Images
  • mother generic
    Seorang wanita bersama anaknya. (Gambar: Francine Lim)

KOMENTAR: Meraikan Hari Ibu Dengan Sebuah Pembelaan

BERITAmediacorp: Hari Ahad lalu, masyarakat di Singapura meraikan Hari Ibu bagi memperingati peranan dan jasa seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun lingkungan sosialnya.

Sering sambutan Hari Ibu diraikan dengan membelikan hadiah buat si ibu, makan-makan di restoran terkemuka atau menempah pakej spa buat ibu dan anak. Di laman media sosial seperti Facebook dan Instagram, berbagai gaya kreatif dan ragam bagi meraikan Hari Ibu.

SAMBUTAN HARI IBU YANG GAH

Tahun ini sambutan Hari Ibu mendapat suntikan lebih gah, dengan sehari sebelum sambutan Hari Ibu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mempersembahkan “Aranda Mothers of Singapore”. Orkid warna ungu yang dinamakan sempena ibu-ibu di Singapura dilancarkan di acara Memperingati Bicentennial Sayap Wanita PAP Terhadap Ibu-Ibu yang diadakan di Hotel Mandarin Orchard. Malah di acara itu, S$200,000 telah didermakan kepada 10 badan amal dengan tumpuan terhadap wanita di Singapura melalui Yayasan Masyarakat PAP demi mendukung usaha badan amal membantu kebajikan golongan wanita yang memerlukan.


Orkid khas warna ungu yang dilancarkan baru-baru ini (Gambar: Facebook/Lee Hsien Loong)

Sementara buat ibu dan isteri para anggota kerahan Home Team, tentu sekali gembira apabila Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengumumkan pelancaran kad keanggotaan secara percuma sempena meraikan Hari Ibu. Ia adalah sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka kepada para anggota kerahan.

Inisiatif baru yang dilancarkan oleh Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Ahad lalu, akan dimanfaatkan oleh sekitar 30,000 orang ibu dan isteri anggota kerahan Home Team selama dua tahun. Mereka akan dapat menggunakan pelbagai kemudahan dan mengikuti program-program di Rumah Kelab Home Team NS.

Usaha meraikan Hari Ibu di peringkat nasional seperti di atas membayangkan pengiktirafan yang diberikan kepada golongan ibu dan wanita. Sebagai wanita dan ibu, wanita warga Singapura tentu sekali merasa terkesan kerana ia adalah tanda penghormatan dan terima kasih kepada ibu-ibu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan negara melalui keluarga.

SAMBUTAN YANG BERMAKNA

Namun, tidak semua ibu mempunyai peluang meraikan Hari Ibu Bersama keluarga. Melalui artikel yang dilaporkan di media, kita dapat mengikuti kisah-kisah ibu dan wanita yang meraikan Hari Ibu terasing dari keluarga dan orang-orang yang dicintai.


(Gambar hiasan: AFP)

Di Rumah Orang Tua Pertapis contohnya, ibu-ibu penghuni rumah ini merasa teruja diraikan sempena Hari Ibu. Nenek Ramlah (bukan nama sebenar) tidak pernah meraikan Hari Ibu bersama anak-anaknya. Oleh itu, beliau merasa gembira dan bersyukur diberi peluang menyambut Hari Ibu bersama para penghuni lain, sukarelawan dan petugas rumah tersebut.

Lain ceritanya bagi Cik Nora (nama samaran). Beliau pula meraikan Hari Ibu di penjara sementara anak lelakinya yang kini berusia 10 tahun tinggal bersama ayah dan ibu beliau. Pasangan anak-beranak itu boleh bertemu sekitar dua kali sebulan, apabila anaknya dibawa orang tuanya untuk mengunjunginya di penjara.

Cik Nora yang akan dibebaskan dari penjara pada September kini sedang menyertai program membaca New Life Stories. Melalui program New Life Stories, beliau diberikan peluang untuk merakam suaranya membaca cereka yang dikarangnya sendiri untuk disampaikan kepada anaknya. Ini cukup membahagiakan kerana ia merupkan salah satu cara menjalin ikatan emosi dan kasih sayang secara berterusan di antara mereka.

Usaha yang dilakukan oleh Rumah Orang Tua Pertapis dan khidmat New Life Stories kepada para ibu di penjara wanita di Changi, adalah antara contoh bagaimana badan-badan amal dapat terus berperanan memberikan peluang kepada ibu-ibu seperti Nenek Ramlah dan juga Cik Nora menyambut Hari Ibu. Tentu sekali pengalaman sambutan Hari Ibu seperti ini lebih bermakna bagi mereka dari hadiah semewah mana.

SAMBUTAN DENGAN PEMBELAAN

Namun sempena Hari Ibu, terdapat beberapa golongan ibu yang perlu diraikan dengan pembelaan. Mereka adalah wanita atau ibu-ibu yang telah kematian suami, ayah atau keluarga lelaki seperti abang lalu harus mengambil alih tugas sebagai ketua rumahtangga.

Seperti ibu tunggal, ibu tiri kepada anak-anak suami, wanita yang harus menjadi ibu kepada adik-adik atau ahli keluarga yang lain dan ibu-ibu dari golongan warga emas.


(Gambar hiasan: Mediacorp)

Beban tanggungjawab memberikan kesan yang mendalam terhadap kesejahteraan psikososial serta kualiti hidup di kalangan mereka. Justeru, pembelaan kepada golongan ibu seperti yang tertera di atas perlu diberikan perhatian.

Contohnya, ibu-ibu yang kematian suami dan wanita yang kematian orang tua. Mereka bukan sahaja kehilangan orang yang dicintai tetapi kemungkinan mahligai yang mereka kongsi bersama apabila ahli keluarga dari pihak suami atau ahli keluarga menuntut hak mereka. Sehinggakan terkadang ibu dan anak-anak hidup melara tanpa sebarangan pembelaan.

Oleh itu, tidak hairan kalau ramai dalam kalangan kaum ibu dan wanita merasa lega dengan pengumuman semakan fatwa pemilikan bersama rumah (joint-tenancy) di mana hak milik penuh diberikan kepada isteri sebagai pihak yang hidup selepas kematian suami. Sekaligus menafikan hak anggota keluarga lain atau pewaris mendesak isteri yang hidup untuk menjual rumah dan membahagikan harta warisan.

Ini merupakan suatu pembelaan kepada para wanita terutama para ibu dalam melindungi keluarga terdekat dan mengelakkan kebimbangan akan nasib diri dan juga anak-anak. Pengumuman semakan fatwa pemilikan bersama rumah ini sangat bertepatan waktunya, ketika kita meraikan Hari Ibu. Ia merupakan sebuah hadiah pembelaan untuk para ibu setelah kematian suami.


Semakan fatwa pemilikan bersama rumah disambut baik kalangan ibu (Gambar hiasan)

Banyak lagi yang perlu dilakukan. Nasib golongan ibu-ibu tunggal yang gagal mendapat perumahan hanya kerana status perkahwinan yang tidak rasmi di sisi undang-undang harus dipertimbangkan. Begitu juga ibu-ibu yang menghadapi penderaan fizikal dan emosi yang tidak dapat keluar dari lingkaran penganiayaan.

Di dalam masyarakat yang menua, pembelaan diperlukan bagi golongan ibu warga emas yang hidup dalam kemiskinan diabaikan oleh anak-anak. Sementara trend ibu-ibu muda yang kehilangan pekerjaan kerana harus menjaga keluarga dan nasib ibu-ibu dari perkahwinan rentas sempadan yang kehilangan hak penjagaan anak-anak setelah penceraian. Semuanya memerlukan pembelaan demi memastikan kelangsungan kesejahteraan hidup mereka.

Pelbagai pendekatan dan intervensi yang boleh diberikan jika pemerintah, badan korporat dan badan-badan amal serta masyarakat berganding bahu memikirkan jalan pembelaan terhadap nasib golongan ibu yang disebutkan itu. Justeru itu, di luar sambutan sempena Hari Ibu, perlu diadakan usaha yang berterusan mengajak:

  1. Asatizah dan pemimpin masyarakat untuk terus mendidik anak-anak untuk menghormati dan menghargai ibu-ibu mereka, setiap waktu bukan sahaja pada sambutan Hari Ibu.
  2. Mengelakkan semua bentuk kekasaran atau salah faham di antara ahli keluarga dalam usaha penjagaan ibu-ibu yang uzur di dalam suasana kasih sayang dan harmoni.
  3. Mengajak agensi-agensi pemerintah mengoptimumkan kecanggihan sistem perhubungan jarak jauh bagi mengeratkan hubungan antara anak dan ibu yang hidup terasing seperti di penjara dan pusat pemulihan.
  4. Menghulurkan derma kepada Dana Tambah Wang Sekolah LBKM dan PPIS demi memberikan keyakinan kepada ibu-ibu tunggal walaupun menghadapi masalah kewangan, anak- anak tetap akan dapat ke sekolah dengan dana pas konsesi dan keperluan pengangkutan.
  5. Menggalakkan majikan menerapkan kelonggaran masa bekerja serta peluang kerjaya lebih baik untuk para ibu dan bagi wanita yang berhenti bekerja untuk menjaga keluarga dibantu seperti tokokan khas ke akaun CPF mereka.

Usaha meraikan ibu adalah sebahagian daripada akhlak yang mulia dan wajar disuburkan.

Budaya ini wajar dilanjutkan kepada semua wanita yang telah memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan sebagai seorang penjaga, ibu tiri atau titipan.

Masyarakat perlu mengiktiraf para wanita yang dilahirkan dengan kebolehan untuk menyayangi dan sikap tidak mementingkan diri serta memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seseorang. Usahakan mendidik masyarakat untuk berbakti kepada para ibu terutamanya ketika di hujung usia mereka. Raikan mereka sempena Hari Ibu dengan sebuah pembelaan.


Mengenai Penulis:
Rahayu Mohamad adalah Presiden Pemudi Islam Singapura (PPIS). Beliau juga adalah seorang anggota pengasas Singapore Alliance of Women in Aging (SAWA), konsultan pendidikan di peringkat serantau dan juga ahli pengarah dalam pelbagai badan bantu diri di Singapura. Beliau juga ibu kepada enam orang remaja. 

- BERITAmediacorp/tq

Top