Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menghidupkan nilai-nilai agama – antara retorika dengan fahaman sebenar

Apakah penghayatan nilai-nilai baik yang dianjurkan Islam kadangkala tidak dapat difahami dan diamalkan sesetengah umat Islam? Di manakah jurang perbezaan antara agama Islam itu sendiri dan pemahaman kita tentang agama tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menghidupkan nilai-nilai agama – antara retorika dengan fahaman sebenar

Penduduk Indonesia di sebuah masjid di Jakarta. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Apakah penghayatan nilai-nilai baik yang dianjurkan Islam kadangkala tidak dapat difahami dan diamalkan sesetengah umat Islam? Di manakah jurang perbezaan antara agama Islam itu sendiri dan pemahaman kita tentang agama tersebut?

Dr Fatris Bakaram menyambaikan ceramah di hadapan 1,200 jemaah. (Gambar: MUIS)

BERITAMediacorp: Pemahaman kita tentang agama Islam seharusnya mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan memberi manfaat kepada masyarakat. Agama Islam sangat bersinonim dengan nilai-nilai baik seperti keadilan dan kesaksamaan.

Malahan, di dalam kitab suci Al-Quran, antara tema utama yang sering diangkat ialah seruan ke arah kebaikan dan mencegah kezaliman.

Meskipun begitu, penghayatan nilai-nilai baik ini kadangkala tidak dapat difahami dan diaplikasikan oleh segelintir golongan dalam masyarakat kita.

Terdapat perbezaan di antara agama Islam itu sendiri dan pemahaman kita tentang agama tersebut.

Gambar hiasan (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Agama adalah berdasarkan kitab suci Al-Quran, manakala pemahaman kita pula adalah tanggapan kita tentang nilai-nilai dan pengajaran daripada agama Islam.

Pemahaman kita tentang agama itulah yang akan menentukan bagaimana kita menghidupkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian.

FAHAMAN BERMASALAH

Pehamaman kita tentang agama adakalanya tidak begitu tepat. Dengan erti kata lain, ia tidak menepati nilai-nilai baik yang diajarkan oleh agama Islam.

Contoh yang mungkin tidak asing lagi di dalam masyarakat kita ialah kenyataan yang kurang elok apabila negara yang majoritinya bukan beragama Islam ditimpa bala bencana.

Sudah menjadi kebiasaan untuk kita mendengar melalui percakapan atau membaca posting di lelaman media sosial yang menyebut perkara-perkara tidak elok terhadap negara-negara tersebut.

Kononnya mereka patut menerima bencana alam sebegitu disebabkan ‘keingkaran mereka terhadap perintah Tuhan’, seolah-olah tiada penjelasan saintifik di sebalik bencana alam tersebut.

Sebaliknya, apabila bala bencana berlaku di negara-negara yang majoritinya penduduk beragama Islam, golongan seperti ini akan mengatakan pula bahawa bencana alam tersebut adalah ujian bagi orang beriman.

Ombak tsunami membadai Selat Sunda pada 22 Disember - bencana alam ketiga yang melanda Indonesia dalam enam bulan. (Gambar: Sonny Tumbelaka/AFP)

Ungkapan seperti ini langsung tidak mencerminkan nilai-nilai murni Islam seperti sikap bertimbang rasa dan berkasih sayang antara sesama manusia. Kebaikan yang dianjurkan oleh agama Islam bukan hanya terbatas kepada sesama Muslim sahaja.

Seharusnya, agama yang berpaksikan cogan kata “rahmatan bagi sekalian alam” menunjukkan kebaikan kepada seluruh ciptaan Tuhan, sama ada yang beragama Islam atau tidak.

Ini bertepatan juga dengan ungkapan masyhur oleh Saidina Ali yang mengatakan bahawa setiap manusia itu bersaudara, sama ada saudara seagama atau saudara sesama manusia.

Kata-kata Saidina Ali melambangkan bahawa agama Islam menuntut supaya penganutnya memberikan layanan yang baik terhadap semua individu, tidak kira agama.

FAHAMAN ‘INI SEMUA DUNIAWI’
Terdapat juga pandangan lain yang menunjukkan kegenjotan dalam pemahaman kita tentang agama Islam. Dalam buku “Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah”, Profesor Syed Hussein Alatas pernah mengangkat masalah golongan yang mengecilkan nilai kehidupan di dunia.

(Gambar: bukudbp)

Menurut beliau, ada di antara masyarakat kita yang tidak memahami bahawa agama Islam menitikberatkan kebaikan di kedua-dua kehidupan di dunia dan di akhirat.

Mereka berpendapat bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan yang tidak bermakna, dan tidak perlu untuk berusaha di dunia ini, sedangkan agama Islam mengajarkan bahawa kehidupan di dunia sama pentingnya dengan kehidupan di akhirat.

Kedua-dua ini perlu diseimbangkan kerana mereka saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Profesor Syed Hussein Alatas menjelaskan juga bahawa akibat daripada pemahaman yang salah seperti ini, masyarakat mengambil sikap yang menyalahi prinsip dan nilai-nilai asas agama Islam.

Misalnya, golongan yang memperkecilkan nilai kehidupan di dunia adakalanya mengambil sikap tidak mengendahkan hal-hal keduniaan sehingga mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan diri mereka sendiri.

FAHAMI TUNTUTAN AGAMA

Lebih parah lagi, jika mereka tidak lagi berpijak di bumi nyata, sehinggakan ada yang mengabaikan tanggungjawab sosial untuk membantu antara sesama manusia dan menyelesaikan masalah-masalah sosial yang berlaku.

Kesan daripada sikap yang salah ini ialah golongan yang terpinggir dan dipinggirkan tidak akan dibela, dan masalah mereka akan berlarutan.

Ada beberapa lagi pemahaman salah yang pernah disiarkan di media baru-baru ini, iaitu pandangan bahawa Islam membenarkan para suami untuk memukul isteri-isteri mereka untuk tujuan ‘mendisiplinkan’ mereka.

Gambar lakonan penderaan anak (Gambar: Mediacorp)

Ataupun pandangan bahawa terdapat satu sahaja aliran agama Islam yang diterima, sedangkan terdapat juga aliran-aliran lain juga bertepatan dengan tuntutan agama Islam.

Pemahaman yang salah seperti ini seharusnya dikenal pasti dan diperbetulkan supaya kita dapat mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Justeru, bagaimanakah kita hendak mengenal pasti kekeliruan yang berlaku dalam memahami tuntutan-tuntutan agama Islam?

SEBAGAI PEMIKIR

Setiap pemikir dalam masyarakat kita harus mengamalkan sikap bertanggungjawab dan menjalankan amanah dalam menegur dan membimbing masyarakat. Pemikir dalam masyarakat bukan hanya terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik sahaja.

Golongan pemikir ialah golongan yang hidup bersama masyarakat sehingga mereka dapat mengenal pasti masalah-masalah yang membelenggu masyarakat.

Sepanjang zaman, terdapat ramai pemikir Melayu yang muncul dari pelbagai bidang, termasuk golongan terpelajar, profesional, sasterawan, agamawan dan seniman.

Mereka menjalankan tanggungjawab untuk menelaah atau memberikan penilaian terhadap realiti kehidupan tersebut dan mencorakkan jalan keluar daripada permasalahan sosial yang berlaku.

Dalam konteks makalah ini, setiap pemikir dalam masyarakat bertanggungjawab untuk peka terhadap pemahaman agama yang dihayati oleh masyarakat sekelilingnya dan mengenal pasti sebarang kegenjotan dalam pemahaman tersebut.

Bermula dari situ, golongan pemikir kemudiannya bertanggungjawab untuk mencari punca pemahaman tidak tepat itu dan menawarkan penyelesaian bagi memperbetulkan kesilapan itu.

Pengamatan dan penilaian inilah yang membezakan antara seorang pemikir atau intelektual dan seorang yang hanya mempunyai kelulusan akademik.

PERLU TERKEDEPAN
Tumpuan yang istimewa juga harus diberikan kepada golongan elit iaitu golongan yang mempunyai pengaruh dan kuasa di dalam masyarakat kita yang menyebarkan tentang hal-hal keagamaan.

Para jemaah masjid mendengar khutbah Aidiladha yang disampaikan oleh Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram. (Gambar: MUIS)

Kelompok ini sangat penting kerana pola pemikiran mereka mencorakkan pemahaman dan sikap masyarakat kita.

Oleh itu, golongan elit dalam masyarakat harus mempunyai sikap tanggungjawab apabila berbicara tentang hal-hal keagamaan dan memperbetulkan kegenjotan dalam pemahaman masyarakat.

Mereka juga bertanggungjawab untuk mengangkat tema-tema baik di dalam bahan-bahan penyampaian mereka supaya nilai-nilai baik yang dianjurkan dalam agama dapat disemaikan dalam penghayatan masyarakat awam. Ini adalah sebuah amanah yang harus digalas dengan penuh rasa bertanggungjawab.

JANGAN AMBIL CAKNA

Akhir sekali, masyarakat awam juga harus cakna terhadap retorika yang disampaikan oleh mana-mana golongan sekalipun. Kita bukanlah penerima pasif yang boleh disogokkan dengan sebarang kata.

Setiap jenis pemahaman agama harus dinilai dengan kritis, sama ada ia menepati nilai-nilai baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Apabila kita membudayakan penilaian kritis dan menghayati nilai-nilai baik yang diajarkan, barulah kita dapat menghidupkan ajaran Islam dengan sebetulnya.

MENGENAI PENULIS:

Hikmah Md Ali merupakan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Sosiologi dengan minor Pengajian Melayu. Bidang kajian beliau termasuk Orientasi dalam Islam, Kepimpinan elit Melayu/Islam dan Ketidaksamaan Sosial.


Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan