Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengapa pembangunan yang mampan masih diperlukan untuk belia di sini

 Kita di Singapura mungkin jauh di hadapan banyak negara lain dalam memastikan pembangunan belia tempatan. Namun apakah lagi yang boleh masyarakat kita lakukan bagi menjamin pembangunan belia yang lebih mampan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengapa pembangunan yang mampan masih diperlukan untuk belia di sini

(Gambar: United Nations Youth/Facebook)

BERITAmediacorp: Kita di Singapura mungkin jauh di hadapan banyak negara lain dalam memastikan pembangunan belia tempatan. Namun apakah lagi yang boleh masyarakat kita lakukan bagi menjamin pembangunan belia yang lebih mampan.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Belia dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, menunjukkan belia di merata dunia masih jauh daripada sasaran yang diharapkan dari segi usaha untuk mencapai kemampanan.

Lebih 142 juta belia yang berumur antara 15 tahun hingga 17 tahun sudah berhenti sekolah. Antara mereka yang berusia bawah 24 tahun pula, 71 juta belia yang tidak mempunyai pekerjaan dan lebih ramai lagi (anggaran berjuta jumlahnya) belia yang hanya bekerja tidak menentu.

(Gambar: United Nations Youth/Facebook)

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menganggarkan 156 juta belia dari negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana masih hidup dalam kemiskinan walaupun dengan pekerjaan.

Amat menyedihkan lagi dengan keadaan belia muda dalam lingkungan 12 hingga 14 tahun yang berada di negara termiskin kerana hampir 30 peratus daripada mereka tidak pernah ke sekolah.

Dengan fakta-fakta ini, kesimpulannya, tidak dapat kita nafikan yang gambaran negatif ini sedikit sebanyak akan mengusutkan pemikiran: jika belia adalah harapan masa depan kita, perangkaan yang dikemukakan dalam Laporan Belia Sedunia oleh Jabatan Ekonomi dan Urusan Sosial (UNDESA) PBB bukan hanya menghampakan, malah juga membimbangkan.

MASA DEPAN BELIA

Mujur landskap Singapura lebih menggalakkan berbanding dengan kenyataan yang dihadapi oleh banyak negara lain.

Jika kita menganalisa kelakonan kita dalam hal pelajaran, Singapura telah berjaya menikmati kadar celik huruf sebanyak 96 peratus mengikut perangkaan World Atlas.

Pelajar menengah di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Tahap pekerjaan golongan belia di sini pula telah mencecah 34.1 peratus dari kajian yang dijalankan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berbanding dengan situasi di negara lain yang hanya mampu kurang separuh daripada pencapaian di sini.

Persoalan yang menjadi lebih genting dan perlu kita renungkan ialah:

1. Disebabkan gangguan yang semakin berleluasa menjejas kehidupan seharian, bolehkah Singapura memastikan pembangunan yang berterusan bagi menjamin kedudukannya di peringkat dunia?

2. Apakah langkah-langkah dan atur cara yang telah kita susun untuk menyiapkan belia kita agar mereka boleh terus maju mengatasi persaingan yang semakin sengit dari negara-negara lain yang lebih besar dan kaya sumber?

KEMAJUAN TEKNOLOGI

Dengan kemajuan teknologi yang berterusan, banyak perkara atau cara-cara melaksanakan sesuatu tugas akan berubah ataupun pupus sama sekali.

Misalnya, kurang setengah abad yang lalu, sistem perancangan sumber perusahaan atau 'enterprise resource planning' (ERP) memerlukan sistem komputer dan server yang berkapasiti tinggi.

Contoh applikasi yang memanfaatkan teknologi geospatial (Gambar: Mediacorp)

Ini menyebabkan perbelanjaan yang amat lumayan dan menjejas banyak syarikat perusahan kecil dan sederhana (SME) disebabkan kemampuan mereka yang terhad.

Tetapi sejak 3 hingga 4 tahun kebelakangan ini, sistem ERP sudah semakin cekap menggantikan keperluan perkakasan besar dan mahal dengan pengkomputeran awan atau ‘cloud computing’.

Begitu juga dengan trend meluas telefon bijak dan media sosial, ia telah memaksa kita mengubah tabiat kita berkomunikasi dan menyebarkan maklumat.

(Gambar hiasan: Reuters)

Pada awalnya, telefon bimbit hanya digunakan untuk membuat panggilan tetapi sekarang ia berfungsi sebagai peranti untuk menyusun kehidupan kita seharian dan aplikasi-aplikasi penting telah membolehkan kita melakukan urusan seperti perbankan dan pesanan secara segera dan selamat!

LANGKAH SETERUSNYA

Gangguan yang agresif dan secara besar-besaran sejak kebelakangan ini telah mencabar kebijaksanaan konvensional dan mempersoalkan kebolehgunaan sesuatu pengalaman.

Kebimbangan sama ada sesuatu pengalaman itu relevan buat masa ini ataupun tidak telah mencetuskan banyak perbalahan antara berbilang generasi, terutama sekali dengan golongan belia.

Untuk memperolehi persekitaran yang kondusif di mana belia-belia kita boleh berkembang maju, setiap dasar dan program-program yang kena-mengena dengan belia wajib melibatkan golongan ini dari awal lagi, termasuk di peringkat konsep dan perancangan.

Mungkin ini telah dilaksanakan di sini tetapi masih boleh diperbaiki dari segi pendekatannya.

PERANAN IBU BAPA

Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting bagi membentuk belia yang berdaya tahan.

Usaha ini harus didampingi sebagai satu daya perkongsian antara anak dan orang tua di mana si anak itu akan memberi maklum balas kepada ibu bapanya tentang trend-trend, pemikiran, pendedahan terkini, cabaran, pergolakan dan perjalanan hidup sebagai seorang belia.

(Gambar: Mendaki/Facebook)

Dengan usaha bersama antara anak dan orang tua ini, si anak itu tadi bukan sahaja dapat menjalin pertalian yang lebih erat dengan orang tuanya, malah ia juga dapat memanfaatkan pengalaman hidup dan kemahiran menyelesaikan masalah yang dihadapi orang tuanya.

Sudah tentu cabaran yang akan ditempuhi oleh belia itu tadi berbeza dengan apa yang dialami ibu dan bapa mereka.

MEMBANGUN BERSAMA

Di sinilah perbincangan terbuka antara mereka dan pertukaran idea akan membolehkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap satu sama lain.

Kesan segeranya, kedua-dua pihak akan membangun bersama dan sikap hormat-menghormati akan menggalak mereka untuk terus berkomunikasi.

Kesan jangka panjang pula, orang tua belia itu tadi akan lebih relevan dalam hidup anak mereka. Dengan hubungan yang positif dan mesra, ibu bapanya selain daripada menjadi sumber kebijaksanaan dan penyokong kuatnya akan juga mengalami pelibatan yang bermakna.

Kesimpulannya, ia menjadi tugas setiap orang tua untuk melindungi anak-anaknya dari segala keburukan; cara yang amat efektif sekali adalah dengan mendidik mereka supaya sentiasa gigih dan tekun berusaha serta mampu mengatasi kesukaran dan kegagalan.

Dengan ini, barulah kita akan berasa lega menyerahkan obor kepimpinan kepada belia sebagai pemimpin masa hadapan.

MENGENAI PENULIS:

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan