kerja melebihi 200 kakitangan.

Ia satu penambahan bilangan yang tinggi. Begitu juga dengan khidmat dan mutu yang diberikan. Ramai daripada mereka mempunya lulusan siswazah (77%) dan pos siswazah (31%) dari pelbagai jurusan seperti teologi, kemanusiaan, perniagaan, kejuruteraan, sains komputer, perakaunan, kewangan dan juga media.

Kepakaran dan mutu keupayaan yang dibawa bersama mampu menyumbang untuk memenuhi khidmat dan aspirasi anggota masyarakat.

Hab Islam Singapura. (Gambar: URA)

Pelbagai usaha mempersiapkan persediaan MUIS meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dalam Fasa Kelima MUIS (2008 - 2018) adalah satu usaha bersejarah.

Ia menaikkan profil Muis di kancah masyarakat. Festival Masyarakat “Salam Singapore”, meningkatkan lagi ‘branding’ MUIS dalam kalangan stakeholdernya.

Ia satu inisiatif MUIS mendorong usaha membina masyarakat Islam yang berjaya untuk masa depan. Pelbagai program diadakan seperti Fiesta Keluarga Masjid, Bicara Perdana Mufti, Youth Talk Fest, dan Konvensyen Masjid 2018.

DITERIMA MASYARAKAT

MUIS diterima ramai kerana sikapnya yang memandang ke hadapan. Bicara Muis 50 adalah satu usaha gigih MUIS membuat persiapan untuk mengharungi cabaran hari muka. Diadakan sepanjang 6 bulan, melalui 20 sesi bicara, melibatkan 600 individu.

Kesempatan tersebut memberi peluang kepada pemimpin MUIS untuk mendengar suara hati, harapan, dan aspirasi masyarakat.

Bicara MUIS 50 adalah lambang usaha bawah-atasan dan atas-bawahan untuk mengenali harapan dan aspirasi masyarakat.

Fasa Kelima MUIS juga menyaksikan usahanya mengkedepankan diri ke tahap selanjutnya. Acara seperti ‘Salam Singapore’ adalah usaha mega, untuk meningkatkan imej MUIS sebagai badan sosio-agama yang mempunyai pengaruh mendalam pada masyarakatnya.

Logo Salam Singapore. (Gambar-gambar: MUIS)

Ia mendokumentasikan usaha menyeluruh MUIS sepanjang 50 tahun sebagai pemangkin, pembina, penyatu, pembimbing arah dan langkah memimpin tangan-tangan anggota masyarakat mengharungi cabaran dan tentangan dengan penuh keyakinan.

KONVENSYEN MASJID

Satu lagi aspek kejayaan utama MUIS adalah langkahnya mengadakan Konvensyen Masjid 2018. Ia menghimpunkan ‘pemain-pemain’ barisan kepimpinan MUIS dan kakitangan masjid mempertingkatkan khidmat untuk mara ke hadapan.

Banyak program menarik hasil perkongsian dan pembentangan kertas kerja dari dalam dan luar negara, dari pemimpin Islam dan bukan Islam mengetengahkan model/contoh yang boleh membantu mengkedepankan perjalanan MUIS dan masjid-masjid bagi menjangkaui era Pasca MUIS 50.

Tidaklah menghairankan, kini masjid dan MUIS menjadi satu ‘touch point’ penting bagi masyarakat Muslim Singapura.

Tinjauan Persepsi Awam MUIS yang dijalankan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa empat perlima atau lebih 80% masyarakat Muslim bersetuju bahawa mereka menghargai kepimpinan dan panduan dari pemimpin-pemimpin masjid.

Sementara itu pula, lebih dari 82% merasakan bahawa masjid kita telah memberi impak kehidupan Muslim di Singapura. Tahniah MUIS!

Semangat Wawasan M kuasa Tiga (M³) yang digagaskan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mendapat sokongan padu dari seluruh pelusuk kepemimpinan masjid.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berinteraksi bersama seorang jemaah haji Singapura 2018. (Gambar: MUIS)

(Gambar-gambar: MUIS)

HADIAH UNTUK MASYARAKAT

Ini adalah satu hadiah MUIS untuk masyarakat Muslim Singapura. Para pemimpinnya pun sudah bersedia turun padang dan singsing lengan untuk bekerjasama dengan stakeholder lain (Mendaki dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat – (Mesra).

Peranan besar MUIS bagi MUIS 100 adalah lebih besar dan mencabar lagi. Tahap kejayaannya boleh dilengkapkan melalui wawasan M³.

Sambutan Ulang Tahun MUIS 50 adalah satu tanda aras pencapaian MUIS untuk Berhubung, Berunding dan Mencipta Bersama.

BUKAN DESTINASI TERAKHIR

Mari kita teruskan obor meningkatkan peranan MUIS dan masjid-masjid. Pada masa yang sama, pesanan PM Lee Hsien Loong boleh memberi suntikan semangat berterusan.

Apabila PM Lee diminta reaksinya mengenai pengalaman ulang tahun SG50 beliau berpesan bahawa “SG50 bukan destinasi terakhir, malah ia satu batu loncatan untuk masa depan yang lebih cerah’.

Begitu juga dengan MUIS 50. Ia pun bukanlah destinasi terakhir masyarakat Muslim Singapura. Ia satu pencapaian yang genting untuk kita mengukur kejayaan diri demi untuk terus mencapai destinasi yang lebih cerah ke hadapan.


MENGENAI PENULIS:

Encik Ramli Puteh pernah berkhidmat sebagai pemimpin gerakan buruh nasional. (Gambar: Ramli Puteh)

Penulis adalah seorang aktivis sosial yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat akar umbi dan badan-badan amal Melayu/Islam.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan