Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengutuk orang lain di media sosial ibarat menepuk air di dulang

Kutukan di media sosial terhadap sesetengah individu yang melakukan sesuatu yang boleh dipersoalkan dalam video-video tular membayangkan bahawa ada baiknya jika masyarakat kita tidak mengamalkan budaya serkap jarang dan terlalu pantas menghukum.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengutuk orang lain di media sosial ibarat menepuk air di dulang

(Gambar hiasan: Ann Nekr/Pexels)

Diterbitkan : 18 Jul 2021 05:10PM Dikemas Kini : 18 Jul 2021 11:55PM

BERITAmediacorp: Kutukan di media sosial terhadap sesetengah individu yang melakukan sesuatu yang boleh dipersoalkan dalam video-video tular membayangkan bahawa ada baiknya jika masyarakat kita tidak mengamalkan budaya serkap jarang dan terlalu pantas menghukum dan sebaliknya cuba lebih memahami pengalaman yang dilalui seseorang.

Petikan skrin komen-komen di Facebook mengenai sebuah video tular.

Petikan skrin komen-komen di Facebook mengenai sebuah video tular.

Berdasarkan tinjauan Ranking Daya Bingkas COVID-19 Bloomberg pada 27 Apr, Singapura terpilih sebagai tempat tinggal terbaik semasa pandemik ini.

Dari memikirkan tentang percutian dalam negeri (staycation) hingga ke memanfaatkan baucar SingapoRediscovers dan menanti-nantikan aturan khas bagi perjalanan udara Singapura-Hong Kong, ramai antara kita yang duduk di rumah sambil menikmati makanan yang dibawa pulang dan mengasuh anak-anak yang sedang melakukan pembelajaran di rumah.

TINGKAH LAKU ANTI-SOSIAL

Malangnya, ada juga yang begitu pantas melemparkan tuduhan antara satu sama lain. Sikap positif yang diperlihatkan pada beberapa bulan pertama 2021 juga sudah berubah.

Rakaman-rakaman video yang memaparkan sesetengah individu yang tidak memakai pelitup atau menunjukkan kelakuan anti-sosial dengan bertindak sesuka hati, kini muncul di ruang Internet. Dan komen-komen terhadap video-video sedemikian turut memperlihatkan sikap yang terlalu pantas menghakimi seseorang tanpa usul periksa sedangkan kes-kes seumpama itu sedang disiasat dengan teliti oleh pihak berkuasa.

Antara perkembangan yang hangat dibahaskan kebelakangan ini adalah mengenai seorang wanita yang berkeras enggan memakai pelitup di Marina Bay Sands (MBS). Perbicaraan kes Phoon Chiu Yoke, 53 tahun masih diteruskan dan insiden itu bukanlah kali pertama dia melanggar undang-undang yang mewajibkan pemakaian pelitup. Dia didakwa di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) atas perbuatan serupa di Pusat Penjaja Newton pada Mei 2020.

Walaupun kes Phoon masih lagi disiasat dan sedang dibicarakan, sesetengah pihak seolah-olah sudahpun memutuskan bahawa dia memang bersalah.

Phoon Chiu Yoke meninggalkan Mahkamah Negara pada 24 Mei 2021. (Gambar: Jeremy Long)  

Phoon Chiu Yoke di luar bangunan Mahkamah Negara pada 24 Mei 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Semasa video yang menunjukkan kelakuannya terhadap seorang pegawai jarak selamat di MBS pertama kali tersebar, rakan-rakan saya membahaskan niat di sebalik perbuatannya itu.

‘Apakah masalah wanita ini’, mereka bertanya, sambil berbincang panjang lebar menerusi WhatsApp mengenai motif sebenar wanita tersebut.

Salah satu kesimpulan yang dibuat adalah kita tidak mengetahui fakta-fakta yang selengkapnya untuk menghukumnya dan kita sepatutnya membiarkan pihak berkuasa menangani kes tersebut.

Namun dalam kalangan masyarakat siber, Phoon dipanggil “MBS Karen”, yang merujuk kepada gelaran yang sering diberikan kepada wanita berkulit putih yang bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang dan dia dikecam bertalu-talu.

Butiran peribadinya turut ditularkan, meskipun undang-undang melarang penerbitan maklumat peribadi untuk mengaibkan seseorang (doxxing), malah perbuatan itu dilakukan sekalipun namanya belum lagi dinyatakan dalam dokumen-dokumen mahkamah.

KECAMAN DENGAN NIAT UNTUK MENGAIBKAN

Phoon bukan satu-satunya individu yang diperlakukan sedemikian rupa oleh masyarakat siber. Malah, perbuatan mengaibkan sesetengah individu semakin berleluasa dan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Seorang lelaki dalam MRT dirakam tidak memakai pelitup (Petikan video: Facebook/Keefe Chan)

Seorang lelaki dalam MRT dirakam tidak memakai pelitup (Petikan video: Facebook/Keefe Chan)

Sebelum insiden Phoon tidak memakai pelitup dilaporkan, terdapat juga seorang lelaki kulit putih yang turut berkeras enggan memakai pelitup di dalam MRT. Sebelum itu pula, seorang lelaki didapati teleh mengherdik sebuah keluarga ekspatriat di Taman Pasir Ris. Dan sebelum itu juga, terdapat rakaman tular yang menunjukkan Beow Tan menghamburkan kata-kata berbaur perkauman.

Tidak lupa juga, kecaman terhadap Paramjeet Kaur, wanita yang mengaku dirinya “berdaulat” dan dihukum penjara dua minggu dan didenda baru-baru ini?

Walau apa saja tingkah laku mereka, yang akan ditangani dengan sewajarnya melalui undang-undang dan proses keadilan, komen-komen yang dilemparkan terhadap para pelaku setelah nama mereka didedahkan, turut mencerminkan cara masyarakat kita bertindak terhadap sesuatu isu sosial.

Ke mana pergi rasa belas kasihan dan simpati kita? Dan mengapa kita mengetepikan sikap prihatin kita dan sebaliknya begitu mudah menuding jari dan sewenang-wenangnya menyelar orang lain di media sosial?

MENGECAM TANPA USUL PERIKSA

Ya, kita harus menegur tingkah laku yang buruk – dan pihak berkuasa sudahpun bertindak dengan sewajarnya – namun sebelum kita mengutuk dan menyelar orang lain, kita harus menyedari bahawa tuduhan serkap jarang dan tindakan melabel seseorang, juga boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Pertama, kesannya terhadap pelaku itu sendiri.

Semua orang sedang 'bertempur' dengan pengalaman yang tidak kita ketahui, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik ini. Kita hanya dapat melihat sesuatu yang di depan mata kita saja dan juga kesannya terhadap diri kita sendiri. Maka itu, mengapa kita terlalu pantas menghukum seseorang tanpa usul periksa?

Apabila kes Phoon pertama kali dilaporkan, dia diaibkan di ruang Internet, dengan butiran peribadinya ditularkan. Ramai orang menuding jari ke arahnya seolah-olah mereka lebih hebat daripada wanita itu.

Kemudian sebuah media tempatan mewawancara bapanya yang mengatakan bahawa Phoon adalah anak yang baik ketika membesar tetapi sesuatu berlaku setelah dia pulang dari luar negara. Saya berharap maklumat seperti itu akan 'menyedarkan' sesetengah pihak yang begitu pantas menghakimi Phoon.

JANGAN REMEHKAN ISU-ISU YANG TIDAK DIFAHAMI

Kedua, perbuatan sedemikian sebenarnya tidak bermanfaat kepada mereka yang melabel seseorang.

Menyusuli penyebaran video-video Beow Tan, yang juga dikenali sebagai “wanita Hwa Chong”, bekas pelajar institusi pendidikan itu tiba-tiba dijadikan sebagai bahan jenaka dengan para alumninya dipaparkan seolah-olah mereka juga mengalami masalah kesihatan mental.

Tan Beow Hiong berdepan tuduhan menyebabkan gangguan awam dan melakukan perbuatan yang menjejas keharmonian antara kumpulan agama atau kaum berlainan. (Petikan video dari Instagram/aliffdaniel.blog.)

Sehubungan itu, tingkah laku lelaki kulit putih yang berkeras enggan memakai pelitup semasa berada di dalam MRT turut mencetuskan komen-komen berbaur kebencian terhadap para pekerja hijrahan di Singapura.

Bagi kes Phoon pula, sebilangan pengulas online kini mendakwa – tanpa mengemukakan sebarang bahan bukti – bahawa dia mempunyai sejarah penyakit mental.

Sesetengah pihak pula mengandaikan bahawa perbuatan mengaitkan isu kesihatan mental dengan pelaku adalah satu cara untuk menunjukkan simpati. Namun, kita bukanlah pakar psikologi. Kita harus berhenti dan berfikir: “Adakah terdapat laporan doktor yang menyatakan demikian? Adakah maklumat anda itu sahih?”

Jika tidak, janganlah kita menimbulkan spekulasi. Mengapa? Ini kerana kita tidak bersikap adil terhadap mereka yang benar-benar sedang melalui masalah sedemikian.

Bayangkan senario ini: Anda mempunyai masalah kesihatan mental yang sedang anda lalui. Anda ingin berkongsi pengalaman anda bersama dengan keluarga dan kawan rapat anda tetapi setiap kali anda cuba meluahkan isi hati anda, semua yang mereka bincangkan adalah “wanita itu, mesti sakit jiwa” tanpa mempedulikan perasaan anda.

Mahukah anda berkongsi tentang keadaan anda jika mereka akan memperlakukan anda seperti Phoon?

BERILAH PELUANG DAN BUKAN MENGHUKUM

Kecaman sedemikian juga tidak akan mendatangkan manfaat kepada diri kita sendiri.

Bidasan yang sering saya terima adalah bagaimana sekiranya para pelaku memang wajar menerima layanan buruk? Apakah saya akan terus bertenang sekiranya, sebagai contoh, saya berada dekat dengan seseorang yang tidak memakai pelitup dan enggan mematuhi undang-undang yang boleh menimbulkan risiko kepada saya dan keluarga saya?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah. Tanya diri sendiri, adakah anda bersikap terburu-buru untuk menghukum seseorang? Sedang anda menjaga jarak selamat dengan orang lain, sudahkah anda menunjukkan empati yang secukupnya terhadap orang lain; meletakkan diri anda dalam keadaan mereka?

Saya memilih untuk melihat dunia melalui sudut baik budi dan secara berhemah sekalipun kadangkala berasa sangsi.

Memang tidak mudah untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik yang belum lagi menunjukkan penghujungnya. Tetapi kita mesti mencubanya.

Saya pernah menulis rencana tentang keadilan dari segi pemulihan dan menggalak dialog antara pesalah dengan mangsa. Saya percaya setiap orang wajar diberikan peluang kedua.

Janganlah sampai peluang pertama pun tidak diberikan kepada mereka.

MENGENAI PENULIS:
Dr William Wan adalah Setiausaha Agung Pergerakan Baik Budi Singapura (Singapore Kindness Movement). 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan