Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Meniti usia tua secara membina – antara ihsan masyarakat dan sikap kita sendiri

Mantan wartawan kanan, Mohd Raman Daud, menggariskan cabaran dan tekanan yang dihidapi oleh warga senja serta langkah-langkah yang boleh diambil supaya mereka dapat meniti usia tua dengan lebih bermakna.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Meniti usia tua secara membina – antara ihsan masyarakat dan sikap kita sendiri

Warga tua di Singapura. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

BILANGAN warga tua yang membunuh diri sendiri mencapai takat cemas tahun lalu meskipun jumlah seluruh kes bunuh diri telah merosot. Hal ini memang membimbangkan sedang Singapura mengalami proses penuaan penduduk yang antara terpesat di dunia.

Menurut badan penyelamat masalah bunuh diri, Samaritans of Singapore (SOS), sebanyak 129 orang berumur 60 tahun ke atas, membunuh diri sendiri tahun lalu. Angka itu yang tertinggi pernah dicatatkan untuk kumpulan umur ini sejak kes bunuh diri mulai dipantau di negara ini pada tahun 1991.

Angka bunuh diri untuk setiap kumpulan umur yang lain merosot. Jumlah 361 kes bunuh diri yang dilaporkan tahun lalu adalah 15.8 peratus lebih rendah daripada 429 pada 2016.

Sepanjang sedekad, kadar bunuh diri kalangan warga berusia 60 tahun ke atas ialah antara 25 dan 30 peratus setahun. Tetapi ia mencecah 35.7 peratus pada tahun lalu.

MENIKMATI USIA PANJANG

Dalam 12 tahun lagi, dijangka 15 peratus daripada tujuh juta orang penduduk Singapura akan berusia 60 tahun ke atas. Ia boleh berlaku kerana taraf hidup yang terus meningkat, khususnya mutu jagaan kesihatan. Hasilnya, warga Singapura dapat menikmati usia lebih panjang.

Sayangnya, kadar kelahiran nusa ini pula telah merosot. Ini bermakna beban menjaga orang tua akan terus bertambah berat di nusa ini.

Tidak hairanlah, SOS menjangka trend bunuh diri bagi golongan senja akan berterusan kecuali langkah-langkah berkesan segera diambil.

SOS menyediakan khidmat aduan telefon 24 jam sehari untuk sesiapa yang bermasalah. Namun, SOS mendapati panggilan warga tua menurun sebanyak 18 peratus – sekitar 5,652 panggilan tahun lalu berbanding 6,904 panggilan pada 2016.

Mengapa hal ini berlaku?

(Gambar: ROSLAN RAHMAN / AFP)

TREND DUNIA

Umumnya di seluruh dunia, berlaku trend penuaan penduduk dan sekali gus juga kadar tinggi kes bunuh diri dalam kalangan orang tua yang hidup tertekan dan terabai.

Bunuh diri merupakan suatu perkara yang amat rumit. Kebanyakan negara menetapkan undang-undang yang tegas melarang perbuatan ini.

Menurut para pakar, umumnya ada dua jenis bunuh diri. Pertama yang dilakukan oleh insan yang berasa amat terdesak oleh masalah mental, tekanan sekitaran, rasa terpencil daripada keluarga dan sanak-saudara.

Kedua ialah kes bunuh diri yang kecil jumlahnya tetapi mendapat sorotan media kerana dilakukan sebagai protes atau serangan menuruti faham atau ideologi menyeleweng seperti dilakukan oleh pengebom nekad.

Kes bunuh diri di kebanyakan negara lazimnya tergolong dalam jenis pertama. Menurut World Population Review pada 2017, trend bunuh diri tidak menurut kemajuan sesebuah negara.

Sri Lanka mencatatkan kes tertinggi di dunia iaitu 35.3 bagi setiap 100,000 penduduknya. Singapura pula di kedudukan ke-70 dengan 9.9 kes bunuh diri. Di rantau Asia Tenggara, Brunei yang terendah iaitu 1.3 kes saja.

Bhutan, sebuah negara di Kawasan banjaran Himalaya yang pernah mendakwa ‘paling bahagia sekali di dunia’ juga mencatatkan kes bunuh diri yang tinggi iaitu 11.7 kes bagi setiap 100,000 penduduknya.

MENJEJAS MASYARAKAT

Kesan bunuh diri, termasuk dalam kalangan warga tua, tentulah menjejas sesebuah masyarakat dari segi sumber dan kejiwaan.

Pada pandangan umum, bunuh diri pada usia tua seolah-olah menunjukkan ketiadaan ihsan masyarakat untuk menjaga golongan tua yang sudah berjasa sewaktu zaman mudanya. Hal ini boleh mengikis keyakinan untuk mengharungi masa depan.

Ia juga mencerminkan daya tahan yang lemah dalam menghadapi permasalahan diri, keluarga dan masyarakat dalam meraih hidup bermakna.

Daya tahan atau ketahanan insan merupakan antara aspek penting dalam menentukan maju mundur sesebuah negara.

(Gambar: ROSLAN RAHMAN / AFP)

(Gambar: ROSLAN RAHMAN / AFP)

CEGAH DAN SELAMATKAN

Untuk membina daya tahan insan diperlukan strategi serampang dua mata – cegah dan selamatkan. Strategi ini telah lama dilaksanakan pemerintah dalam membantu warga yang tidak mampu meniti zaman senjanya kelak.

Yang dimaksudkan dengan ‘cegah’ ialah persiapan sejak kecil sehingga dewasa – sebelum melangkah ke usia tua. Sementara aspek ‘selamatkan’ ialah membantu mereka yang sudah terpersuk dalam masalah kesihatan.

Namun strategi ini menurut banyak kajian, termasuk oleh Jurnal Perubatan New England, hanya mengakibatkan kos kesihatan menjulang tinggi, terutama di negara yang kadar penduduknya yang menua adalah tinggi.

Langkah cegah perlulah datang daripada disiplin diri sendiri. Tetapi jika di pihak individu gagal, maka perlu ada sokongan keluarga, masyarakat dan agensi pemerintah.

BENTENG SOSIO-BUDAYA

Dalam Kongres MENDAKI yang pertama pada 1982, telah dibentangkan sebuah esei mengenai pengupayaan benteng sosio-budaya orang Melayu dalam mengharungi masa depan yang mencabar. Esei itu mungkin yang pertama menyorot hal ini.

Sayangnya, tiada langkah lanjutan dilakukan oleh masyarakat Melayu untuk membentuk rancangan yang menyeluruh atau holistik dalam membantu warga tuanya. Hal ini mungkin disebabkan orang Melayu mengharapkan bantuan datang daripada agensi pemerintah.

Banyak sesi Parlimen kita yang membentangkan perihal jagaan orang tua. Menteri Ehwal Masyarakat Islam dan juga Menteri Sekitaran Dr Ahmad Mattar pernah memberitahu Parlimen pada 1987, bahawa sedikit sekali permintaan daripada masyarakat Melayu bagi jagaan orang tua di rumah tumpangan.

Jelas beliau, ini disebabkan kebanyakan orang Melayu masih percaya bahawa penjagaan orang tua ialah di rumahnya, bersama keluarganya.

Namun kurang sedekad kemudian, senarionya sudah berubah apabila Jamiyah Singapura diminta menubuhkan rumah tumpangan untuk warga tua iaitu Darul Takrim (1996) untuk warga tua yang tiada tempat bergantung.

Jamiyah kemudian membangunkan Darul Shifa (tahun 2002) untuk warga tua yang berpenyakit dan perlukan rawatan.

Gambar fail seorang warga senja di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek) 

(Gambar: Xabryna Kek) 

KEPERLUAN WARGA TUA

Di peringkat nasional, pemerintah berpacu dengan masa untuk menyiapkan keperluan warga tua dari segi subsidi perubatan, rumah tumpangan warga tua sehingga menyokong badan-badan relawan dalam menampung warga tua.

Imej orang-orang tua kita terbongkok-bongkok memungut pinggan mangkuk di pusat penjaja atau kotak di tempat sampah sering dibincangkan di media sosial sebagai suatu yang perlu diatasi.

Antara penerobosan (breakthrough) pemerintah ialah pembinaan Kampung Admiralty yang dianggap perumahan ideal bagi warga tua dapat hidup berdikari bersama masyarakat di estet perumahan awam.

PENGALAMAN NEGARA LAIN

Hakikatnya, himpunan masalah warga tua telah lama dikenal pasti terutama dwibebanannya - taraf kesihatan yang merosot dan kekurangan dana. Tanpa sokongan keluarga, saudara-mara atau teman-taulan serta badan ihsan, nasib orang tua yang renta akan menjadi lebih sukar.

Menurut laporan antarabangsa seperti oleh Bank Dunia, mutu atau maruah pemerintah dikaji berdasarkan pembelaan kepada rakyatnya dari segi keadilan dan ihsan atau kebajikan.

Gelaran negara terbaik dari segi kebajikan untuk rakyatnya sering disandang oleh negara-negara Nordik seperti Finland, Sweden, Norway dan Denmark. Cara kerja mereka tentu boleh dipelajari Singapura.

Esei Mendaki mengenai benteng sosio-budaya menyarankan agar diwujudkan insurans dan jagaan serta pendampingan masyarakat bagi setiap warga Singapura, khususnya orang Melayu yang masih rendah pencapaian ekonominya, dari usia kecil sehingga tua.

BUKAN MUSTAHIL

Cadangan ini mungkin terlalu muluk namun ia bukanlah mustahil dalam rangka meningkatkan mutu sistem kebajikan negara kita. Hakikatnya, Singapura sebagai negara maju juga kian memiliki tahap kebajikan tinggi untuk warganya, termasuk golongan tuanya.

Nusa ini punya banyak tempat mengadu. Yang menjadi persoalan: apakah warganya sedar dan sanggup menemui badan relawan.

Atau, para pegawai agensi atau badan relawan sanggup sentiasa mendampingi warga tua kita yang kesepian dan hidup terdesak?

BERGANTUNG PADA SIKAP

Apapun yang dihujahkan, akhirnya masa depan bergantung pada sikap kita. Sikap warga kita amat menentukan keadaan dirinya kelak ketika tua nanti. Jika sikapnya membina, hidupnya akan bermakna seperti pernah diungkapkan oleh negarawan kita, mendiang Lee Kuan Yew (1923-2015).

Menurut ulama terkemuka Singapura, Ustaz Ahmad Sonhaji Mohamad (1922-2010), mutu dan peranan orang tua dapat dinilai dengan menimba maksud peribahasa Jawa :

Jadilah orang tua yang menutur (memberi nasihat),
orang tua yang menabur (memberikan sedekah dan derma),
orang tua yang menyembur (yang mengubati) dan
orang tua yang mengatur (yang merancang dan melaksanakan program) dan usah menjadi orang tua ‘ngawur’ (nyanyuk atau terlantar dek penyakit) yang senantiasa amat bergantung pada ihsan orang lain.

Semoga perangkaan SOS mengenai bunuh diri dalam kalangan warga tua kita menggugah kita untuk meningkatkan bakti yang adil lagi ihsan kepada bilangan kecil generasi senja yang lemah demi mengecapi detik-detik yang bermakna.

MENGENAI PENULIS:

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan