Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memperbetul imej masyarakat – belia Aceh tunjukkan cara menangani salah tanggapan

Wilayah dan masyarakat Islam Aceh telah lama bergelumang dengan tanggapan dan stereotaip yang rata-ratanya agak negatif

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Wilayah dan masyarakat Islam Aceh telah lama bergelumang dengan tanggapan dan stereotaip yang rata-ratanya agak negatif – antaranya terlalu konservatif, fanatik agama, tiada kebebasan, tiada hak asasi manusia, dilanda kemiskinan dan terbelakang. Dalam sumbangan berikut penulis Ilya Katrinnada yang pernah membuat kajian akademik terhadap masyarakat Aceh memperincikan mengapa kebanyakan tanggapan dari luar itu adalah silap dan apakah pengajaran yang boleh diambil oleh orang lain seperti masyarakat Melayu di Singapura.

Mei 2017. Sudah tiga puluh minit sejak saya dan Dina berangkat dari rumahnya di pusat kota. Dina (bukan nama sebenar) belok ke kanan, ke sebatang jalan bersalut tanah dan pasir yang akan membawa kami ke Pantai Kuala Cut.

Jalannya lebar; empat kali ganda daripada lebarnya motorsikal Dina. Di sebelah kanan, tali besi dan tiang-tiang putih memagar tumbuh-tumbuhan hijau yang menyelubungi beberapa buah bangunan rendah bersegi empat, berlatarbelakangkan bukit-bukau yang mengelilingi seluruh Aceh.

Di sebelah kiri, rumput tumbuh liar di depan sebuah tembok setinggi dua meter yang didirikan sepanjang jalan, memisahkan kami dari sebuah padang golf privet. Di permulaan jalan, tembok ini kelihatan seperti tembok yang biasa.

Warnanya kacukan kelabu dan coklat – produk campuran batu dan simen. Namun, selepas saya dan Dina lalu tiga suku tembok ini, kami seolah-olah berada di sebuah pameran seni visual.

Mural demi mural yang beraneka corak dan warna menyelaputi pemandangan kami, hingga kami tiba di sebuah kedai makan, dari mana tatapan kami bertemu kegagasan Samudera India.

Mural-mural ini dicat semasa acara Seumeucet yang dikendalikan oleh sebuah kolektif seni visual tempatan, Akar Imaji. Acara Semeucet mengajak para seniman tempatan dan luaran untuk mewarnai dan mengindahkan lagi sebuah ruang publik yang sering dikungjungi orang ramai, terutama sekali pada hujung minggu.

Dianggotai anak-anak muda dalam rangka usia 20-an yang menceburi pelbagai bidang seni visual seperti seni mural, seni grafiti dan fotografi, Akar Imaji telah bergiat di Aceh selama lima tahun. Ia kerap mengadakan acara-acara seni yang mengumpulkan seniman-seniman tempatan dan juga seniman-seniman dari luar Aceh, serta orang awam yang berminat dalam seni visual.

Sesiapa yang mengelilingi Banda Aceh juga tidak akan terlepas dari terpandang mural-mural dan grafiti para anggotanya. Malah, beberapa dari anggotanya juga terkenal di hub-hub seni Indonesia, seperti Bali.


Julai 2017. Saya turun dari motorsikal Pak Rizki (bukan nama sebenar). Saya memberitahunya bahawa acara ini akan selesai pada jam sepuluh malam, lalu menuju ke kafe Redinesh Coffee Roastery. Azan Isyak berkumandang dari masjid-masjid yang berdiri di setiap sudut Banda Aceh.

Kafe itu sudah dipenuhi ramai anak-anak muda. Mereka sedang asik bernongkrong antara satu sama lain, didampingi cawan-cawan kopi di meja. Di luar kafe, beberapa baris kerusi telah disediakan di luar kafe, di hadapan sebuah pentas yang disertakan sistem suara.

Seorang jejaka berdiri di sebelah pentas itu, seolah-olah memainkan peranan penyambut tamu. Pandangan mata kami bertemu. Wajahnya bingung. Dia tidak kenal saya. Apatah lagi, dia tidak pernah nampak saya.

Namun, dia tetap memberikan sekuntum senyuman yang mesra ke arah saya, bagai mengalu-alukan orang luar ini ke masyarakat hip-hop Aceh.
Sepanjang satu setengah jam, pentas di luar kafe ini menjadi wadah bagi dua orang pemuda berkongsi pengalaman mereka sebagai seorang DJ dan rapper. Mereka didampingi seorang moderator yang senantiasa mencetus ketawa di kalangan para hadirin, yang terdiri daripada para penggiat dan peminat hip-hop dari Aceh.

Salah seorang daripada mereka ialah Nay, yang memulakan perjalanannya sebagai seorang bboy 14 tahun yang lalu dan merupakan seorang perintis masyarakat hip-hop di Aceh. Salah seorang anggota Akar Imaji telah mengenalkan saya dengannya ketika kami berada di sebuah pertandingan beatbox dua bulan yang lalu.

Saya tidak sangka akan berjumpa dengan seorang yang berbaju dan bertopi besar, serta bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan gaya seperti artis-artis hip-hop dari Amerika, di Banda Aceh. Nay dan adiknya, Dekdi, kerap mewakili kru bboy mereka, Nanggroe Break Cypherz (NBC), di pertandingan-pertandingan breakdance di peringkat lokal, nasional dan internasional. Malah, ada kalanya Nay dijemput untuk menjadi juri.

KELOMPOK HIP-HOP
Selain NBC, terdapat beberapa lagi kelompok hip-hop di Aceh, seperti kolektif rap Orang Hutan Squad dan masyarakat beatbox Aceh Beatbox Community. Acara di kafe Redinesh ini hanya satu daripada berbagai perhimpunan yang sering diadakan oleh masyarakat hip-hop.


Ogos 2017. Cahaya jam emas memantul ke arah saya. Bebola suria bersembunyi di sebalik celah-celah pohon-pohon, merendahkan diri dengan perlahan. Azan maghrib akan bergema tidak lama lagi. Sedikit demi sedikit, kedengaran Jalan Cut Nyak Dhien di luar semakin huru-hara, dipenuhi para pemandu kereta dan penunggang motorsikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

Saya menoleh pandangan ke arah Fuadi, yang sedang duduk di sebelah saya bersama gitarnya. Dia memetik tali gitarnya. Iramanya disambut oleh vokal lembut Idrus.
Lagu jiwang mereka bergaung keluar dari linggaran kami, lalu menembusi bilik kelas, ruang-ruang perbincangan dan tembok-tembok Bivak Emperom yang penuh dengan mural dan komentar bertema politik berbaur sejarah, kebanyakannya dalam Bahasa Aceh.

SENI SEBAGAI PERANTARAAN

Komunitas Kanot Bu terdiri daripada kira-kira sepuluh orang anggota aktif, yang menceburi bidang seni visual, muzik dan penulisan. Kegiatan-kegiatan teras mereka termasuk penerbitan karya-karya kesusasteraan dan sesi-sesi perbincangan.

RUANG ALTERNATIF SENI

Komunitas Kanot Bu, Akar Imaji, dan Nay serta krunya adalah tiga daripada pelbagai ruang alternatif seni di Aceh. Kelompok-kelompok seni ini beroperasi secara bersendirian, tanpa menerima dana daripada badan-badan pemerintah, korporat ataupun institusi-institusi lain. Malah, para anggota mengeluarkan wang sendiri atau sekali-sekala mengendalikan pengumpulan dana.

Tersedianya dana sendiri membolehkan mereka untuk melancarkan kegiatan-kegiatan seni mengikut visi kelompok mereka sendiri, tanpa harus menunduk kepada kewajiban atau keinginan penderma.

Tambahan juga, ruang-ruang alternatif seni ini menggunakan medium seni yang berbeza daripada sanggar-sanggar seni tradisional di Aceh. Ekosistem ruang seni alternatif di Aceh ini mula berbuih hanya sedekad lalu, di era pasca-konflik, pasca-tsunami.

GAMBARAN NEGATIF TENTANG ACEH

Konflik politik berpanjangan dan kejadian tsunami 2004 bukan perkara yang baru untuk kebanyakan orang. Apatah lagi pelaksanaan hukum Syariah di Aceh. Kini, inilah tema yang selalunya mengambil perhatian para cendekiawan dan media massa ketika berbincang tentang provinsi ini.

Bulan lepas sahaja, salah satu sumber berita di Singapura menerbit dua laporan tentang pelaksanaan hukum Syariah di Aceh. Laporan-laporan sebegitu memberi fokus kepada undang-undang yang konservatif dan melucutkan kebebasan dari penduduk-penduduknya serta melanggar hak-hak asasi manusia.

Tambahan juga, Aceh juga dikenali sebagai salah satu wilayah Indonesia yang mempunyai tahap kemajuan yang terendah, mengikut statistik.

Konflik, kemiskinan, bencana, pelanggaran hak asasi manusia, fanatisme Islam. Secara keseluruhan, faktor-faktor tersebut memaparkan gambaran yang negatif tentang Aceh. Di minda orang ramai yang tidak pernah ke sana, ia merupakan satu tempat yang bermasalah.

Tidak hairanlah kalau mereka mengelak daripada mengunjunginya kerana rasa takut. Saya juga penuh keraguan sebelum saya menjejakkan kaki di sana buat pertama kali tiga tahun yang lalu untuk bekerja dengan sebuah badan bantuan.

Namun, rasa keraguan itu hilang saat saya tiba dan disambut oleh penduduk-penduduk lokal yang sangat mesra, bak kata pepatah Bahasa Aceh, “Peumulia jamee adat geutanyoe (Memuliaan tetamu adalah adat kami)”.

KERAGUAN TERHAPUS

Rasa keraguan itu hapus sepenuhnya tahun lepas, ketika saya menjalankan penelitian untuk tesis sarjana muda saya tentang ruang alternatif seni di Aceh. Melalui penelitian ini, saya menyelidik landskap politik Aceh, dahulu dan sekarang, melalui lensa seni.

Saya mendapat tahu bahawa Aceh mempunyai warisan kreatif yang berpanjangan, yang memainkan peranan yang penting dalam penyebaran dan pembangunan agama Islam di Nusantara yang bermula pada abad ketujuh.

Ini menerangkan mengapa kesenian merupakan tiang yang mustahak bagi masyarakat Aceh. Selepas konflik dan tsunami mengorbankan seribu orang seniman serta memusnahkan prasarana seni di Aceh, ruang-ruang seni adalah salah satu perkara yang pertama dibangunkan semula, secara independen, oleh para pencinta seni.

PANDANGAN BARU YANG POSITIF

Pertemuan saya bersama seniman-seniman Akar Imaji, hip-hop dan Komunitas Kanot Bu telah memberi saya perspektif yang baru tentang Aceh; suatu sudut pandangan yang positif.

Tidak boleh dinafikan bahawa masalah-masalah politik, ekonomi dan sosial wujud di Aceh. Para seniman ini tidak teragak-agak untuk berkongsi dengan saya tentang hal ehwal di sana, termasuk cabaran-cabaran mereka sebagai seniman, seperti kekurangan peluang dan pertembungan dengan korupsi.

Namun, mereka juga menunjukkan kepada saya bahawa mereka mempunyai kewibawaan untuk mencari jalan keluar bagi diri mereka sendiri. Dengan menggunakan kreativiti, memaksimumkan aset-aset mereka dan berganding bahu sesama sendiri, mereka membina kenyataan yang mereka inginkan.

Memberi tumpuan kepada isu-isu sensasi yang sering dipaparkan di media massa melakarkan imej yang kurang lengkap tentang Aceh. Tindakan sebegini menggambar setiap individu di sana hanya sebagai mangsa kepada keadaan mereka, dan tidak mengiktiraf agensi para individu dan golongan kecil untuk menangani situasi mereka.

Para seniman ini juga sebahagian daripada masyarakat Aceh; mereka menyumbang kepada kepelbagaian cara berfikir dan hidup di sana. Kisah-kisah mereka juga patut diberi tumpuan.

RENUNGAN TERHADAP MASYARAKAT MELAYU

Pengalaman membuat penelitian di Aceh ini menggalakkan saya untuk merenungkan tentang masyarakat-masyarakat lain yang seringkali dikaitkan hanya dengan perkara-perkara yang negatif. Ini termasuk masyarakat saya sendiri.

Stereotaip orang Melayu/Islam di Singapura sebagai golongan yang kurang maju berbanding dengan rakan-rakan sejawat kita seperti sudah menjadi suatu fakta. Memang benar bahawa masyarakat kita menghadapi berbagai masalah sosioekonomi yang harus ditangani.

Namun, penting juga bagi kita untuk memberi fokus kepada mereka yang berjaya meraih kejayaan tersendiri – meski ia kecil, dan meski ia tidak merangkumi definisi standard kejayaan.

Hampir setiap hari media kita melaporkan tentang individu-individu dan golongan-golongan kecil yang berjaya mengatasi bermacam-macam cabaran dan melakarkan perjalanan hidup tersendiri berdasarkan keupayaan masing-masing. Kisah-kisah mereka juga wajar menerima sokongan kita.

MENGENAI PENULIS:

Ilya Katrinnada ialah seorang lulusan bidang Antropologi di Yale-NUS dan kini menjadi Penolong Kurator di Pusat Seni Kontemporari Universiti Teknologi Nanyang NTU. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan