Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menghurai masalah biar berdasarkan alasan kukuh, bukan sifat dangkal

Dalam era keterbukaan kita memang boleh menjangkakan pel bagai pandangan ditimbulkan termasuk gagasan yang boleh mengancam kebebasan orang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menghurai masalah biar berdasarkan alasan kukuh, bukan sifat dangkal

Gambar hiasan seorang wanita di dalam bas. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Politik semasa memang tidak lepas daripada berbagai isu kontroversil, misalnya seruan seorang ahli politik Malaysia baru-baru ini supaya diadakan satu undang-undang baru bagi "melindungi lelaki" daripada jenayah seksual.

Ahli politik dari parti komponen kerajaan yang memerintah itu berpendapat kaum lelaki memerlukan “perlindungan” daripada cara wanita bercakap dan memakai pakaian, kerana gerak geri dan fizikal kaum wanita boleh membuatkan kaum lelaki tergoda.

Beliau kemudian meminta maaf atas usulannya itu selepas menerima pelbagai maklum balas negatif daripada anggota masyarakat dan parti politiknya sendiri.

Namun cadangannya itu meninggalkan kesan terhadap masyarakat, serta mencerminkan tahap kepimpinan sesetengah ahli politik di negara itu.

Gambar hiasan.

FAKTOR KUASA

Dalam hujahnya, ahli politik itu berkata golongan lelaki yang tergoda dengan pakaian dan cara wanita berbual boleh mendorong lelaki melakukan pelbagai jenayah seperti perbuatan sumbang muhrim, merogol, memegang di bahagian yang tidak sepatutnya dipegang, dan pornografi.

(Gambar hiasan: Merdeka.com)

Hujahnya bagaimanapun tidak didokong oleh sebarang bukti baik dari segi perangkaan atau kajian bagi menunjukkan bagaimana wanita menjadi faktor utama kepada kadar jenayah tersebut.

Sebaliknya, menurut ahli sosiologi Dr Syed Farid Alatas seperti yang dipetik dalam laporan agensi berita Malaysiakini, terdapat banyak kajian yang membuktikan kes rogol bukan disebabkan oleh nafsu seksual, sebaliknya berkait rapat dengan soal kuasa.

Contohnya, bagaimana si perogol itu ingin meletakkan kuasanya kepada orang yang lebih rendah daripadanya, iaitu orang yang dirogolnya, bagi tujuan meletakkan kekuasaanya semata-mata.

BUKAN SALAH WANITA 

Di sisi yang lain pula dengan berhujah bahawa kaum lelaki perlu dilindungi memberikan indikasi bahawa golongan wanita tidak perlu dilindungi atas sebab mereka adalah pencetus utama masalah jenayah berlaku.

Walhal seperti yang dikatakan oleh beberapa pemimpin wanita, jenayah rogol tetap berlaku kepada golongan wanita yang menutup aurat dan yang turut berpakaian sopan.

Gambar hiasan. (Gambar: Manan Vatsyayana/ AFP)

Mereka berpendapat, perlindungan sebaliknya perlu diberikan kepada mangsa deraan seksual, dan “bukan kepada golongan yang mendera atau si perogol”.

Hujah yang sama juga dilontarkan oleh golongan aktivis wanita seperti Sisters in Islam dan Marina Mahathir. Bagi mereka, golongan lelaki yang perlu memikul tanggungjawab sekiranya mereka melakukan jenayah seksual, tidak kira apa bentuk dan jenis pakaian yang dipakai oleh golongan wanita.

Meletakkan kesalahan atas kaum wanita terhadap jenayah yang tidak dilakukan oleh mereka, hanya akan memberikan alasan untuk kaum lelaki berkelakuan jahat.

Begitu juga halnya sekiranya seorang bayi yang dirogol, adakah kejadian jenayah itu patut dipersalahkan ke atas si bayi tersebut - yang tidak tahu cara berpakaian dan bercakap?

ALIHKAN WACANA DOMINAN 

Gambaran dan cara berfikir ini jelas menunjukkan banyak yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat. Wacana dominan harus mengelakkan daripada meletakkan kesalahan atas si mangsa atau victim blaming dengan mentaliti seperti “memang dia patut dirogol kerana pakaiannya terdedah atau cara dia bercakap”.

Sifat menyalahkan mangsa atas penampilan luaran hanya akan menegakkan kesalahan atau jenayah yang dilakukan oleh si pesalah.

Masalah victim blaming ini juga tidak terpisah daripada konteks Singapura. Misalnya, tinjauan AWARE yang dijalankan di Singapura, sejumlah besar responden (40% mereka yang berusia antara 18-39 tahun dan lebih 50% mereka yang berusia 50 tahun ke atas), bersetuju bahawa wanita yang memakai pakaian provokatif “meminta” (“asking for it”) bagi keganasan seksual.

Lantaran si mangsa perlu bertanggungjawab atas gangguan yang dialaminya sendiri.

Mentaliti seperti ini sangat bermasalah kerana ia membawa pelbagai risiko. Selain menyekat kebebasan seksual wanita, dan mengabsahkan gangguan seksual, ia juga menggalakkan sikap tidak menyokong kepada mangsa-mangsa sedemikian.

Malah dalam jangka panjang, mentaliti sebegitu juga akan menormalisasikan gejala budaya rogol dan patriarki.

Lebih dari 10.000 anak diperkosa sepanjang tahun 2015. (Gambar: AFP/SAJJAD HUSSAIN)

Naratif dominan juga tidak boleh menutup sebelah mata ke atas pelaku yang melakukan jenayah meskipun pelaku tersebut mempunyai kaitan rapat dengan institusi agama.

Sebaliknya pelaku haruslah bertanggungjawab atas setiap kelakuan yang dilakukannya apatah lagi jika si pelaku melakukan jenayah! Di sini kita diingatkan oleh pelbagai sarjana Islam yang mengkedapankan dan memberatkan akal dan fikiran, kemunasabahan dan keberpatutan dalam melihat isu-isu semasa.

Penduduk Indonesia di sebuah masjid di Jakarta. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Sekiranya ada yang menggunakan alasan agama bagi menyokong usulan tersebut, individu tersebut juga perlu faham bahawa agama Islam secara dasarnya membangun dan mengkedepankan nilai-nilai universalisme. Misalnya, sifat saling menghormati sesama manusia dan mengelakkan daripada menyakiti pihak yang lain secara verbal atau fizikal.

ELAK BEBALISME 

Mentaliti dan cara berfikir yang masih lagi menyalahkan wanita pada zaman moden ini juga mencerminkan kecetekan tahap berfikir sekumpulan individu dalam masyarakat.

Sememangnya, keganasan seksual yang termasuk merogol, meliwat dan sebagainya merupakan satu isu yang kompleks.

Namun sebelum menyalahkan mana-mana pihak, anggota masyarakat khususnya golongan yang memegang kepimpinan perlu berfikir dengan rasional dan logik, dan tidak boleh hanya berfikir atau bersifat acuh tidak acuh.

Sebaliknya, apabila bercakap berkenaan masalah yang membabitkan anggota masyarakat secara amnya, ungkapan dan hujah yang digunakan perlu berteraskan kepada kemampuan untuk menilai masalah secara kontekstual dan mendalam.

Ini kerana, jika yang sebaliknya berlaku, huraian kepada masalah bukan hanya tidak dapat tercapai malah masalah akan menjadi lebih buruk dan berleluasa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan