Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memupuk Semangat Kebangsaan bukan kerja mudah tetapi perlu dilakukan

Pelbagai cabaran dalam usaha membangkitkan semangat kebangsaan yang kental. Lebih-lebih lagi bagi negara ‘muda’ yang cukup rencam dan penuh kepelbagaian seperti Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:

Pelbagai cabaran dalam usaha membangkitkan semangat kebangsaan yang kental. Lebih-lebih lagi bagi negara ‘muda’ yang cukup rencam dan penuh kepelbagaian seperti Singapura

Setiap kali negara meraikan Hari Kebangsaan ia juga adalah masa yang baik untuk merenung sejauh mana rakyat dan negara telah ‘membesar’ bersama menjadi dewasa dan memaparkan ciri-ciri kematangan.

Berlandaskan pada banyak kriteria pencapaiannya dalam banyak bidang memang tidak dapat disangkal. Dari segi  taraf hidup, taraf pendidikan, pencapaian ekonomi serta kemewahan, prasarana dan sebagainya – semua pencapaian ini memang menunjukkan kemajuan besar dari tahun ke tahun.

Namun kita juga sering diingatkan bahawa pencapaian sesebuah negara itu tidak hanya terletak pada pencapaian material dan fizikal sahaja – walaupun ia amat penting dalam membuat penilaian kemajuan.

Turut penting juga adalah sejauh mana rakyat dan masyarakat bersama-sama maju ke depan sebagai sebuah negara yang bersatu padu, utuh dan kental rasa kekitaannya terhadap negara dan terhadap satu sama lain.

MASIH ‘MUDA’

Dalam hal ini, Singapura sebagai negara yang merdeka sedikit lebih setengah abad lalu memanglah masih dianggap sebagai  masih ‘muda’, terutama dari segi membentuk identiti nasional dan semangat kebangsaan yang mantap dan kental.

Dibandingkan dengan negara-negara yang jauh lebih awal terbentuk menerusi pengalaman sejarahnya yang lebih panjang – seperti sesetengah negara Eropah Barat, Amerika Syarikat dan Jepun – mereka telah lama berpengalaman dalam membentuk  jati diri sebegini dengan semangat nasionalnya yang cukup terpancar di kalangan kebanyakan rakyat.

Orang ramai di Orchard Road. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Semua kerencaman ini seperti yang selalu kita diingatkan memanglah satu keistimewaan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh Singapura, lebih-lebih lagi sebagai contoh masyarakat kosmopolitan yang dapat menjadi jembatan berguna kepada negara-negara lain.

Pada masa yang sama kita juga diingatkan bahawa kerencaman dan kepelbagaian yang diwarisi dari sejarah dan penjajah lalu itu juga boleh menjadi garisan pemisah merbahaya yang boleh mengancam kesepaduan dan kemantapan negara.

KELEBIHAN SINGAPURA

Suatu kelebihan Singapura sejak dari sejarah awalnya lagi – mungkin seawal Temasek dan juga zaman Sang Nila Utama – ia telah lama berfungsi sebagai kota perdagangan terbuka, berasaskan konsep kosmopolitan yang kita kenali hari ini .

Peranannya sebagai antara pusat perdagangan utama di Asia Tenggara, di mana ia bertindak sebagai jembatan antara dunia Timur dengan dunia Barat, membolehkan Temasek dan kemudian Singapura mengamalkan sikap terbuka terhadap rakyat asing.

Ia perlu mengamalkan sikap demikian kerana ia amat memahami peranan pentingnya di rantau yang strategik ini, di mana untuk berjaya ia perlu berbaik-baik dan pandai berdiplomasi dengan sesiapa yang ingin berdagang  dengannya.


Ini semua membantu Singapura dan juga rantau Melayu yang terdekat dengannya menjadi makmur dari zaman ke zaman, hinggalah kepada era kedatangan Eropah.

Pokoknya kehidupan yang penuh dengan kepelbagaian bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Singapura, baik pada awal sejarahnya hinggalah kepada era pemodenan yang diwarisinya dari Eropah.

Namun apa yang berbeza antara era yang lalu dengan zaman hari ini adalah konsep semangat kebangsaan itu sendiri dengan ciri-ciri kesetiaan dan kecintaan terhadap negara dan tanah air dan semangat kekitaan yang terjalin antara negara dan rakyat tidak kira latar belakang kaum, bahasa atau agama.

Ia adalah konsep yang agak ‘baru’ – walaupun bagi negara yang sudah merdeka katakan sejak 50 atau 100 tahun yang lalu.

PROSES BERTERUSAN

Pembentukan semangat nasional dengan rasa kekitaan dan jati diri nasional yang cukup ampuh bagi kebanyakan negara adalah satu proses yang berterusan (atau ‘work in progress’.)

Ia masih lagi umpama satu perjalanan yang belum sampai ke destinasinya.

Perlu ditegaskan juga ia bukanlah satu perjalanan yang lancar tetapi kadangkala memang penuh dengan liku dan onak, baik pada awal pembentukan negara hinggalah ke hari ini.

Dalam era kontemporari hari ini cabarannya tentulah semakin bertambah berat lagi.

Zaman pasca-penjajahan dan kemudian pasca Perang Dingin – dengan keruntuhan ideologi kirinya – telah membuka ruang kepada meluasnya jurang pemisahan masyarakat, baik dari segi kaum, agama, warna kulit, budaya, kedudukan ekonomi, - yang merumitkan sebarang proses menyatupadukan masyarakat demi perpaduan dan keutuhan negara.

Baik globalisasi, penyusunan semula ekonomi dunia, kebangkitan agama, kesedaran etnik dan kemunculan fahaman populis di sana sini turut menjejas negara-negara berbilang kaum dan agama seperti Singapura.

JURANG PEMISAH

Trend-trend semasa yang kita lihat hari ini bukan menjurus kepada perpaduan lebih kukuh dengan membawa semua anggota masyarakat kembali tumpukan perhatian kepada kepentingan bersama yang lebih besar.

Sebaliknya ia lebih menggalakkan pemikiran sempit yang hanya mementingkan kepentingan kecil dan tersendiri masing-masing sahaja.

Kesannya perpecahan dan jurang pemisah antara satu kelompok dengan kelompok lain semakin meluas dan ketara lagi.

Kemunculan gejala ini jugalah yang telah menyumbang kepada meningkatnya aliran pemikiran populis, baik populis kaum, bahasa, budaya dan juga agama.

Seperti yang diperhatikan ramai sarjana dan pengamat, ini semua menggalakkan lagi kemunculan kelompok dan puak-puak sosial yang lebih kecil, dengan identitinya yang tersendiri dan nilai-nilainya yang lebih menjurus kepada pengasingan diri daripada masyarakat lebih besar.

Ini semua tidak membantu segala usaha untuk meningkatkan perpaduan kebangsaan yang lebih utuh, terutama di dalam masyarakat yang sudahpun cukup majmuk, pelbagai dan rencam.

PERLU DIAMBIL KIRA

Dalam kita meneliti perjalanan dan pengalaman Singapura untuk membentuk semangat dan jati diri kebangsaannya, semua trend dan gejala terkini ini perlulah diambil kira agar kita dapat mengemukakan huraian-huraian yang sesuai dan kena pada tempatnya.

Apa yang pasti segala usaha ke arah memupuk semangat kebangsaan yang jati lagi kental bukanlah satu pekerjaan yang mudah.

Ia adalah satu proses yang kompleks dan menjadi lebih rumit lagi dengan trend-trend global hari ini.

Namun betapa rumit sekalipun ia tetap satu usaha yang perlu dilakukan demi memastikan negara, masyarakat dan rakyat bergerak seiring dan senada  dalam mencorak masa depan yang lebih cerah.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan