Images
  • main photo
    (Gambar: MUIS) 

KOMENTAR: Memperkukuh kesejahteraan beragama – peranan MUIS

BERITAmediacorp: Persidangan Antarabangsa Singapura 2018 yang diadakan baru-baru ini disifatkan sebagai satu langkah proaktif untuk mencari ruang persamaan dalam kalangan masyarakat yang berlainan agama dan akidah. Dalam tulisan berikut, aktivis masyarakat Ramli Puteh berpendapat inisiatif terbaru MUIS ini adalah satu lagi usaha untuk terus memelihara hubungan silang kaum dan agama di Singapura.

Rentak dunia ini sering digambar ibarat VUCA.

Ia memperlihatkan betapa liciknya dunia ini. Singkatan VUCA ialah gabungan keadaan meledak, tidak menentu, rumit, tidak jelas (Volatility, Uncertainty, Complexity and Ambiguity).

Situasi dunia yang meledak, ketidaktentuan, kerumitan dan tidak jelas menyebabkan susah untuk kita meramal akan sesuatu perkembangan.

Keadaan VUCA ini berupaya membawa banyak kejutan, kekalutan dan ketidakseragaman yang boleh mempengaruhi situasi dunia yang semakin tidak menentu.

AGAMA MENULAR

Mengikut laporan, 84 peratus daripada insan dunia mengaitkan diri dengan sekumpulan agama (Pew Research Centre, 2012).

Penganut agama Islam dianggarkan seramai 1.8 bilion (2015). Angka ini satu petunjuk bahawa penganut agama Islam membentuk hampir seperempat (24%) daripada penduduk dunia.

Sebagai agama kedua terbesar dunia, sering berita mengenai penganutnya mendapat liputan dunia, baik positif atau sebaliknya.

Rasa sedih dan pilu apabila liputan negatif melibatkan insiden keganasan dan pelampauan agama yang dihubung kait dengan ajaran Islam.


Gambar para pegawai polis di pusat bandar Melbourne, Australia. (Gambar: Sonali Paul/Reuters)

Terbaru ialah tragedi keganasan di Melbourne pada Jumaat, 9 November, apabila seorang pemuda Islam telah meragut kedamaian di pusat beli-belah tersohor di Melbourne.

Kota Melbourne adalah kota kedua terbesar di Australia. Ia didiami oleh 4 juta penduduk pelbagai kaum dan agama. Melbourne menjadi gempar dan mendapat liputan negatif dunia apabila satu insiden ganas terorisme meledak.

Hassan Khalif Shire Ali, 30 tahun, ditembak di dada apabila dia cuba menyerang dan menikam orang ramai di pusat beli-belah yang sibuk itu. Seorang terkorban dan 2 mangsa lain mengalami kecederaan.

SATU ‘REALITY CHECK’

Bukan sahaja insiden ini mengejutkan, malah ia menjadi satu 'reality check' bagi penduduk Melbourne dan dunia secara keseluruhannya.

Sedang serangan tersebut adalah satu tindakan 'lone wolf', namun serangan radikal, ganas dan kejam adalah sesuatu yang amat dikesali.

Tidaklah menghairankan, insiden tersebut dikutuk di Australia sebagai tindakan kejam, jahat dan tidak berperikemanusiaan.


Gambar di luar Pellegrini Cafe yang dimiliki Sisto Malaspina, salah seorang mangsa serangan di Melbourne. (Gambar: James Ross/Reuters)

Reaksi Perdana Menteri Australia, Encik Scott Morison, bahawa tindakan radikal melalui keganasan terorisme adalah satu ancaman keselamatan utama terhadap Australia.

Beliau menyeru agar pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat Australia terus mengambil langkah proaktif demi melindungi komuniti mereka dan mengekang penularan ideologi sebegini agar tidak merebak di Australia.

Beliau juga menyeru agar komuniti dan pemerintah bekerja rapat untuk membina jambatan hubungan antara komuniti.

Peringatan tersebut juga relevan dalam konteks hubungan kaum di Singapura.

KEADAAN HUBUNGAN KAUM DAN AGAMA

Satu kajian yang diusahakan oleh Institute of Policy Studies (IPS) dan One.people.sg untuk meninjau status hubungan kaum dan agama di Singapura, bertajuk 'Hubungan Komuniti di tengah-tengah Serangan Pelampau', pada September lalu memberikan satu 'scorecard' atau bak kad laporan tentang status hubungan harmoni kaum dan agama di sini.

Dapatan tinjauan itu tidak begitu menggalakkan. Ia mendapati bahawa masih ada prasangka negatif yakni rasa kurang percaya dalam kalangan kaum di sini masih lagi ketara.

Gambaran ini jelas ditemui berdasarkan 'stereotyping' kaum majoriti terhadap golongan minoriti.

Sikap ragu-ragu dan rasa kurang percaya ini jelas dirasai dalam kalangan golongan kaum dalam lingkungan status sosio-ekonomi rendah dan berpendidikan rendah.

Dalam kalangan golongan ini, terdapat pandangan sempit dan anti-sosial. Malah, seramai 16 peratus daripada golongan ini dilaporkan tidak akan cuba untuk mengenali warga dari kaum yang berbeza.

Ia satu petunjuk wujudnya buta agama (religious illiteracy). Keadaan negatif ini memerlukan usaha segera untuk memperbaiki hubungan sosial yang perlu sentuhan dan ditangani secara kelompok oleh semua dan bersama.

BERPANDANGAN JAUH

Warga Singapura beruntung kerana pemimpin politik dan agama di Singapura mempunyai visi pandang jauh dan tidak berpeluk tubuh sahaja.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong meluahkan pendiriannya iaitu Singapura harus meneliti hubungan agama watannya.


(Gambar: MUIS)

Memandang serius ancaman baru, beliau melaporkan bahawa Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama yang diperkenalkan sejak 26 tahun lalu akan dikemas kini demi mengekang individu yang menimbulkan sikap antagonis, permusuhan dan kebencian.

Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, pegangan agama dan warna kulit, Singapura tidak kebal dan tersisih daripada insiden keganasan dalam kalangan warganya.

Bak negara-negara lain, Singapura pun berdepan dengan risiko serangan oleh individu yang menjadi radikal kerana hasutan propaganda.

Bilangan individu yang berubah menjadi radikal semakin bertambah dalam kalangan warga Singapura.

September tahun ini, seorang pemuda Muslim, Ahmad Hussein Abdul Kadir Sheik Uduman, yang berkhidmat sebagai jurutera IT telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dianggap menjadi radikal dan ingin menyertai tindakan keganasan di Syria.

LANGKAH PROAKTIF

Melihat kepada trend inilah usaha terbaru Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Singapura 2018 adalah satu langkah proaktif untuk mengimbangi trend yang membimbangkan itu.

Ia ingin mengorak langkah untuk mencari ruang persamaan dalam kalangan pengikut yang berlainan akidah.


(Gambar: MUIS)

Acara yang diadakan sempena sambutan MUIS50 ini telah memberi manfaat kepada sekitar 300 ulama, asatizah, cendekiawan dan pemimpin silang agama setempat.

Sebagai peserta seminar tersebut, penulis berpendapat bahawa inisiatif ini adalah langkah ke depan untuk turut memperbaiki hubungan komuniti di Singapura.

Mentelah lagi bagi negara ini yang berada dalam dunia yang berkait rapat dengan sistem nilai, ideologi dan gaya hidup yang berwarna-warni dalam kalangan penduduk pelbagai kaumnya.

Singapura juga berdepan dengan pelbagai potensi konflik dan tekanan.

Oleh itu, sidang tersebut boleh dilihat sebagai bertujuan untuk mengajak warga Singapura supaya membuat persiapan, meningkatkan keyakinan dan menambah usaha campur tangan apabila diperlukan kelak.

MENGIKUT KONTEKS SEMASA


(Gambar: MUIS)

Di persidangan antarabangsa tersebut, pelbagai tokoh agama, cendekiawan, pemimpin silang budaya dan aktivis masyarakat berbincang, bertukar-tukar idea, mengetengahkan isu, cabaran, dan membincangkan huraian-huraiannya mengikut konteks semasa.

Penglibatan cendekiawan dari dalam dan luar negara turut menambah nilai kepada mutu perbincangan dan tema persidangan.

Kesemuanya, sekitar 12 sarjana dan pemimpin masyarakat dari dalam dan luar negara telah membentangkan perspektif masing-masing.

Antara tema-tema yang dibincangkan cukup sesuai dengan konteks semasa: Ia termasuklah soal peranan agama dalam dunia global, meningkatkan kehidupan beragama dalam masyarakat plural, meningkatkan nilai progresif untuk membina ruang bersama dan membina institusi keagamaan yang kukuh.

Sumbangan MUIS dalam mengusahakan inisiatif tersebut telah berjaya mencungkil banyak bahan untuk meningkatkan kesedaran terutama dalam membina hubungan antara agama yang proaktif dan progresif.

Pelancaran buku 'Thriving in a Plural World' merupakan satu lagi sumbangan MUIS untuk meneroka pelbagai usaha membina kesejahteraan beragama.

Ia umpama 'the icing on the cake', penyudah sebagai bahan renungan terhadap usaha-usaha berterusan MUIS sepanjang penubuhannya 50 tahun lalu – berkembang, mara dan melaju.

Mengenai Penulis:


Penulis adalah seorang aktivis sosial yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat akar umbi dan badan-badan amal Melayu/Islam.  

- BERITAmediacorp/ai

Top