Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Membuka peluang bagi individu, pekerja dan keluarga memajukan diri

 Apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 banyak sekali peluang bagi individu dan keluarga memperkukuhkan lagi kedudukan masing-masing. Bagaimana ini semua boleh dimanfaatkan? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Membuka peluang bagi individu, pekerja dan keluarga memajukan diri

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

BERITAmediacorp: Apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 banyak sekali peluang bagi individu dan keluarga memperkukuhkan lagi kedudukan masing-masing. Bagaimana ini semua boleh dimanfaatkan?

Jika kita renungi secara terperinci, peruntukan-peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 adalah amat menggalakkan.

Ia mengambil kira keperluan-keperluan segera seperti usaha berterusan menentang virus korona COVID-19 dan kesan-kesannya ke atas rakyat dan syarikat-syarikat di sini.

Tidak kurang juga perhatian yang telah ditumpukan kepada keperluan pembangunan negara jangka panjang.

Usaha-usaha ini yang kesemuanya akan dibiayai menerusi peruntukan belanjawan yang membentuk 2.1 peratus daripada GDP negara.

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Reuters)

Langkah segera yang akan dilaksanakan oleh pemerintah termasuk bantuan S$4 bilion yang dikhaskan supaya syarikat-syarikat mampu untuk mengekalkan para pekerja mereka dan dapat terus menguruskan aliran tunai mereka.

Di samping itu, sebanyak S$1.6 bilion akan disalurkan untuk membantu rakyat mengendalikan perbelanjaan keluarga di tengah-tengah menghadapi kesulitan buat masa kini kerana penularan virus ini.

Untuk jangka panjang beberapa langkah turut diumumkan termasuk peruntukan sebanyak S$8.3 bilion untuk projek-projek pembangunan dan transformasi ekonomi negara yang akan dibelanjakan sepanjang tempoh tiga tahun akan datang.

TANGGUNGJAWAB BAGI RAKYAT

Dari sudut pemerintah, Belanjawan 2020 adalah satu tanggungjawab terhadap rakyat dan syarikat-syarikat untuk dua belas bulan ke hadapan di mana pembiayaan ke atas projek-projek dan usaha-usaha tertentu akan menjejas kelakonan ekonomi negara.

Dari pandangan serantau, Belanjawan 2020 adalah satu isyarat penting akan arah tujuan negara kita.

Gambar fail para penduduk Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Buat syarikat-syarikat di sini pula, setiap pernyataan yang diumumkan di bawah belanjawan tahun ini adalah petanda untuk mereka mengatur langkah agar dapat memanfaatkan geran-geran dan skim-skim bantuan yang akan disediakan.

Antara yang terserlah dalam belanjawan kali ini, selain langkah-langkah menangani kesan-kesan COVID-19, adalah skim-skim dan bantuan untuk individu, keluarga, jagaan orang tua, pendidikan dan pelajar.

DIALU-ALUKAN RAKYAT

Untuk membantu keluarga dalam mengharungi keadaan tidak menentu termasuk kemungkinan meningkatnya kos sara hidup pada masa depan ekoran kenaikan GST kelak, pakej jaminan GST juga dialu-alukan pihak keluarga dan individu.

Penundaan kenaikan GST adalah satu langkah yang dialu-alukan walaupun ramai yang masih kurang senang kerana ia hanya penundaan dan bukan penghapusan atau pembekuan selama-lamanya.

Bayaran GST dikenakan ke atas setiap pembeli di sini tidak kira kewarganegaraan. Namun begitu, rakyat Singapura sudah diperuntukkan dengan pakej sebanyak S$6 bilion untuk mengatasi kesan-kesan kenaikan GST terhadap rakyat melalui skim baucar GST.

BERASA LEGA

Lantaran demikian, bolehlah difahami mengapa rakyat sebahagian besarnya boleh berasa lega walaupun Singapura akan terus menempuh pelbagai ketidaktentuan pada masa depan.

Pertama sekali, pekerja tempatan tidak perlu khuatir kehilangan pekerjaan kerana syarikat dan firma mereka akan menerima bantuan dari pemerintah bagi menampung kos pekerja.

Gambar fail para pekerja di sebuah kilang Taiwan. (Gambar: AFP)

Selanjutnya, dengan tokokan tambahan dana sebanyak S$500 ke dalam kredit SkillsFuture bagi setiap rakyat Singapura dan juga peluasan program-program yang diiktiraf oleh pihak SkillsFuture peluang mereka mempertingkatkan diri masing-masing juga semakin bertambah.

Namun untuk memanfaatkannya perlulah kita pandai memilih kursus-kursus atau program latihan yang betul-betul berfaedah untuk kita.

Bagi mereka yang masih di bangku sekolah, sokongan untuk para pelajar tempatan pergi ke luar negara bagi mendapatkan pendedahan di rantau ini.

Semakin ramai akan diberi peluang untuk menimba pengalaman di negara-negara ASEAN, China dan India.

Begitu juga dengan sokongan bagi pendidikan prasekolah yang bertujuan untuk terus menggalak lebih ramai ibu bapa sedia menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal, supaya mereka tidak ketinggalan apabila memasuki sistem persekolahan kelak.

KELUARGA DAN PEKERJA

Keluarga berpendapatan rendah mendapat lebih tumpuan dengan pemberian dana tambahan untuk meringankan beban melalui baucar-baucar barangan dapur.

Dan bagi mereka yang menjaga anak dan orang tua, akan menerima bantuan wang tunai.

Pekerja senja yang ingin terus bekerja juga mendapat bantuan dari segi wang tunai kepada majikan supaya kadar sumbangan CPF dapat diseimbangkan. Ini akan menggalak firma-firma untuk lebih bersedia mengambil pekerja-pekerja lanjut usia.

Para pekerja bergaji rendah akan menerima bayaran maksimum sehingga S$400 setahun mulai Januari depan menerusi skim WIS yang dipertingkat. (Gambar fail: TODAYonline)

Selaras dengan misi pemerintah untuk meningkatkan sokongan kepada rakyat yang berpendapatan rendah hingga pertengahan, terutama sekali mereka yang berusia lebih dari 55 tahun, yang mungkin tidak dapat membiayai keperluan seharian mereka di waktu persaraan akan menerima bantuan tambahan melalui skim baru simpanan persaraan.

Di bawah skim ini, pemerintah akan memadankan sumbangan setiap dolar ke dalam Akaun Persaraan CPF mereka dengan jumlah tidak melebihi S$600 setahun.

KESEJAHTERAAN ALAM

Sungguh menggalakkan juga perhatian yang telah ditumpukan kepada kesejahteraan alam sekitar.

Usaha-usaha untuk mengurangkan pencemaran udara secara bertahap-tahap melalui rancangan untuk mengadakan lebih banyak lagi lokasi-lokasi mengecas kenderaaan elektrik.

Di samping itu, insentif penggunaan awal kenderaan elektrik akan diberikan kepada mereka yang membeli kenderaan elektrik dan secara langsung akan mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan petrol atau disel.

PELUANG BAIK

Kesimpulannya, pihak individu perlu merenung kembali langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperkukuhkan lagi keadaan masing-masing.

Bagi mereka yang belum membuat persiapan untuk menghadapi persaraan, ini adalah peluang yang baik untuk mula menimba ilmu dan mempersiapkan diri terutama sekali dengan adanya pelbagai skim sokongan yang dibentangkan pemerintah.

Begitu juga dengan program-program sokongan lain yang akan diperkenalkan pemerintah menyusuli Belanjawan 2020 ini, amat penting bagi setiap individu untuk mengambil tahu dengan lebih mendalam lagi.

Ia agar setiap usaha yang dianjurkan di bawah belanjawan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

MENGENAI PENULIS:

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan