Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengukuhkan perpaduan kaum & agama dalam masyarakat majmuk S'pura

Sedang kita meraikan Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai, sesetengah pihak mungkin akan mempersoalkan kepentingannya dan apakah maknanya kepada kita semua.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengukuhkan perpaduan kaum & agama dalam masyarakat majmuk S'pura

Sesi perbincangan HA Tick Talks dihadiri Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan serta pemimpin-pemimpin silang agama pada 3 Dis 2020. (Gambar: Pusat Harmoni/Facebook)

BERITAmediacorp: Sedang kita meraikan Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai, sesetengah pihak mungkin akan mempersoalkan kepentingannya dan apakah maknanya kepada kita semua. Adakah insiden-insiden dan perbincangan baru-baru ini mengenai kaum dan perkauman menimbulkan tanda tanya tentang usaha kolektif kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni?

Sempena Hari Keharmonian Kaum, kita diingatkan tentang rusuhan kaum yang tercetus pada 21 Julai 1964 ketika Singapura masih lagi di bawah Persekutuan Malaysia. Peristiwa hitam itu semakin bertambah keruh dek perbezaan ideologi politik antara UMNO dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berhubung kaum dan agama. Mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan PAP yang diterajuinya menyokong ‘Malaysian Malaysia’ (Malaysia bagi Rakyat Malaysia) namun ia ditolak oleh UMNO yang memperjuangkan dasar pro-Melayu dan mengutamakan Bumiputera.

Singapura akhirnya mencapai kemerdekaan pada 9 Ogos 1965 untuk mencarta masa depannya sendiri dan menyediakan peluang yang adil dan saksama kepada semua rakyatnya tanpa mengira kaum atau agama berdasarkan meritokrasi. Malah, usaha bagi mengukuhkan teras dan jati diri rakyat Singapura dipergiatkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-56 pada 9 Ogos ini.

Kita juga dapat melihat sendiri contoh-contoh dari negara-negara lain di mana ketegangan kaum dan agama dieksploitasi oleh sesetengah kumpulan etnik atau agama lain untuk merosakkan kepercayaan antara satu sama lain.

Tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang sengaja mengapi-apikan keadaan dan menghasut kebencian terhadap kumpulan lain hanya akan mencetuskan keganasan dan akhirnya meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

Kepercayaan yang terhakis sukar untuk diperbaiki dan akan mengambil masa untuk memulihkannya. Lantaran itu, penting kita mengambil iktibar daripada insiden-insiden malang itu sedang kita hidup dalam realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, tidak seperti Jepun atau masyarakat-masyarakat seragam yang lain.

MENGUKUHKAN JATI DIRI

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah sudah melakar dasar-dasar dan program-program untuk memastikan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dapat terus menikmati kehidupan bersama yang aman damai dan pada masa yang sama, saling berusaha untuk meningkatkan mutu kehidupan dengan mengembangkan ekonomi negara. Kita tidak boleh membiarkan sikap tidak bertolak ansur dan kecurigaan menggugat perpaduan sosial kerana ini boleh menjejas kehidupan dan mata pencarian rakyat Singapura.

Acara “Friendship Meal: Pledge a Poet” adalah hasil kerjasama antara Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah dan Gereja Zion Bishan Bible-Presbyterian. (Gambar: Pusat Harmoni/Facebook)

Acara “Friendship Meal: Pledge a Poet” adalah hasil kerjasama antara Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah dan Gereja Zion Bishan Bible-Presbyterian. (Gambar: Pusat Harmoni/Facebook)

Pendekatan pemerintah untuk memupuk masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura dilaksanakan menerusi model penyepaduan (integration) dan bukannya asimilasi seperti yang dilakukan di Perancis. Setiap rakyat Singapura boleh mengekalkan identiti dan jati diri masing-masing dengan melestarikan budaya, adat resam dan kepercayaan masing-masing tanpa perlu tunduk kepada suara majoriti.

Kita ibarat ‘rojak’ dengan setiap bahannya unik tetapi ramuannya membawa rasa yang berbeza. Namun apabila dicampur, ia menghasilkan makanan yang sangat lazat.

Kita sepatutnya berbangga dengan identiti kita sebagai kaum Melayu, Cina, India atau kumpulan-kumpulan etnik yang lain dan pada masa yang sama, menegakkan tradisi dan kepercayaan agama masing-masing. Kepelbagaian sedemikian mengukuhkan identiti kita sebagai rakyat Singapura dan negara inilah tanah tumpah darah kita.

KELUAR DARI KEPOMPONG KESELESAAN

Di tengah-tengah trend globalisasi, penghijrahan antara rakyat Singapura dan warga asing dan perkahwinan berlainan kaum, kita sedang menyaksikan masyarakat Singapura yang lebih rencam. Mengenal pasti seseorang berdasarkan kaum Cina, Melayu, India dan kumpulan-kumpulan etnik lain (CMIO) tidak lagi begitu jelas.

Digandingkan dengan gerakan-gerakan luar negara seperti Black Lives Matter dan pendedahan kepada media sosial, lebih ramai orang kini membincangkan dan menyuarakan pendapat mereka secara terbuka tentang insiden-insiden berbaur perkauman dan sikap tidak bertolak ansur terhadap kaum dan agama.

Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)

Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)

Oleh itu, kita perlu memperhebatkan usaha untuk memperbetulkan segala salah tanggap dan menolak stereotaip dan pada masa yang sama mewujudkan persekitaran yang muhibah untuk memupuk persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Pada masa lalu, ungkapan yang sering kali dikatakan adalah “Ayuh, bertoleransi antara satu sama lain”. Namun pendekatan sedemikian belum cukup kerana kita perlu mengorak langkah setapak lagi, iaitu untuk saling mengenali satu sama lain. Kita perlu keluar dari zon selesa kita, iaitu lazimnya dalam lingkungan keluarga kita sendiri dan mereka yang mengongsi latar belakang kaum dan agama yang sama dengan kita.

Kita perlu menjalin pertalian persahabatan yang baru dan mendampingi mereka. Pertalian tersebut memerlukan usaha bersama kedua-dua pihak dan pada masa yang sama, kita akan saling mengenali isi hati satu sama lain.

Namun bagaimana untuk mereka memahami diri kita jika kita tidak mendampingi mereka terlebih dahulu supaya diberi kesempatan untuk memahami diri kita? Ada kalanya juga terdapat mereka yang berpandangan sinis dan bertanggapan seolah-olah kita akan menggadaikan nilai-nilai tradisi dan pegangan agama kita sekiranya kita berinteraksi dengan kumpulan-kumpulan etnik yang lain.

Kita perlu menolak naratif negatif sedemikian kerana jika kita bergaul dengan orang-orang yang berlainan kaum dan agama daripada kita, kita sebenarnya akan menemui lebih banyak persamaan dan ini akan membantu mengukuhkan lagi nilai-nilai dan kepercayaan kita sendiri. Langkah untuk memperluaskan persahabatan dan ruang bersama tidak akan menghakis ruang peribadi kita. Sebaliknya, ia hanya akan menjadikan kehidupan kita lebih menarik dan bermakna.

Menerusi pendekatan sedemikian, barulah kita akan maju dari sikap toleransi kepada persefahaman bersama dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, yang kemudian akan membantu kita mendakapi kepelbagaian. Hakikatnya, inilah sifat insani dan inilah juga caranya untuk kita membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu padu.

IKHTIAR PEMERINTAH

Pendekatan ini juga boleh diterapkan dalam hubungan silang agama dan dalam kalangan penganut agama yang sama. Ia tidak hanya terbatas kepada umat Islam tempatan saja tetapi juga penganut agama lain yang mempunyai kepercayaan yang berbeza. Kita beruntung kerana pemerintah Singapura tidak hanya memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, malah tindakan akan diambil terhadap sesiapa saja yang menghina mana-mana agama atau menyinggung perasaan para penganutnya.

Kita mempunyai undang-undang seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) dan Kanun Jenayah. Lebih 250 wakil pertubuhan-pertubuhan agama terutama Singapura mengesahkan komitmen mereka untuk memelihara dan melindungi keharmonian kaum di negara ini. Semasa upacara perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pada 19 Jun 2019, para anggota Jawatankuasa Pemandu Nasional mengenai Keharmonian Kaum dan Agama mengikrarkan komitmen untuk Melindungi Keharmonian Kaum kepada Presiden Halimah Yacob.

Untuk mempertingkatkan lagi usaha bersama yang sudah terjalin sejak sekian lama dalam memupuk jati diri rakyat negara ini, kita juga tidak seharusnya membiarkan anasir luar menggugat kedamaian dan perpaduan sosial negara ini. Kita sudah menyaksikan dua insiden berasingan di mana warga muda negara kita sendiri merancang untuk menyerang rumah-rumah ibadat di sini.

Insiden pertama membabitkan remaja India berusia 16 tahun beragama Kristian yang merancang untuk menyerang para jemaah di sebuah masjid di Woodlands sempena ulang tahun kedua serangan ke atas masjid-masjid di Christchurch, New Zealand. Selain itu, seorang Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa Melayu/Islam merancang untuk menyerang para penganut agama Yahudi selepas menyelesaikan acara keagamaan di rumah ibadat Maghain Aboth.

GANDAKAN INISIATIF MENJALIN HUBUNGAN MUHIBAH

Kita juga tidak boleh menbiarkan insiden-insiden sedemikian daripada berulang lagi. Lantaran itu, adalah penting untuk menyesuaikan amalan agama dengan konteks kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama di Singapura. Ini termasuk warga baru Singapura dan para penduduk warga asing yang perlu membuat penyesuaian pada kehidupan mereka di sini dan belajar selok-belok kehidupan masyarakat majmuk melalui pemimpin-pemimpin agama setempat.

Sedang masyarakat Singapura menjadi lebih rencam, sudah tentu usaha-usaha perlu diperhebatkan untuk lebih mengenali satu sama lain bagi memupuk persefahaman dan kepercayaan. Selain mengadakan dialog, kunjung-mengunjung dan menyambut perayaan, kita perlu melaksanakan lebih banyak inisiatif oleh pelbagai pihak berkepentingan, lebih-lebih lagi untuk mendampingi belia kita. Kita juga boleh bekerjasama untuk menjayakan kegiatan-kegiatan yang menarik keprihatinan bersama seperti melindungi alam sekitar dan menjaga kebajikan orang lain tanpa mengira kaum atau agama.

Kebelakangan ini hamburan kata-kata berbaur perkauman dan menghina agama tersebar luas di media sosial. Sungguhpun demikian, insiden-insiden malang ini jarang berlaku di sini dan tidak semestinya mencerminkan sikap rakyat Singapura yang menghargai kehidupan yang aman damai dalam masyarakat yang inklusif.

Malangnya, catatan-catatan yang tidak bertanggungjawab di media sosial telah menggembar-gemburkan dan memburuk-burukkan lagi isu-isu yang kita hadapi. Adalah penting untuk menegaskan bahawa segala kandungan yang dipaparkan online tidak semestinya mencerminkan pandangan majoriti. Setiap masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing untuk saling mengenali dan memahami satu sama lain dan bersikap tegas dalam menolak sebarang sikap yang tidak bertolak ansur.

Kita perlu kekal bersatu hati dan menolak suara-suara yang tidak bertoleransi supaya kita dapat bangkit lebih teguh sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu. Kita mesti yakin dan berpegang teguh pada masa depan masyarakat kita sendiri.

MENGENAI PENULIS:

Fazlur Rahman Kamsani adalah Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee.
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan