Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menangani wabak lebih berkesan dengan kepimpinan baik dan kepercayaan masyarakat

Kepercayaan antara pemerintah dengan orang ramai memanglah penting sekali dalam usaha memerangi sebarang krisis seperti penularan virus korona baru 2019. Sejauh mana kerjasama dan kepercayaan sesama sendiri ini berjaya dipertingkatkan? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menangani wabak lebih berkesan dengan kepimpinan baik dan kepercayaan masyarakat

Imej virus korona baru 2019 (Gambar wikipedia)

Dua tahun lalu genap 100 tahun dunia dilanda wabak penyakit paling dahsyat pernah dirakamkan dalam sejarah manusia.

Wabak dikenali sebagai  ‘Selesema Sepanyol’ (Spanish Flu – walaupun mungkin tiada kena mengena dengan Sepanyol) melanda dunia dari 1918 hingga 1920,  membunuh sehingga 50 juta orang di merata dunia.

Melihat trend jangkitan virus korona baru 2019, timbul kebimbangan sesetengah pihak bahawa ia juga boleh mencapai paras jangkitan Spanish Flu – yakni menjangkiti sehingga separuh bilion orang!

Sebahagian pesakit wabak selesema 1918 (Gambar Wikipedia)

Ini jangkaan yang terlalu mencemaskan dan agak pesimistik. Ia tidak mengambil kira bahawa 100 tahun lalu wabak selesema itu terus merebak tanpa diketemukan vaksin untuk membanterasnya.

Hari ini, jika kemajuan perubatan serta langkah-langkah yang lebih proaktif diambil kira kita boleh berasa lega bahawa virus korona 2019 akhirnya dapat dibendung sebelum ia meragut lebih ramai lagi jiwa.  

Dan inilah hakikat semasa yang kita hadapi sekarang - sejauh manakah kita boleh melawan virus baru ini dengan lebih berkesan lagi.

PELBAGAI KRISIS

Seperti yang kita ketahui setiap jangkitan, lebih-lebih lagi apabila ia sudah merebak sebagai wabak, tidak sahaja dianggap sebagai krisis kesihatan.

Setiap krisis begini menimbulkan pula pelbagai krisis lain, seperti krisis ekonomi (akibat kemerosotan keluaran,  pemberhetian kerja dan kehilangan mata pencarian); krisis sosial dan ketenteraman awam (akibat ketegangan dan perselisihan dalam  masyarakat);

Malah juga boleh mencetuskan krisis keselamatan dan ketenteraan (apabila ketegangan dalam negeri berubah pula menjadi konflik antara negara dan rentas sempadan).

Oleh itu tugas menangani setiap krisis begini  perlulah dilakukan oleh kepimpinan negara dan masyarakat yang bijak, cekal dan cekap.

Mereka perlu memahami tanggungjawab besar dalam memahami apa sebenarnya krisis yang sedang melanda kita dan apakah huraian-huraian sebaik mungkin yang perlu dilaksanakan segera.

Dan jika mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik, ini pula boleh turut mencetuskan satu lagi krisis besar; krisis tergugatnya kepercayaan antara rakyat terhadap pucuk pimpinan.

KRISIS KEPERCAYAAN

Inilah yang sedang berlaku di mana-mana; sedang kita semua memantau perkembangan penularan virus korona, tidak terlepas juga dari pemerhatian kita sejauh mana kepercayaan antara pemimpin dan rakyat  menebal atau pun sebaliknya.

Kepercayaan antara pemimpin/pemerintah dengan rakyat/orang ramai, malah juga antara satu kumpulan dengan kumpulan lain,  memanglah penting sekali dalam usaha memerangi sebarang krisis.

Banyak sekali yang boleh dilakukan jika paras kepercayaan antara masyarakat dengan pemimpin terus teguh.

Imbasan suhu dilaksanakan di Lapangan Terbang Changi (Gambar: REUTERS/Yiming Woo)

Tanpa kerjasama sedemikian usaha-usaha berkesan mungkin sukar dilaksanakan.

Apabila rakyat enggan bekerjasama dan tidak mahu mematuhi arahan, banyak kelemahan lain boleh berlaku yang akhirnya merumitkan lagi sesuatu krisis itu.

Bayangkan jika rakyat enggan bekerjasama dalam menjaga kebersihan diri atau enggan mematuhi perintah kuarantin, kuman atau jangkitan tidak dapat dibendung dengan baik.

Bagaimana tanggungjawab sosial ini dapat dikuatkuasakan dengan baik sekiranya tiada kepimpinan yang cekap dan berkesan di peringkat pusat atau nasional untuk mengeluarkan garis panduan dan arahan-arahan sebijaknya.

Mungkin sekali kuman akan merebak dengan lebih cepat lagi jika tiada kepimpinan sedemikian.

TREND SEJAGAT

Melihat trend sejagat apa yang agak jelas adalah paras kepercayaan terhadap kepimpinan dan pemerintah umumnya agak terhakis sejak ke belakangan ini.

Terdapat banyak faktor untuk menjelaskan keadaan ini tetapi faktor penyumbang utamanya adalah trend meningkatnya polarisasi dan kepuakan (atau menurut istilah Amy Chua, ‘Political Tribes’ – suku/puak aliran politik) yang semakin menebal – bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di negara-negara lain.

Seperti yang boleh kita dilihat di negara seperti Amerika, polarisasi dan perpecahan atas dasar kepercayaan politik mahupun ikatan kaum dan identiti lain, mengakibatkan melesetnya juga kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan umumnya.

Jika kemelesetan kepercayaan (atau ‘trust deficit’) terhadap kepimpinan berterusan ia akan hanya melemahkan kepimpinan itu sendiri dan menjadikannya kurang berkesan dalam menangani sesuatu krisis.

Kalau di Amerika, umpamanya, trend perpecahan dan kurang kepercayaan terhadap kepimpinan akhirnya mengakibatkan munculnya kepimpinan yang jauh daripada ideal.

Keadaan berkemelut tidak habis-habis yang dihadapinya jelas melemahkan lagi kepimpinan dan segala institusi pemerintahan – sesuatu yang tidak baik jika ini berterusan dalam jangka panjang.

KERJASAMA BAIK

Buat masa ini bolehlah kita katakan bahawa tiadanya tanda-tanda di Singapura bahawa ia sedang menghadapi masalah hakisan kepercayaan antara rakyat dengan pemimpin.

Ini adalah suatu petanda yang baik bahawa rakyat dan pemimpin masih boleh bekerja rapat dalam menangani segala cabaran besar seperti penularan jangkitan virus korona sekarang ini. 

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Tidak seperti kepimpinan di negara-negara lain (dengan ada yang terlibat dalam pelbagai skandal dan kecurangan, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan sebagainya), kepimpinan di Singapura belum tercemar dengan masalah-masalah integriti, kelemahan kepimpinan dan ketidakupayaan mentadbir negara dengan baik.

KEPERCAYAAN MELUAS

Inilah membolehkannya terus mendapat kepercayaan meluas daripada orang ramai bahawa kita semua sama-sama boleh mengatasi apa sahaja masalah atau krisis yang melanda kita.

Dalam negara sibuk membanteras jangkitan virus korona ini, tugas kita adalah untuk memperkuatkan lagi kepercayaan bersama ini – baik kepercayaan antara rakyat dengan pemerintah, dan antara rakyat sesama sendiri -  bahawa semua cabaran boleh diatasi dengan jayanya.

Apa yang perlu kita jauhkan adalah sikap yang sengaja mahu melemahkan kepercayaan bersama ini, sehingga setiap satu masalah itu yang pada mulanya mudah diatasi menjadi krisis besar yang tidak terhurai.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan