Images
  • religious harmony
    (Gambar fail: Mediacorp)

KOMENTAR: Menyambut sahaja tidak cukup; bagaimana menjadikan Hari Keharmonian Kaum lebih bermakna

BERITAmediacorp: Untuk mengukuhkan keharmonian kaum kita perlu lebih gigih dalam menyulam hubungan antara kaum. Bagaimana kita boleh melangkah ke hadapan dengan sifat lebih peka dalam membina hubungan yang lebih baik dan saling menghormati?

Setiap tahun kita menyambut Hari Keharmonian Kaum di Singapura pada 21 Julai, bertepatan dengan hari berlakunya rusuhan kaum pada tahun 1964.

Ia mengingatkan kita tentang pentingnya menjana kehidupan yang harmoni di antara kaum di dalam masyarakat majmuk Singapura.

Sejak diperkenalkan dalam kurikulum sekolah pada tahun 1997, lazimnya anak-anak sekolah menyambutnya dengan mengenakan pakaian etnik masing-masing untuk ke sekolah pada hari itu.


Pelbagai aktiviti dianjurkan untuk mengenalkan adat resam masing-masing agar mereka dapat menghargai nilai dan budaya rakan-rakan sekolah mereka dari kaum yang berbeza.

Mereka juga dibawa menyusur sejarah rusuhan kaum yang telah berlaku di Singapura dahulu agar ia menjadi peringatan bahawa keharmonian kaum adalah antara teras keamanan Singapura.

SALING HORMATI


Sayangnya, sambutan ini tidak begitu ketara bagi yang sudah dewasa. Ia bukan suatu yang dimestikan di pejabat dan tempat kerja.

Mungkin, ramai juga akan merasa janggal jika mereka perlu datang berpakaian tradisional yang selalunya dikhususkan pada hari-hari keramaian.

Tidak kurang juga yang akan berasa kurang selesa kerana ia tidak bersesuaian dengan keperluan tugasan harian.

Walaupun begitu, meraikan hari ini sebagai memperingati betapa pentingnya hidup saling hormat-menghormati antara kaum masih boleh dijayakan.

HIDUP HARMONI

Intipati menyambutnya adalah hidup harmoni antara kaum. Cara untuk mencapainya adalah pelbagai dan ia hanya terhad dengan kekurangan imaginasi sahaja.

Sebagai contoh, pihak majikan boleh mengadakan jamuan makanan tradisi pelbagai kaum, menganjurkan kuiz dan permainan tradisional semasa waktu rehat, atau mungkin sekadar memberi taklimat dan memberikan cendera hati yang bermakna kepada para pekerja sebagai tanda memperingati hari tersebut.


Bagi sebahagian besar rakyat Singapura, peluang untuk mengenali dan berkawan dengan kaum-kaum lain adalah pada zaman persekolahan.

Itu pun, jika mereka bersekolah di sekolah-sekolah kejiranan. Murid dari sekolah-sekolah yang dianggap elit tidak mungkin terdedah dengan kaum lain secara meluas, lebih-lebih lagi kaum minoriti.

Sama juga bagi murid-murid di madrasah dan sekolah-sekolah berteras agama yang lain.

PERLU DITERUSKAN

Jika kurang pendedahan sehingga mereka meningkat remaja, mereka mungkin akan berasa janggal untuk memulakan persahabatan dengan kaum lain apabila mereka dewasa kelak.

Hubungan yang dijalin pula mungkin sekadar sapa-menyapa, tanpa mengenali pandangan dunia (worldview) masing-masing secara mendalam.

Oleh itu, usaha mengukuhkan keharmonian antara kaum perlu diteruskan di luar konteks persekolahan.


Mungkin ada yang sinis dan menganggap usaha memelihara keharmonian kaum ini adalah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ini kerana jurang perbezaan ekonomi antara kaum, prejudis, diskriminasi, sikap perkauman dan mentaliti hak istimewa (privilege) masih terasa, walaupun tidak berleluasa sehingga menjejas keamanan negara.

Mereka ingin perbincangan yang terbuka dan rasional agar isu-isu sensitif ini dapat diatasi dengan lebih bermakna.

TERLALU SENSITIF

Sudahkah tiba masanya untuk kita mula memahami hubungan antara kaum melangkaui adat dan budaya?

Sedangkan asal usul kuah dan kuih tradisional mudah dipertikaikan, inikan pula isu-isu yang menjejas kehidupan yang bersangkutan dengan warna kulit, kepercayaan dan nilai hidup.


Adakah masyarakat kita sudah cukup matang kerana pembelajaran tentang keharmonian kaum telah dimulakan lebih 20 tahun yang lalu?

Saya masih musykil. Generasi saya membesar dengan bayangan dan cerita-cerita ibu bapa kita tentang hari-hari cemas sewaktu rusuhan kaum yang lalu.

Bagi kami, membincangkan isu-isu bersangkutan kaum dan perkauman masih perlu berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan.

Isu ketidakpuasan dari segi layanan yang diterima, perkauman sistemik (systemic racism) dan kurang kesedaran pada kedudukan istimewa adalah isu-isu yang dianggap terlalu sensitif.

FAKTOR EMOSI

Ia boleh menjejas hubungan baik antara kaum kerana faktor emosi yang terpalit dengannya.

Ia perlu ditangani dengan baik. Jangan sampai dianggap kita hanya membuka pekung di dada untuk dijadikan bahan tontonan.


Sebaliknya, bagi warga muda yang membesar dalam kehidupan Singapura yang dinamik dan maju, isu-isu sebeginilah yang perlu dibongkar dan diperlihatkan untuk diatasi bersama.

Mereka ingin betul-betul percaya bahawa dasar meritokrasi yang diuar-uarkan pihak pemerintah adalah telus dan jujur.

Mereka ingin sama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara tanpa rasa dianaktirikan.

LEBIH GIGIH

Jelas kini, untuk mengukuhkan keharmonian kaum kita perlu lebih gigih dalam menyulam hubungan antara kita.

Peluang untuk menjalin hubungan baik perlu diteruskan pada setiap peringkat umur dan pada setiap peluang.

Pemerintah mungkin perlu lebih terbuka untuk mendengar maklum balas dan bertindak mengurangkan jurang perbezaan antara kaum.

Rakyat pula perlu bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan sifat lebih peka untuk membina hubungan yang lebih baik dan saling menghormati perbezaan.

MENGENAI PENULIS:


Encik Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019.  

- BERITAmediacorp/fz

Top