Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengenali sains unggas dan ilmu agama dari syair Melayu klasik

Syair Melayu klasik seperti Syair Burung bukan sahaja mengandungi banyak tunjuk ajar agama tetapi juga memperlihatkan kepekaan orang Melayu terhadap alam sekelilingnya.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengenali sains unggas dan ilmu agama dari syair Melayu klasik

(Gambar: MOHAMED EL-SHAHED / AFP)

BERITAmediacorp: Syair Melayu klasik seperti Syair Burung bukan sahaja mengandungi banyak tunjuk ajar agama tetapi juga memperlihatkan kepekaan orang Melayu terhadap alam sekelilingnya seperti dunia haiwan unggas. Sarjana Dr Mohd Faizal Musa menjelaskan bahawa kepekaan itu dipaparkan dengan menyelitkan sekali ilmu asas agama Islam agar ia berguna untuk khalayak pendengarnya:

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

TERDAPAT 35 ekor unggas atau burung disebutkan di dalam Syair Burung yang merupakan sebuah syair yang sangat popular satu masa dahulu untuk pendidikan anak-anak, khusus, mengenai pengajian asas Islam.

Naskhah Syair Burung ini yang dikarang pada 1772 dengan menggunakan bahasa Melayu dialek Minangkabau adalah salah satu warisan Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Nasional Republik Indonesia. Syair ini terdapat beberapa edisi, dan yang ada di Jakarta adalah versi yang disalin pada 1832. Ia dipercayai ditulis oleh Sitaliba, ‘isteri Haji Abdullah’.

Saya tidak akan mengulas kandungan syair yang tepu dengan tunjuk ajar agama Islam, tetapi saya akan memberi perhatian kepada ilmu ornitologi Melayu yakni ilmu sains tentang unggas atau burung.

Saya berpendapat penyair Sitaliba tidak memilih jenis-jenis burung secara sambil lewa atau semberono kerana burung yang disuguhkan dalam naratif ini membawa sama perlambangan aneka tingkah laku manusia.

Oleh sebab penyair ini perempuan, kita dapat menghujahkan juga perempuan Melayu zaman dahulu bukanlah leka, tidak ambil pusing keadaan sekeliling dan dalam masa yang sama; harus dinyatakan sangat bermaklumat.

BURUNG YANG BIJAKSANA

Salah seekor burung yang diberikan peranan yang besar adalah burung Nuri. Ia merupakan pusat penceritaan dan berfungsi menjadi ‘tukang tanya’ dan juga ‘tukang jawab’ dan penyair sering menyebut-nyebut ia sebagai burung yang bijaksana.

Seperti mana yang kita ketahui, burung Nuri mempunyai pesona yang indah dan bukanlah pertama kali ia diberi tempat yang khusus dan istimewa dalam sastera ciptaan bangsa Melayu. Selain tampil dalam Syair Burung, burung Nuri juga muncul dalam Syair Si Burung Nuri, seekor burung dari kayangan.

Juga dalam Hikayat Burung Helang dan Burung Nuri. Ia juga merupakan seorang lelaki yang sasa bernama Sahimerdan dalam Hikayat Indarjaya yang keluar sangkar, dan hampir-hampir menyetubuhi Puteri Siti Dewi. Selain itu, Hikayat Bayan Budiman yang terkenal di dunia Melayu sebenarnya adalah hikayat burung Nuri yang asalnya dari bahasa Sanskrit.

BERSOAL JAWAB HAL MAKRIFAT

Burung Nuri adalah unggas yang berwarna-warni dan dianggap indah. Habitatnya adalah hutan dataran rendah dan umum dijumpai sampai ketinggian 500 meter. Ia dapat terbang dengan pantas di atas taburan pohon hutan dalam kelompok kecil. Nuri dianggap burung yang bijak bahkan boleh dilatih untuk ‘berbicara’.

Oleh sebab ciri khas yang menggiurkan ini, saya berpandangan penyair dengan sengaja memilih Nuri sebagai unggas utama yang memiliki posisi utama bersoal jawab mengenai makrifat:

Nuri bertanya terlalu capat
Apalah arti maknanya yang empat
Itu pun menjawab barang yang dapat
Iman Islam Tauhid makrifat

Unggas Nuri burung budiman
Soal di dalam hadis dan firman
Ia berkata kepadanya teman
Apakah tuan artinya iman.

WATAK KEGURUAN

Di dalam Hikayat Burung Pingai dinyatakan: ‘Nabi Sulaiman, raja binatang dan jin, memanggil semua burung. Burung pertama yang muncul ialah Nuri, Khatib Agung di kalangan burung-burung. Disusul Kasuari, Elang, Kelelawar, Pelatuk, Tekukur, Merak, Gagak dan lain-lain’.

Adalah sangat menarik Nuri digelar ‘Khatib Agung’ yang menunjukkan makam atau status tinggi burung Nuri. Di dalam Hikayat Burung Pingai itu juga watak Nabi Sulaiman diperikan bertanya kepada burung Nuri, apakah jalan yang harus dilalui untuk mencapai rahsia dan hakikat kehidupan?

Burung Nuri menjawab, jalan yang harus ditempuh adalah melalui jalan tasawuf, yang mempunyai tujuh tahap. Di titik itu Nuri menampakkan kearifannya dengan menceritakan betapa ada temannya yang tidak dapat mengenal Tuhan disebabkan ‘buta dan tuli’.

Demikian tidaklah menghairankan burung Nuri di dalam Syair Burung ikut diberi peranan menjawab ‘persoalan agama yang besar dan utama’.

MURAI SEBAGAI GURU KEDUA

Burung yang mendapat tempat sebagai naib, atau guru kedua di dalam Syair Burung adalah Murai. Seperti Nuri, Murai disifatkan mempunyai suara merdu.

Burung ini adalah pemakan cacing, selain buah-buahan kecil. Jika burung Nuri dipilih kerana banyaknya varian spesis burung tersebut di rantau Melayu ini, burung Murai dipilih kerana ia merupakan antara burung yang paling digilai dan sering disimpan sebagai hobi.

Burung Murai juga sering diketengahkan dalam pertandingan kicau. Murai juga dikaitkan sebagai haiwan dimorfik dalam ilmu unggas yang mana mudah untuk membezakan antara yang jantan dan betinanya.

Oleh sebab ia burung yang paling banyak dibela dan senang dikesani, Murai dihadirkan sebagai guru kedua, atau tutor dalam pengajian ilmu agama yang dihadirkan oleh Syair Burung.

Sesuai dengan sifat pemalu, jinak dan berkicau yang jelas, penyair telah memberikan kedudukan yang kedua tinggi selepas Nuri.

SIKAP ADIL DAN BUDIMAN

Di awal lagi, Murai memperlihatkan dirinya sebagai burung yang menggalak burung lain dan kerana sikapnya yang demikian adil dan budiman menjadi pendorong saksama dalam naratif Syair Burung:

Murai berkata ayuhai tuan
Kata saudara berebut bulan
Sepatah tiada ketinggalan
Dangan hamba ia sejalan

Murai bertanya merdu suaranya
Ayuhai ketitir unggas udarah
Syahadat itu berapa perkara
Hendaklah jawab dengan segera.

Murai ternyata berkedudukan khas di dalam Syair Burung Nuri, dan bertindak sebagai penyambung cinta Burung Simbangan kepada Nuri.

BISTARI DAN BAIK BUDI

Di dalam Syair Burung, burung Nuri yang penuh magis dan diperi sebagai guru serta berasal kayangan ini memerlukan Murai yang lebih dianggap dekat dengan manusia.

Dekatnya murai dengan manusia terlihat misal pada perbilangan adat orang Minang:

Kambing biasa membebek,
Kerbau biasa menguak,
Ayam biasa berkokok,
Murai biasa berkicau,
Penghulu biasa menghukumkan adat,
Alim biasa menghukumkan shara,
Hulubalang biasa menjarah,
Juara biasa melepas,
Saudagar biasa bermain bungkal teraju,
Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas.

Perbilangan di atas menunjukkan Murai adalah haiwan burung yang begitu dekat dengan manusia Melayu dan diambil sebagai pembayang lambang bagi hal-hal adat dan syarak.

Maka, peranan Murai yang rajin berkicau ini sesuai dalam Syair Burung. Bahkan ia digambarkan ‘burung bestari’ dan ‘baik budi’.

Terdapat kemungkinan burung-burung yang dihadirkan dalam Syair Burung ini bukan sahaja diketengahkan oleh pengarang untuk bersoal jawab hal agama tetapi sebetulnya memang bermaksud untuk memperkenalkan aneka unggas yang ada di persekitaran Melayu agar mereka menjadi bangsa yang sensitif, arif dan tidak mengabaikan flora fauna.

Ini terlihat dalam banyak puisi tradisional Melayu yang lain seperti pantun dan perbilangan, malah diterapkan dalam peribahasa.

HELANG YANG PANJANG UMUR

Akhir sekali, dari 35 ekor unggas yang diperikan dan diberi peranan dalam Syair Burung, saya ingin menyentuh seekor burung pemangsa yang dimasukkan penyair: Burung helang.

Helang dapat dianggap sebagai jenis burung yang dapat mencapai umur yang panjang atau tua.

Dalam dunia burung, umur 70 tahun adalah rekod yang sinonim dengan perjuangan hidup yang panjang. Di dalam Syair Burung, helang dicatatkan lebih tua dari Nuri. Hal ini tentulah tepat dan disengajakan pengarang untuk melihat kemungkinan hidupnya yang berliku.

Bermadah pula si burung Helang
Ia berkata berulang-ulang
Hamba ini orang yang malang
Ilmu di dada habis-habislah.

Namun demikian, sesuai dengan burung pemangsa, helang yang berukuran besar, berkuku dan mencengkam, serta dianggap haiwan pemburu itu, helang diwatakkan sebagai burung tua yang susah belajar.

Namun, ia tidak bermaksud helang adalah binatang burung yang angkuh atau sombong tetapi ini terjadi kerana helang cepat sekali merasa kalah, atau pesimis lantaran ilmu yang dipelajarinya mudah hilang. Ini sesuai dengan sifatnya helang yang merupakan burung yang dihadirkan untuk kerja di medan depan.

Dalam cerita rakyat Iban sebagai contoh burung Jagu Menaul Tuntung (atau burung helang) ditugaskan oleh petinggi Iban untuk memimpin segala kerja perang.

MENUJU KESEMPURNAAN

Meskipun burung helang adalah pemangsa, ia juga sering dijadikan simbol kepada perjalanan roh. Ini misalnya dapat dilihat dalam karya-karya Jalaluddin ar Rumi yang mana burung Bulbul mewakili jiwa sedangkan burung helang adalah representasi kepada roh.

Maka tidaklah menghairankan sebagai simbol roh yang ingin menuju kesempurnaan, helang mempunyai kadang-kala keraguan dan juga keazaman dalam masa yang sama.

Kesimpulannya perihal unggas dan burung digunakan untuk medium pendidikan bukanlah sesuatu yang jauh daripada orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu itu lazimnya beragama Islam, perlambangan burung untuk mengajarkan manusia seperti banyak disebutkan di dalam al-Quran turut dimanfaatkan penyair dalam menggubah Syair Burung.

Sebagai contoh, dalam ayat 41 surah al-Nur, Allah berfirman maksudnya; ‘Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

MERENUNG KEKUASAAN ALLAH

Ayat di atas begitu jelas menampilkan kekuasaan Allah untuk direnung dengan menjadikan burung sebagai satu pelajaran utama. Ini juga terkandung dalam ayat 79 surah al-Nahl yang memaparkan pengajaran yang dapat diambil dari kehidupan alam ini;

‘Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.’

Saya dengan yakin merasakan syair yang ditulis oleh Sitaliba, ‘isteri Haji Abdullah’ ini dapat menjadi petunjuk kejelasan dan kepekaan orang Melayu dalam ilmu ornitologi, dan di dalam Syair Burung, anjuran peka kepada unggas dan alam ini dengan sengaja diselit-sulamkan ilmu asas Islam agar berguna untuk khalayak iaitu kanak-kanak.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak ini belajar dua perkara dalam satu masa; iaitu ilmu unggas dan ilmu agama. Malah ia memupuk kecintaan kepada alam dan burung yang terbang bebas sebagai produk atau karangan Tuhan yang Maha Kuasa.

Ia berguna untuk mereka yang berakal dan ingin berfikir. Seperti yang telah saya nukilkan, Syair Burung menjadi lebih menarik lantaran penulisnya seorang perempuan. Ia bukti wanita Melayu bukanlah suri rumah semata-mata dan sekadar diperuntukkan ruang dapur.

Syair Burung tamat alkalam
Bi ‘l-khair ajmain bi ‘s-salam
Telah pikir segala Islam
Supaya terbuka hati yang kelam 

(Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan