Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menangani kebencian dan esktremisme dengan kelembutan - bagaimana ini boleh dilakukan

Apakah pendekatan lembut dan berhemah walaupun dalam berhadapan dengan kebencian , dapat membanteras fahaman pelampau agama?    

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menangani kebencian dan esktremisme dengan kelembutan - bagaimana ini boleh dilakukan

Tempat kejadian tikaman dekat pejabat Charlie Hebdo, Sept 2020 (Gambar: REUTERS/Gonzalo Fuentes)

Bermula dengan satu ucapan awal bulan ini oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron bahawa pemerintahnya akan bertindak tegas terhadap pengaruh-pengaruh dari dalam dan luar yang menyebabkan meningkatnya masalah radikalisasi di negara itu.

Kemudian pada pertengahan bulan ini pembunuhan kejam guru sejarah, Samuel Paty, oleh seorang pelampau agama, menguatkan lagi azam dan retorik pemerintah Paris untuk menangani masalah fahaman radikalisme dan ekstremisme agama.

Presiden Perancis Emmanuel Macron. (Gambar: AFP/bertrand GUAY)

Seperti dijangkakan meletuslah bantahan demi bantahan ke atas Perancis, disusuli pula rentetatan kejadian ganas di sana sini (terbaru termasuk serangan di Nice dan di Jeddah).  

Apa yang berlaku memanglah sesuatu yang amat membimbangkan dengan pelbagai reaksi keras disuarakan dari kedua-dua belah pihak, Muslim dan bukan Muslim.

Bagi bukan Muslim, ia menguatkan tanggapan mereka bahawa fahaman esktremisme dan sifat kurang toleran memang semakin meluas di kalangan sesetengah penduduk Muslim Perancis.

Bagi masyarakat Islam Perancis pula, pendirian pemerintah Perancis yang dilihat sebagai kritikan terhadap Islam bakal memburukkan lagi sikap takut dan membenci terhadap Islam atau Islamofobia.

Sekiranya sikap yang lebih saksama dan langkah-langkah proaktif tidak diambil segera, ini tentunya akan meluaskan lagi jurang persefahaman antara masyarakat Islam dengan majoriti bukan Islam negara itu.

KENDURKAN KEADAAN

Menyedari hal ini, seruan beberapa pihak di dalam dan luar Perancis yang cuba mengendurkan keadaan sangat  dialu-alukan.

Termasuklah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Perancis, dan juga Majlis Ulama Arab Saudi.

Kedua-duanya menggesa umat Islam, di dalam dan di luar Perancis, supaya tidak bertindak balas terhadap sebarang kritikan, sekalipun yang berupa cacian ke atas Islam seperti penerbitan kartun Charlie Hebdo.

Bagi Majlis Ulama Saudi, semua kritikan dan penghinaan itu sebenarnya tidak ‘merugikan atau merendahkan martabat Islam dan para rasulnya.’

Tiada siapa yang beruntung daripadanya kecuali kumpulan-kumpulan pelampau yang sememangnya mahu terus menanamkan  sikap kebencian dan permusuhan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.

Ini adalah antara beberapa pendekatan yang boleh diambil dalam menangani soal kebencian dan penghinaan ke atas Islam dan dalam berhadapan dengan reaksi balas daripada sesetengah orang Islam.

Satu lagi pendekatan adalah dengan menunjukkan reaksi yang sudahpun ditunjukkan oleh Islam sendiri menerusi ajaran Rasulullah.

PENDEKATAN TOLERAN

Di bawah pendekatan ini apa yang ditegaskan adalah sikap yang toleran dan berhemah, walaupun ketika berhadapan dengan cemuhan dan caci maki.

Menurut penulis dan pengamat Mustafa Akyol (Islam Without Extremes), panduan untuk menangkis Islamofobia sebenarnya sudahpun termaktub dalam Al Quran sendiri.

(Gambar: Imam Buhori/Merdeka.com) 

Kalau hendak berdakwah atau mengajak orang kepada jalan kebaikan dengan hikmah dan contoh yang betul dan melawani kejahatan dengan kebaikan.

Berdasarkan ajaran-ajaran Al Quran itu, umat Islam seharusnya membanteras Islamofobia bukan dengan cara atau kebencian yang lebih keras.

TENANG DAN LEMBUT

Sebaliknya reaksi Muslim itu haruslah lebih tenang dan lembut dan sedia berusaha bersungguh-sungguh lagi untuk memenangi hati dan pemikiran mereka yang tidak senang dengan Islam.

Kalau semua ini sudah lama tertanam dalam jiwa kebanyakan umat Islam, persoalannya kenapakah pendekatan dan sikap yang lebih keras pula semakin lebih menonjol hari ini.

Salah satu faktor utama mungkin kerana peranan media digital dan sosial hari ini yang berjaya dimanfaatkan dengan berkesannya oleh mereka yang lebih cenderung untuk mengapi-apikan kedua-dua masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menerusi media sedemikian, mereka berjaya menyelitkan pemikiran dan pemahaman agama yang sengaja disempitkan.

Pendekatan yang diambil adalah lebih untuk menghasut dan menaikkan perasaan marah dan dendam dan bukannya untuk mengendurkan keadaan dengan menanamkan sikap sabar dan pengasih yang digalakkan agama.

Para penyiasat Perancis belum menemui bukti serangan Marseille ada kaitan dengan ISIS. (Gambar: PHILIPPE HUGUEN/AFP)

LANGKAH PROAKTIF

Masyarakat Islam hari ini berhadapan dengan dua cabaran bertentangan; pada satu pihak meningkatnya Islamofobia dalam kalangan bukan Islam dan di satu pihak yang lain pula gejala ekstremisme melibatkan sebahagian anggotanya terutama golongan muda.

Kedua-dua cabaran ini memerlukan kebijaksanaan dan sikap hemah yang tinggi untuk mencari huraian terbaik dalam menanganinya.

Masyarakat Islam yang sudah mampu memahami cabaran ini akan lebih bersedia untuk mengambil langkah-langkah proaktif termasuk menyekat penularan pemikiran sempit dan melampau.

Bagi masyarakat Islam yang tidak mampu menggarap keadaan ini pula, besar kemungkinan ia belum melakukan apa-apa persiapan bagi menghalang kemasukan dan penularan fahaman dan ideologi sedemikian.

Kebanyakan daripada mereka hanya menyedari adanya gejala fahaman pelampau dan sikap ekstrem di tengah-tengah masyarakat, apabila ia sudahpun bertapak dan cukup berakar.

Apabila ia sudah sampai ke tahap tersebut, tentunya ini akan hanya merumitkan sahaja usaha-usaha untuk menangani gejala berkenaan.

Apatah lagi kerana sebahagiannya sudahpun terkeliru  tentang apa sebenarnya hujung pangkal permasalahan ini.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan